Utama Blog Halaman 153

KAUNTER EKSPRES AGIHAN ZAKAT DILANCARKAN

0

Tarikh : 4/17/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melancarkan Kaunter Ekspres Agihan Zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Kaunter ekspres ini merupakan langkah awal LZS (MAIS) dalam strateginya melaksanakan transformasi penyampaian agihan zakat. Baru-baru ini LZS (MAIS) mengumumkan untuk melaksanakan perubahan dalam sistem penyampaian bantuan zakat melalui penambahbaikan sistem sedia ada. Antaranya termasuklah mempercepatkan penyaluran bantuan di bawah RM3,000 serta mengurangkan tempoh masa meluluskan bantuan di peringkat daerah.

Melalui pembukaan kaunter ekspres ini, bantuan dapat diberikan dengan kadar segera iaitu tempoh permohonan diluluskan hanya dalam masa dua jam dengan kadar bantuan maksimum sebanyak RM3,000. Bantuan yang diberikan ini merupakan bantuan asas seperti bantuan perubatan, yuran persekolahan, bil utiliti dan sewa rumah.

Mereka yang diberhentikan kerja juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan ini. Walau bagaimanapun hanya mereka yang diberhentikan kerja bermula penghujung tahun 2008 sahaja layak memohon dengan mengemukakan bukti pemberhentian. Sejak mula beroperasi 10hb Februari, LZS (MAIS) telah meluluskan 919 pemohonan bantuan melalui kaunter ekspres dengan jumlah bantuan sebanyak RM406,514.91.

Dalam majlis yang sama, LZS (MAIS) turut menyumbang 10 buah van jenazah kepada masjid bagi kegunaan di kariah masing-masing.

PESERTA DRB HICOM BERHAD KAGUM DENGAN PROGRAM AGIHAN LZS

0

Tarikh : 12/4/2009
Penulis : Ima Syuhada Ismail

Shah Alam – Seramai 32 peserta terdiri daripada kakitangan DRB Hicom Berhad dan anak syarikat kagum melihat pelaksanaan program agihan yang dijalankan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila berpeluang mengikuti Program Ziarah Asnaf Korporat anjuran LZS yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Dato’ Lokman Ibrahim baru-baru ini.

Program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada pembayar korporat LZS tentang keberkesanan program agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pembayar korporat terhadap pengurusan zakat di LZS. Di samping itu juga, program ini dilihat dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara LZS dengan pembayar korporat.

Para peserta dibawa ke enam lokasi projek asnaf LZS terdiri daripada D’Asnaf Kraf Shah Alam, Pusat Dialisis Kapar, Desa Ehsan Jeram, Baitul Hasanah Tanjong Karang, Desa Kasih Tanjong Karang dan Kolam Ikan Sg. Sireh Tanjong Karang. Di setiap lokasi tersebut, para peserta diberi taklimat penerangan tentang projek yang diusahakan oleh asnaf LZS dan berpeluang meninjau sendiri aktiviti yang dilaksanakan oleh mereka

PERTANDINGAN RIADAH BOLING MEDIA ERAT HUBUNGAN LZS DAN MEDIA

0

Tarikh : 4/3/2009
Penulis : Editor

Damansara – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menganjurkan pertandingan riadah boling bersama media untuk mengeratkan lagi siraturrahim di antara LZS dengan rakan media pada 21 Feb lalu di sini.

Program yang diadakan sempena Tahun Zakat Selangor 1430H ini telah disertai sebanyak 20 pasukan terdiri dari wakil media cetak dan elektronik serta pasukan LZS.

Pasukan dari Bernama telah menjuarai pertandingan ini setelah melakukan 1,388 jatuhan pin sekaligus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM800.00 dan hamper.

Tempat kedua menjadi milik Harian Metro dengan catatan 1,313 jatuhan pin dan memenangi RM600.00 berserta hamper dan tempat ke tiga dimenangi oleh Sinar Harian dengan catatan 1,303 jatuhan pin.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor, Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

KEMBARA MENCARI SINAR ERAT HUBUNGAN PEMBAYAR ZAKAT DAN ASNAF

0

Tarikh : 3/13/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Bagi mengeratkan lagi hubungan antara pembayar zakat dan asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meneruskan usaha dengan mengadakan Kembara Mencari Sinar (KMS) yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 11 Mac.

KMS ini disertai oleh 40 orang peserta terdiri daripada wakil syarikat korporat, wakil media dan kakitangan LZS. Program yang diadakan sempena Tahun Zakat Selangor 1430H ini turut bertujuan merapatkan hubungan antara LZS dengan masyarakat secara tidak langsung.

Antara aktiviti Kembara Mencari Sinar ini ialah lawatan ke Pusat Dialisis LZS di Seksyen 3, Shah Alam, lima buah rumah asnaf di Desa Ehsan Jeram, Kuala Selangor, penempatan orang tua (Daruss Salamah) dan Bengkel Jahitan di Tanjong Karang.

Melalui program ini masyarakat dapat melihat secara dekat agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS secara tidak langsung.

D’ASNAF KRAF GIAT PROMOSIKAN PRODUK KRAF ASNAF FAKIR MISKIN

0

Tarikh : 5/5/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui D’Asnaf kraf menggiatkan promosi memperkenalkan produk kraf yang dihasilkan oleh 173 asnaf fakir miskin di Selangor dengan mengadakan potongan harga jualan sehingga 50 peratus. Promosi diadakan di ‘Show Room’ D’Asnaf Kraf di No.23 Jalan Marathon 13/31. Seksyen 13, di sini dan telah dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib b. Mohd Isa.

Promosi selama sebelas hari bermula 23hb April 2009 sehingga 3hb Mei 2009 ini menjual pelbagai produk antaranya pelbagai jenis bakul anyaman, pasu bunga, pelbagai bentuk bekas telur, bunga tekap, perhiasan wanita dan sebagainya. Lebih menarik produk kraf ini dihasilkan menggunakan kertas terbuang iaitu kertas surat khabar dan majalah lama.

D’Asnaf kraf merupakan salah satu bentuk program pembangunan ekonomi asnaf fakir miskin yang bertujuan memberi ruang pekerjaan kepada asnaf fakir miskin untuk berdikari. Ia diusahakan dengan konsep ‘Homebase’ sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan asnaf fakir dan miskin di Selangor. Peserta-pesertanya terdiri dari kaum wanita yang majoritinya ibu tunggal.

Projek ini telah dimulakan secara kecil-kecilan sejak tahun 2003 dan produk yang mula-mula dihasilkan adalah kraftangan daripada kertas terbuang (suratkhabar dan majalah). Kini produk D’Asnaf Kraf diperluaskan dengan menghasilkan produk seperti aksesori wanita, bunga tekap, perhiasan dinding, tasbih, cenderamata dan sebagainya.

LZS sentiasa mempelbagai rancangan untuk meningkatkan lagi pengeluaran produk-produk asnaf fakir miskin bagi memastikan mereka sentiasa boleh berdikari.

LZS ANJUR KARNIVAL MASJID SELANGOR SEMPENA TZS 1430H

0

Tarikh : 3/2/2009
Penulis : edotor; Gambar: zool

Gombak – Bagi meningkatkan lagi dakwah zakat di kalangan umat Islam Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengajurkan Karnival Masjid Selangor (KMS) sempena Tahun Zakat Selangor 1430H yang akan diadakan di setiap daerah.

Daerah Gombak menjadi daerah pertama yang menganjurkan karnival itu pada 31 Januari lalu dan ia akan disusuli lapan daerah yang lain.

Objektif diadakan Karnival Masjid Selangor ini ialah untuk menyampaikan informasi zakat kepada masyarakat secara langsung dan tidak langsung, memasyarakatkan Institusi zakat dan mengeratkan siraturrahim di antara LZS (MAIS), institusi masjid dan masyarakat.

Selain itu karnival ini juga bertujuan mengimarahkan masjid.

Forum perdana… Antara aktiviti menarik KMS yang menampilkan panelis tersohor

Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan karnival dua hari ini termasuklah pelbagai gerai jualan dan pameran, pertandingan mewarna, tahlil perdana, tilawah al-Quran dan Forum Perdana yang berkisar tentang zakat.

Majlis pelancaran Karnival telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor , Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali di Masjid as-Syakirin.

PERTANDINGAN PENULISAN ESEI

0

Tarikh : 2/20/2009
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt,

Berjumpa lagi kita di ruangan ini. Diharap semua pengunjung portal berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dengan kerjasama Akhbar Sinar Harian dan Majalah e@Siswa menganjurkan Pertandingan Penulisan Esei. Pertandingan ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu bagi kategori Sekolah Menengah (tingkatan 1- 5) dan IPTA dan IPTS (pelajar sepenuh masa).

Tajuk yang diberikan untuk kategori sekolah menengah ialah “ Zakat Mengubah Kehidupan”“ dan bagi kategori IPTA dan IPTS tajuknya ialah “ “ Zakat Meneraju Perubahan”“ .

Panjang esei bagi kategori sekolah menengah adalah 500-600 patah perkataaan sahaja dan bagi kategori IPTA dan IPTS adalah 1500-2000 patah perkataan. Hasil penulisan esei yang berjaya akan dipaparkan dalam Majalah e@siswa untuk bacaan umum.

Hadiah bernilai lebih dari RM2500 bakal diberikan kepada pemenang-pemenang tersebut. Berikut adalah hadiah kepada 2 kategori tersebut :

KATEGORI SEKOLAH MENENGAH

Tempat pertama: Wang Tunai RM400 dan langganan 6 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

Tempat kedua : Wang Tunai RM300 dan langganan 4 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

Tempat ketiga : Wang Tunai RM200 dan langganan 3 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

TIGA Hadiah Saguhati : Wang tunai RM50 beserta buku.

KATEGORI IPTA/IPTS

Tempat pertama: Wang Tunai RM500 dan langganan 6 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

Tempat kedua : Wang Tunai RM400 dan langganan 4 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

Tempat ketiga : Wang Tunai RM300 dan langganan 3 bulan majalah e@siswa, buku dan sijil.

TIGA Hadiah Saguhati : Wang tunai RM50 beserta buku.

Pastikan Esei dihantar beserta nama, alamat yang lengkap dan nombor telefon kepada :

JAWATANKUASA PERTANDINGAN ESEI SEMPENA TZS 1430H
Lembaga Zakat Selangor,
Aras 10, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Tel : 03-55227700 samb 771 (Baizura), 714 (Ima) dan 718 (Noormala)

Penghantaran melalui email adalah tidak diterima. Pertandingan ini akan dijalankan dari 15 Februari hingga 1 April 2009. Sekian, terima kasih.

LZS TINGKAT KEMPEN KESEDARAN BERZAKAT MELALUI OPS TOL

0

Tarikh : 2/13/2009
Penulis : editor; Ganbar: zool

Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengedarkan risalah zakat kepada pengguna lebuhraya Persekutuan di Plaza Tol Sg Rasau di sini yang diadakan sempena Tahun Zakat Selangor 1430H (TZS 1430H) PADA 11 Februari.

Melalui program yang dikenali sebagai ‘Ops Tol’ ini sebanyak 10,000 risalah diedarkan yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran berzakat disamping menyampaikan maklumat tentang aktiviti TZS 1430H sepanjang tahun ini.

LZS akan meneruskan program ‘Ops Tol’ ini di konsesi lain yang akan diadakan di sepanjang tahun ini seperti di lebuhraya LITRAK, Grand Saga dan KESAS.

Sementara itu, LZS turut mengagihkan zakat kepada lima penerima bantuan berjumlah RM92,8000.00.

Bantuan diserahkan kepada surau Imam As-Syafiee, Sekolah Kebangsaan Sementa sebanyak RM50,000 dan surau al-Furqan sebanyak RM10,000 bagi tujuan baik pulih.

Selain itu, seramai tiga individu menerima bantuan perubatan iaitu Bee binti Puteh menerima bantuan bagi menampung kos pembelian implan pembedahan lutut sebanyak RM12,800.

Razak Md. Din, 48 menerima bantuan perubatan untuk anaknya Muhammad Khairul Rizwan, 18 sebanyak RM10,000 bagi menampung kos pembedahan tumor dan Amaniyah Muhammad, 53 menerima RM10,000 bagi menampung kos pembedahan akibat barah otak.

Majlis pelancaran dan penyerahan agihan zakat telah disempurnakan oleh Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

BENGKEL KHAS MAJIKAN SERU ANGGOTA PDRM SERTAI SKIM BERKAT

0

Tarikh : 2/3/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Badan Agama dan Kaunseling Anggota (BAKA) mengadakan Bengkel Khas Majikan kepada kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor di sini pada 18 Februari sempena Tahun Zakat Selangor 1430H.

Bengkel ini bertujuan meningkatkan lagi usaha bagi menambah jumlah kakitangan PDRM di Selangor menyertai skim bayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Sehingga kini seramai 3, 467 kakitangan PDRM Selangor telah menyertai Skim Berkat berbanding 6,416 bilangan kakitangan yang layak mengikut taksiran tetapi masih belum berbuat demikian.

Melalui bengkel ini LZS mensasarkan 100 peratus kakitangan PDRM, Selangor yang layak menunaikan zakat akan menyertai Skim Berkat ini. Jumlah zakat yang akan dikutip jika penyertaan 100 peratus dilaksanakan oleh kakitangan PDRM Selangor ialah sebanyak RM3.4 juta setahun.

Jumlah ini adalah kutipan tertinggi zakat bagi seKtor kerajaan selain AG Kementerian Pelajaran dan AG negeri Selangor.

Selain itu, melalui bengkel ini LZS dapat menyebarluaskan dakwah zakat kepada kakitangan PDRM melalui pengisiannya iaitu ceramah bertajuk Pelaburan Dunia dan Akhirat, Taklimat Skim Berkat bertajuk “Adakah Saya Layak” dan sesi Pengalaman Agihan Zakat di LZS.

Bengkel kiraan zakat dan soal jawab turut diadakan bagi memberi pemahaman sepenuhnya kepada peserta dalam soal kiraan zakat.

Bengkel setengah hari ini yang melibatkan 170 orang peserta yang terdiri dari ketua-ketua jabatan, ketua-ketua polis daerah, wakil-wakil dari unit gaji IPD telah dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, DCP Dato’ Khalid bin Abu Bakar.

Turut hadir, Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar, Timbalan Ketua Polis Selangor, SAC I Dato Jamshah Bin Mustapa dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS, Adibah Abdul Wahab.

KEMPEN AYUH BERZAKAT: PEMENANG DIRAI

0

Tarikh : 2/20/2009
Penulis : Mohamed Syahril Haji Zainol

Majlis Penyampaian Hadiah untuk meraikan pemenang Kempen Ayuh Berzakat 2008 telah diadakan pada 9hb. Januari 2009, Hari Jumaat. Majlis berlangsung di Pejabat Pos Negeri Selangor, Shah Alam.

Pemenang yang bertuah ialah Puan Norinah dari Ampang, Selangor. Kempen anjuran Pos Malaysia Berhad dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) ini telah bermula pada 1 September sehingga 30 November 2008 tahun lepas.

Kenalpasti pemenang adalah melalui cabutan bertuah dari para pelanggan pos dengan menunaikan pembayaran zakat di kaunter pejabat pos dan posonline.com.my.

Kempen ini adalah bertujuan untuk menyedarkan kepada umum tentang pembayaran zakat di Pos Malaysia Berhad. Pada masa yang sama membantu usaha dakwah ini dalam peningkatan yang lebih baik berbanding tahun 2007.

Hadiah berupa wang pos sebanyak RM500 telah disampaikan oleh Pengurus Pos Negeri Selangor, Tuan Haji Wan Shariffudin manakala pihak LZS telah diwakili oleh Ketua Bahagian Kutipan, Encik Mohd. Saifudin. Majlis ini merupakan kesinambungan program bersama dalam meningkatkan hubungan LZS bersama ejen pos.

Berita Terkini