Utama Blog Halaman 66

LZS UMUM PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BAHARU

0

SHAH ALAM, 5 Februari 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan pelantikan Hussin Mohd Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 2 Februari 2015.

Beliau memegang jawatan tersebut bagi menggantikan Mohamed Izam Mohamed Yusof yang menamatkan tempoh perkhidmatannya di LZS pada 31 Januari lalu.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuklah Naib Presiden Pengurusan Bangunan dan Naib Presiden Infrastruktur, Alam Sekitar dan Konsesi di Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Ketua Pegawai Operasi di Semasa Sentral Sdn. Bhd dan Pengurus Kewangan Korporat di Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB).

Jawatan terakhir beliau, merupakan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, IBEX Holdings Sdn. Bhd. Semoga dengan pelantikan ini akan terus memperkasakan pengurusan zakat di Selangor.

Carta Organisasi

0

Lembaga Zakat Selangor merupakan sebuah institusi di bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk membuat aktiviti kutipan dan agihan zakat di negeri Selangor.

cartamais2

TM SELANGOR TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM147 RIBU

0

SHAH ALAM, 26 Januari 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad(Selangor) berjumlah RM147,047.00 bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Cek bayaran zakat tersebut diserahkan oleh Naib Presiden TM Selangor, Datuk Zaini Maatan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Hadir sama, Pengurus Sektor Perniagaan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengurus Sektor Komunikasi Korporat, Norajun Ainun Mohd Hashim.

PERMOHONAN BANTUAN UMUM PELAJARAN DIBUKA

0

SHAH ALAM, 19 Januari 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Bantuan Umum Pelajaran (BUP) khusus untuk pelajar di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah serta institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga di Selangor.

Permohonan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Pemohon yang berpendapatan di bawah RM4,000 layak untuk memohon BUP untuk anak-anak yang bersekolah di peringkat rendah dan menengah. Manakala syarat kelayakan bagi pemohon peringkat IPT ialah pendapatan ibu bapa atau penjaga hendaklah di bawah RM6,000 bagi pelajar IPT yang melanjutkan pengajian di dalam negara dan RM20,000 bagi pelajar IPT yang melanjutkan pengajian di luar negara. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Mac 2015.

Bantuan yang disalurkan di bawah asnaf fisabilillah ini, hanya boleh dimohon setahun sekali. Orang ramai yang ingin mendapatkan borang permohonan BUP, boleh mendapatkan di mana-mana cawangan LZS atau memuat turut di portal LZS iaitu www.zakatselangor.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353.

PEMENANG PERADUAN SELFIE ZAKAT DI HATI TERIMA HADIAH

0

SHAH ALAM, 13 Januari 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan para pemenang Peraduan Selfie Zakat Di Hati 2014 dalam satu majlis penyampaian hadiah yang diadakan di sini.

Nadia Rahmat diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, sementara tempat kedua dimenangi oleh Luqman Al Hakim Mohamad dan tempat ketiga pula, Nor Akmal Mohamad.

Nadia yang ditemui selepas majlis berkata, “Peraduan ini merupakan peraduan yang suka diceburi terutamanya generasi muda. Melalui pertandingan ini sedikit sebanyak saya dapat memahami pentingnya peranan berzakat dalam kehidupan.”

Peraduan Selfie Zakat di Hati 2014 berlangsung selama sebulan bermula 15 Oktober sehingga 15 November 2014 dengan mengetengahkan gambar selfie yang mempunyai nilai kreativiti keprihatinan terhadap ibadah zakat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.

LZS SERTAI MISI BANTUAN PASCA BANJIR

0

SHAH ALAM, 12 Jan 2015 – Seramai 45 orang sukarelawan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan anak syarikat serta agensi-agensi agama Islam di Selangor menyertai misi Bantuan Pasca Banjir 2015 ke Kelantan bertujuan untuk menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di Kampung Pahi dan kawasan sekitarnya.

Antara bantuan yang diagihkan termasuklah barang keperluan asas seperti pakaian, selimut, tikar, sabun serta makanan seperti beras, minyak, gula, biskut dan sebagainya. Turut disumbangkan dalam misi tersebut ialah 25,000 pasang pakaian sekolah yang diagihkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) kepada asnaf fakir dan miskin yang terlibat dengan banjir ini.

Dalam masa yang sama juga, aktiviti pembersihan di Masjid Kampung Pahi turut diadakan dan sumbangan peralatan ibadah disalurkan bagi menggantikan peralatan yang telah rosak. Kampung Pahi merupakan antara yang terjejas teruk akibat banjir melanda Kelantan pada Disember lepas. Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

26 CAWANGAN LZS DIBUKA TUJUH HARI SEMINGGU

0

SHAH ALAM, 22 Disember 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 26 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja, manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.

Selain daripada cawangan LZS, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi lapan kaunter zakat IPT yang dilantik LZS. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Antarabangsa UNITAR, dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

LZS berharap dengan perkhidmatan kaunter tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2014.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM1.3 JUTA DAN AGIHKAN RM2.4 JUTA

0

SHAH ALAM 16 Disember 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 29 buah syarikat berjumlah RM1,270,361.25. Majlis bayaran zakat ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) , Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini.

SIRIM QAS mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM483.563.32, diikuti Koperasi Serbaguna Iman sebanyak RM100,000.00 dan KSS Otomobil (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM90,000.00.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad berjumlah RM86,974.60, Koperasi Kakitangan Bank Pertanian Malaysia (RM66,887.00) dan AmIslamic Bank Berhad sebanyak RM51,000.00.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM2,432,097.02. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.2 juta diagihkan kepada 10 buah masjid terpilih yang menerima sumbangan van jenazah dengan nilai RM120,000 setiap satu.

Bantuan tersebut merupakan salah satu bantuan zakat di bawah peruntukan asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan lagi pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.

Manakala sebanyak RM1,118,157.02 diagihkan melalui bantuan pendidikan kepada 291 orang anak asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL). Bantuan ini merupakan pembiayaan yuran semester para pelajar tersebut.

Sementara itu, tiga individu masing-masing menerima bantuan perubatan dan pembinaan rumah dari LZS. Mereka ialah Esmi Jemiran mendapat bantuan perubatan berjumlah RM43,740 bagi membiayai rawatan dialisis untuk tempoh setahun dan Mohd Fazil Abu Bakar menerima bantuan perubatan untuk rawatan pembedahan penyakit tulang belakang anaknya berjumlah RM20,000. Manakala Rohaizah Wahab pula menerima bantuan pembinaan rumah tiga bilik yang bernilai RM50,200.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS AGIH BANTUAN PENDIDIKAN LEBIH RM800 RIBU UNTUK 1,006 KELUARGA ASNAF DAERAH PETALING

0

PETALING, 10 Disember 2014 – Seramai 1,006 orang keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah ini menerima bantuan agihan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan 2015 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM845,660.00. Bantuan tersebut disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Muhammad Sujak Mohd Dasuki di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM719,850.00 diserahkan kepada 825 keluarga asnaf miskin, manakala RM125,810 lagi diagihkan kepada 181 keluarga asnaf fakir. Ia bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak bermula dari peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah pada tahun hadapan.

Melalui bantuan agihan tersebut, setiap anak asnaf yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi anak asnaf di peringkat pra sekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap mereka turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM170 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucer untuk ditukar di pasar raya terpilih.

Dengan adanya agihan zakat tersebut, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi satu keluarga.

Bantuan agihan pendidikan hari ini adalah sebahagian daripada jumlah yang diperuntukkan oleh LZS untuk diagihkan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin menjelang sesi persekolahan 2015.

Pada tahun ini, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM15,100,711.00 untuk diagihkan kepada 17,554 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor melibatkan seramai 44,824 orang pelajar. Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelajar tertinggi yang menerima bantuan iaitu sebanyak 7,771 orang pelajar dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM2,678,760.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

RM15.1 JUTA BIAYAI PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF SESI 2015

0

SHAH ALAM, 4 Disember 2014 – Sejumlah RM15.1 juta agihan zakat diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 44,824 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin bagi sesi persekolahan 2015.

Mereka yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada pelajar peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Selangor.

Melalui bantuan agihan itu, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar prasekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM170 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucer untuk ditukar di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel.

Dengan adanya agihan zakat tersebut, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi satu keluarga.

Majlis penyerahan agihan Pendidikan ini bermula 25 November  lalu dan dijangka akan berakhir pada 13 Disember melibatkan 27 program di seluruh Selangor. Manakala agihan pendidikan untuk fasa kedua akan menyusul kemudian.

LZS  akan terus sentiasa berusaha dan komited bagi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak asnaf agar nasib mereka sentiasa terbela.

Berita Terkini