Utama Blog Halaman 17

LZS GUNA PENOLONG AMIL FITRAH KUTIP ZAKAT

0

SHAH ALAM, 27 April 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan pembayaran zakat melalui Penolong Amil Fitrah (PAF) yang dilantik di masjid serta surau, bagi memberi ruang kepada golongan yang kurang mahir dengan teknologi menunaikan kewajipan berkenaan sepanjang bulan Ramadan 1441H dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perlaksanaan ini telah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor selaras dengan hasrat baginda untuk memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas yang tidak mahir teknologi menunaikan zakat.

Bagaimanapun, perlaksanaan itu tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan oleh LZS berdasarkan kepada panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). SOP ini turut mendapat pandangan daripada Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia Selangor.

Untuk makluman, LZS menggariskan panduan dan syarat kepada PAF yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa PKP. Antaranya PAF mestilah berumur 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai penyakit kronik, sihat serta tidak mempunyai gejala demam sewaktu bertugas.

Selain itu, para pengeluar zakat dan PAF adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman. Para pengeluar zakat juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah urusan pembayaran selesai.

Untuk memudahkan umat Islam menunaikan zakat pada musim PKP, PAF hanya akan beroperasi di masjid dan surau pada waktu pagi dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan waktu petang pada pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Sebelum ini, LZS telah mengumumkan pembayaran zakat fitrah secara atas talian sepanjang tempoh PKP menerusi laman EZakatPay atau secara perbankan internet di sembilan buah bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

KENYATAAN DARIPADA

SAIPOLYAZAN M. YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LZS

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0

SHAH ALAM, 20 April 2020 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2020 bersamaan 1441 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya (2019). Ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 serta kegawatan ekonomi akibat daripada wabak ini, ramai umat Islam yang hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan yang tidak berkemampuan.

Walaupun kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tetap wajib ditunaikan oleh seorang Muslim untuk diri dan keluarga atau tanggungannya, namun bagi individu yang kemampuan ekonominya terbatas ketika ini, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mengikut KEMAMPUAN DIRI DAN KELUARGA.

Takrifan kemampuan yang merupakan salah satu syarat wajib zakat fitrah merujuk kepada:

Mempunyai lebihan makanan (atau hartanya) selepas ditolak keperluan makanan serta keperluan asasi yang lain untuk dirinya dan tanggungannya untuk malam satu Syawal dan juga siangnya.

Oleh yang demikian, sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat fitrah sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya, maka hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya itu.

Mengambil kira situasi wabak COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran atas talian (online) yang lebih pantas dan selamat. Ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat, bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan.

Oleh itu, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara atas talian (online) melalui: i. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my

ii. Perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank

iii. Portal MyEg

iv. Pos Online

v. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Di samping itu, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran atas talian EzakatPay.

Selain daripada pembayaran zakat fitrah dan harta, masyarakat Islam juga boleh membuat pembayaran fidyah secara atas talian di EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my.

Bagi tujuan semakan dan mencetak penyata bayaran zakat yang telah dilakukan, pembayar zakat boleh layari https://ezo.zakatselangor.com.my.

29,000 PENERIMA BANTUAN KHAS COVID-19 LZS TERIMA MANFAAT AGIHAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 1 April 2020 – Bantuan khas COVID-19 Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berfasa bermula 27 Mac dan dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran bantuan pada 3 April ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, pembayaran ini melibatkan penyaluran agihan zakat sebanyak RM14.0 juta dan dimanfaatkan oleh 29,000 penerima layak.

Daripada jumlah tersebut, seramai 9,000 penerima adalah dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan khas sebanyak RM500 per keluarga dengan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM4.5 juta.

Manakala sebanyak 20,000 penerima lagi dalam kalangan B40 khususnya golongan penjaja/peniaga kecil dan keluarga B40 yang terjejas sumber pendapatan, turut menerima bantuan maksimum sehingga RM500. Ia melibatkan jumlah agihan zakat sebanyak RM9.5 juta menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah.

Tambah beliau lagi, LZS turut mengagihkan wang zakat sebanyak RM1.0 juta kepada hospital kerajaan dan Pusat Kesihatan Daerah, petugas barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor.

“Ia membabitkan pembelian Personal Protection Equipment (PPE) kepada hospital dan PKD serta makanan kepada petugas. Manakala, bantuan makanan kepada pelajar IPT turut disalurkan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar/pengurusan IPT.”

Untuk rekod, jumlah keseluruhan bantuan agihan khas telah disalurkan oleh LZS sebanyak RM15.0 juta bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan kepada golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Bantuan Bulanan Kepada Asnaf Berdaftar

Sementara itu Saipolyazan menjelaskan, “Selain bantuan agihan khas, LZS turut menyalurkan sebanyak RM30.5 juta bagi bantuan bulanan kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin yang berdaftar. Agihan ini melibatkan asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan seperti kewangan, sewa rumah, rawatan dialisis dan perubatan. Manakala, seramai 14,909 asnaf fakir dan miskin turut dipastikan kelangsungan makanan bulanan sewaktu COVID-19 ini bagi mengelakkan mereka terputus bekalan.”

Bantuan berbentuk bulanan ini akan tetap disalurkan kepada asnaf sedia ada, sekali gus membantu mengurangkan beban golongan ini terutama pada masa COVID-19.

Justeru, Saipolyazan menyeru masyarakat Islam untuk terus menunaikan zakat melalui LZS secara atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet. Ini secara langsung dapat bersama-sama LZS membantu golongan yang terjejas disebabkan COVID-19 terutama golongan asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung dengan bantuan yang disalurkan oleh LZS pada masa ini.

COVID-19: LZS PERUNTUKKAN RM15 JUTA UNTUK KEPERLUAN KEBAJIKAN DAN PERUBATAN

0

SHAH ALAM, 21 Mac 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas sebanyak RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Peruntukan agihan khas ini khusus bagi golongan penjaja/peniaga kecil dan pekerja B40 yang terjejas sumber pendapatan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh getir saat ini.

Selain itu, peruntukan agihan khas ini turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital-hospital yang beroperasi menangani COVID-19. LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas ini.

Golongan yang terjejas boleh memohon bermula 25 Mac ini dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 (Isnin-Jumaat 10.00 pagi hingga 3.00 petang).

Dalam perkembangan sama, LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac ini kepada asnaf sedia ada yang menerima agihan bulanan. Bantuan bulanan pada kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 hari bulan. Manakala bagi agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa.

Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan kelangsungan hidup umat Islam di negeri Selangor. LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh COVID-19.

Maklumat terkini berkaitan peruntukan khas ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran Facebook Rasmi LZS.

KENYATAAN DARIPADA

SAIPOLYAZAN M. YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LZS

PEMAKLUMAN TERKINI: 27 CAWANGAN LZS DITUTUP HINGGA 31 MAC 2020

0

SHAH ALAM, 20 Mac 2020 – Berikutan situasi terkini COVID-19 di negara, perkhidmatan di 27 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) ditutup sehingga 31 Mac 2020.

Bagaimanapun penutupan ini tidak akan menjejaskan agihan bantuan bulanan untuk asnaf sedia ada, dan mereka akan tetap menerima bantuan seperti biasa.

Orang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari https://ezo.zakatselangor.com.my. Manakala pembayaran zakat boleh dilakukan melalui transaksi atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

KENYATAAN DARIPADA

SAIPOLYAZAN M. YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LZS

PEMAKLUMAN TERKINI: 27 CAWANGAN LZS DITUTUP HINGGA 31 MAC 2020

0

SHAH ALAM, 19 Mac 2020 – Berikutan situasi terkini COVID-19 di negara, operasi di 27 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) ditutup sehingga 31 Mac 2020.

Bagaimanapun penutupan ini tidak akan menjejaskan agihan bantuan bulanan untuk asnaf sedia ada, dan mereka akan tetap menerima bantuan seperti biasa.

Orang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari https://ezo.zakatselangor.com.my. Manakala pembayaran zakat boleh dilakukan melalui transaksi atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS AMBIL LANGKAH PROAKTIF CEGAH JANGKITAN COVID-19 LINDUNGI PELANGGAN & WARGA KERJA

0

SHAH ALAM, 13 Mac 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil langkah-langkah proaktif mencegah jangkitan Coronavirus (COVID-19) di ibu pejabat dan cawangannya bagi melindungi pelanggan dan warga kerja berikutan penularan wabak COVID-19.

Selain itu, LZS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Pandemik dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, bertindak sebagai jawatankuasa khusus yang memantau perkembangan terkini COVID-19 di negara dan LZS secara rapat. Ia bagi memastikan keselamatan warga kerja, pelanggan dan semua yang berurusan dengan LZS terjamin, sekaligus mengelakkan perkhidmatan dan  kelangsungan operasi LZS terjejas.

LZS turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan COVID-19 dengan memeriksa suhu badan setiap pelanggan dan warga kerja serta menyediakan pembersih tangan sebelum memasuki di ibu pejabat serta cawangan LZS. Manakala, kebersihan premis LZS turut akan dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses disinfeksi secara berkala.

Masyarakat juga digalakkan memilih transaksi atas talian sebagai alternatif urusan zakat. Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari https://ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk pembayaran zakat sila layari https://fpx.zakatselangor.com.my.

LZS juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melindungi diri anda dan orang lain daripada COVID-19.

YAYASAN UNIVERSITI MULTIMEDIA: AGIH BANTUAN PENDIDIKAN KEPADA KAKITANGAN

0

CYBERJAYA, 26 Februari 2020 – Universiti Multimedia melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM) menyampaikan bantuan pendidikan berjumlah RM28,550.00 bagi meringankan beban kakitangan warga Telekom Malaysia Berhad yang memerlukan.

Bantuan tersebut diserahkan oleh Pengerusi YUM, Tun Zaki Tun Azmi kepada 50 orang penerima bantuan terdiri daripada anak-anak warga Telekom Malaysia sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ia merupakan inisiatif YUM melalui Badan Kebajikan Islam Telekom (BAKIT) bagi mengenal pasti kakitangan mereka yang layak untuk menerima bantuan pendidikan. Selain itu mereka juga turut menjalankan program baucar makanan RM5 kepada anak-anak fakir dan miskin.

PELAJAR BAIT AL-HASANAH TERIMA PINGAT BEST AWARD AYIA 2020

0

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2020 – Pelajar Bait Al-Hasanah yang mewakili Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Asian Youth Innovation Award (AYIA) 2020 dinobatkan sebagai penerima pingat The Best Award sempena Malaysia Technology Expo 2020 yang berlangsung pada 20 hingga 22 Februari 2020.

Mempertaruhkan produk makanan kucing organik, Bait Al-Hasanah yang diwakili oleh Nurul Iman Mohd Sahri, Siti Ayu Shahida Mohd Noordin, Nur Wahida Mat Ariffin, Laila Azwa Yuzelan dan Situ Nur Zulaikha Mohd Nawan turut menerima pingat Emas (manufacturing process & advance material) bagi kategori bawah 25 tahun.

Melalui inovasi yang menggabungkan resterlize, reduce, reuse dan recycle berjaya menghasilkan makanan kucing melalui beberapa proses sehingga menjadi makanan berkhasiat secara organik, ternyata telah menarik perhatian para juri AYIA 2020.

Tahniah kepada Bait Al-Hasanah. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk melahirkan generasi kedua, generasi cemerlang.

PELAJAR BAIT AL-HASANAH SERTAI ASIAN YOUTH INNOVATION AWARD

0

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2020 – Bagi memupuk minat pelajar asnaf fakir dan miskin dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyertai Asian Youth Innovation Award (AYIA 2020) di Malaysian Technology Expo (MTE).

Ekspo yang berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 22 Februari itu diadakan di World Trade Centre, Kuala Lumpur dilihat sebagai platform kepada para belia untuk mempamerkan hasil rekaan, karya dan inovasi mereka kepada orang ramai.

Menurut Ketua Jabatan Pembangunan Institusi, Md Yusmizan Yusoff berkata, “Ini adalah julung kalinya LZS menyertai dan menghantar wakil terdiri daripada pelajar Bait Al-Hasanah untuk merealisasikan inovasi hasil daripada idea mereka sendiri.”

“Para pelajar ini mencipta makanan kucing daripada sisa makanan terbuang yang diberi nama 3R+1 Cat Food d imana ia gabungan ResterIize, Reduce, Reuse and Recycle. Penghasilan makanan kucing ini akan melalui beberapa proses sehingga menjadi makanan kucing berkhasiat secara organik,” katanya.

Untuk makluman, seramai enam orang wakil pelajar Bait Al-Hasanah berumur di antara 14 hingga 16 tahun  dihantar bagi dipertontonkan kepada orang ramai hasil inisiatif mereka bagi kategori Biotechnology and Life Sciences. Dalam kategori ini juga mereka akan bersaing dengan 40 peserta yang terdiri daripada pelbagai bidang.

Berita Terkini