SHAH ALAM, 29 November 2017 –  Lembaga Zakat Selangor menyerahkan sebanyak 10 buah van jenazah bernilai RM1,200,000 kepada 10 buah masjid di Selangor yang terpilih dalam Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Negeri Selangor Sesi 2018.

Masjid berkenaan ialah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Masjid Kariah Lubuk Kelubi, Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Masjid Kariah Kampung Jawa dan Masjid Al-Ubudiah Kerling.

Turut menerima sumbangan, Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Masjid Ar-Ridzuan Kampung Bestari Jaya, Masjid At-Taqwa Kampung Sungai Yu, Masjid Kampung  Seri Aman dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah.

Officer in Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dalam ucapannya, sumbangan ini merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah.

“Ia bertujuan membantu pengurusan jenazah bagi sesebuah kariah. Sumbangan tersebut diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.”

Hadir sama dalam majlis, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Zakat Selangor, Dato’ Siti Maslamah Othman.