Utama Blog Halaman 160

LZS SERTAI PERBARISAN MAULIDUR RASUL 1429H

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyertai Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor yang telah berlangsung meriah di sini pada 20 April yang telah disertai oleh kira-kira 1,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta dan sekolah.

Sambutan dimulakan dengan acara perarakan yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim beserta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan sambil berselawat ke atas nabi. Perarakan bermula dari Stadium Mini Shah Alam dan berakhir di Stadium Melawati Seksyen 13, Shah Alam.

Sementara itu majlis sambutan tersebut juga telah diserikan dengan ceramah khas Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan juga persembahan nasyid dari beberapa kumpulan nasyid terkenal tanah air.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohamad Isa. Kontigen LZS diwakili oleh kakitangan perempuan seramai 45 orang yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS dan mendapat tempat kedua dalam Perbarisan Terbaik kategori Badan Berkanun/Swasta.

LZS (MAIS) TERUS DIKUNJUNGI

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus mendapat tempat sebagai lokasi untuk membuat lawatan sambil menimba ilmu apabila LZS (MAIS) terus menerus dikunjungi oleh organisasi dan badan lain.

Yang terbaru 31 orang dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Hal Ehwal Islam ILIM, Ustaz Mohamad Fishal Ahmad telah mengadakan lawatan sambil belajar ke LZS (MAIS) pada 5 Mac lalu.

Menurut Ustaz Mohamad Fishal tujuan lawatan sambil belajar ini adalah untuk mempelajari selok-belok perlaksanaan zakat di Selangor khususnya dari aspek kutipan dan agihan zakat.

“Ilmu yan diperoleh akan dipraktikkan di seluruh negara memandangkan para peserta kursus yang dianjurkan ILIM melibatkan peserta dari seluruh negara.,” jelas beliau.

BANTUAN HAMPIR RM7.9 JUTA UNTUK ANAK-ANAK FAKIR MISKIN MULAKAN PERSEKOLAHAN

0

Tarikh : 3/12/2008
Penulis : zool; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan hampir RM7.9 juta untuk anak-anak fakir miskin di Selangor bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 21,186 orang pelajar yang akan mula memasuki sesi persekolahan termasuk di peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan serta sekolah menengah agama dengan bantuan berbentuk wang tunai bagi pembayaran yuran dan pembelian keperluan peralatan sekolah.

Bagi peringkat tadika, bantuan adalah bernilai RM210 seorang, sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama pula antara RM260 hingga RM310, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula di antara RM370 hingga RM610 seorang.

Di samping itu, LZS juga turut memberi kursus-kursus berkaitan untuk anak-anak fakir miskin ini. Antaranya kursus kecemerlangan diri dan kursus motivasi bagi menghadapi peperiksaan.

Melalui bantuan ini adalah diharapkan akan dapat meringankan beban ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan. Bantuan ini juga dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak fakir miskin ini supaya tidak melihat kemiskinan itu sebagai halangan untuk berjaya.

BENGKEL ZAKAT INDUSTRI KEWANGAN

0

Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS) telah menganjurkan Bengkel Zakat Industri Kewangan bermula 30hb Januari hingga 31hb Januari di Hotel Bluewave Shah Alam. Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato Setia Hj Mohd Adzib B Mohd Isa.

Objektif bengkel ini terbahagi kepada dua iaitu membangunkan prinsip-prinsip umum taksiran zakat perniagaan untuk pelbagai institusi kewangan dan membangunkan prinsip-prinsip umum taksiran zakat untuk simpanan atau pelaburan dalam pelbagai jenis produk kewangan.

Bengkel yang diadakan buat julung-julung kalinya ini adalah pertemuan seumpamanya di Malaysia yang melibatkan perjumpaan pelbagai pihak (stakeholder) dalam persekitaran produk-produk kewangan seperti: institusi zakat, practitioner perbankan, kesatuan bank (AIBIM) dan badan kawal selia kewangan dan pasaran modal di peringkat kerajaan persekutuan (SC dan BNM).

Perbincangan menumpukan tentang prinsip dan asas kiraan zakat untuk simpanan atau pelaburan dalam harta-harta kewangan (financial assets) berbanding pelaburan dalam harta tetap (physical assets) yang secara umumnya tidak dikenakan zakat.

Pelbagai isu berkenaan simpanan dan pelaburan telah dibincangkan. Antaranya kewajipan zakat terhadap jumlah nilai akaun pendeposit (dana pendeposit) di dalam institusi perbankan. Ahli-ahli bengkel telah bersetuju bahawa dalam isu ini, kewajipan membayar zakat adalah di pihak kepada pendepositor itu sendiri dan bukannya bank atau institusi yang menguruskan dana deposit tersebut.

Sebaliknya, pembayaran zakat daripada jumlah dana deposit oleh pihak bank dilakukan atas konsep pilihan (bukan kewajipan) dan merupakan kelebihan sahaja. Isu ini berbeza dengan pembayaran zakat perniagaan untuk entiti perniagaan (bank atau institusi) di mana pembayaran zakat entiti adalah turut merangkumi pemilikan oleh pemilik-pemilik bersama (pemegang-pemegang saham). Ini selaras dengan hukum bayaran zakat harta bercampur (khultah) bagi harta yang disatukan untuk tujuan diniaga atau dikembangkan.

Perbincangan juga menerangkan bagaimana sifat dan kontrak deposit di bank jauh telah berubah berbanding dahulu. Selain daripada akad simpanan berbentuk ‘plain vanilla’ seperti wadiah yad dhamanah dan mudarabah, telah wujud applikasi akad-akad baru dalam kontrak deposit (atau deposit berstruktur) di institusi kewangan, seperti deposit berasaskan tawarruq, wakalah dan lain-lain.

Ahli bengkel juga telah didedahkan dengan kemajuan pesat dalam pembangunan produk kewangan Islam samada produk-produk di pasaran primer mahupun pasaran sekunder (dimana ‘aset atau sekuriti’ tersebut diperdagangkan untuk kali kedua dan seterusnya). Selain itu, bengkel ini juga membincangkan prinsip-prinsip taksiran zakat untuk ‘perniagaan’ institusi kewangan yang secara asasnya merupakan perniagaan perkhidmatan (samada memberikan pembiayaan daripada sumber deposit atau perkhidmatan berasaskan fi)

Sebelum bengkel berakhir, peserta bersetuju untuk mewujudkan satu bentuk kajian yang lebih terperinci berkenaan pelbagai aspek terkini yang wujud dalam pelbagai produk kewangan yang sifatnya kompleks, seterusnya melahirkan satu kerangka atau prinsip umum taksiran zakat untuk produk-produk ini.

Diantara wakil-wakil organisasi yang menyertai bengkel ini ialah daripada Prof Madya Dr Aznan Hassan, Ahli Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Nurdin Ngadimon, Jabatan Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti (SC), En Mohamed Rithuan Mohamed Shamsidun, Pengerusi Eksekutif, Persatuan Institusi Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) dan delegasi seramai enam orang daripada CIMB Islamic Bank Berhad yang diketuai oleh Tn Hj Ismail Mahayudin, Penasihat, CIMB Islamic Bank Berhad.

Dipihak LZS (MAIS), empat panel pakar rujuk LZS (MAIS) yang menyertai bengkel ini ialah Prof Madya Dato Hj Mokhtar Shafii, Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir, Prof Madya Syed Mohd Ghazali Wafa dan Prof Madya Dr Mujaini Tarimin. Peserta jemputan lain mewakili firma akauntan bertauliah AFTAAS, Wan Ali Jaafar & Associates serta Presden, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).

617 ANAK FAKIR MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

0

Kuala Selangor — Seramai 617 orang anak asnaf fakir miskin negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 31 Mei lalu. Mereka merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

Daripada jumlah itu seramai 162 orang adalah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 190 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 153 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 91 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 6 orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kecemerlangan pelajar diukur daripada jumlah A yang mereka peroleh iaitu minimum 3A bagi setiap peperiksaan.

Sementara itu, seramai 53 orang pelajar menerima anugerah paling cemerlang dalam kategori masing-masing iaitu 30 pelajar UPSR yang mendapat 5A, 25 pelajar PSRA yang mendapat Muntaz 4 pelajar PMR yang mendapat 9A, seorang pelajar SPM mendapat 11A, 14 pelajar PSRA dan 4 pelajar STAM yang mendapat Mumtaz.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat di bawah program pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda. Pada tahun lalu, LZS telah menyalurkan RM10.9 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi pembayaran yuran sekolah, kelengkapan persekolahan dan biasiswa pelajaran. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor,

PROGRAM ZIARAH MEDIA: JAMBATAN ERATKAN LZS (MAIS) DENGAN MEDIA

0

Shah Alam – Buat julung kalinya bersempena dengan Bulan Zakat Negeri Selangor (BZNS), Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mengadakan Program Ziarah Media bertempat di Karangkraf Sdn Bhd dengan disertai lima buah lori usahawan asnaf bergerak (mobile entrepreneur) baru-baru ini.

Program Ziarah Media tersebut dirangka khusus untuk meraikan para kakitangan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) yang sentiasa menyokong usaha LZS (MAIS) di dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam di Selangor.

Di samping itu, ia bertujuan mengeratkan silaturahim di antara kakitangan LZS (MAIS) dan media berkenaan dan membuka ruang kerjasama media yang lebih besar pada masa hadapan.

Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar di dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, program ini adalah lambang penghargaan LZS (MAIS) kepada pihak media.

Sementara itu, Hashim Anang selaku wakil KKSB pula mengharapkan kerjasama LZS (MAIS) dan KKSB ini akan berterusan dan menyeru kakitangan KKSB agar meningkatkan caruman zakat mereka melalui potongan gaji, memandangkan kini potongan zakat kakitangan KKSB baru berjumlah RM20,000 sebulan.

Majlis santai itu turut disajikan dengan pelbagai jenis juadah dan menu yang memikat selera hasil masakan para usahawan bergerak asnaf. Kakitangan KKSB turut diraikan dengan kuiz zakat dan cabutan bertuah bagi setiap penyertaan baru potongan zakat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor Dato’ Hj. Abdul Rahman Palil dan juga Pengarah Urusan KKSB Dato’ Hussamuddin Yaacub.

Dalam majlis yang sama, LZS (MAIS) turut menyerahkan sumbangan berupa sejadah, al-Quran dan Yasin untuk kegunaan surau KKSB. LZS (MAIS) turut merancang untuk mengadakan program yang sama di empat buah organisasi media yang lain.

SIMPOSIUM USAHAWAN ASNAF SELANGOR KUMPUL LEBIH 1,000 USAHAWAN ASNAF

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) menganjurkan Simposium Usahawan Asnaf Selangor (SUAS) bertujuan mengumpulkan lebih 1,000 orang usahawan dikalangan asnaf di dalam negeri Selangor dan memberikan satu suntikan khas tumbesaran perniagaan kepada mereka.

Simposium tersebut terbahagi kepada dua sesi iaitu, perbincangan tentang peluang-peluang perniagaan dan perbincangan hal berkaitan dengan sistem pinjaman atau pembiayaan perniagaan yang akan disampaikan oleh wakil dari setiap agensi.

Turut disampaikan Anugerah Usahawan Asnaf Harapan kepada lima orang usahawan yang menunjukkan kecemerlangan.

Hasil daripada persetujuan tersebut, diharap dapat mewujudkan satu hubungan yang dinamik di antara ahli DPMMS, usahawan asnaf dan agensi yang terlibat di dalam aspek bantuan kewangan atau geran serta melatih usahawan agar dapat memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi Melayu khususnya di Selangor.
Seterusnya DPMMS sebagai satu badan yang akan bertindak sebagai pemangkin dan pusat rujukan usahawan negeri Selangor akan mengenalpasti peluang-peluang kewangan yang perlu diagihkan kepada usahawan Melayu selepas adanya perjanjian bersama di antara DPMMS, LZS (MAIS) dan agensi-agensi yang terlibat.

Turut hadir YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat, dan Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.

SULTAN BERKENAN LANCAR BZNS 1429H

0

Banting – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk melancarkan Bulan Zakat Negeri Selangor (BZNS) di Masjid Jame’ Al-Ehsani, serentak dengan pelancaran Ma’al Hijrah 1429 Hijrah pada 10 Januari.

Titah ucapan Baginda Sultan Selangor telah dibaca oleh adinda Sultan Selangor, Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

BZNS adalah program tahunan LZS (MAIS) dan pada tahun ini diadakan dari 10 Januari sehingga 7 Februari 2008 dengan pengisian pelbagai program menarik. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan menyebarluaskan lagi maklumat kutipan serta kefahaman agihan zakat di kalangan umat Islam di negeri Selangor.

Bertepatan dengan tema ‘Zakat Menjana Ummah Gemilang’, pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang bulan Muharam ini. Di antaranya ialah Ziarah Media, Kaunter Mobil Zakat, Malam Sejuta Barakah, Simposium Usahawan Asnaf Zakat, Jom Berkat Sihat dan penyerahan Desa Kasih YBK kepada LZS (MAIS).

Turut dirancang ialah Karnival Tani, Perasmian Pusat Komuniti Asnaf Sungai Besar, Perasmian Pusat Dialisis LZS (MAIS) Sungai Besar, Persidangan Meja Bulat Zakat, Malam Kesenian Islam, Futsal Amal dan Perasmian Baitul Hasanah Kuala Selangor.

Sementara itu dalam majlis yang sama juga LZS (MAIS) turut menyampaikan sumbangan kepada lima NGO iaitu Jemaah Islah Malaysia cawangan Selangor, PERKIM Bahagian Selangor, Al-Hidayah, MACMA cawangan Selangor dan ABIM negeri Selangor.

Sumbangan sebanyak RM50,000 untuk setiap pertubuhan itu adalah sumbangan bagi aktiviti dakwah tahun 2008

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Tarmedi Omar; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YAD Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Mufti Negeri Selangor S.S Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

LZS (MAIS) BANTU RM30 RIBU UNTUK AZEAN

0

Petaling Jaya – Delegasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS diketuai Pengurus Besar Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar mengadakan kunjungan bersama media ke rumah biduanita Azean Erdawaty, 58 atau lebih dikenali ‘Kak Yan’ di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 21 Januari lalu untuk menyampaikan bantuan bernilai RM30,000.00 kepada beliau yang kini sedang menjalani rawatan akibat barah payu dara yang dihidapinya.

Walau bagaimanapun taraf kesihatan Kak Yan agak merosot pada hari berkenaan dan anak bongsunya, Enissa Erdayanty, 18 bertindak menjadi jurucakap bagi pihak ibunya. Turut sama menanti kehadiran kami ialah suami beliau, Khairil Anuar Zainal, 56.

“Ibu mengidap penyakit kanser yang memerlukan biaya yang besar. Sebenarnya ramai orang menyalah anggap, kononnya kerjaya seorang artis atau pelakon adalah mewah dan kaya. Untuk pengetahuan semua, sejak menjalani rawatan kimoterapi telah hampir setahun ibu tidak berkerja.”

Menurut anaknya lagi, Kak Yan kini sedang menjalani rawatan susulan kanser secara berterusan di Damansara Specialist Centre bagi rawatan TRANTUZUMAB INFUSION selama setahun dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM150 ribu dan juga rawatan radioterapi sebanyak RM20 ribu. Kos kedua-dua rawatan ini yang mencecah RM170,000.00 adalah amat tinggi dan menyebabkan mereka tidak mampu membiayainya secara persendirian.

“Wang simpanan kami telah habis. Justeru itu, ibu menghantar permohonan bantuan kepada pelbagai pihak dan setakat ini Lembaga Zakat Selangor nampaknya terlebih dahulu tampil memberikan bantuan. Biar pun jumlah itu hanya RM30,000.00; namun ia amat bermakna sekali.”

Ahmad Shahir semasa menjawab soalan wartawan menyatakan, LZS (MAIS) sentiasa prihatin dengan permohonan setiap umat Islam di negeri ini. Biar pun bantuan yang disampaikan itu hanya bernilai RM30,000.00; namun LZS (MAIS) masih boleh mempertimbangkan permohonan Kak Yan yang seterusnya untuk diberikan bantuan.

Ziarah berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan LZS (MAIS) kepada golongan artis yang tidak lupa menunaikan zakat mereka. Sebelum ini LZS (MAIS) pernah menyalurkan bantuan kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan, Imuda dan juga menawarkan bantuan kepada anak pelakon M. Rajoli yang akan melanjutkan pendidikannya ke Timur Tengah.

ZIARAH MEDIA DI KUMPULAN UTUSAN

0

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan program Ziarah Media di Kumpulan Utusan di sini pada 28 Januari bagi mengeratkan hubungan di antara institusi zakat dengan pihak media yang banyak membantu menyebarluaskan dakwah zakat.

Delegasi LZS (MAIS) telah dibawa melawat ke segenap ruang di sana antaranya ke Pusat Maklumat, Bahagian editorial dan Unit Foto.

Lawatan selama setengah hari itu turut di serikan dengan acara makan-makan bersama rakan media dan kuiz Zakat.

Turut hadir, pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Hj. Ahmad Shahir Makhtar dan Tan Sri M. Hashim Kamarudin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan.

Berita Terkini