Utama Blog Halaman 141

ZAKAT SEBAGAI BANTU LONCATAN

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam Islam, zakat adalah instrumen ekonomi dan sosial sekaligus. Ia bukan sekadar berperanan sebagai pemacu dan indikator ekonomi; tetapi sekaligus mampu menyeimbangkan keadilan social ummah. Atas premis itulah, zakat kekal berperanan sebagai elemen penting dalam kehidupan umat Islam sampai bila-bila.

Di Malaysia, kutipan zakat sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Berdasarkan statistik pada tahun 2009, di Selangor sahaja misalnya, kutipan zakat telah mencecah RM283.6 juta. Kutipan kedua tertinggi pula ialah di Wilayah Persekutuan (RM248.8 juta) diikuti kutipan di Johor sebanyak RM109.2 juta. Keseluruhan kutipan zakat di Malaysia adalah sebanyak RM1,196,871,798.60 pada tahun lalu.

Secara nalar, kutipan yang tinggi membolehkan pelbagai perancangan dilakukan untuk memperkasakan asnaf. Daripada lapan asnaf zakat itu pula, asnaf fakir dan miskin mestilah menjadi prioriti. Polisi ini sejajar dengan saranan Islam, justeru fakir dan miskin sememangnya asnaf muqaddam (awal) sebagaimana tertera di dalam ayat 60 surah at-Taubah. Di sisi amalan nabi, baginda juga mengutamakan golongan ini.

Sabda nabi: “Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan,” (sebahagian hadis riwayat Bukhari)

Dengan keutamaan inilah, asnaf fakir dan miskin mempunyai hak yang lebih keatas dana zakat. Wang dan dana zakat hendaklah diberikan keutamaan untuk membangunkan asnaf fakir dan miskin terlebih dahulu, berbanding asnaf-asnaf yang lain.

Di Malaysia, amalan zakat secara umumnya bertambah baik. Ditokok dengan usaha pemerkasaan institusi zakat, misalnya menerusi pengkorporatan institusi zakat dan juga penggubalan enakmen dan akta yang bersesuaian (contohnya akta cukai yang membenarkan rebat daripada pembayaran zakat), maka umat Islam berpeluang lebih luas untuk menjadikan zakat sebagai batu loncatan memajukan potensi umat Islam.

Dalam hal ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah melakukan transformasi hampir menyeluruh ke atas operasi zakat yang melibatkan aspek kutipan dan agihan. Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari.

Dalam aspek agihan zakat pula, dua asnaf utama iaitu fakir dan miskin telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk merubah keadaan diri mereka. Menerusi mekanisme program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan penjanaan modal insan, maka para asnaf fakir dan miskin ini telah dibekalkan ‘modal’ yang cukup untuk mentransformasikan diri mereka sendiri dengan lebih efektif.

Menerusi Program Pembangunan Pendidikan misalnya, anak-anak asnaf diberikan kemudahan meluas demi memastikan mereka mampu mencipta kecemerlangan yang konsisten. Aspek pendidikan diberikan keutamaan, kerana ia menjadi aset kekal kepada asnaf.

Penjanaan dana pendidikan itu pula, meliputi aspek seperti penyediaan yuran, wang saku, kelas tambahan, penyediaan peralatan persekolahan sehinggalah kepada mengikuti pelbagai kursus motivasi dan pembelajaran. Ia bermula, seawal dari tahap pra sekolah sehinggalah ke universiti, di dalam dan luar negeri.

Untuk golongan dewasa pula, mereka turut didedahkan kepada pelbagai kursus seperti kemahiran keibubapaan dan juga kekeluargaan. Ia menjadi pemangkin untuk menggembur modal insan mereka dan memugar kembali semangat yang pudar, agar mampu menjadi ibu bapa yang berpotensi memajukan keluarga.

Solat misalnya diperelokkan, menerusi tahsinul ibadah di samping upaya mendekatkan diri kepada al-Quran menerusi tahsinul qiraah. Semua ini dilaksanakan di bawah pakej penjanaan sosial dan pembangunan insane.

Begitu juga dalam aspek penjanaan ekonomi asnaf, institusi zakat cuba sedaya mungkin menyediakan dana yang optimum. Mereka yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi akan digilap. Modal diberi dan perniagaan akan dipantau rapi, demi membolehkan para asnaf fakir dan miskin ini memula dan menjalankan perniagaan dengan yakin. Kini, sudah ramai mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat pula.

Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, zakat bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda. Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap kepada usaha mereka sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

Oleh itu, dalam konteks semasa, bekerja dan berusaha dalam Islam adalah suatu yang fundemental. Bekerja misalnya, adalah punca kepada pendapatan, yang dengannya mampu menjadikan umat Islam dapat hidup sejahtera. Bahkan berkerja memungkinkan seseorang menjadi kaya sehingga mampu pula mengeluarkan zakat ke atas harta kekayaannya.

Pernah nabi memerintahkan seorang pemuda ansar agar berkerja dan tidak sekadar meminta-minta. Anas bin Malik r.a meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah SAW. Pemuda berkenaan telah mendatangi Rasulullah dengan tujuan mahu meminta sedikit makanan. Namun Nabi SAW tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual.

Lantas pemuda Ansar itu menyatakan: “ (Ya) ada, (iaitu) pakaian yang kasar, (yang) setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami (gunakan untuk) meminum air dengannya.”

Nabi SAW seterusnya meminta agar pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu. Pemuda itu pun pulang dan kemudian datang kembali. Kemudian, Rasulullah SAW segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya. Lalu, seorang lelaki yang berada di situ telah membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham.

Daripada dua dirham itu pula, nabi telah menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi SAW agar pemuda itu membeli sebilah kapak. Rasulullah SAW berpesan: “Beli makanan satu dirham dan segera kembali (ke rumahmu) dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari.”

Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu nabi bersama sebilah kapak. Kemudian Baginda SAW segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: “Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi (menemuiku) selepas lima belas hari.”

Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi Muhammad SAW. Diberitakan, selepas lima belas hari berlalu, dia telah datang menemui Rasulullah SAW dan pada kali ini di tangannya tergenggam sepuluh dirham hasil jualan kayunya. Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya. Lalu sabda Nabi SAW menuntaskan: “Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti.” (Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam)

Inilah kaedah Islam. Oleh itu, mereka yang terjebak ke dalam kancah kemiskinan sama sekali tidak boleh pasrah dan reda selama-lama dengan keadaan dirinya tanpa usaha merubah keadaan. Mereka hendaklah menjadikan bantuan zakat sebagai batu loncatan untuk merubah masa hadapan.

Sebenarnya, inilah peranan dan fungsi zakat. Amat malang jika ada fakir dan miskin yang terus-menerus menggantungkan harapan kepada bantuan zakat semata-mata. Ia adalah suatu sifat pesimis yang ditegah di dalam Islam, kerana Islam itu sendiri progresif dan pro-aktif sifatnya. Wallahua’lam.

MAKLUM BALAS: ’10 TAHUN RUMAH BERBUMBUNG BOCOR ‘ ZAKAT BANTU JIKA TEPATI SYARAT

0

Tarikh : 9/22/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 21 September 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘10 Tahun Diami Rumah Berbumbung Bocor’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 20 September 2010.

Menurut laporan akhbar berkenaan rumah Seri Maryuni yang didiami sejak sepuluh tahun lalu tidak pernah dibaik pulih akibat kekangan kewangan. Malah rumah mereka juga akan ditenggelami air dan mengambil masa berhari-hari untuk surut setiap kali banjir melanda.

LZS prihatin dengan masalah rumah yang didiami oleh Seri Maryuni yang uzur dan memerlukan bantuan untuk dibaikpulih lebih-lebih lagi beliau merupakan asnaf miskin sejak tahun 2009 lagi. Namun begitu, beliau tidak pernah mengajukan masalah ini kepada LZS.

Namun, LZS memerlukan kerjasama Seri Muryani agar membuat permohonan untuk bantuan baikpulih rumahnya di cawangan LZS berhampiran bagi membolehkan pihak LZS membuat tindakan selanjutnya.

Pihak LZS juga sedia mempertimbangkan bantuan lain yang diperlukan oleh keluarga Seri Muryani seperti bantuan kewangan bulanan dan tambang pengangkutan anak ke sekolah jika menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

LZS sentiasa membantu asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menghadapi masalah tempat tinggal samada dengan membina rumah baru mahupun baikpulih rumah. Walaubagaimanapun, bantuan hanya akan dipertimbangkan jika menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Selain bantuan bina dan baik pulih rumah, LZS turut menyediakan rumah berkelompok dan pangsapuri untuk asnaf fakir dan miskin yang tidak mempunyai tempat tinggal.

LZS PERJELAS ISU ‘RAYU BANTUAN DISAMBUNG SEMULA’

0

Tarikh : 9/22/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 21 September 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Rayu bantuan LZS disambung semula’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 17 September 2010.

Menurut laporan akhbar berkenaan seorang ibu tunggal, Chan Bee K Mohd Ibrahim kesal kerana bantuan yang diterima daripada LZS ditarik balik sejak dua tahun yang lalu.

Untuk makluman, mengikut rekod LZS didapati bantuan kepada Chan Bee telah diberhentikan bermula pada tahun 2010. Sebelum ini, beliau telah menerima pelbagai bantuan daripada LZS bermula tahun 2004 sehinggalah tahun 2009.

Namun, melalui bancian yang dilakukan baru-baru ini didapati beliau tidak layak menerima bantuan sebagai asnaf fakir atau miskin. Ini kerana berdasarkan pengiraan had al-kifayah (kadar minima kecukupan menentukan asnaf fakir dan miskin) didapati beliau mempunyai pendapatan bulanan yang mencukupi untuk menyara dirinya dan dua orang anaknya.

Walau bagaimanapun, LZS masih boleh menimbangkan permohonan bantuan lain yang bersesuaian untuk Chan Bee, seperti bantuan persekolahan untuk anak beliau.

MAKLUM BALAS: LZS PERJELAS ISU ‘RAYU BANTUAN DISAMBUNG SEMULA’

0

Tarikh : 9/23/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 21 September 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Rayu bantuan disambung’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 19 September 2010.

Menurut laporan akhbar berkenaan seorang ibu tunggal, Normah Samad yang sebelum ini menerima bantuan zakat sebagai asnaf miskin merayu agar bantuan zakat yang yang diterima sejak dua tahun yang lalu dapat disambung semula.

Mengikut rekod LZS didapati Normah Samad merupakan asnaf miskin dan telah menerima pelbagai bantuan zakat bermula tahun 2007 sehinggalah awal tahun ini termasuk bantuan hari raya dan bantuan persekolahan anak.

LZS tidak pernah memberhentikan bantuan kepada Normah kecuali bantuan kewangan bulanan kerana beliau tidak menepati syarat yang telah ditetapkan.

Namun, beliau boleh memohon bantuan lain seperti bantuan sewa rumah rumah berjumlah RM430 sebulan dan bantuan persekolahan untuk anak-anaknya di cawangan LZS berhampiran. LZS berharap dengan bantuan ini dapat meringankan bebanan beliau sekeluarga.

MAKLUM BALAS: LZS BANTU ZULHAZMI RM5,000

0

Shah Alam, 1 September 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Jeritan Adik Selamatkan Nenek’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 31 Ogos 2010.

Menurut laporan berkenaan, keluarga Zulhazmi telah mengalami musibah apabila rumah beliau musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 30 Ogos baru-baru ini.

LZS amat prihatin dengan bencana yang menimpa Zulhazmi dan bertindak segera dengan menghantar Pegawai Agihan LZS melawat ke rumah beliau pada 30 Ogos lalu. Hasil siasatan, didapati beliau layak menerima bantuan zakat sebanyak RM5,000, di mana sebanyak RM500 telah disampaikan kepada beliau pada hari tersebut, manakala selebihnya akan disampaikan dalam tempoh terdekat.

LZS berharap dengan bantuan yang akan diberikan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Zulhazmi dan keluarganya lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri tidak berapa lama lagi.

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT PROTON RM3.4 JUTA

0

Tarikh : 8/9/2010
Penulis : editor

KLANG, 29 Ogos 2010 – Proton Holdings Berhad (Proton) hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,393,745.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Proton yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2009 kepada DYMM Sultan Selangor bersempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid an-Naim, Batu 7, Jalan Kebun di sini.

Pada majlis ini, DYMM Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 210 orang fakir dan miskin, 98 orang anak-anak yatim serta 94 orang saudara baru. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamed Adzib Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

INDAHNYA ZAKAT APABILA DIHAYATI

0

Tarikh : 8/25/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Prolog

“Ayah nak kemana ni?” Satu suara halus bertanya. “Ke surau nak. ” “Ayah, adik nak ikut…” sambil memakai songkok dan berbaju melayu labuh, terkedek-kedek si anak berlari mendapatkan si ayah yang sudah sedia memegang basikal tua. Dengan cepat si anak naik dan duduk di galang basikal lalu mereka menuju ke surau. Di surau, kelihatan si ayah membawa seuncang beras. Seorang pak haji sedang menunggu dengan tersenyum. Lalu si anak bertanya lagi… “Beras ni nak buat apa ayah?” “Ini untuk zakat kita tahun ini nak…”

Demikianlah sedikit sedutan iklan di televisyen yang pernah disiarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu. Keharmonian amat terasa, dengan berlatar belakangkan sebuah desa, sawah padi menghijau, berbasikal tua meniti di batas-batas bendang dan pak aji yang senyum manis menanti di surau, lalu zakat dijadikan tema iklan raya tersebut. Intipatinya hanya satu, menjadikan hari raya medan berkongsi kegembiraan antara si kaya dan miskin yang kelaparan.

Zakat dan Kewajipan

Zakat adalah rukun Islam ketiga. Kedudukannya di tempat ketiga ini dan sering digandingkan oleh Allah SWT dengan arahan mendirikan solat, telah dengan sendirinya menggambarkan status hukum dan kepentingan zakat.

Di samping itu, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Ia termasuk dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah SWT yang banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek aqidah. Banyak dalil naqli (dalil Al-Quran dan Al-Hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56:

“Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berikanlah zakat”

Nabi Muhammad SAW juga pernah menyatakan kepada Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman sebagai gabenor akan kepentingan zakat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

“Engkau hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan sedekah (zakat), yang dikenakan terhadap kekayaan orang kaya di kalangan mereka.”

Falsafah Zakat

Falsafahnya mudah, zakat adalah satu perkongsian. Mengambil harta dari kalangan kaya dan berada untuk diberikan kepada yang miskin, melarat dan melata dan mereka yang memerlukan. Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam. Semakin kaya sesebuah masyarakat, semakin meningkat kutipan zakat. Semakin meningkat kutipan zakat menjadikan semakin terbela asnaf-asnaf zakat.

Inilah cantiknya hukum dan syariat zakat ini, sehinggakan di dalam lipatan sejarah ia amat berkesan semasa perlaksanaannya pada zaman Rasulullah. Apatah lagi zakat adalah amalan baik yang berkesinambungan dari apa yang telah diamalkan sebelum turunnya Islam. Sifat-sifat mulia seperti belas ihsan, prihatin dan suka bersedekah telah difardukan akhirnya. Maka, oleh kerana ia sememangnya satu amalan mulia yang tidak bercanggah langsung dengan fitrah manusia, tidak pernah terdengar sedikit pun suara yang membantah dan mengingkari kewajipannya setelah ia diangkat oleh Allah SWT sebagai amalan wajib. Bahkan pada zaman itu, zakat telah menjadi item utama sumber pendapatan negara Madinah Al-Munawwarah demi menjana pembangunan ummah.

Definisi Zakat

Apakah zakat? Dalam Bahasa Arab, zakat ialah kata nama dasar (ism masdar) dari kata fi’il (perbuatan) zaka. Zaka dari aspek bahasa ialah suci, bersih, subur, tumbuh, berkembang, berkat dan terpuji. Oleh itu kita boleh mengqiaskan, harta yang dizakatkan itu sebenarnya akan menjadikan harta si pemilik itu bersih, makin subur dan dapat terus berkembang. Manakala orang yang berzakat juga akan dikurniakan Allah SWT dengan sifat terpuji dan limpahan keberkatan di dalam kehidupannya. Sebab itulah Nabi pernah mengingatkan kepada kita semua: “Jika engkau telah tunaikan zakat hartamu, maka engkau telah menghindari kejahatannya daripadamu.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim) dan juga sebuah hadis lain: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan zakat sebagai pensuci kepada harta.” (Riwayat Al-Bukhari).

Manakala, zakat dari aspek istilahiah atau kehendak syariat Islam ialah, harta-harta yang tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diagihkan pula kepada asnaf-asnaf tertentu. Seterusnya, apakah harta-harta-tertentu itu? Apa pula syarat-syarat yang tertentu dan siapakah pula asnaf-asnaf tertentu itu?

Harta-harta tertentu itu ialah seperti apa yang telah sabit di dalam nas naqli seperti emas, perak, hasil pertanian, penternakan, harta rikaz (yang tertanam di dalam perut bumi) dan juga harta-harta berkembang yang lain seperti zakat pendapatan atau gaji seperti royalti, pencen, bonus, zakat saham, zakat wang simpanan termasuklah di Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga zakat perniagaan.

Manakala syarat-syarat tertentu yang mewajibkan zakat itu ialah:

Islam – tidak wajib zakat bagi non-muslim
Merdeka – zakat tidak tertakluk kepada hamba yang dimiliki oleh tuannya
Sempurna milik – zakat hanya tunduk kepada harta yang 100% menjadi milik individu sama ada zat (fizikal) mahu pun manfaatnya
Cukup nisab – zakat hanya dikeluarkan apabila harta itu mencapai paras minimum kadar wajib zakat yang bersamaan harga 85 gram emas pada harga semasa
Cukup haul – zakat hanya dikenakan pada harta yang telah cukup tempoh setahun sama ada tahun Masehi (qamariah) ataupun hijri (syamsiah)

Jika zakat perniagaan, syarat-syarat tambahan lain ialah, harta itu hendaklah diniatkan sebagai barang perniagaan, harta yang diniagakan itu pula adalah halal di sisi syariat dan perlaksanaan perniagaannya juga hendaklah mengikut syariat Islam.

Siapakah golongan tertentu yang berhak menerima zakat atau asnaf-asnaf tertentu itu? Golongan ini sebenarnya terdiri dari lapan jenis golongan yang secara spesifik telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, firman-Nya di dalam surah At-Taubah, ayat 60:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk tujuan di jalan Allah (fisabilillah), orang musafir yang (keputusan belanja) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Pembahagian zakat

Bagi memudahkan umat Islam, ulama’ fikah telah membahagikan zakat itu kepada dua, iaitu zakat fitrah (zakat badan) dan zakat mal (zakat harta). Zakat fitrah adalah seperti apa yang telah digambarkan di dalam iklan raya di atas. Ia diwajibkan di dalam bulan Ramadhan dan wajib ditunaikan sebelum solat hari raya Aidilfitri. Hukumnya wajib kepada setiap individu muslim walaupun dia seorang hamba, dengan syarat mereka hidup pada bulan Ramadhan hingga masuk 1 Syawal.

Kewajipan mengeluarkannya adalah terletak kepada diri sendiri, wali atau ketua keluarga berkenaan. Ia dikeluarkan untuk setiap individu berdasarkan kepada 1 gantang Baghdad yang bersamaan 2.70 kg makanan ruji sesebuah tempat. Dari Ibnu Abbas r.a., berkata: “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan yang kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin. Kerana itu, sesiapa mengeluarkannya selepas solat (Aidilfitri), maka ia merupakan salah satu sedekah dari sedekah-sedekah biasa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Manakala bagi zakat mal, ia adalah tertakluk kepada harta-harta tertentu. Zakat mal ini pula tidak diwajibkan kepada hamba, seperti mana zakat fitrah. Dari aspek kekayaan, zakat mal atau harta inilah yang mewakili status kekayaan umat Islam, kerana ia digambarkan kepada ketinggian kutipan zakat di sesuatu tempat. Seperti dinyatakan, semakin tinggi kutipan zakat, bermakna semakin tinggilah taraf sosio-ekonomi rakyat dan semakin melebarlah manfaat zakat kepada lapan asnaf yang memerlukan. Semua ini menjadi indikator kepada keseimbangan sosio-ekonomi, kestabilan politik dan seterusnya kemakmuran negara umat Islam.

Kesimpulan

Pada tahap awal perbincangan ini, diharapkan para pembaca telah mendapat kefahaman awal tentang zakat. Dalil kewajipannya, status zakat dalam rukun Islam, falsafah zakat, definisi zakat dan pembahagiannya. Semua ini akan memudahkan masyarakat untuk memamahi takah seterusnya, kenapakah zakat perlu diangkat kembali menjadi agenda penting ummah. Ini termasuklah isu-isu kontemporari zakat seperti penglibatan sektor kewangan lain dalam institusi zakat, penguatkuasaan undang-undang zakat dan sebagainya lagi. Insya-Allah, dengan kefahaman yang jelas ini akan memudahkan kita mempelajari zakat, satu rukun Islam yang manfaatnya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang Islam di dunia ini. Wallahua’lam.

* Sebagai contoh, kadar zakat fitrah dikira seperti berikut: sekilo beras berharga RM2.50 maka didarab dengan 2.70 kg = RM6.75. Maka ditetapkan kadar bagi setiap orang itu zakat fitrahnya ialah RM6.75. Ia berubah-ubah dari tahun ke tahun.

LZS LANCAR TUNAI FITRAH MENERUSI ‘ONEPAY’

0

Tarikh : 8/24/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 24 Ogos 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan pembayaran zakat fitrah menerusi penggunaan mesin Terminal Onepay. Perkhidmatan ini adalah yang pertama seumpamanya ditawarkan kepada umat Islam di negara ini.

Terminal mesin OnePay yang diuruskan oleh Mobility One Sdn Bhd telah dilantik sebagai ejen kutipan LZS pada tahun 2008. Sebelum ini, ia hanya mengutip zakat harta dengan menggunakan kad debit atau kad ATM sebagai perantara pembayaran.

Bermula tahun 2010, LZS telah memperluaskan perkhidmatannya kepada pembayaran fitrah. LZS adalah institusi pertama yang telah membuka jalan kepada pihak Mobilty One menyediakan perkhidmatan alternatif ini.

Kini terdapat 32 terminal mesin OnePay di stesen minyak Petronas di seluruh Selangor, lima terminal di Restoran Nasi Kandar Pelita di Selangor dan lima terminal di kaunter LZS sendiri.

Dengan mengaplikasikan konsep layan diri, pengguna hanya perlu menggunakan kad debit atau kad ATM mereka di terminal ini yang telah disertakan sekali dengan manual penggunaan. Resit rasmi akan diposkan LZS kepada pembayar dalam tempoh 14 hari bekerja.

Majlis pelancaran disempurnakan Oleh Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor. Turut hadir ialah Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

Berita Terkini