Utama Blog Halaman 49

ZAKAT SELANGOR TERIMA PENGHARGAAN KHAS HARI QLASSIC

0

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima penghargaan khas bagi Anugerah Kecemerlangan QLASSIC 2016 kategori agensi kerajaan, bersempena dengan Hari QLASSIC anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) baru-baru ini.

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada Zakat Selangor yang berjaya memperoleh markah melebihi 80 peratus dalam penilaian QLASSIC melalui projek-projek pembinaan dan pengubahsuaian penempatan asnaf.

Ia  telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Fadilah Yusof kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali. 

Semoga dengan penghargaan yang diberikan ini menjadi suntikan motivasi buat Zakat Selangor untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatannya terutama kepada golongan asnaf zakat di Selangor.

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0

SHAH ALAM, 6 Jun 2016 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengekalkan kadar zakat fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2016M/1437H kekal RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) telah melantik seramai 2,569 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil yang telah dilantik oleh Zakat Selangor, yang mempunyai kad tauliah dan sijil lantikan yang sah.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 28 buah cawangan Zakat Selangor di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil IPT di 13 buah IPT di seluruh Selangor.

LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi. Ia terbuka kepada pelanggan pra bayar dan pasca bayar Digi yang mana nilai bayaran zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM22.5 juta daripada umat Islam di negeri Selangor.

Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 28 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini, bagi memudahkan masyarakat untuk menunaikan zakat harta dan fitrah. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

BERHATI-HATI DENGAN INDIVIDU ATAU PERTUBUHAN YANG KUTIP ZAKAT TANPA TAULIAH

0

 

SHAH ALAM, 4 Jun 2016 – Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu atau pertubuhan yang menjalankan aktiviti kutipan zakat di Negeri Selangor tanpa mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sehubungan dengan itu, MAIS telah melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai amil dan pentadbir bagi menguruskan semua perkara berkaitan kutipan dan agihan zakat di Selangor berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah (Selangor) 2012.

Bagi tujuan menyelaraskan aktiviti kutipan dan agihan zakat, Zakat Selangor telah melantik 13 penolong amil institusi pengajian tinggi, 2,569 penolong amil fitrah, enam penolong amil insititusi pendidikan Islam, 63 penolong amil padi, 16 ejen syarikat, 30 ejen firma dan percukaian, 19 ejen bank dan pejabat pos. Zakat Selangor akan sentiasa mengemas kini maklumat berkenaan ejen dan penolong amil dari semasa ke semasa di laman sesawang Zakat Selangor, https://www.zakatselangor.com.my.

Manakala penolong amil fitrah dan padi boleh dikenal pasti melalui surat perlantikan dan kad tauliah sah yang dikeluarkan oleh Zakat Selangor.

Oleh yang demikian, mana-mana individu atau pertubuhan yang didapati melakukan kesalahan tersebut, boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah Negeri 1995 yang menetapkan pesalah yang memungut zakat secara tidak sah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru itu, orang ramai disaran untuk melaporkan sebarang aktiviti pungutan zakat oleh individu yang tidak dilantik atau diberi kuasa oleh MAIS atau Zakat Selangor.

LZS SALURKAN BANTUAN ZAKAT KEPADA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH HULU SELANGOR UNTUK PERSIAPAN RAMADAN

0

HULU SELANGOR, 4 Jun 2016 – Seramai 716 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan apabila menerima bantuan zakat bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM509,880.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM215,750 diagihkan kepada 300 orang asnaf fakir, manakala RM294,130 diagihkan kepada 416 orang asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

Pada tahun ini, LZS mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM2,973,210 kepada 3,987 keluarga asnaf bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.

PORTAL E-MAJIKAN: SATU LAGI KEMUDAHAN ZAKAT SELANGOR

0

SHAH ALAM, 1 Jun 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memudahkan majikan khususnya syarikat swasta yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG) dengan melancarkan portal E-Majikan di hadapan 240 orang wakil majikan SPG bersempena Majlis Mesra Majikan 2016 di sini hari ini.

Portal E-Majikan merupakan kemudahan atas talian yang membolehkan majikan di syarikat menyertai SPG membuat taksiran zakat untuk kakitangan, selain melihat rekod bayaran lepas, mencetak slip bayaran zakat dan mengemas kini maklumat syarikat. Majikan terbabit boleh melayari portal ini dengan mendaftar di portal rasmi Zakat Selangor www.zakatselangor.com.my/e-majikan.

Untuk makluman pada tahun 2015, Zakat Selangor telah mengutip zakat sebanyak RM627.2 juta. Daripada jumlah tersebut, RM270.0 juta dikutip melalui SPG iaitu salah satu kaedah pembayaran zakat yang disediakan di Selangor. Sehingga April 2016, sebanyak RM75.0 juta telah dikutip melalui kaedah ini.

Dalam pada itu, sebanyak 132 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2016. Majlis berkenaan bertujuan meraikan para majikan yang telah menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor. Ia juga sebagai platform komunikasi antara Zakat Selangor dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Pengurus Besar Kutipan, Mohd Sabirin Sarbani.

PROGRAM GOTONG-ROYONG BERSAMA ASNAF

0

KUALA SELANGOR, 30 Mei 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus giat berusaha meningkatkan kualiti kehidupan asnaf fakir dan miskin menerusi Program Gotong-Royong Bersama Asnaf yang diadakan di penempatan Desa Ehsan, Jeram baru-baru ini.

Program anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Kuala Selangor dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar penempatan ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan asnaf tentang kepentingan kebersihan dan menjaga kemudahan yang disediakan oleh Zakat Selangor.

Dengan program kemasyarakatan ini, diharap dapat mengeratkan lagi hubungan Zakat Selangor dan asnaf fakir serta miskin.

LZS SALURKAN BANTUAN ZAKAT KEPADA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH KLANG UNTUK PERSIAPAN RAMADAN

0
KLANG 26 MAY 2016. Orang Besar Daerah Klang Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Hussin Mohd Ali (kiri) beramah mesra dengan penerima bantuan zakat Jaafar Mamud 59, dari Bandar Sultan Sueiman, Pelabuhan Klang di majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin Daerah Klang di Majlis Bandar Diraja Klang. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

KLANG, 26 Mei 2016 – Seramai 794 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan apabila menerima bantuan zakat bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM563,750.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM181,000 diagihkan kepada 253 orang asnaf fakir, manakala RM382,750 diagihkan kepada 541 orang asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

KLANG 26 MAY 2016. Seramai 794 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin berbaris untuk mendapatkan bantuan zakat di majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin Daerah Klang di Majlis Bandar Diraja Klang.  Sebanyak RM563,750 diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi bantuan tersebut. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

Majlis penyerahan hari ini merupakan siri pertama yang diadakan di daerah Klang, diikuti dengan satu siri lagi pada 31 Mei nanti.

Pada tahun ini, LZS mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12,565 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM9,480,520. Manakala 24,385 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM17,755,720. Penerima asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan zakat sama ada menerusi akaun bank atau wang tunai.

Daerah Klang merupakan daerah kedua selepas daerah Petaling yang mempunyai jumlah penerima tertinggi bagi bantuan tersebut iaitu seramai 6,416 keluarga melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,785,530.

Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf fakir dan miskin ini telah bermula pada 24 Mei 2016 dan dijangka berakhir pada 4 Jun 2016 menerusi 19 program yang diadakan di setiap daerah bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan awal bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal.

1,200 ANAK KECIL SERTAI PROGRAM ZAKAT DIDIK

0

SHAH ALAM, 25 Mei 2016 – Seramai 1,200 anak-anak kecil berusia di antara lima hingga enam tahun menyertai program Zakat Didik anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersempena program Pencetus Huffaz Cilik (LZS) yang diadakan bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Program ini adalah sebagai pendedahan awal kepada generasi masa kini iaitu generasi Z tentang zakat fitrah dan zakat harta sebagai rukun Islam yang wajib diamalkan. Ia secara tidak langsung menyemai dan mendidik budaya zakat dalam diri setiap anak kecil ini sejak usia muda.

13256257_10154094362406221_8687669742471130751_n

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal kepada anak-anak ini seperti simulasi pembayaran zakat, warkah buat ayah bonda, ikrar Islami, pop kuiz zakat dan sebagainya. Semoga anak-anak ini nanti bakal menjadi pengeluar zakat di Selangor dan dapat membantu lebih ramai asnaf.

 

CELCOM AXIATA BERHAD TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN

0

SHAH ALAM, 26 Mei 2016 – Celcom Axiata Berhad menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM471,733 bagi tahun kewangan berakhir 2015 di sini hari ini.

Pembayaran zakat perniagaan ini diserahkan oleh Pengarah Perhubungan Kerajaan/USP dan Pembangunan Vendor, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

CELCOM

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali, Pengurus Besar Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, Norajun Ainun Mohd Hashim.

Berita Terkini