Utama Blog Halaman 38

MAKLUM BALAS NENEK TONG SAMPAH

0

SHAH ALAM, 18 Julai 2017 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Harian Metro bertajuk ‘Nenek Tong Sampah’ pada 18 Julai 2017.

Hasil daripada rekod LZS mendapati Salbiah merupakan asnaf yang berdaftar dengan LZS. Beliau telah disantuni dengan bantuan kewangan bulanan dan bantuan Hari Raya. Sebelum ini, Salbiah turut menerima bantuan sewa rumah dari LZS.

Untuk makluman pada masa ini, Salbiah sedang menanggung cucunya berusia setahun empat bulan yang telah ditinggalkan oleh ibunya.

Memandangkan keadaan beliau yang uzur dan tidak mampu menjaga cucunya, LZS menawarkan Salbiah untuk tinggal di Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor (Bait Al-Mawaddah) bagi kediaman dan perlindungan yang lebih sempurna. Sementara cucu beliau akan diuruskan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

MAKLUM BALAS ZAKAT SELANGOR:  KELUARGA JURAIDA DISANTUNI 

0
SHAH ALAM, 17 Julai 2017 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor berkenaan keluarga Juraida Dailon.
Menurut laporan Sinar Harian, ibu Juraida telah disahkan menderita kanser payudara tahap empat dan kini telah merebak hingga ke usus manakala ayahnya hanya mampu duduk dikerusi roda dan tidak mampu bercakap akibat strok. Mereka kini tinggal bersama Juraida yang merupakan anak tunggal pasangan tersebut dan tidak bekerja.

Juraida, 33 tahun kini mengharapkan pendapatan suami sekitar RM1,500 sebulan termasuk untuk menyara empat orang anaknya yang berusia tujuh, lima, empat dan satu tahun. Dengan pendapatan itu juga digunakan untuk membayar sewa rumah mereka sebanyak RM500 sebulan.

Sebelum ini Juraida dan suami bekerja di kilang yang sama, namun kehilangan pekerjaan pada bulan Mac lalu berikutan kilang menghentikan operasi. Disebabkan keadaan ibunya yang tidak sihat kebelakangan ini, Juraida mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah untuk menguruskan kedua-dua ibu bapa dan anak-anaknya.

Untuk makluman, Juraida sebelum ini pernah memohon bantuan sebagai asnaf fakir dan miskin dengan Zakat Selangor pada tahun 2016, namun permohonan tersebut  tidak berjaya. Hal ini kerana beliau dan suami masih bekerja dan  pendapatan isi rumah pada ketika itu melebih haddul kifayah (garis penentuan asnaf fakir dan miskin), di samping keadaan ibunya yang masih sihat.

Hasil maklumat yang disalurkan, Zakat Selangor telah menziarahi keluarga tersebut. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, mendapati kesempitan hidup keluarga yang dihadapi baru-baru ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk ibu dan bapanya seperti saranan pihak doktor.

Justeru itu Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Juraida seperti Bantuan Sewa Rumah dan juga Bantuan Perubatan untuk Ibu & Bapa beliau.

Sementara bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.

15 USAHAWAN ASNAF ZAKAT SELANGOR TERIMA SUMBANGAN TABUNG HAJI

0
SHAH ALAM, 14 Julai 2017 – Seramai 15 orang usahawan asnaf Lembaga Zakat Selangor terdiri daripada asnaf fakir dan miskin menerima sumbangan bantuan modal perniagaan berjumlah RM126,324.00 dalam satu majlis yang diadakan di Bait Al Mawaddah di sini hari ini.
Bantuan modal berkenaan merupakan sumbangan dari Lembaga Tabung Haji (TH) kepada usahawan asnaf dalam pelbagai industri yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani.
Selain bantuan asasi yang disalurkan Zakat Selangor, sumbangan TH ini bertujuan memberi suntikan modal bagi membolehkan usahawan asnaf memulakan atau membesarkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang ada.
Untuk makluman, sumbangan TH ini merupakan manfaat yang disalurkan melalui inisiatif program Kasihku Zakat Selangor.
Kasihku Zakat Selangor diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.
Malah ia turut menjadi platform kepada syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Norajun Ainun Mohd Hashim.

 

ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM265 RIBU

0

SHAH ALAM, 12 Julai 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima zakat perniagaan dari dua syarikat berjumlah RM264,988.38 dalam satu Majlis Mesra Aidilfitri bertempat di Dewan Ar-Raha, Sekyen 7 di sini.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Selangor, Dato’ Alias Hamzah menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM154,360.38, manakala  Felda Global Ventures Berhad (FGV) diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi FGV, Dato’ Khairil Anuar Aziz menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM112,628.00. Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2016. Upacara penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, dua syarikat telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM792,157.87. Mereka ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang menyumbangkan semula zakat sebanyak RM782,157.87 dan UEM Sunrise Berhad sebanyak RM10,000.00

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas. Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk termasuk asnaf mualaf, gharimin dan fisabilillah.

Selain itu, di majlis tersebut Zakat Selangor turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan media dan blogger yang selama ini memberi komitmen dan kerjasama membantu Zakat Selangor dalam menyebarluaskan dakwah zakat serta menyantuni asnaf di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.

PUNCAK NIAGA HOLDINGS BERHAD TUNAI ZAKAT RM10.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 20 Jun 2017 –Puncak Niaga Holdings Berhad hari ini menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM10,645,064.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu upacara ringkas yang diadakan di Ibu pejabat zakat Selangor.

Cek zakat perniagaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Puncak Niaga Holdings Berhad, En. Azlan Shah Tan Sri Rozali kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS,Tuan Haji Hussin Bin Mohd Ali.

Zakat yang ditunaikan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2016. 

ZAKAT SELANGOR PRIHATIN DENGAN KELUARGA ROSMADI

0

SHAH ALAM, 16 Jun 2017 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor berkenaan berita yang tersiar di New Straits Times bertajuk ‘Aid Rejected For Family Living in KL Squalor’.

Zakat Selangor amat prihatin dengan kesempitan hidup yang dihadapi keluarga Rosmadi. Untuk makluman Zakat Selangor telahpun melakukan kunjungan ke rumahnya pada 14 Jun lalu.

Menurut rekod, Rosmadi pernah memohon menjadi asnaf di Zakat Selangor pada awal tahun ini. Namun setelah disemak kelayakan mendapati, beliau tidak layak menjadi asnaf berikutan pendapatannya pada masa itu melebihi haddul kifayah (garis penentuan asnaf fakir dan miskin) sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Bagaimanapun baru-baru ini Rosmadi telah diberhentikan kerja oleh majikannya sehingga menyebabkan keluarganya mengalami kesempitan hidup kerana hilang punca pendapatan. Sehubungan itu, keluarga ini telah dibanci semula dan disahkan kelayakannya sebagai asnaf miskin berdasarkan kepada haddul kifayah semasa.

Untuk permulaan, Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan Hari Raya bagi membolehkan keluarga ini membuat persiapan Syawal tidak lama lagi. Manakala bantuan kewangan bulanan turut akan disalurkan kepada keluarga ini sehinggalah Rosmadi mendapat pekerjaan tetap. Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.

 

KENYATAAN OLEH

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

KETUA DIVISYEN KOMUNIKASI KORPORAT

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: PESAKIT DIALISIS DAPAT MANFAAT SUMBANGAN MESIN HEMODIALISIS

0

SHAH ALAM, 19 Jun 2017 – Para pesakit dialisis di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bakal mendapat manfaat daripada tiga unit mesin hemodialisis yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini.

Tiga unit mesin berkenaan merupakan sumbangan daripada dua syarikat yang menyatakan persetujuan menyertai program Kasihku Zakat Selangor melibatkan jumlah agihan semula zakat sebanyak RM140,000.00.

Syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM100,000.00 dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM40,000.00.

Sumbangan mesin hemodialisis baharu ini dapat dimanfaaatkan kira-kira 28 orang pesakit buah pinggang yang mendapakan rawatan di pusat dialisis di sini, seterusnya meringankan beban pesakit khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Daripada jumlah tersebut, 23 orang merupakan pesakit yang dibiayai melalui bantuan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor  (LZS).

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat lagi, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR).

Turut hadir, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn. Bhd, Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Darul Ehsan (YIDE), Nur Razali Mohamad. Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT BERJUMLAH RM4.3 JUTA

0

Shah Alam, 16 Jun 2017 – Lembaga Zakat Selangor mengadakan Majlis Bayaran Zakat Perniagaan bagi menerima zakat dari 59 buah syarikat berjumlah RM4,317,158.79. Maybank Islamic Berhad mendahului senarai syarikat pembayar dengan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM967,898.16, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd berjumlah RM741,732.75, Kumpulan KPJ Healthcare Berhad sebanyak RM560,000.00 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM500,000.00.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah KUB Gaz Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat berjumlah RM346,783.00, Bank Muamalat Malaysia Berhad yang menunaikan zakat sebanyak RM192,395.74, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad berjumlah RM150,000.00 dan YBK Usahasama Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM149,270.00.

Sementara, Etiqa Takaful Berhad menunaikan zakat sebanyak RM120,000.00 dan Rania Resources Sdn Bhd pula berjumlah RM105,300.00.

Dalam majlis yang sama, LZS mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM63,226 kepada empat individu. Mereka ialah Pauziah Maalip yang menerima bantuan bagi rawatan dialisis berjumlah RM26,460.00 dan Adibah Wahab yang menerima bantuan zakat sebanyak RM22,610.00 bagi membiayai kos pembedahan implan tulang belakang. Manakala, Nur Safiyyah Sathiya Abdullah menerima bantuan zakat sebanyak RM7,806 dan Nur Aisyah Maisara Abdullah pula menerima bantuan zakat sebanyak RM6,350. Kedua-dua mereka menerima bantuan pendidikan.

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: AGIH SEMULA 3/8 WANG ZAKAT

0

Shah Alam, 16 Jun 2017 – Dua syarikat dan individu yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM219,300.00 dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan di Wisma PKPS baru-baru ini.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Mereka ialah Etiqa Takaful Berhad yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM138,750.00 dan Almas Beauty & Health sebanyak RM41,550.00. Manakala Tan Sri Dato’ Paduka Ismee Ismail turut menyumbangkan semula zakat berjumlah RM39,000.00.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM11.7 JUTA DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

0

SHAH ALAM, 15 Jun 2017 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM11,716,338.35 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini.

Empat syarikat tersebut ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,714,048 dan diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Pengurus Besar Negeri (Selangor) Bahagian Pembahagian TNB, Dato’ Mohd Zahir Md. Nor mengeluarkan zakat sebanyak RM2,899,290.35.

Manakala, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,505,000 dan Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1,598,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 252 orang asnaf fakir dan miskin serta 120 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali.

Berita Terkini