KENAPA PERLU SIASAT?

0
1274

“Zakat Selangor ini sengaja nak menyusahkan aku. Semua nak siasat. Bagi sahajalah.” Rungut Pak Madun. Dia memarkir motor cub tuanya di tiang bendera di depan surau. Kopiahnya senget kerana dia beberapa kali menggaru dahinya yang tidak gatal. Sambil menahan marah, beberapa kali dia mendengus-dengus.

“Apa yang kamu marahkan sangat ni Madun?” Tegur Hj. Husin yang kebetulan juga baharu sampai di surau. Haji Hussin imam yang sangat disegani di kampungnya.

“Semalam aku ke kaunter zakat di Klang. Nak minta bantuan. Punyalah banyak aturannya. Macam-macam dimintanya. Kena isi boranglah. Pengesahan pendapatanlah. Jumlah tanggunganlah. Aduhai, susah betul nak dapat zakat. Macam duit zakat itu mak ayah diorang yang punya.” Laju sahaja Pak Madun meluncurkan amarahnya. Jelas dia sangat tidak berpuas hati. Jika tidak berhadapan dengan Imam Hussin, entah apa lagi yang akan disemburnya.

PERSPEKTIF 2 SIASATAN

“Er, boleh aku tahu. Engkau minta bantuan apa Madun?” Tanya Imam Hussin lagi. Dia membetulkan ekor serbannya yang ditup angin sehingga beberapa kali mengganggu lubang hidungya. Hampir sahaja dia terbersin.

“Ala, aku minta bantuan untuk orang susahlah. Imam pun tahu aku anak ramai, isteri tak kerja. Harap gaji aku tukang kebun, berapalah sangat. Bela emak sakit pula tu. Bukan sikit duit aku nak pakai Imam…” Pak Madun terus mencurahkan rasa emosinya. Panas mentari asar yang kian meredup bagaikan panas jam 12 tengah hari yang terus memijarkan amarahnya. Meletup-letup otaknya barangkali. Bagaikan larva gunung berapi.

“Aku ini amil qaryah di kampung ini Madun. Kenapa engkau tak tanya sahaja kepada aku. Sudah banyak orang kampung yang aku bantu buat permohonan.” Tiba-tiba sahaja terdengar suara Bilal Seman. Rupa-rupanya Bilal Seman, muezzin tetap kampung itu juga baru sampai ke surau. Dia sedari tadi asyik menguping perbualan dua hamba Allah itu.

“Hah, ada engkau Seman. Sebelum aku jawab soalan engkau, aku nak tanya engkau dulu. Kenapa engkau tak datang rumah aku buat siasatan. Sepatutnya engkau lebih tahu keadaan aku kan? Maknanya engkau tak buat kerja….” Pak Madun terus marah-marah. Nampaknya, siapa sahaja yang menegur, akan disembur. Imam Hussin geleng kepala melihat ulah Pak Madun yang bagaikan lipas disembur racun serangga. Melompat-lompat bagaikan tak cukup udara.

“Aih kamu ni. Manalah aku tahu kamu nak memohon. Hari itu masa Zakat Selangor buat Ops Jejak Kemiskinan di kampung ini, aku ada tanya kamu. Kot le nak memohon. Kamu kata, tak payah. Kamu ingat tak? Kamu kata anak-anak kamu yang tiga orang itu boleh bagi kamu tiap-tiap bulan RM1500. Bukan main eksen lagi kamu waktu itu. Tiba-tiba hari ini kamu nak marah aku pula. Kata aku tak buat kerja. Hei, kamu ingat aku ni anak kamu ke?” Nampaknya Pak Madun silap langkah. Dia tersembur minyak tanah.

Bilal Seman yang memang terkenal Guru Silat Gayung Fatani di kampung itu tidak mudah kalah dalam berhujah. Pak Madun melirik, beberapa kali juga Bilal Seman mengemaskan penumbuknya. Pak Madun menelan ludah.

“Er…bukan macam itu bilal…” Pak Madun pun mengendurkan suaranya.

Imam Hussin bertambah geli hati melihat kelakuan dua orang jemaahnya. Dia mendiamkan diri sahaja. Asalkan mereka tidak berkuntau, dia sabar. Jika dah naik kaki tangan, dia akan mencelah. Imam Hussin pun bukan calang-calang orang. Dia bekas Komando. Aksi Tempur Tanpa Senjata (TTS) semasa menjadi askar dahulu masih berbekas di dadanya. Setakat dua hamba Allah ini, sekali hayun dua-dua jalan.

“Sudah-sudah. Kamu berdua ni dah macam budak-budak. Jom naik ke surau. Seminit dua lagi waktu Asar dah nak masuk. Seman cepat, azan Asar tu. Madun, kamu bentangkan sejadah.”

Imam Hussin akhirnya terpaksa memintas perdebatan yang baru sahaja mahu terjadi. Kedua-dua orang ahli jemaahnya patuh. Mereka tahu kederat Imam Hussin, daripada tak pasal-pasal ditampar di muka, lebih baik naik ke atas surau.

Petikan kisah di atas, adalah antara cebisan realiti. Namun, nama-namanya hanyalah rekaan. Apa yang ingin dikongsikan di sini, benarkah susah memohon zakat? Kenapakah pihak Zakat Selangor perlu menyiasat? Kenapa pemohon perlu melampirkan macam-macam dokumen? Kenapa tidak diberikan begitu sahaja bantuan. Mudahkan, jangan payahkan. Gereja lebih mudah membantu. Kenapa zakat pula yang menyusahkan? Amboi mak, begitulah bunyinya.

Ya, sekali imbas macam betul. Betul bahawa zakat perlu diagih dengan mudah. Buang segala peraturan. Mudahkan. Sampai ada yang berhujah, Allah SWT sendiri menginginkan kemudahan dan bukannya kepayahan kepada kita. Kenapalah Zakat Selangor nak menyusahkan pula semua permohonan? Untuk menjawabnya, mari saya bawakah sketsa lanjutan di bawah.

“Abah, minta RM15,000.” Sepulangnya dari surau, Apandi anak Pak Madun berusia 15 tahun menerpa. Bukan main terkejut lagi Pak Madun. Dia baru teringat mahu membodek isterinya meminjamkan RM50 untuk membeli helmet baru. Helmet lamanya, tali pun dah putus. Sudah dua kali JPJ memberi amaran. Jika dia degil, alamat kena saman!

“Apa? Kamu nak buat apa duit sampai RM15,000 tu Pandi? Kamu ingat abah ni tukang cop duit ke? Mengarut. Kamu ingat sikit ke jumlah tu?” Pak Madun pun terus menyambung rasa marahnya di rumah. Perbuatan anak bongsunya si Apandi menerpa tanpa salam, bagaikan terpetik suis lampu. Menyala terus emosi orang tua separuh abad itu. Apa lagi, membebellah.

“Ala abah ni, anak sendiri pun nak berkira. Bukannya banyak pun, RM15,000 je pun…” Balas Apandi endah tak endah dengan perasaan Pak Madun.

“Apa, kamu kata RM15,000 tak banyak?!” Tengking Pak Madun. Urat marih di lehernya pun naik semula.

“Er, sorry abah. Er…bukan RM15,000…er…RM15 ringgit je abah…” Balas Apandi, sambil menyedari kesilapannya.

“Huish, budak ni. Kamu nak buat apa RM15. Bukan ke abah baru sahaja bagi kamu RM5 semalam. Takkanlah dah habis? Kamu kena belajar bercermat Pandi. Susah nak dapat duit. Abah kamu ni tukang kebun sekolah ja…” Balas Pak Madun sedikit lembut. Hatinya bagaikan disiram embun pagi mendengar jumlah RM15 bukannya RM15,000.

Baik, apa yang kita dapat semak dalam kisah di atas? Ya, sikap Pak Madun apabila anaknya meminta duit. Jelas Pak Madun terkejut dan bertanya, apa keperluannya. Jika perlu, Pak Madun mungkin merujuk kepada guru di sekolah, apakah gerangannya sampai banyak sekali meminta duit daripada ibu bapa.

Demikianlah di Zakat Selangor. Setiap permohonan tidak boleh semudah-mudahnya diluluskan. Jika Pak Madun pun perlu menyiasat permintaan itu, sedangkan itu anaknya sendiri, maka bagaimana mungkin Zakat Selangor tidak perlu menyiasat permohonan Pak Madun. Sedangkan pegawai di Zakat Selangor langsung tiada apa-apa hubungan dengan Pak Madun. Jelas, siasatan adalah satu keperluan.

Kesimpulannya, Pak Madun sendiri sepatutnya sedar, bahawa Zakat Selangor tidak berhak meluluskan apa sahaja permohonan jika tiada keabsahan (kesahihan) maklumat. Kesalahan meluluskan tanpa kesahihan, sehingga menyebabkan zakat tersalah agih, maka dosanya akan ditanggung oleh Zakat Selangor. Jika hal ini disedari, pastilah aman jadinya. Wallahua’lam.