Utama Blog Halaman 75

10 USAHAWAN ASNAF TERIMA MOTOR RODA TIGA

0
SEKINCHAN, 12 April 2014 – Inovasi pengagihan zakat diperluaskan dengan projek perintis program usahawan motor roda tiga apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui MAIS Zakat Sdn Bhd menyalurkan bantuan zakat bernilai RM168,000.00 kepada 10 orang usahawan asnaf fakir dan miskin di sini hari ini.

Setiap seorang asnaf akan menerima motor roda tiga yang bernilai RM16,800.00 sebuah, selain modal pusingan dan kelengkapan perniagaan. Bantuan ini merupakan peruntukan zakat yang disalurkan di bawah Program Pembangunan Ekonomi.

Mereka yang menerima bantuan hari ini, terdiri daripada penjaja atau peniaga menjalankan perniagaan berskala kecil di mana kebiasaannya berniaga di tepi-tepi jalan mahupun pasar malam. Setelah melalui proses saringan, hanya asnaf fakir dan miskin yang berpotensi dan memenuhi syarat-syarat layak menerima bantuan tersebut. Dengan adanya bantuan ini, memberi kemudahan untuk usahawan asnaf mengembangkan lagi aktiviti perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Bantuan ini diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Awaluddin Zakaria, Pegawai Belia Masyarakat Daerah Kuala Selangor Razali Abdul Mayas dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.

125 ANAK ASNAF SERTAI KURSUS PEMANTAPAN DIRI

0

SABAK BERNAM, 7 April – Seramai 125 orang anak asnaf fakir dan miskin menyertai Kursus Pemantapan Diri (KPD) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di Hay Resort Sabak Bernam baru-baru ini.

Kursus ini dirangka sebagai program pembangunan bagi anak-anak asnaf terdiri daripada pelajar tingkatan empat yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melalui kursus tiga hari berkenaan, para pelajar didedahkan dengan motivasi, sahsiah diri, ilmu kerohanian dan pemantapan diri untuk persediaan peperiksaan.

Pelajar yang berpotensi seterusnya akan dikenal pasti untuk menyertai Kursus Cemerlang Diri (KCP) sewaktu di tingkatan lima nanti. Pada peringkat ini, para pelajar akan diberi penekanan dalam bidang akademik dan didedahkan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan. Seterusnya para pelajar akan dipilih untuk menyertai program Skor A, di mana fokus diberikan kepada para pelajar yang berpotensi untuk cemerlang dalam peperiksaan.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM20.5 JUTA

0

SHAH ALAM, 4 April 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM20,455,915.27 dari Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Kumpulan DRB Hicom yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini.

LTH diwakili Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Paduka Ismee Ismail menyerahkan cek zakat perniagaan untuk negeri Selangor berjumlah RM12,455,914.88. Manakala, DRB Hicom yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khamil Jamil menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM8.000,000.39. Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS DI KONGRES USAHAWAN MUDA BUMIPUTERA 2014

0

SHAH ALAM, 31 Mac 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyebarkan lagi dakwah zakat dengan menyertai pameran bersempena Kongres Usahawan Muda Bumiputera 2014 yang bermula pada 27 Mac sehingga 29 Mac bertempat di Matrade Exhibition Centre (MECC), Kuala Lumpur.

Selain itu, pelbagai perkhidmatan disediakan termasuklah penerangan, taksiran, edaran risalah dan cabutan bertuah, sebagai inisiatif untuk meningkatkan lebih ramai pembayar baru di samping menerapkan dakwah zakat kepada masyarakat.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, manakala Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Hj Abdul Razak akan menutup kongres pada 29 Mac lalu.

2,589 PELAJAR ASNAF DAN FAKIR BERPELUANG SAMBUNG PELAJARAN

0

SHAH ALAM, 1 April 2014 – Seramai 2,589 orang pelajar asnaf fakir dan miskin yang menerima keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini, berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui bantuan pendidikan yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mereka boleh menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S), Institusi Latihan Kemahiran Awam/Swasta (ILKA/S), kolej matrikulasi dan pusat asasi di seluruh negara yang disenaraikan oleh LZS serta diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Bantuan zakat ini termasuklah pembiayaan yuran pengajian, yuran penginapan, wang saku serta pendahuluan persediaaan pendaftaran. Ia adalah sebagai usaha LZS untuk melahirkan generasi kedua asnaf sebagai generasi cemerlang yang mampu membawa keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sehingga kini, seramai 4,567 orang pelajar asnaf fakir dan miskin sedang menuntut di beberapa IPT di seluruh negara.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353 atau mana-mana 25 cawangan LZS di seluruh Selangor.

LIMA MANGSA RIBUT TERIMA SUMBANGAN ZAKAT

0

KLANG, 26 Mac 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Penghulu Mukim Klang menyampaikan sumbangan zakat kepada lima mangsa kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 15 Mac lalu, rumah-rumah yang terlibat telah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung sehingga menyebabkan ketirisan air di bahagian dalam.

Sumbangan zakat ini disampaikan oleh Pengurus Daerah Klang, Zulkepli Md Yatim. Ia merupakan bantuan di bawah peruntukan asnaf fisabilillah.

Semoga bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban mangsa yang terlibat.

mangsa ribut

CAWANGAN LZS KE-25 KINI DIBUKA

0

KOTA DAMANSARA, 24 Mac 2014 – Masyarakat di sekitar Kota Damansara kini dapat menunaikan ibadah zakat dengan lebih mudah, apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) membukacawangan ke-25 bertempat di Masjid Kota Damansara.

Selain menyediakan perkhidmatan taksiran dan pembayaran zakat, cawangan ini juga menyediakan perkhidmatan agihan zakat kepada penduduk setempat.

Waktu operasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi sehingga 4.45 petang. Cawangan ini turut beroperasi pada hari Sabtu minggu kedua dan keempat dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353.

REZEKI KUIH DONAT

0

Rezeki-Kuih-Donat

MENDIDIK ASNAF ZAKAT

0

Mendidik-Asnaf-Zakat

Berita Terkini