Utama Blog Halaman 29

Peserta ZIKRA Rasai Pengalaman Bersama Asnaf Zakat

0

KUALA LANGAT, 26 September 2018 – Program Ziarah Korporat & Media Bersama Asnaf (ZIKRA) menarik minat 40 orang peserta terdiri daripada pengeluar zakat syarikat korporat termasuk wakil majikan yang membuat potongan gaji dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Program tahunan ini membawa pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang di lapangan bagi melihat realiti kehidupan para asnaf di Kuala Langat yang disantuni dengan wang zakat.

Menurut Pengarah Program ZIKRA,  Zakuan Hassan, penyertaan peserta kali ini sangat memberangsangkan sehingga jumlah peserta perlu disaring bagi memberi ruang kepada pengeluar syarikat korporat yang tidak pernah terlibat sama sebelum ini.

“Kami menerima banyak permohonan daripada peserta untuk menyertai semula program ini. Namun terpaksa dihadkan kepada 40 peserta sahaja bagi memudahkan pengendalian sepanjang program berlangsung.”

Tambahnya lagi, usaha menganjurkan program ini dilihat dapat memberi pendedahan dan berkongsi maklumat berkaitan pengurusan pengagihan zakat seterusnya dapat menyantuni asnaf secara langsung.

Turut memberi sumbangan Kasihku Zakat Selangor ialah syarikat Gerbang Alaf Restoran, Telekung Siti Khadijah, Nottingham University dan juga TriPLC.

Program yang bermula di ibu pejabat LZS ini, telah membawa peserta menelusuri kehidupan para nelayan asnaf.

Sementara itu, seorang asnaf yang ditemui, Saad Ibrahim, 50, berkata, beliau meraih pendapatan keluarga hasil daripada menjadi seorang nelayan di sekitar Jeti Kampung Kelanang.

“Dengan pendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan, saya membesarkan lima orang anak. Alhamdulillah, LZS juga ada membantu menyalurkan bantuan modal bagi membeli peralatan dan jaring berjumlah RM5,000.”

Tambahnya lagi beliau amat bersyukur dengan bantuan zakat yang diterima mampu untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.

“Selain itu, LZS turut menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 dan bantuan pendidikan untuk anak-anak. Arwah isteri pun dibantu dengan bantuan perubatan dialisis sebelum ini,“ ujarnya dalam nada sedih.

Bagi nelayan di Jeti Kampung Kelanang, kehadiran para peserta memberi peluang kepada mereka untuk menjual hasil tangkapan ikan di laut. Sehingga kini sebanyak 50 orang nelayan di sini merupakan asnaf fakir dan miskin LZS.

Mereka ini disantuni LZS dengan bantuan perikanan berjumlah antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi membeli bot, enjin bot serta peralatan menangkap ikan.

Seterusnya para peserta dibawa ke Masjid Al-Azim, Kampung Kelanang bagi menyaksikan penyerahan bantuan berupa keperluan harian kepada 150 asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Langat. Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat kepada beberapa penerima.

Seorang asnaf yang menerima bantuan pada majlis tersebut, Ruskiah Abdul Ghafar,43, turut bersyukur dengan bantuan yang berikan oleh LZS. “Alhamdulillah, rasa gembira dapat berjumlah dengan pengeluar zakat. Terima kasih atas bantuan yang diberikan.”

Pada penghujung program, para peserta telah ke Kampung Kepau Laut, Pulau Carey yang menempatkan penerima bantuan mualaf dari LZS dalam kalangan orang asli. Selain menziarahi dua keluarga mualaf yang menerima bantuan bina rumah, LZS turut menyampaikan sumbangan bantuan zakat bagi baik pulih surau di situ berjumlah RM50,000. Turut menyampaikan sumbangan adalah Syarikat Telekung Siti Khadijah yang menyerahkan bantuan kepada 18 keluarga asnaf di situ.

 

Skuad Jejak Kemiskinan Jejaki 100 Keluarga PPR Lembah Subang

0

PETALING JAYA, 29 September 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling hari ini menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bagi mengenal pasti keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Menurut Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman, berkata siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada bancian yang dijalankan.

“Program SJK ini adalah bagi memudahkan para asnaf berurusan dengan LZS agar dapat memenuhi keperluan lain mereka. Selain menyantuni asnaf yang layak, LZS juga akan menawarkan bantuan kepada masyarakat yang tidak dikategorikan dalam golongan asnaf fakir dan miskin agar dapat meringankan beban mereka.”

Tambahnya lagi, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

“Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada lima orang Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. PAK ini merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam dikategorikan asnaf fakir, miskin dan mualaf.”

Salah seorang penghuni rumah yang dibanci, Atipah Aini Mohd Yamin, 43 berasa amat bersyukur dengan kehadiran LZS berkunjung ke rumah beliau bagi menjalankan operasi bancian ini.

“Dengan pendapatan RM700 sebagai seorang pekerja pembersihan, saya membesarkan empat orang anak yang masih bersekolah di peringkat sekolah rendah dan menengah. Tambahan pula suami saya telah meninggal dunia empat tahun. Maka saya terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sewa rumah pula telah tertunggak selama empat tahun tidak berbayar, dan bil elektrik pula menunggu masa untuk dipotong kerana masih belum dilunaskan lagi.”

“Saya amat berterima kasih kepada LZS, yang hadir membantu keluarga saya di saat sedang terbelenggu masalah bebanan kewangan untuk membesarkan anak-anak yang masih bersekolah,“ katanya lagi.

Bagi Eksekutif Operasi Agihan Daerah Petaling, Roslan Ayob yang menjalankan bancian berkata, LZS akan mengesyorkan bantuan kepada keluarga Atipah berupa bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan dan juga bantuan tunggakan rumah.

“Hasil daripada siasatan, keluarga beliau layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan layak menerima bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga beliau, “ katanya ketika operasi bancian dijalankan.

Sehingga Jun 2018 seramai 47,298 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Badariah Abdul Jalil, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

LZS Terima Kunjungan Universitas Islam

0

SHAH ALAM, 25 September 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima kunjungan daripada Yayasan Badan Wakaf Sultan Agung, Universitas Islam, Indonesia (UNISSULA) yang diwakili seramai empat orang pensyarah daripada Jabatan Undang-Undang Islam, Fakulti Pengajian Islam.

Dalam pertemuan tersebut, mereka telah diberi taklimat berkaitan pengurusan zakat terutamanya dari segi pengagihan zakat di Selangor. Di samping itu, pertemuan kali ini bagi meninjau peluang kerjasama untuk tujuan pembangunan pembelajaran di sana.

LZS merakamkan ucapan terima kasih dan berharap kunjungan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di Universitas Islam, Indonesia.

Pertubuhan Peladang Serah Zakat Perniagaan

0

SHAH ALAM, 19 September 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada Pertubuhan Peladang Negeri Selangor  (PPNS) berjumlah RM48,554.55 yang diadakan dalam satu majlis bertempat di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

PPNS diwakili oleh Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah PPK Selangor, Dr. Abdul Razak Kasbollah menyerahkan bayaran zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2017 kepada wakil LZS.

LZS mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhir kepada PPNS kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

LZS Terima Kunjungan Universiti Srnakharinwirot

0

SHAH ALAM, 18 September 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini  menerima kunjungan daripada Pusat Kajian Sosial, Universiti Srnakharinwirot, Chiang Mai, Thailand diketuai oleh Ketua Penyelidik, Dr. Roostum Vansu bersama empat orang wakil pensyarah kanan.

Tujuan kunjungan kali ini bagi berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan urus tadbir pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor khasnya dan Malaysia amnya. Di samping itu, kunjungan tersebut turut meninjau peluang kerjasama ke arah memperkukuhkan lagi institusi zakat di Thailand.

LZS merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak PPIM atas keprihatinan mereka mengaturkan pertemuan ini dan berharap kunjungan ini dapat memberi manfaat kepada institusi zakat di Thailand.

LZS & MAIK Berganding Santuni Asnaf

0

PASIR PUTEH, 30 Ogos 2018 – Program Penempatan Agro Ekonomi Desa Alam Shah, di Kampung Gong Jenarah di sini, berjaya menjadikan tanaman cili kulai secara berkelompok  antara yang terbesar di negeri ini.

Menurut Eksekutif Selangor Prihatin, Muhammad Zulfadlil Azhim Ayub, projek agro ekonomi kerjasama antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tersebut menunjukkan kadar pengeluaran yang menggalakkan dari masa ke semasa sejak diusahakan pada Jun 2016.

“Kawasan seluas 11.2 hektar di sini mampu mengeluarkan kira-kira 24, 000 kilogram (kg) cili kulai pada 2016 dan meningkat kepada kira-kira 33, 000 kg pada tahun lalu.

“Malah, pengeluaran hasil cili kulai sehingga 15 Ogos tahun ini mencatat 33, 852 kg iaitu melepasi pengeluaran pada tahun lalu,” katanya pada Program Lawatan Rasmi Media dan ‘Stakeholder’ ke Projek Penempatan Berkelompok dan Agro Ekonomi di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenarah di sini baru-baru ini.

Muhammad Zulfadlil berkata, hasil pendapatan keseluruhan peserta menunjukkan peningkatan daripada RM86,000 pada 2016 kepada RM132, 000 tahun lalu.

Katanya lagi, seramai 28 peserta yang mengikuti projek tanaman itu memperoleh hasil pendapatan berbeza, namun sebanyak RM1,200 sahaja diserahkan kepada peserta terbabit.

“Bakinya kita pecahkan kepada simpanan tetap sebanyak 70 peratus yang akan diserahkan kepada peserta selepas lima tahun dan modal pusingan sebanyak 30 peratus pada musim berikutnya,” katanya.DSC_4175

Mengulas lanjut beliau berkata, tanaman cili kulai dihentikan sementara bermula Oktober sehingga Februari depan berikutan musim tengkujuh melanda Pantai Timur.

“Pada perubahan monsun, peserta akan menanam tanaman selingan lain seperti timun batang, labu manis, jagung dan mampu meraih pendapatan berkelompok kira-kira RM26,000 pada tahun lalu,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak RM10 juta dana pembangunan termasuk projek rumah kediaman dibina di kawasan itu.

Kawasan penempatan itu jelasnya, dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta terlibat.

Sementara itu, seorang asnaf yang ditemui, Mohamad Robi Zakaria, 50, berkata, program tersebut membuka peluang kepada beliau dan keluarga untuk keluar daripada kesempitan hidup sebelum ini.

Sebelum ini jelasnya, beliau membuat pelbagai kerja kampung dengan pendapatan di bawah RM150 seminggu.

“Selepas terlibat sebagai peserta di Desa Alam Shah dan menanam cili saya kini mempunyai pendapatan yang tetap untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anak.

“Alhamdulillah, pendapatan tetap saya kini adalah sebanyak RM1, 200 sebulan. Sesungguhnya saya amat berterimakasih kepada pihak LZS dan MAIK kerana memberi peluang kepada saya,” katanya.

Bagi seorang peserta, Tuan Hussein Tuan Mahmud, 55, berkata, selain memperolehi pendapatan dalam bidang pertanian, beliau gembira kerana mendapat melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan melibatkan pihak penduduk dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Komuniti.

“Kita berterima kasih kepada LZS dan MAIK bukan sahaja kerana menyediakan program meningkatkan ekonomi malahan melibatkan kami dengan aktiviti kemasyarakatan dengan pelajar UMK dan Kolej Komuniti untuk kami sama-sama mengadakan program berfaedah untuk penduduk di sini.

 

“Cuma apabila genap lima tahun di sini, saya berharap diberi peluang untuk mengembangkan segala ilmu yang diterima di sini dengan mengusahakan ladang cili secara sendiri di mana-mana lokasi,”DSC_4217

Sementara itu seorang peserta dalam kalangan orang muda, Nor Sam Azlan, 32, beliau tidak menghadapi masalah untuk bercampur bersama peserta yang lebih tua, kerana fokusnya adalah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

“Saya berharap pengalaman selama lima tahun yang dikutip di sini akan dijadikan modal untuk saya mengusahakan tanaman cili dan lain-lain di luar sana. Segala jasa pihak LZS dan MAIK tidak akan saya lupakan selamanya,” katanya.

SKUAD JEJAK KEMISKINAN: LZS JEJAKI 100 KELUARGA PPR KOTA DAMANSARA

0

KOTA DAMANSARA, 11 Ogos 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling hari ini menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara bagi mengenal pasti keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

20180811_121411

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Di samping itu, operasi SJK hari ini melibatkan sukarelawan daripada Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang turut sama menjalankan aktiviti bancian dan siasatan. Ini secara langsung memberi pendedahan dan pemahaman mengenai gerak kerja mengenal pasti asnaf yang layak. Turut terlibat dalam operasi ini, penolong amil kariah yang dilantik LZS.

20180811_122112

Untuk makluman, sehingga Jun 2018 seramai 47,298 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling.

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: PTPTN SERAH SUMBANGAN VAN

0
SHAH ALAM, 7 Ogos 2018 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM385,858.08 berupa tiga buah van kepada tiga buah sekolah terpilih.
Tiga buah van ini diserahkan kepada SMK Damansara Utama , SMK Bandar Baru Bangi dan SK Bandar Seri Putra bagi kegunaan aktiviti pelajar-pelajar di luar sekolah.
Terdahulu, PTPTN pernah menyertai ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM115,750.00 kepada 2,315 murid tahun satu dalam kalangan keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.
Sumbangan ini bagi pembukaan akaun Skim SImpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan deposit RM50 setiap seorang. Pada masa sama, para pelajar turut menerima insentif geran sepadan berjumlah RM50.
Sehingga Ogos 2018, sebanyak 14 penyertaan dalam ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM2,641,519.54 telah dilaksanakan.
Untuk makluman, LZS telah memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

LZS TERIMA ANUGERAH EMAS DI KONVENSYEN TEAM EXCELLENCE PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2018

0

SHAH ALAM, 27 Julai 2018 – Kumpulan Mumtaz yang mewakili Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima anugerah emas bersempena dengan Konvensyen Wilayah Team Excellence (RTEx) Peringkat Wilayah Tengah 2018 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini.

Ini merupakan penyertaan kali pertama LZS dalam pertandingan anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK). Dalam pertandingan ini, LZS telah mengetengahkan projek penambahbaikan bertajuk ‘Pelaksanaan Wakalah Agihan Zakat Tidak Optimum’. Ia merupakan projek inovasi dengan memperkenalkan skim pemberian semula zakat kepada pengeluar zakat yang membayar melebih RM50,000 untuk diagihkan kepada asnaf secara terus menerusi 3/8 jumlah bayaran zakat.

IMG-20180727-WA0002

Melalui projek yang dihasilkan ini, mampu memberi impak positif berdasarkan peratus peningkatan kepada proses skim wakalan agihan mengikut prosedur. Selain itu LZS juga berjaya meningkatkan peratusan bilangan pemohon kepada 20 peratus dan jumlah pengagihan semula sebanyak 40 peratus, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat kepada LZS.

Kumpulan KIK LZS diketuai oleh Ahmad Zaidi Lynan  Zainudin dan dianggotai oleh Khairul Azzumie Anour, Firdaus Alias, Mohd Rosli Abdullah, Muhamad Amir Muhamad Akhbar, Mohamad Nazreen Tahir, Siti Patimah Rosli dan dibimbing oleh fasilitator Muhamad Rizal Jalil.

Untuk makluman, sebanyak  113 organisasi telah terlibat bagi mempersembahkan projek yang akan dipertandingkan. Pertandingan ini dianjurkan bertujuan mendorong sesebuah organisasi untuk menggunakan sumber dalaman secara optimum bagi mengekalkan daya saing dikalangan mereka. Selain itu, Kumpulan Excellence ini diwujudkan agar memberi impak yang positif kepada organisasi melalui projek penambahbaikan yang dihasilkan.

Semoga melalui penglibatan dalam konvensyen ini, LZS dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada pelanggan khususnya penerima dan pengeluar zakat.

LZS KUNJUNGI PEJABAT MB SELANGOR

0
SHAH ALAM, 24 Julai – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Selangor, Dato’ Menteri Besar,  Amirudin Shari bagi memberi penerangan berkenaan prestasi kutipan dan agihan zakat di Selangor.
Kunjungan yang disertai Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail ini berpeluang bertukar pandangan berkenaan pengurusan zakat terutama melibatkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.
LZS telah beroperasi lebih dua dekad, sentiasa komited bagi memastikan agihan zakat terus diagih kepada asnaf yang lapan. Ini bagi memastikan asnaf di Selangor sentiasa terbela dan disantuni melalui lima program utama iaitu program iaitu sosial, pendidikan, ekonomi, insan dan institusi agama. Melalui kutipan zakat, LZS meningkatkan kecemerlangannya sebagai institusi zakat dengan mempergiatkan gerak kerja dakwah bagi memastikan lebih ramai masyarakat mengeluarkan zakat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi (Korporat dan Projek Khas) LZS, Ariffa Ariffin, Ketua Divisyen Pengurusan Hartanah, Keselamatan & Pentadbiran, Naseri Salleh dan Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Basir Hassan Basri.

 

Berita Terkini