PROGRAM TV KASIHKU: ZAKAT SELANGOR TERBIT PROGRAM REALITI ASNAF
ZAKAT SELANGOR BIAYAI SEWA RUMAH KELUARGA YUSAINI
AMPANG, 22 Januari 2018 – Nasib keluarga Yusaini Pungut yang tular baru-baru ini mendapat perhatian apabila mereka dipindahkan ke rumah sewa yang dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor.
Yusaini menjadi perhatian netizen dan media massa apabila dia bersama isteri dan enam orang anaknya yang berusia tiga tahun hingga 11 tahun diminta keluar dari rumah sewa lamanya yang sebelum ini turut dibiayai oleh Zakat Selangor. Pihak Zakat Selangor dimaklumkan keluarga Yusaini telah menerima notis untuk berpindah sejak sebulan lalu, namun mereka gagal untuk berpindah seperti yang dikehendaki tuan rumah sewa.
Untuk makluman, keluarga Yusaini merupakan asnaf miskin yang telah berdaftar dengan Zakat Selangor dan turut disantuni dengan bantuan zakat. Antara bantuan yang diterima berupa bantuan sewa rumah sebanyak RM600 sebulan, bantuan kewangan bulanan RM500 sebulan, bantuan makanan bulanan, bantuan pendidikan sekolah anak-anak dan bantuan Hari Raya.
Keluarga ini akan terus dibantu berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan serta dipantau oleh Zakat Selangor.
Zakat Selangor Terima Zakat Perniagaan McDonald’s Malaysia RM275 Ribu
KUALA LUMPUR, 11 Januari 2018 – Syarikat operasi McDonald’s Malaysia, iaitu Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GARSB) menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM275,000.00 bagi tahun kewangan berakhir 2017.
Zakat perniagaan ini disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar kepada Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
McDonald’s Malaysia menunaikan zakat perniagaan dengan jumlahkeseluruhan RM1,000,000.00. Selain Selangor, antara negeri lain yang turut menerima bayaran zakat termasuklah Kuala Lumpur berjumlah RM275,000.00, Pahang berjumlah RM150,000.00, Terengganu berjumlah RM150,000.00 dan Kelantan RM150,000.00.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Divisyen Kutipan Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
ZAKAT SELANGOR LANJUTKAN WAKTU PERKHIDMATAN 27 CAWANGAN
SHAH ALAM, 29 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor akan melanjutkan waktu perkhidmatan di 27 cawangan seluruh Selangor pada 29 hingga 30 Disember, bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir 2017 ini.
Waktu perkhidmatan pada 29 Disember bermula pada 8.30 pagi hingga 8.00 malam, manakala pada 30 dan 31 Disember bermula pada 9.00 pagi hingga 8.00 malam.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah khidmat runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta dan juga bayaran zakat. Selain itu, kemudahan pembayaran menerusi kad kredit dan kad debit turut disediakan di cawangan.
Bagi mengelakkan kesesakan menunaikan zakat di cawangan, Zakat Selangor turut menyediakan kemudahan ‘Cashless ATM’ di empat cawangan iaitu di ibu pejabat Zakat Selangor, Kajang, Bangi dan Seksyen 14, Petaling Jaya.
Ia merupakan kemudahan yang disediakan melalui rangkaian ‘Self Service Terminal’ (SST) yang membolehkan pengeluar zakat membuat pembayaran zakat. Melalui kemudahan ini, pengeluar zakat hanya perlu membuat pindahan wang menggunakan kad debit dari mana-mana bank dan melakukan transaksi di ‘Cashless ATM’ yang disediakan. Perkhidmatan ini percuma tanpa melibatkan sebarang kos tambahan untuk urusan niaga yang dilakukan.
Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat melalui pelbagai kemudahan pembayaran lain yang disediakan. Ini termasuklah kemudahan pembayaran atas talian melalui ezakatpay dan perbankan internet.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.
PEMAKLUMAN: PENUTUPAN OPERASI IBU PEJABAT DAN CAWANGAN ZAKAT SELANGOR
SHAH ALAM, 27 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor akan menutup operasi di ibu pejabat dan 27 cawangannya pada 2hb Januari 2018 bersamaan hari Selasa.
Bagaimanapun Zakat Selangor akan beroperasi seperti biasa pada 3hb Januari 2018 (Rabu).
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.
ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM5.3 JUTA DARIPADA 25 SYARIKAT KORPORAT
SHAH ALAM, 20 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima zakat perniagaan daripada 25 buah syarikat berjumlah RM5,348,210.05. Majlis ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Wisma PKPS di sini.
SIRIM Berhad mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM1,401,175.00, diikuti SIRIM QAS International Sdn Bhd sebanyak RM934,372.10 dan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM746,295.78.
Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Triplc Ventures Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat sebanyak RM645,571.88, Bank Pembangunan Malaysia Berhad sebanyak RM400,000.00 dan SME Bank sebanyak RM370,00.00. Sementara SIRIM STS Sdn. Bhd. menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM255,862.00, CIMB Islamic Bank Berhad sebanyak RM150,000.00 dan PNSB Insurance Brokers Sdn. Bhd menunaikan zakat perniagaan RM100,000.00
Dalam majlis yang sama, Zakat Selangor turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM432,770.79. Fatimah Najiyah Abdullah menerima bantuan pendidikan berjumlah RM289,550.00 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di MAHSA Universiti. Manakala Jaharatul Dini Karen Lee Abdullah turut menerima bantuan pendidikan berjumlah RM49,260.00 bagi melanjutkan dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia. Kedua-dua mereka merupakan asnaf mualaf yang disantuni oleh Zakat Selangor.
Sementara itu, dua individu lagi menerima bantuan perubatan. Mereka ialah Ahmad Shuhaimi Abu Hassan yang merupakan asnaf fakir berdaftar dengan Zakat Selangor, menerima bantuan perubatan bagi rawatan dialisis berjumlah RM35,280.00 dan Faizalril Zainon menerima bantuan perubatan bernilai RM33,708.00 untuk rawatan anaknya yang menghadapi masalah paru-paru. Manakala, Ahmad Zabidi Sahar menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM24,972.79.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan bagi meraikan syarikat korporat yang menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ sepanjang tahun 2017. Zakat Selangor memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.
Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.
Untuk makluman pada tahun ini, sumbangan agihan yang diterima daripada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM10.7 juta dengan penyertaan daripada 30 buah syarikat korporat termasuk individu.
Serentak dengan itu, Zakat Selangor dengan kerjasama TV AlHijrah turut melancarkan program TV Kasihku yang akan mula bersiaran pada 26 Disember ini, setiap Selasa, jam 6.30 petang.
Hadir sama, Officer in Charge Zakat Selangor merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Kutipan Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
ZAKAT SELANGOR SALUR SUMBANGAN ZAKAT RM525 RIBU UNTUK PROGRAM ISLAH
TAKSIR & TUNAI ZAKAT HARTA: CAWANGAN ZAKAT SELANGOR DIBUKA 7 HARI SEMINGGU SEPANJANG DISEMBER
SHAH ALAM, 13 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor menyarankan masyarakat Islam di Selangor mentaksir zakat harta individu secara terperinci.
Sehubungan itu bagi memudahkan masyarakat melaksanakan taksiran dan seterusnya menunaikan kewajipan zakat harta, Zakat Selangor telah membuka kesemua 27 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan Disember ini.
Waktu operasi seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja. Manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan Zakat Selangor dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Zakat Selangor turut melanjutkan waktu operasi sehingga 8 malam bermula pada 29 Disember hingga 31 Disember ini.
Selain taksiran zakat harta, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat serta melaksanakan urusan permohonan agihan zakat. Cawangan Zakat Selangor turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.
Selain daripada cawangan Zakat Selangor, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi 13 kaunter zakat IPT yang dilantik. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Kaunter IPT lain termasuklah di UNITAR International University, Cyberjaya Universitiy College of Medical Sciences, Universiti Multimedia (MMU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Selangor (UNISEL), Management Science University (MSU) dan Universiti Teknikal MARA Sdn Bhd.
Zakat Selangor berharap dengan perkhidmatan cawangan tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2017.
LZS SALUR RM2.5 JUTA UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HOSPITAL
SHAH ALAM, 5 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan zakat fasa kedua sebanyak RM2,500,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail bertempat di Auditorium Hospital Shah Alam di sini.
Untuk makluman, LZS telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.
Hospital berkenaan ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM400,000, diikuti dengan Institut Jantung Negara sebanyak RM300,000.
Sementara itu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM250,000. Manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerima sebanyak RM200,000, diikuti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang masing-masing menerima RM150,000.
Hospital Kajang menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000, Hospital Putrajaya sebanyak RM100,000, Hospital Rehabilitasi, Cheras turut menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000. Manakala Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh menerima sebanyak RM70,000, Hospital Shah Alam pula menerima sebanyak RM50,000, Insitut Kanser Negara menerima sumbangan zakat sebanyak RM40,000 dan Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Banting masing-masing menerima RM20,000.
Untuk makluman, sumbangan zakat kepada tabung pada hari ini merupakan dana tambahan yang disalurkan oleh LZS. Pada bulan Ramadan tahun ini, LZS telah menyalurkan sumbangan zakat fasa pertama kepada tabung tersebut sebanyak RM1,770,000.
Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Murniati Hassan dan Officer in Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.
10 MASJID TERIMA VAN JENAZAH SUMBANGAN ZAKAT SELANGOR
SHAH ALAM, 29 November 2017 – Lembaga Zakat Selangor menyerahkan sebanyak 10 buah van jenazah bernilai RM1,200,000 kepada 10 buah masjid di Selangor yang terpilih dalam Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Negeri Selangor Sesi 2018.
Masjid berkenaan ialah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Masjid Kariah Lubuk Kelubi, Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Masjid Kariah Kampung Jawa dan Masjid Al-Ubudiah Kerling.
Turut menerima sumbangan, Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Masjid Ar-Ridzuan Kampung Bestari Jaya, Masjid At-Taqwa Kampung Sungai Yu, Masjid Kampung Seri Aman dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah.
Officer in Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dalam ucapannya, sumbangan ini merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah.
“Ia bertujuan membantu pengurusan jenazah bagi sesebuah kariah. Sumbangan tersebut diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.”
Hadir sama dalam majlis, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Zakat Selangor, Dato’ Siti Maslamah Othman.