KLANG, 22 November 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat berjumlah RM20,058,447.49 yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu upacara di Istana Alam Shah, Klang.

UMW Holdings Berhad yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Fuaad Mohd Kenali menyerahkan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM4,293,859.00. Ia diikuti oleh Tenaga Nasional Berhad yang mewakilkan Pengerusi, Dato’ Sri Hassan Ariffin menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM3,933,133.49.

Manakala bagi Gas Malaysia Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM3,500,000.00, diikuti Pharmaniaga Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2021 berjumlah RM3,500,000.00 dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad diwakili oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Tan Sri Noh Omar menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2,077,455.00.

Sementara itu, Northport (Malaysia) Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM1,954,000.00. Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Lembaga Juruukur Tanah Malaysia berjumlah RM1,000,000.00 diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sr. Ismail Harun bagi tahun kewangan 2021.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.