Utama Blog Halaman 162

RM15 GALAK GENERASI MUDA BERZAKAT

0

Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melancarkan produk terbaru ‘Skim Ahlan’ yang bermaksud selamat datang pada 8 Julai di sini bertujuan menggalakkan umat Islam khususnya generasi muda berzakat dengan kadar permulaan serendah RM15.

Produk terbaru ini telah disempurnakan pelancaran oleh YAD Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi LZS (MAIS).

Skim Ahlan merupakan produk LZS (MAIS) bagi mempromosikan zakat di negeri Selangor. RM15.00 adalah cadangan jumlah terendah yang boleh ditunaikan oleh pembayar zakat terutamanya mereka yang belum menunaikan zakat setelah taksiran dilakukan. Melalui Skim ini pembayar yang telah membuat bayaran RM15.00 atau lebih hendaklah berusaha melunaskan jumlah selebihnya setelah cukup haul kelak.

Antara objektif LZS (MAIS) melaksanakan Skim Ahlan ini ialah untuk mendidik masyarakat supaya tidak bertangguh dalam urusan berzakat dan mendidik masyarakat menunaikan zakat dengan jumlah yang rendah terlebih dahulu sebagai motivasi untuk menyempurnakan zakat mereka apabila tiba haul kelak.

Sempena pelancaran Skim Ahlan, LZS (MAIS) mensasarkan jumlah pembayar zakat di negeri ini akan meningkat secara drastik. Sepanjang tahun 2006, jumlah pembayar zakat di Selangor ialah 112,396 orang dan dijangka akan meningkat kepada 140,000 pada tahun 2007 (peningkatan kira-kira 20%).

LZS (MAIS) turut menampilkan kumpulan nasyid Nowseeheart, Aiman dan Mursyid serta mengadakan peraduan mewarna dan bercerita untuk kanak-kanak sempena promosi Skim Ahlan ini.

Sebelum ini LZS (MAIS) telah pun melancarkan beberapa produk lain seperti Skim Berkat, Zakat & Bank, Zakat @ Pos dan Zakat Padi.

Turut hadir S.S Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes Hj Abdul Wahid, Dato’ Seri Mufti DiRaja Negeri Selangor, Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir

ASNAF LZS KELUARKAN ZAKAT PERTAMA

0

Kuala Langat – Salah seorang asnaf Lembaga Zakat Selangor(MAIS) yang menerima bantuan zakat telah mula menunaikan zakat untuk dirinya bagi kali pertama baru-baru ini. Puan Afidah bt Sahit merupakan ibu tunggal kepada 4 orang anak telah mula menerima bantuan zakat sejak kematian suaminya pada tahun 2004 yang lepas.

Sejak 3 tahun lepas juga LZS telah memberikan bantuan asas kepada beliau dan keluarganya seperti bantuan Hari Raya, bantuan bulanan dan bantuan persekolahan kepada anak-anak beliau yang masih bersekolah. Selain itu, melihat kepada potensi yang ada pada beliau, LZS telah memberikan bantuan modal pusingan, bantuan peralatan dan premis perniagaan kepada beliau untuk menjalankan perniagaan membuat kek, roti dan muffin di hadapan rumahnya. Beliau mula menjalankan perniagaan setelah mendapat latihan dan bimbingan yang diberikan oleh LZS.

Berkat kesungguhan dan usaha beliau disamping pemantauan yang diberikan LZS, perniagaan beliau menjadi semakin maju dan mula menampakkan hasil yang diharapkan. Beliau telah mengeluarkan zakat perniagaan pada bulan Oktober sebanyak RM400 di Kaunter Zakat LZS Kuala Langat kepada pegawai zakat En Fadhli bin Yohman. Semoga perniagaan beliau akan terus maju.

KUMPULAN SATANG SELARAS POTONGAN ZAKAT BULANAN

0

Shah Alam – Kumpulan Satang telah menyelaraskan semua cukai pendapatan dan potongan zakat untuk kakitangan mereka secara bulanan baru-baru ini. Dalam satu majlis ringkas beru-baru ini, 10 orang Pengurus dari anak syarikat Kumpulan Satang telah melafazkan akad untuk simbolik mewakili kakitangan syarikat mereka membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan.

Kumpulan Satang yang diwakili oleh Pengurus Eksekutifnya telah meyerahkan replika cek potongan gaji yang berjumlah RM70 000 yang di terima oleh Puan Hajjah Adibah Abd Wahab selaku Pengurus Jabatan Dakwah dan Kutipan, Lembaga Zakat Selangor. Seramai 85 orang kakitangan Kumpulan Satang yang layak dikenakan PCB bulanan telah bersetuju menyelaraskan Cukai pendapatan mereka kepada potongan zakat bulanan

RM6.59 JUTA BANTU FAKIR MISKIN SAMBUT PUASA DAN HARI RAYA

0

Shah Alam – Seramai 9,452 orang fakir dan miskin di Selangor berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan bulan ramadhan dan hari raya apabila mereka menerima bantuan lebih awal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS.

Pada tahun ini sebanyak RM6.59 juta telah diperuntukkan LZS (MAIS) untuk diagihkan kepada golongan tersebut yang melibatkan 48 program di seluruh Selangor yang bermula pada 3 September lalu dan berakhir pada 27 September ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.1 juta diagihkan kepada 8,780 orang golongan miskin, manakala RM485,400 diagihkan kepada 672 orang golongan fakir dengan masing-masing menerima antara RM550 hingga RM1,000 setiap keluarga dalam bentuk wang tunai.

Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu seramai 2,053 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM1.42 juta. Ini diikuti daerah Kuala Selangor seramai 1,382 orang (RM944,700), Hulu Langat 1,326 orang (RM934,900), Petaling 1,027 orang (RM765,250) dan Kuala Langat 935 orang (RM620,750).

Hulu Selangor 883 orang (RM602,500), Klang 789 orang (RM551,850) manakala Gombak dan Sepang masing-masing seramai 765 orang dan 292 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM546 ribu dan RM205,550.

RM63.9 JUTA DIAGIH BAGI ENAM BULAN PERTAMA

0

Shah Alam – Sebanyak RM63.9 juta wang zakat telah diagihkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar, berkata jumlah tersebut telah meningkat RM11.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu, RM52.56 juta.

“Daripada jumlah itu, RM23.4 juta diagihkan kepada asnaf fisabilillah, miskin (RM18.8 juta), amil (RM11 juta), gharimin (RM6.1 juta) dan dikuti mualaf, RM3.27 juta. Selain itu asnaf fakir menerima RM707,936.93, riqab (RM391,358.91 dan ibni sabil sebanyak RM103,155,” jelas beliau

Selain itu, menurut Ahmad Shahir, LZS (MAIS) turut menyediakan sebanyak 426 unit rumah di 12 penempatan berkelompok di beberapa kawasan di negeri ini. Daripada jumlah itu, 110 unit di Merbau berdarah; Sungai Nipah (33 unit) dan Tebuk Pulai, 60 unit, semua di Sabak Bernam.

Manakala di Permatang Pasir, Kuala Langat; Jeram, Kuala Selangr; Sungai Kajang, Tanjong Karang; Sungai Nibong, Sabak Bernam dan Sekendi Sungai Besar masing-masing mempunyai 30 unit rumah.

Turut disediakan 25 unit di Bagan Nakhoda Omar, Parit Lapan Gambut (20 unit) di Sungai Besar dan masing-masing 14 unit di Tanjung Jawa, Sabak Bernam dan Kampung Pasir Putih, Kalumpang.

“Selain itu juga, LZS (MAIS) turut membeli pangsapuri kos rendah di beberapa buah Bandar bagi menangani kemiskinan di Bandar iaitu 100 unit di Subang Bestari, Subang dan masing-masing 20 unit di Pangsapuri Seri Rebana, Klang dan Pangsapuri Enggang, Puchong.

Sementara itu Pangsapuri Taman Tun Perak, Rawang; Pangsapuri Samudera, Pulau Indah dan Pangsapuri Taman Tanming Impian, Kajang, masing-masing 10 unit, diikuti Pangsapuri Megah Villa, Sepang (lima unit) dan Pangsapuri Cempaka, Puchong (lima unit),” jelas beliau lagi.

Kata beliau, sebanyak RM1.96 juta telah diagihkan kepada 791 penerima yang kini melanjutkan pengajian di institut pengajian awam dan swasta daripada RM5.19 juta yang diperuntukkan LZS (MAIS) untuk bantuan pendidikan.

Katanya, sebanyak RM1.6 juta pula diagihkan kepada 5,613 pelajar sekolah menengah, RM1.57 juta kepada 10,043 orang pelajar sekolah rendah dan RM50,500 kepada 487 murid prasekolah.

Pembiayaan tersebut tersebut melibatkan biasiswa, dermasiswa, yuran persekolahan, keperluan pendidikan, pembiayaan umum pelajaran dan program kecemerlangan pelajar.

493 MAHASISWA TAJAAN LZS (MAIS) DIRAIH

0

Shah Alam – Seramai 493 orang daripada 791 mahasiswa tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam negara diraikan di dalam Majlis Ramah Mesra Pelajar IPT Tajaan LZS (MAIS) pada 5 julai di sini.

Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato, Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa berkenan merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Mohamad Adzib menyeru agar semua mahasiswa tajaan LZS (MAIS) dapat belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan sebaik-baiknya peruntukan tajaan yang diberikan LZS (MAIS).

Selain itu, Mohamad Adzib dalam ucapannya juga, mengumumkan kenaikan elaun wang saku bulanan yang diterima pelajar daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan. “Saya harap para pelajar dapat menggunakan wang saku ini dengan sebaik-baiknya dan jangan habiskan untuk membeli top up telefon sahaja,” tegas beliau.

Beliau juga turut mengumumkan elaun tambahan kepada pelajar yang mengambil kursus bahasa asing di dalam pengajiannya. “Kita akan tambah RM50 bagi setiap bahasa yang dipelajari sebagai dorongan dan galakan kepada mereka,” jelas beliau lagi

Daripada jumlah 791 orang itu, seramai 335 orang mahasiswa merupakan pelajar yang baru mula menerima penajaan pada tahun 2007 dan selebihnya adalah pelajar lama. LZS (MAIS) mula membuka penajaan pengajian kepada anak-anak negeri Selangor sejak tahun 2005.

Sehingga kini, lebih RM6.5 juta telah diperuntukkan bagi penajaan pembiayaan pendidikan di dalam negeri ini. Bagi bulan Januari sehingga Jun tahun 2007 sahaja, LZS (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta.

Antara kursus-kursus yang diikuti ialah Diploma Pengurusan Pelancongan, Perbankan Islam, Pengurusan Maklumat, Pengajian Perniagaan dan Kejururawatan. Manakala di peringkat Ijazah pula ialah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sains dan Pendidikan.

LZS (MAIS) turut membuat penajaan di dalam bidang kemahiran dan vokasional seperti juruteknik elektrik rendah, mekanik kenderaan motor, pelukis plan, jurukomputer dan pembuatan pakaian.

LZS (MAIS) ANJUR SEMINAR TINGKAT KUTIPAN ZAKAT MELALUI KOPERASI

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menganjurkan Seminar Zakat dan Percukaian Koperasi bagi meningkatkan kesedaran membayar zakat perniagaan di kalangan koperasi pada 4 April lalu di sini.

Koperasi merupakan kumpulan pembayar zakat perniagaan ketiga terbesar selepas syarikat-syarikat perniagaan dan perbankan. Potensi untuk meningkatkan kutipan zakat juga adalah tinggi memandangkan kebanyakan koperasi menjalankan projek-projek yang besar dan menguntungkan di Selangor.

Mengikut statistik, tahun lalu hanya 52 koperasi yang menunaikan zakat berbanding 392 yang beroperasi di Selangor.

Dalam seminar ini peserta turut didedahkan dengan aspek pengiraan zakat perniagaan termasuk perkaitannya dengan cukai koperasi. Tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar ini iaitu, ‘Kewajipan Zakat Perniagaan Organisasi Koperasi’ oleh Pengarah Kewangan, UKM Holdings Sdn Bhd, Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa b. Syed Adwan Wafa, ‘Perkaitan Zakat Dengan Percukaian Koperasi’ oleh Presiden Persatuan Percukaian Malaysia, Abd. Aziz Abu Bakar.

Manakala Pengarah Audit dan Akaun JPK Malaysia, Idris Yahya, membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Percukaian Koperasi’.

Seminar setengah hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Kawal Selia) JPK Malaysia, Md. Yusof Samsudin. Turut hadir Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi LZS.

SDZ BERSAMA EON BANK

0

Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) melalui Skuad Dakwah Zakat (SDZ) telah bekerjasama dengan EON Bank dan AJK Masjid Al-Falah, USJ dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan memberi kesedaran berzakat kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan USJ 9 baru-baru ini.

Program SDZ tersebut telah berlangsung pada awal pagi dan berakhir sehingga solat Jumaat di Masjid Al-Falah, USJ. Program tersebut juga merupakan julung-julung kali diadakan dengan kerjasama daripada pihak bank iaitu EON Bank Berhad.

EON Bank adalah merupakan ejen kutipan zakat LZS (MAIS). Bermula pada tahun 2005 mereka telah menawarkan perkhidmatan kutipan zakat melalui kaunter-kaunter mereka yang berada di seluruh Negeri Selangor.

SDZ bergerak ke lokasi pertama dengan mengedarkan risalah Eon Bank dan Zakat Niaga kepada orang ramai dan premis-premis perniagaan di sekitar Pusat Perniagaan, USJ. Kunjungan muhibbah turut dibuat bersama Pengurus EON Bank cawangan berdekatan.

Pada sesi kedua, ahli SDZ bersama staf EON Bank sendiri yang diketuai oleh Encik Zainal Fitri mengadakan Ops Poket di lokasi strategik perumahan USJ dan juga kawasan sekitar Majlis Al-Falah. Sebanyak 2000 risalah zakat berjaya diedarkan melalui Ops Poket yang dijalankan di kawasan tersebut.

Sebelum menunaikan Solat Jumaat, pihak penganjur juga menyediakan kaunter pameran dan mengadakan sesi tazkirah serta khutbah Jumaat khusus tentang pembayaran zakat terkini. Khutbah tersebut telah disampaikan oleh pegawai daripada LZS (MAIS) sendiri. Majlis bersurai selesai solat Jumaat di masjid tersebut.

LZS (MAIS) ANJUR BAZAAR RAMADAN BANTU GOLONGAN MISKIN

0

SHAH ALAM,– Sempena Ramadan ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menganjurkan bazaar ramadan khusus untuk golongan miskin berniaga yang telah dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma MAIS di Seksyen 3 di sini pada 15 September.

Bazaar Ramadan ini merupakan aktiviti yang pertama seumpamanya diadakan bertujuan membantu asnaf zakat menambah pendapatan terutamanya untuk persiapan menyambut hari raya.

LZS (MAIS) menyediakan 103 tapak gerai beserta khemah di mana 70 daripadanya dikhususkan untuk golongan miskin.

Selebihnya adalah peniaga bukan asnaf dengan dikenakan bayaran sebanyak RM500 untuk sebulan. Baazar Ramadan ini dibuka mulai pukul 10.00 pagi bagi jualan kering dan 3.00 petang bagi juadah berbuka puasa sehingga ke pukul 10.00 malam.

Pelbagai jenis juadah berbuka puasa terdapat di sini termasuk produk keluaran asnaf yang menerima bantuan. Selain itu, untuk memberi lebih pilihan kepada pengunjung bazaar ini turut menyediakan gerai jualan kuih raya, pakaian, kasut, aksesori dan pelbagai lagi.

Turut disediakan pertunjukkan busana muslim dan persembahan nasyid oleh kumpulan Nowseeheart pada 15 Sept, Devotees pada 16 Sept, Saujana pada 22 Sept, Ustaz Amal pada 23 Sept, Far East pada 29 Sept, Mestica pada 30 Sept, E One pada 6 Oktober dan UNIC pada 7 Oktober bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke sini.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Mohamad Adzib turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang anak fakir miskin. Beliau juga turut berbuka puasa bersama mereka.

Hadir sama Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

SULTAN SELANGOR LANCAR BUKU ‘IBADAT ITU MUDAH’

0

Shah Alam – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan melancarkan buku Ibadat Itu Mudah: Bimbingan Untuk Pesakit, di Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Ramadan 1428 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 14 September.

Buku berkenaan diterbitkan oleh LZS (MAIS) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Insan MAIS yang memfokuskan kepada kaedah menunaikan ibadah bagi umat Islam yang sedang menjalani rawatan agar tidak menjadikan kesakitan sebagai alasan untuk tidak menunaikan ibadat.

Turut dimuatkan ialah cara berwuduk bagi pesakit, bertayamum, cara solat dalam keadaan sakit termasuklah juga aspek pengurusan dan solat jenazah. Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut dengan harga RM7.00 senaskhah.

Pada majlis itu juga, Sultan Selangor turut meraikan seramai 150 orang fakir dan miskin, 100 orang saudara baru serta 100 orang anak-anak yatim. Mereka masing-masing menerima saguhati Hari Raya sebanyak RM100 seorang.

Sementara itu, berucap kepada khalayak, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata sebanyak RM6.6 juta telah diagihkan kepada 9,452 orang fakir dan miskin sempena Ramadan pada tahun ini. Setiap fakir dan miskin menerima dari jumlah RM500 hingga RM1000 setiap keluarga, bergantung kepada jumlah tanggungan.

Di samping itu, beliau juga turut mensasarkan kenaikan kutipan zakat kepada RM180 juta berbanding RM160 juta pada tahun lalu. Kutipan zakat fitrah juga dijangka akan meningkat kepada RM12.2 juta pada tahun ini berbanding RM9.8 juta pada tahun lalu.

Berita Terkini