Utama Blog Halaman 127

70 ORANG ASNAF MAMPU MEMBACA DALAM PROGRAM LITERASI

0

SELAYANG, 4 Jun 2011 – Seramai 70 orang anak asnaf yang mempunyai masalah literasi telah dikumpulkan di Sekolah KAFA, Masjid Kg. Nakhoda dalam Program JOMBaca anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM).

Program tersebut diadakan selama 30 hari bermula 21 April 2011 hingga 3 Jun 2011, pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat, dari jam 8.00 hingga 10.00 malam. Anak-anak asnaf ini dibimbing secara konsisten oleh lapan orang guru yang diberikan latihan khas oleh GPM sehingga anak-anak asnaf berkenaan mampu mengenal huruf dan membaca.

Majlis perasmian penutupan program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen LZS mendepani keperluan anak-anak didik asnaf agar menjadi generasi kedua asnaf yang lebih kompeten dengan pembudayaan ilmu yang lebih baik.

Hasil program ini juga mendapati, daripada 70 orang pelajar yang mengikuti program ini, 90 peratus daripada mereka sudah pun mampu membaca apa sahaja bahan dengan baik. Hanya ada kira-kira empat peratus sahaja lagi yang masih gagal membaca dengan lancar dan memerlukan bimbingan lanjut.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pengurus Besar Akademi Zakat Selangor, Dr. Hajah Ruziah Ghazali dan Pengarah Urusan GPM, Rumaizah Ali.

1,921 ANAK-ANAK ASNAF SAMBUNG PENGAJIAN DI IPT

0

SHAH ALAM, 1 Jun 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu seramai 1,921 orang anak-anak asnaf di peringkat pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.

Daripada jumlah itu, seramai 196 pelajar di peringkat sijil, 33 pelajar di peringkat matrikulasi, 27 pelajar di peringkat asasi, 1,054 pelajar di peringkat diploma dan 611 orang di peringkat ijazah sarjana muda.

LZS amat bersyukur  dengan pencapaian anak-anak ini dan membuktikan bahawa dengan adanya bantuan zakat mereka yang kurang berada juga mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

AL-FATIHAH, SEMBAH TAKZIAH ATAS KEMANGKATAN PADUKA BONDA DYMM SULTAN SELANGOR

0

Merafak sembah takziah kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas kemangkatan Paduka Bonda Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah ke rahmatullah kira-kira jam 9 pagi semalam.
Takziah juga kepada seluruh kaum kerabat dan keluarga diraja Selangor serta rakyat Selangor amnya atas berita yang menyedihkan ini.
Pengerusi, Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan warga kerja Lembaga Zakat Selangor mendoakan agar Baginda Sultan dan kerabatnya terus tabah dan juga semoga urusan-urusan yang mendatang akan dipermudahkan hendaknya.
Semoga roh almarhumah dirahmati dan diberkati serta di tempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah

BIMB TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM640 RIBU

0

KUALA LUMPUR, 1 Jun 2011 – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyempurnakan pembayaran zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM640 ribu dalam satu majlis di sini semalam.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada RM11,588,188 juta zakat perniagaan keseluruhan BIMB bagi tahun berakhir 2010 yang turut ditunaikan kepada semua Majlis Agama Islam dan Pusat Zakat Negeri lain.

Majlis pembayaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan BIMB, Dato’ Zukri Samat dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar General Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B)

RM72.6 JUTA ZAKAT DIAGIH SEPANJANG JANUARI – APRIL 2011

0

SHAH ALAM – Sehingga April 2011, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan zakat sebanyak RM72.6 juta meliputi lima program pembangunan yang telah disusun iaitu Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan Insan, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Ekonomi dan Program Pembangunan Institusi Agama.

Ia melibatkan sebanyak RM7.8 juta untuk asnaf fakir, RM11.6 juta (asnaf miskin), RM3.7 juta (asnaf mualaf), RM10.7 juta (asnaf amil), RM29.9 juta (asnaf fisabilillah), RM7.8 juta (asnaf gharimin), asnaf riqab (RM786 ribu) dan asnaf ibnu sabil (RM419 ribu).

Daripada aspek kutipan pula, sebanyak RM82.4 juta zakat telah berjaya dikutip sepanjang Januari hingga April dengan jumlah pembayar zakat seramai 124,261 orang

RM46.95 JUTA ZAKAT DISALUR BANTU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN UMMAH

0

SHAH ALAM, 31 MEI 2011– Sebanyak RM46.95 juta bantuan zakat disalurkan bagi membantu pembangunan  pendidikan ummah di  Selangor  yang disampaikan kepada 12 penerima di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, RM4,054,421 juta disalurkan untuk skim pinjaman buku teks sekolah rendah agama, RM26 juta disalurkan untuk menambah dana bayaran gaji guru-guru KAFA di Selangor, RM12.5 juta disalurkan bagi sumbangan dermasiswa pelajar luar negara (Mesir, Jordan dan Morocco), RM997,807 disalurkan untuk bayaran gaji guru tahfiz di MITS dan RM901,020 disalurkan untuk dermasiswa galakan PSRA/SMA & STAM.

Selain itu, bantuan turut disalurkan untuk pembinaan dan penambah bangunan sekolah. Sekolah yang menerima bantuan ialah pra sekolah JAIS Kuala Selangor berjumlah RM464,268.48 untuk pembinaan sekolah baru, Sekolah Rendah Agama Batu Arang Gombak yang menerima bantuan sebanyak RM336,633.00 untuk pembinaan tiga bilik darjah tambahan dan Sekolah Rendah Agama Kg. Medan Kuala Langat untuk pembinaan bangunan kantin berjumlah RM331,480.00.

Turut menerima bantuan ialah Sekolah Rendah Agama Kg.Jawa Klang untuk pembinaan surau berjumlah RM296,418.50 serta Sekolah Agama Tok Muda Klang untuk pembinaan bangunan kantin dan PRA Sekolah JAIS Tok Muda Klang untuk pembinaan tandas berjumlah RM236,119.36. Bantuan zakat turut disalurkan bagi dermasiswa pelajar cemerlang berjumlah RM19 ribu.

Semua bantuan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim kepada semua wakil penerima semasa majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di sini hari ini.

60 PENGHUNI BAITUL HASANAH DIPERKASA DI PERKHEMAHAN JATI DIRI

0

HULU SELANGOR, 29 Mei 2011 – Seramai 60 orang pelajar anak-anak asnaf yang mendiami Asrama Baitul Hasanah telah dibawa mengikuti Program Perkhemahan Jati Diri 2011 di Kem Lembah Genting, Hulu Selangor. Kem berkenaan diadakan khusus untuk menjana potensi diri anak-anak asnaf yang diharap mampu membawa perubahan pada diri mereka sebagai pelajar dan mencipta kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.

Program ini telah berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 Mei 2011 yang melibatkan dua buah Asrama Baitul Hasanah iaitu Asrama Baitul Hasanah Kuala Kubu Bharu seramai 26 peserta dan Asrama Baitul Hasanah Kuala Selangor seramai 34 peserta.

Hingga kini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempunyai tiga buah Asrama Baitul Hasanah dan yang terbesar adalah di Kg. Perepat, Klang yang mampu menampung sehingga kira-kira 300 orang penghuni dalam satu masa. Asrama ini diwujudkan dengan matlamat menempatkan anak-anak asnaf demi membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada mereka.

Perasmian penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS SUMBANG DANA NGO ISLAM LEBIH RM658 RIBU

0

SHAH ALAM, 28 Mei 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini terus komited mendanai aktiviti Islam di Selangor, dengan penyerahan bantuan zakat sebanyak RM658,270.00 kepada 49 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di negeri ini. Majlis diadakan di sebuah hotel di Shah Alam dengan kehadiran tetamu utama,Hj. Marzuki bin Hussin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Penyerahan dana ini adalah sebahagian daripada usaha LZS untuk menyemarakkan dakwah dan syiar Islam di Selangor. LZS memperuntukkan dana yang besar saban tahun di bawah Program Pembangunan Insan dengan memfokuskan kepada pelbagai pendekatan, antaranya berkerjasama erat dengan badan dakwah dan NGO Islam yang bergerak aktif mempromosikan Islam kepada masyarakat.

Pada kali ini, dana di antara RM10 ribu hingga RM20 ribu telah disalurkan kepada 49 NGO berkenaan. Antara NGO Islam yang menerima bantuan dana ialah ABIM Selangor, JIM dan Persatuan Pengguna Islam Selangor. NGO Saudara Kita (mualaf) juga turut mendapat dana yang besar bagi memperkasakan dakwah kepada kalangan Saudara Kita, iaitu MACMA, PERKIM Selangor dan Al-Hidayah (India Muslim). Badan Dakwah Daerah JAIS di sembilan buah daerah turut menerima dana sebanyak RM30 ribu bagi setiap daerah.

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS,  Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof

Berita Terkini