Utama Blog Halaman 143

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT WHB RM1.15 JUTA

0

Tarikh : 9/13/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 13 Ogos 2010 – Worldwide Holdings Berhad (WHB) hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,147,596.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Pengerusi Worldwide Holdings Berhad, Dato’ Mohd Arif Ab. Rahman menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2009 kepada DYMM Sultan Selangor bersempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Negeri, di sini.

Pada majlis ini, DYMM Sultan Selangor turut berkenan menyerahkan sijil penghargaan pembayaran zakat peniagaan kepada 10 syarikat yang membayar tahun lepas serta memberi sumbangan zakat kepada 100 orang fakir dan miskin, 100 orang anak-anak dan 100 orang saudara baru. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamed Adzib Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS LUASKAN KEMUDAHAN TUNAI ZAKAT SEPANJANG RAMADAN

0

Tarikh : 8/12/2010
Penulis : editor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meluaskan kemudahan pembayaran zakat bagi memudahkan orang ramai membayar zakat harta dan fitrah di sepanjang bulan Ramadan ini.

Bagi pembayaran zakat fitrah, LZS telah melantik seramai 2,437 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor.

Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat di beberapa kaunter sementara di pusat-pusat membeli belah terpilih iaitu di Centrepoint, Klang; Mydin dan Plaza MPK Klang; Giant, Shah Alam; Kompleks PKNS, Shah Alam; Plaza Masalam, Shah Alam dan Jaya Jusco, Bukit Raja Klang.

Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah dan zakat harta di 23 cawangan LZS di seluruh Selangor. Cawangan LZS akan dibuka termasuk pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum. Orang ramai boleh berurusan di cawangan LZS bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja. Manakala pukul 9.00 pagi sehingga 3.00 petang pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN 1431H DARI LZS

0

Tarikh : 8/10/2010
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Selamat datang kepada semua pengunjung-pengunjung portal ezakat. Semoga tuan/puan berada dalam keberkatan dan kerahmatan daripada Allah sepanjang masa.

Esok, seluruh umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Seluruh umat Islam diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan tersebut. Dikesempatan ini, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia amnya dan di Negeri Selangor secara khususnya.

Alhamdulillah kita diberikan kesempatan dan umur yang panjang oleh Allah untuk bertemu lagi bulan Ramadhan ini. Semoga kita semua dapat mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi amal ibadah kita di sepanjang bulan tersebut. Selain berpuasa kita juga digalakkan melakukan ibadah sunat yang lain seperti bertarawikh, bertadarus Al-Quran, Qiamullail dan sebagainya. Diharapkan ia menjadikan kita seorang insan yang lebih baik di dunia dan di akhirat.

Lembaga Zakat Selangor telah selesai mengadakan Program Bantuan Hari Raya kepada asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor untuk meringankan beban mereka menyambut ketibaan bulan Ramadhan dan juga Hari Raya Aidilfitri kelak. Semoga bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka bagi tujuan tersebut.

Unit ICT LZS juga telah menyediakan perkhidmatan EKAD Online yang boleh digunakan secara percuma oleh semua pengunjung portal Ezakat ini untuk mengucapkan Ramadhan kepada sahabat handai dan ahli keluarga yang lain. Semoga EKAD ini digunakan sebaiknya oleh semua umat Islam untuk merapatkan ukhuwah sesama kita.

EKAD tersebut boleh dihantar melalui link ini : EKAD RAMADHAN LZS (MAIS)

Sekian, terima kasih

KADAR ZAKAT FITRAH

0

Tarikh : 8/10/2010
Penulis : editor

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan mengekalkan kadar zakat fitrah di negeri Selangor bagi Ramadan tahun ini (2010) bersamaan 1431 hijrah iaitu ditetapkan sebanyak RM7.00 sekepala sama seperti tahun sebelumnya.

Pengekalan kadar fitrah ini dipengaruhi oleh tiada kenaikan harga beras yang menjadi makanan utama penduduk Selangor di pasaran.

Kutipan zakat fitrah pada tahun ini disasarkan sebanyak RM14 juta.

RM14 JUTA UNTUK AGIHAN RAMADAN DAN HARI RAYA

0

Tarikh : 8/10/2010
Penulis : editor

Seperti tahun-tahun yang lalu, MAIS melalui LZS telah mengagihkan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang ramadan dan hari raya. Agihan untuk persiapan ramadan dan hari raya telah bermula pada 27 Julai hingga 10 Ogos melibatkan sebanyak 44 program agihan di seluruh Selangor. sebanyak RM 14,537,500.00 (Juta) telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada 18,352 keluarga fakir dan miskin di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 9,008,500.00 (Juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM5,529,000.00 (Juta) diagihkan kepada golongan fakir.

Di Selangor terdapat seramai 11,114 keluarga asnaf miskin berbanding 10,843 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 7,238 keluarga berbanding 10,778 keluarga fakir tahun lalu.

Daerah Kuala Selangor mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,373 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM3,328,350 (Juta). Ini diikuti daerah Sabak Bernam seramai 3,065 keluarga (RM2,160,700), Hulu Langat seramai 2,781 keluarga (RM2,090,950), Gombak seramai 2,175 keluarga (RM1,645,850), Hulu Selangor seramai 1846 keluarga (RM1,408,350), Klang seramai 1,731 keluarga (RM1,336,950), Petaling seramai 1402 keluarga (RM1,099,400), Kuala Langat seramai 1,241 keluarga (RM938,950), Sepang seramai 420 keluarga (RM311,250) dan penempatan berkelompok seramai 300 keluarga (RM216,750).

Pengagihan bantuan ini dilaksanakan lebih awal bagi membolehkan penerima zakat membuat persiapan ramadan dengan lebih sempurna disamping dapat menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah di bulan ramadan.

PEMENANG “KUIZ ZAKAT DI UDARA” TERIMA HADIAH: ANTARA MEKANISME LZS PROMOSIKAN ZAKAT

0

Shah Alam, 9 Ogos 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama dan pemenang tempat pertama hingga ketiga “Kuiz Zakat Di Udara” di sini hari ini.

Pemenang dipilih berdasarkan jawapan yang dikumpul oleh pendengar melalui Kuiz Terkumpul dalam tempoh empat bulan bermula pada bulan Oktober 2009 hingga Januari 2010. Empat orang pemenang dipilih untuk menerima hadiah tiket penerbangan ke destinasi menarik.

Mereka yang terpilih sebagai pemenang ialah Zanial Md Nasir pemenang utama, Siti Zaleha Syed Sa’ari pemenang pertama, Fadzillah Md Tahir pemenang kedua dan Badrul Nazri Mohamad@Din pemenang tempat ketiga.

Kuiz ini diadakan bertujuan mempromosikan zakat kepada pendengar untuk menyebarluaskan lagi dakwah zakat kepada masyarakat. Ia juga bertujuan meningkatkan kesetiaan pelanggan, menggalakkan masyarakat menunaikan zakat seterusnya mendidik masyarakat secara tidak langsung tentang hal ehwal zakat.

Penganjuran Kuiz ini mendapat kerjasama Radio IKIM.fm.Manakala Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bekerjasama sebagai penaja hadiah utama dan hadiah tempat pertama hingga ketiga.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

LZS SEDIA BANTU ZUBEDAH BERUBAH

0

Tarikh : 8/7/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Allah yang menjadikan kehidupan ini dengan segala pancarobanya, bukanlah tanpa tujuan. Ia adalah untuk menilai tahap kesabaran manusia. Mereka yang mengaku beriman, pasti akan diuji. Kelak di akhirat, kesabaran itu akan dibalas dengan cukup setimpal. Syaratnya, di dunia mereka mestilah kekal berusaha dan bertakwa kepada-Nya.

Ujar Allah buat renungan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak lagi diuji?” (al-Ankabut: 2)

Kehadiran penulis bersama Ust. Aqmal, Pegawai Agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Gombak ke teratak Zubedah Ahmad, 43 di Kg. Bahtera mengundang seribu persoalan di cepu minda. Tanpa diduga, rupa-rupanya Zubedah sekeluarga sudah hampir 16 tahun mendiami tanah rezab milik kerajaan di sana.

Statusnya, mereka adalah penghuni setinggan. Istilah yang kian asing kini berbanding 15 tahun silam. Apatah lagi Selangor sudah pun mencapai status negeri maju, dan kewujuduan setinggan juga kian pupus di negeri ini.

“Entah apa sebabnya ustaz, nama saya tercicir sudah sekian lama daripada senarai penerima bantuan. Sudah hampir 16 tahun di sini, sudah ramai juga pihak tertentu datang bertamu. Mereka bertanya itu dan ini, meminta fotokopi kad pengenalan dan sebagainya lagi. Namun, nasib saya masih di takuk lama.”

Demikianlah Zubedah membuka cerita. Terkejut dan tercengang penulis mendengarnya. Jika diikutkan, kedudukan rumah Zubedah tidaklah begitu jauh daripada pelbagai pusat kemudahan dan ejensi kerajaan yang tugasnya membantu rakyat termiskin; namun kenapa mereka terpinggir?

“Suami saya hanya seorang pekerja sambilan, menebar roti canai di gerai berdekatan. Upah harian sahaja, dapatlah RM20.00 sehari. Jika sebulan, selepas ditolak pelbagai bayaran termasuklah melunaskan pinjaman, dapatlah bersih kira-kira RM250.00.

“Dengan wang itulah, suami saya berikan buat belanja keluarga. Wang itulah juga saya berjimat-cermat membeli keperluan dapur dan menampung belanja anak tunggal saya ke sekolah.”

Hasil perkongsian hidup Zabedah dan suaminya, Zainon Omar, 53 mereka dikurniakan Allah seorang anak lelaki, Mohd. Rasyada. Kini usia anak lelaki mereka sudah pun 14 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Sg. Kertas, Selayang.

Sebenarnya, jika diikutkan pada kaca mata fizikal, Zubedah kelihatan seperti orang yang sihat. Namun, sebenarnya beliau sedang bertarung dengan pelbagai jenis penyakit yang membataskan kemampuannya untuk bergerak. Bahkan Zubedah tidak boleh memaksa dirinya melakukan kerja berat, jika tidak dia akan diserang lelah yang amat menyesakkan.

“Sekitar tahun 1980-an dahulu, saya pernah berkerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah. Mungkin dari situlah, saya mendapat penyakit ini. Kini, saya adalah pengidap athma yang kritikal. Bahkan dahulu, saya adalah pengidap penyakit TB (batuk kering). Kata doktor, sebelah paru-paru saya ini sudah rosak, sudah reput.

“Di samping itu, saya juga adalah pengidap kencing manis, darah tinggi dan juga lemah jantung.”

Hampir terduduk penulis mendengar senarai jenis penyakit yang dihidapi Zubedah. Rasanya, alang-alang orang pasti tidak termampu menanggung semua ini. Jangankan diabetes, hipertensi dan athma, di serang selesema dan batuk pun sudah jenuh berulang-alik ke klinik agar sembuh segera.

Menurut Zubedah, sehingga kini dia mesti mendapatkan ubat-ubatan daripada klinik kerajaan berdekatan di samping wajib ke Hospital TB di Jalan Pahang setiap bulan.

Menyentuh nasib dirinya, Zubedah akui bahawa kemiskinan memang amat membelenggui diri dan keluarganya. Teratak milik keluarganya juga sangat uzur. Menurut Zubedah, jika hujan maka akan tiris di sana-sini. Arus sungai juga akan naik dan rumahnya akan ditenggelami air.

“Inilah keadaan rumah saya ustaz. Memang agak daif; tetapi bagi saya, ini lebih baik daripada dahulu. Pernah dulu, kami terpaksa menyewa stor milik orang untuk dijadikan tempat tinggal. Sudahlah sempit, bentuknya pula huruf ‘L’. Ustaz bayangkanlah sendiri keadaannya.” Ujar Zubedah lagi sambil terkenang kisah silam.

Merenung masa hadapan, Zubedah sebenarnya mahu merubah nasib diri dan keluarganya.

“Sebenarnya, jika mampu saya bercadang mahu berjualan kuih-muih dan nasi lemak. Tetapi, saya tidak boleh berkerja kuat. Jangankan untuk mengangkut barang, jika berjalan kaki dari rumah saya ini ke kedai di hadapan itu pun saya sudah lelah. Bila diserang athma, seluruh tubuh saya akan menggeletar.”

Mujurlah kesusahan beliau berjaya dikesani oleh LZS. Maka, mulai tahun 2010, beliau didaftarkan sebagai asnaf miskin yang melayakkan beliau sekeluarga menerima pelbagai jenis bantuan, termasuklah bantuan pendidikan anak, bantuan saraan bulanan dan bantuan tanggungan kos rawatan sakit kronik.
Bahkan LZS menggesa agar beliau segera berpindah ke kediaman yang lebih baik dan selesa dan akan menguruskan sebahagian kos sewaannya. Bahkan, seandainya.
Zubedah berjaya mendapatkan status pemilikan ke atas tanah rezab yang mereka diami itu, maka LZS boleh membantu membina rumah baharu yang lebih baik untuk dirinya sekeluarga.

“Saya rasa gembira dan terharu dengan kedatangan LZS, terima kasih banyak-banyak kerana sudi membantu saya.” Ujar Zubedah menuntasi perbualan.

ORANG MISKIN DOMINASI SYURGA

0

Tarikh : 8/6/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Syurga dan neraka termasuk dalam perkara ghaib dan ‘sam’iyat’ yang wajib kita beriman kepadanya. Allah SWT menukilkan ratusan kali perihal syurga dan neraka, agar manusia merasa terpanggil untuk membuat amal sebagai bekal ke sana. Amal baik bekal ke syurga, meninggalkan amal buruk pula sebagai modal dijauhkan daripada neraka.

Dalam kisah Israk dan Mikraj, kita pasti akan diperingatkan kronologi perjalanan Nabi Muhammad SAW sehingga ke langit dan melepasi Sidratul Muntaha. Nabi SAW ditemani Jibril a.s, sahabat langit yang setia.

Mereka melewati pelbagai jenis tempat dan bertemu pelbagai jenis manusia. Kemuncaknya, Nabi SAW dianugerahi Allah SWT hadiah berupa solat. Solat itulah waktunya kita berbisik-bisik dan berbual-bual dengan Allah SWT secara penuh ‘privasi’– itu pun andai kita memahami maksud apa yang kita sebut dan baca di dalamnya.

Namun, penulisan ini tidak berniat untuk mengupas perihal solat. Insya-Allah, pada lain kesempatan kita akan mengupasnya. Sesungguhnya, ada sesuatu yang lain, yang tidak kurang menarik untuk kita perhatikan lewat peristiwa Mikraj Nabi SAW ke langit. Itulah saat nabi dibawa oleh Jibril a.s menziarahi syurga dan neraka. Maka, apa yang nabi perhatikan di sana?

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Sesuatu yang perlu dikaji, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Menurut ilmu lughah atau Bahasa Arab, dalam konteks yang sama kita diberitahu perkara sebaliknya iaitu disebut mafhum mukhalafah (makna di sebaliknya), iaitu tidak ramai orang kaya di syurga. Aduhai, di mana orang kaya? Apa pula kelebihannya si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?

Inilah senario yang kena kita perhalusi bersama. Adakah Islam begitu memuliakan orang-orang fakir dan miskin sehingga di dunia ini kita wajar memilih untuk menjadi orang miskin dan hidup dalam papa kedana? Pada masa yang sama, adakah kita diberitahu bahawa kita hendaklah menjauhi kekayaan dan menolak kebendaan?

Jika demikian keadaannya, bukankah Islam juga menyeru kepada kita agar mencari kebendaan dan nikmat duniawi? Bukankah Islam amat menegah kehidupan yang meninggalkan keduniaan ala pertapaan (yang kononnya hidup menjamah bertih beras empat purnama lamanya)?
Bukankah Allah SWT sendiri menegaskan: “Kemudian setelah selesai (kamu) mendirikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing); dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah…,” (al-Jumu’ah:10)

Terdapat banyak lagi ayat al-Quran mahu pun saranan daripada sunnah Rasulullah SAW, agar umat Islam hidup dalam kekayaan. “Tdak dianggap baik orang yang meninggalkan dunianya kerana akhirat, dan tidak juga orang yang meninggalkan akhiratnya kerana dunianya.Sehinggalah mereka memperolehi kedua-duanya sekali,” jelas nabi melalui riwayat Ibnu ‘Asakir. Jadi, adakah berlaku suatu kontradiksi di sini?

Hakikatnya, tiada pertentangan sama sekali. Jika kita merenung kepada mafhum hadis di atas, bahawa ramainya orang miskin di syurga, maka ada sesuatu yang patut kita pelajari daripadanya. Iaitu, jika orang kaya mahukan syurga, maka mereka mestilah berhati-hati dalam mengendalikan harta kekayaannya. Misalnya, wajib dilunasi zakat hartanya, diringi pula sedekah kepada sesama manusia. Baharulah harta itu tidak menjadi bebanan di akhirat sana.

Dalam konteks yang lain, orang-orang miskin memang patut dianugerahi Allah SWT kelebihan di akhirat, kerana sejak di dunia lagi mereka sudah begitu banyak bersabar menahan ujian kesusahan. Mereka selalu kelaparan kala orang kaya kekenyangan, mereka hidup serba kepayahan kala orang kaya dalam dakapan kesenangan dan mereka banyak berkorban kala si kaya menikmati pelbagai kelebihan. Kita ambil contoh dalam majlis kenduri sahaja sudah memadai, siapakah dianggap VIP,si miskin atau si kaya?

Justeru, itulah senarionya di dunia ini. Si kaya hidup mereka sering diulit kemewahan; si miskin digayuti kesengsaraan. Maka tidak peliklah mereka diberikan ganjaran berupa syurga oleh Allah SWT, sebagai imbalan terhadap kesabaran mereka di dunia ini. Dengan syarat mereka menjadi si fakir yang taat dan si miskin yang ahli ibadat. Jika mereka taat, sabar dan kuat imannya, percayalah, mereka akan memasuki syurga Allah SWT 500 tahun lebih awal* berbanding dengan orang-orang kaya di dunia ini yang pasti sahaja banyak hisabnya di akhirat sana, (mafhum hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a). Wallahua’lam.

UMAT ISLAM WAJIB BAYAR ZAKAT PENDAPATAN SELAIN DARIPADA GAJI

0

Tarikh : 8/20/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 4 Ogos 2010 – Umat Islam di negeri Selangor yang mempunyai pendapatan selain daripada gaji diwajibkan membayar zakat ke atas pendapatan tersebut. Ini termasuklah hasil sewa rumah, royalti, wang pencen, gratuiti serta honorarium. Ia juga juga meliputi bayaran yang diterima daripada hasil kerja profesional dan bebas, seperti bayaran perkhidmatan konsultansi profesional, komisyen dan juga pendapatan tidak tetap seperti jualan insuran, unit amanah, jualan langsung dan sebagainya.

Sebelum ini kebanyakkan orang ramai hanya membayar zakat ke atas gaji sahaja kerana mereka tidak didedahkan dengan perkara ini. Sehubungan itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mempromosikan zakat pendapatan dalam konteks yang lebih luas melalui pelancaran Zakat Pendapatan dengan motto ‘Pelbagai lagi selain gaji’.

Zakat Pendapatan telah difatwakan wajib di Selangor pada tahun 2002 dan lebih tertumpu kepada zakat penggajian. Pada ketika itu, ia diterima baik oleh pekerja Islam di negeri ini dengan jumlah kutipannya meningkat dari tahun ke tahun. Dengan pelancaran ini, ia dilihat sebagai satu anjakan baru dalam konteks zakat pendapatan dan mampu mengubah kefahaman umat Islam, bahawa ia bukan sekadar zakat gaji semata-mata.

Sepanjang tahun 2009 zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi daripada keseluruhan kutipan zakat, iaitu sebanyak RM153.9 juta, 54.1 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat di Selangor yang berjumlah RM284 juta. Manakala, dari segi jumlah pembayar seramai 129,715 orang membayar zakat pendapatan pada tahun lepas daripada keseluruhan pembayar yang berjumlah 155,217 orang.Pada tahun ini LZS mensasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM300 juta dengan sasaran dalam segmen zakat pendapatan sebanyak RM155. 6 juta.

Majlis pelancaran hari ini disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail. Turut hadir Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

Berita Terkini