Utama Blog Halaman 163

ZAKAT ON-LINE: SATU LAGI KEMUDAHAN BERZAKAT DILANCAR

0

Subang – Bagi memudahkan lagi pembayaran Zakat di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) melancarkan satu lagi kemudahan menunaikan Zakat yang dikenali sebagai Zakat OnLine yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di sini baru-baru ini.

Zakat Online merupakan satu kemudahan pembayaran Zakat menggunakan perbankkan internet yang telah dilantik oleh LZS (MAIS) sebagai ejen kutipan Zakat meliputi 9 buah bank dan Pos Malaysia Sdn Bhd. Ejen kutipan zakat terlibat dalam kemudahan Zakat Online ini ialah:-

Maybank – www.maybank2u.com.my
Ambank – www.amonline.com.my
RHB Bank – www.rhbislamicbank.com.my
CIMB Bank – www.cimbclicks.com.my
Public Bank – www.pbebank.com.my
Bank Islam – www.bankislam.biz
EON Bank – www.eonbank.com.my
Pos Malaysia – www.posonline.com.my
HSBC – www.hsbc.com.my
OCBC – www.ocbc.com.my
FPX – www.zakatselangor.com.my

Bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tentang kemudahan Zakat Online ini LZS (MAIS) telah mengatur strategi promosi yang dijadualkan bermula pada 13 September sehingga 31 Disember. Tempoh tersebut wajar memandangkan kebanyakkan masyarakat menunaikan Zakat pada masa tersebut dan ini membolehkan mereka mempunyai pilihan selain menggunakan kemudahan pembayaran sedia ada seperti pembayaran di 22 kaunter Zakat, melalui Skim Berkat, SMS, Kad Kredit, Pos dan sebagainya. Antara bentuk promosi termasuklah iklan di media cetak, sebaran risalah, pemsangan kain rentang dan sebagainya.

Selain itu, sebagai galakkan LZS (MAIS) turut menyediakan cenderahati kepada Pembayar yang memilih perkhidmatan ini. Dengan kemudahan pembayaran melalui Zakat Online tiada lagi alasan masyarakat tidak membayar Zakat kerana mereka tidak lagi perlu manghadapi masalah letak kereta, kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyediakan penghargaan kepada ejen kutipan Zakat yang telah membuktikan prestasi yang menggalakkan meliputi kategori Inovatif, Perkhidmatan Kaunter, Peningkatan Kutipan Tertinggi dan Kategori Kutipan Tertinggi.

Turut hadir di majlis ini, Timbalan Pengurus Besar LZS, Aidi Munawir Ahmed Shukri dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab.

OPS DIDIK EDAR 10 RIBU RISALAH

0

Gombak – Wilayah Timur Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menganjurkan Ops Didik dengan mengedarkan sejumlah 10 ribu naskah risalah zakat kepada semua sekolah rendah kebangsaan (S.R.K) di daerah Gombak dan sekolah-sekolah terpilih di daerah Hulu Selangor bermula dari 17 September ini.

Setiap sekolah akan dibekalkan sejumlah 100 hingga 200 risalah zakat untuk disampaikan kepada ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui murid-murid tahun empat, lima dan enam. Sebanyak 78 buah sekolah rendah akan terlibat di dalam operasi ini.

Selain itu, semua S.R.K dan S.M.K di daerah Gombak dan Hulu Selangor turut akan menerima poster dan pelekat kereta zakat untuk ditampal di papan kenyataan dan surau sekolah masing-masing.

Menurut Pengarah Ops Didik, AbuZar Zainuddin, Ops Didik merupakan kerjasama antara LZS (MAIS) dan Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan Hulu Selangor. Matlamat utama operasi ini adalah untuk memperhebatkan lagi kempen Jom Tunai Zakat kepada umat Islam terutamanya dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Sementara itu, satu majlis ringkas pelancaran Ops Didik telah berlangsung di PPD Gombak pada 27 Ogos dengan dihadiri Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin dan Pegawai Pelajaran Daerah Gombak, Puan Siti Norma manakala majlis sama turut diadakan di PPD Hulu Selangor pada 12 September baru-baru ini.

ZIARAH ASNAF BERSAMA KORPORAT DAN MEDIA

0

Sabak Bernam-Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan program Ziarah Asnaf Bersama Korporat dan Media bagi mendedahkan dan membolehkan mereka menyaksikan sendiri hasil usaha para asnaf zakat dalam usaha membebaskan mereka daripada kepompong kemisknan pada 7 Feb lalu di sini.

Program yang diadakan sempena Bulan Zakat Negeri Selangor itu adalah kali kedua dilaksanakan setakat ini yang mengumpulkan para pembayar zakat, iaitu pembayar korporat, agensi kerajaan dan juga syarikat swasta di samping wakil-wakil media.

Program yang disertai oleh 32 orang peserta telah dibawa melawat perkampungan Desa Ehsan Batu 23, Sungai Nibong iaitu penempatan berkelompok asnaf di samping mengunjungi projek ekonomi yang diusahakan oleh penerima zakat seperti bengkel jahitan dan kedai runcit.

Selain itu, mereka juga turut ditemukan dengan tokoh usahawan zakat, Mohd Tohid bin Sidek, 42 yang kini mengusahakan makanan ringan seperti kerepek sehingga kini telah mampu menjadi salah seorang pembayar zakat. Turut diziarah pada hari itu ialah Baitul Hasanah iaitu rumah anak fakir dan miskin kelolaan LZS (MAIS).

Bercakap kepada media, Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Tuan Hj. Ahmad Shahir Makhtar, menjelaskan bahawa program ini diharap dapat mewujudkan perhubungan yang baik di antara pembayar zakat, pihak pentadbiran zakat iaitu LZS (MAIS) dan juga para penerima zakat.

Sementara itu, salah seorang peserta, Haji Mohd Zaki Ibrahim daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad berkata, dengan adanya program tersebut ia dapat mengeratkan tali silaturrahim antara pembayar zakat, LZS (MAIS) dan penerima Zakat.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita dapat melihat sendiri keadaan para asnaf dan beramah mesra dengan mereka di samping menampakkan ketelusan LZS (MAIS) di dalam mengagihkan zakat,” jelas beliau lagi.

31 PEMENANG KUIZ ZAKAT DIRAIKAN

0

Shah Alam – Seramai 31 orang pemenang kuiz zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama stesen radio Selangor.fm diraikan dalam satu majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Zakat LZS-Selangor.fm yang diadakan di sini baru-baru ini.

Para pemenang menerima hadiah berupa wang sagu hati bernilai RM100 dan cenderahati dari LZS (MAIS) yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Haji Abdul Majid Omar.

Kuiz ini dilihat sebagai saluran alternatif dan promosi terbaru zakat di negeri ini. Ia dijalankan sebanyak dua fasa melibatkan fasa pertama bermula dari bulan Mei hingga Julai 2007 dan fasa kedua bermula Ogos hingga Oktober 2007. Kuiz ini disiarkan berpandukan kepada kuliah khas zakat yang dikendalikan secara bersama di antara LZS (MAIS) dengan Selangor.fm pada setiap hari Rabu jam 6 petang. Ia telah menarik minat ramai peserta di seluruh Negeri Selangor.

Dalam majlis itu juga, turut diperkenalkan para pengacara radio dan personaliti agama yang sering menyampaikan kuliah di Selangor.fm.

LZS ADAKAN PROGRAM KHAS UNTUK MAJIKAN

0

Shah Alam- Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mengadakan satu Program Bengkel Khas Majikan 2007 pada 5hb September yang lepas. Program tersebut telah disasarkan kepada para majikan swasta di Negeri Selangor yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung Bayaran Zakat secara potongan gaji di syarikat-syarikat mereka.

Program yang diadakan di Bangunan Sultan Idrin Shah, Shah Alam tersebut bermula dari sebelah pagi sehingga tengahari dengan memberikan pengisian dan informasi berguna kepada semua majikan-majikan tersebut tentang ibadah zakat. Hampir 100 orang majikan yang mewakili perniagaan mereka telah hadir pada majlis tersebut.

Bengkel tersebut dimulakan dengan Ceramah Agama berhubung Rezeki Yang Berkat daripada Ust Halim Din dan diikuti oleh Taklimat berhubung Kemudahan Membayar Zakat oleh Pn Haslinda Hj Hashim daripada CIMB Bank Berhad. Majlis diakhiri dengan penerangan ringkas berhubung tanggungjawab serta peranan LZS dalam masyarakat oleh Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS iaitu Pn Hajjah Adibah binti Hj Abdul Wahab.

Sebelum majlis berakhir, para majikan juga diberikan satu taklimat ringkas berhubung kiraan zakat bagi memudahkan mereka mentaksir zakat mereka sendiri pada masa akan datang.

TUJUH IBU TUNGGAL TERPILIH SERTAI ‘MOBILE ENTREPRENUER’ LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Tujuh orang ibu tunggal antara sembilan orang peserta telah terpilih di dalam projek perintis program usahawan bergerak ‘mobile entrepreneur’ yang telah dilancarkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 27 Jun di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah LZS (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang melakukan ‘flag off’ di dalam satu majlis ringkas.

‘Mobile entrepreneur’ merupakan program perniagaan bergerak menggunakan lori khas yang terpilih melalui bantuan zakat. Pemilihan peserta dilakukan dengan syarat tertentu untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyertai program ini.

Usahawan yang dikenal pasti didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus sebelum memulakan perniagaan.

Sebagai permulaan, LZS (MAIS) telah membelanjakan lebih RM300,000 sebagai mekanisme yang terbaik dalam membasmi kemiskinan dan yang lebih menarik ia digalas oleh tujuh ibu tunggal daripada sembilan peserta yang mengusahakan pelbagai perniagaan berasaskan makanan, minuman dan kuih tradisonal.

Sebelum itu, Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima zakat daripada lapan syarikat korporat yang berjumlah RM943,021.52 iaitu Tenaga Nasional Berhad (RM569,004.80), Pos Malaysia Berhad Negeri Selangor (RM115,004.84), Maybank Islamic Banking (RM107,000) dan Bank Simpanan Nasional (RM51,657.04).

Turut menyerahkan zakat, Gabungan Sumber Tenaga Sdn. Bhd. (RM50,000), EONCAP Islamic Bank Berhad (RM38,008.39), Berani Guard Sdn. Bhd. (RM7,146.94) serta Commerce Takaful Berhad, (RM5,199.51).

Dalam majlis yang sama LZS (MAIS) turut menyerahkan bantuan zakat kepada enam orang penerima termasuk seorang pelajar, Amir Fathi Adnan yang menerima Dermasiswa RM100 ribu bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Mesir.

Lain-lain penerima ialah, Nur Wirdah Hani Ahmad Kamal sebanyak RM21,000 bagi rawatan penyakit SLE, Mohd Roslan Aklan sebanyak RM28,320.00 (rawatan dialysis), Kamsan Mohd Salehan sebanyak RM20,000 (pembinaan rumah) dan surau Platinum al-Mawaddah sebanyak RM50,000.00.

LZS (MAIS) ANJUR KEMBARA AMAL BIKERS

0

Kuala Selangor – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) Wilayah Utara (Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dengan kerjasama Kelab Mobikers Kuala Selangor dan Skuad Dakwah Zakat (SDZ) telah mengadakan program Kembara Amal Bikers pada 23 Jun di sini.

Program tersebut disertai 32 orang ahli Kelab Mobikers Kuala Selangor yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, di samping 22 orang ahli SDZ telah dilepaskan oleh Adun Jeram, Yang Berhormat Dato’ Amiruddin Setro di perkarangan kaunter LZS (MAIS) Kuala Selangor.

Dalam majlis yang sama juga, Kelab Mobikers Kuala Selangor turut mengeluarkan zakat sebanyak RM300 yang disampaikan sejurus sebelum upacara pelepasan.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Utara LZS (MAIS), Mustafa Selamat, objektif program tersebut dilaksanakan bertujuan mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Islam.

“Di samping itu, ia bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan korporat berkenaan peranan LZS (MAIS) dalam membasmi kemiskinan dan juga mewujudkan semangat bekerjasama antara golongan korporat dan asnaf miskin,” jelas beliau.

Program sehari itu bermula dengan konvoi ke rumah Raudhah Idros, 65 di kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang. Di situ, para peserta konvoi secara bergotong-royong merobohkan rumah lama Raudhah setelah rumah baru yang berharga RM23 ribu sumbangan LZS (MAIS) siap dibina bersebelahan dengannya.

Kemudian, para peserta bergotong-royong membantu membina rumah Darussalam Muzio, 44 di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dengan bekerjasama mengangkut batu bata dan simen bagi membina rumah tersebut.

Program tersebut berakhir di Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor.

427 ANAK FAKIR MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

0

Bangi – Seramai 427 orang anak asnaf fakir miskin negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 16 Jun.

Mereka merupakan pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS (MAIS).

Daripada jumlah itu seramai 105 orang adalah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 113 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 111 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 77 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Manakala tujuh orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dua pelajar peringkat Sijil, sembilan pelajar peringkat Diploma dan tiga pelajar peringkat Sarjana Muda.

Seramai 53 orang pelajar menerima anugerah paling cemerlang dalam kategori masing-masing iaitu 27 pelajar UPSR, lima pelajar PMR, dua pelajar SPM, 14 pelajar PSRA, lima pelajar STAM, dua pelajar peringkat Sijil, lima pelajar peringkat Diploma dan dua pelajar peringkat Sarjana Muda.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat dalam aspek pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda.

“Saya bersyukur dengan anugerah yang diterima. Terima kasih juga kepada LZS (MAIS) yang banyak membantu kami sekeluarga. Dengan bantuan yang ada dapat membantu saya untuk terus belajar. Maklumlah ayah saya telah lama meninggal dan ibu hanyalah bekerja menjual minyak atar dan memberi khidmat bekam sahaja untuk menyara kami sembilan beradik,” ujar Munirah Ahmad, 19 salah seorang penerima anugerah anak asnaf paling cemerlang. Beliau mendapat keputusan cemerlang dalam STAM dan amat meminati bahasa Arab berharab dapat menyambung pengajian di Universiti Malaya.

Pada tahun lalu, LZS (MAIS) telah menyalurkan RM8.9 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi pembayaran yuran, pakaian, kelengkapan persekolahan, dermasiswa dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Pengerusi LZS Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa.

PERADUAN KUTIP HAMPIR RM 1/2 JUTA ZAKAT

0

Kuala Lumpur – Suatu majlis penyampaian hadiah kuiz online telah diadakan di ‘e-channels Department’, ibu pejabat Maybank baru-baru ini. Pemenang Utama Maybank2u.com LZS Zakat Paybills Contest merangkap pemenang bulanan ialah Puan Zubaida Yusoff. Beliau merupakan seorang pensyarah di Multimedia University (MMU).

Dengan kemenangan tersebut beliau layak menerima hadiah utama berupa sebuah telefon bimbit berjenama M.Mobile. Bagi hadiah bulanan pula, beliau turut sama menerima dokumen wasiat dan kad Al-Wasilah dari tajaan Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd.

Hadiah disampaikan oleh Encik Mohd. Rosli Abdullah, Ketua Bahagian Kutipan, Lembaga Zakat Sekangor (LZS). Turut sama dimajlis berkenaan ialah, Encik Ean Yaacob yang merupakan Ketua Pembangunan Perniagaan, e-Channels Maybank2u dan Encik Samsul Ikram Baharom, Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) M.Mobile (M) Sdn. Bhd.

Menurut Encik Mohd. Rosli, ‘Peraduan ini diadakan julung-julung kalinya mulai tahun lepas adalah bagi mengalakkan kesedaran berzakat dikalangan pembayar melalui perbankan internet selain menghargai di kalangan pembayar zakat. Kerjasama pintar ini dilihat positif khususnya dari segi prestasi kutipan didapati medium portal Maybank2u.com amat memberangsangkan sekali’.

Tambah beliau lagi, di sepanjang tempoh peraduan kenaikan kutipan sebanyak 40% berjaya dipungut iaitu mencecah RM1,064,064.69 jika dibandingkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2005 hanya sebanyak, RM638,527.17’.

Peraduan anjuran bersama LZS dan Maybank ini berlangsung mulai 1 Sya’aban 1427 sehingga 29 Muharram 1428 iaitu pada 24 Ogos 2006 sehingga 18 Februari 2007. Sasaran peraduan khusus kepada pembayar zakat yang membayar zakat ke LZS melalui perbankan internet di laman web, www.maybank2u.com.my.

SAZ GEMPUR KLANG

0

Klang – Setelah menggempur daerah Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor, Skuad Agihan Zakat (SAZ) Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS kini menggempur pula daerah Klang pada 12 Mei bertujuan membuat siasatan dan bancian rumah-rumah asnaf yang memerlukan baik pulih ataupun pembinaan semula rumah mereka.

Program ini telah dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Dato’ Abdul Rahman Palil di kediaman beliau di sini.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, program tersebut bertujuan bagi memastikan tidak ada lagi mereka yang tercicir dan memastikan mereka mendapat bantuan baik pulih ataupun pembinaan semula rumah yang telah uzur atau bantuan-bantuan lain seperti kemudahan elektrik dan air bersih.

“Selain itu dengan adanya program seumpama ini, ia akan dapat mengemaskan lagi data kemiskinan yang telah sedia ada di Selangor,” jelas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Jabatan Agihan dan Pembangunan Ummah LZS (MAIS), Zulkifli Abd. Hamid.

Berita Terkini