SHAH ALAM, 13 Mac 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil langkah-langkah proaktif mencegah jangkitan Coronavirus (COVID-19) di ibu pejabat dan cawangannya bagi melindungi pelanggan dan warga kerja berikutan penularan wabak COVID-19.

Selain itu, LZS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Pandemik dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, bertindak sebagai jawatankuasa khusus yang memantau perkembangan terkini COVID-19 di negara dan LZS secara rapat. Ia bagi memastikan keselamatan warga kerja, pelanggan dan semua yang berurusan dengan LZS terjamin, sekaligus mengelakkan perkhidmatan dan  kelangsungan operasi LZS terjejas.

LZS turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan COVID-19 dengan memeriksa suhu badan setiap pelanggan dan warga kerja serta menyediakan pembersih tangan sebelum memasuki di ibu pejabat serta cawangan LZS. Manakala, kebersihan premis LZS turut akan dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses disinfeksi secara berkala.

Masyarakat juga digalakkan memilih transaksi atas talian sebagai alternatif urusan zakat. Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari https://ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk pembayaran zakat sila layari https://fpx.zakatselangor.com.my.

LZS juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melindungi diri anda dan orang lain daripada COVID-19.