Utama Blog Halaman 156

KAUNTER LZS DIBUKA 7 HARI SEPANJANG DISEMBER

0

Tarikh : 12/12/2008
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Bertemu lagi kita di ruangan ini. Semoga pengunjung semua sentiasa berada di bawah limpahan rahmat dari Allah sentiasa.

Sepanjang Bulan Disember ini, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) akan membuka semua kaunternya di seluruh negeri Selangor setiap hari. Ia bagi memberi ruang kepada umat Islam terutamanya di negeri ini untuk menunaikan kewajipan berzakat sebelum 31hb Disember 2007. Waktu kaunter dibuka adalah seperti berikut :

Isnin hingga Khamis : 8:30 pagi hingga 4:30 petang
Jumaat : 8:30 pagi hingga 12:15 tengahari dan 2:45 hingga 4:45 petang
Sabtu dan Ahad : 9:00 pagi hingga 3:00 petang

Oleh yang demikian, semua pembayar zakat yang masih belum menunaikan kewajipan zakat mereka bolehlah menggunakan kesempatan ini untuk menunaikan zakat anda. Setiap pembayaran zakat di LZS (MAIS) boleh mendapat rebet cukai pendapatan (LHDN). Semoga dengan usaha membayar zakat tersebut akan diluaskan lagi rezeki anda oleh Allah dan ditambahkan lagi keberkatan ke atas setiap harta yang dimiliki.

Dapatkan juga Kalender LZS 2009 yang menarik dan hanya boleh diperolehi sekiranya anda membayar zakat pada bulan ini. Semoga dengan usaha anda tersebut akan mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah, amin.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

“BERSAMA KONGSI KEJAYAAN” – ZIARAH ASNAF 2008

0

Tarikh : 11/24/2008
Penulis : Hamizul Abdul Hamid; Gambar: zool

Bagi berkongsi kejayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dalam membangunkan asnaf fakir miskin, kira-kira 60 orang peserta program Ziarah Asnaf 2008 berpeluang melihat sendiri kehidupan asnaf dari dekat. Mereka yang terdiri daripada para pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media telah dibawa menelusuri beberapa projek pembangunan asnaf zakat.

Lawatan bermula dengan pelancaran konvoi oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Hj Ahmad Shahir Makhtar. Tambah menarik, turut dilancarkan ialah Kempen Zakat & Fly yang menawarkan hadiah menarik terbang ke mana sahaja tajaan Firefly bagi pembayar zakat menerusi internet.

Lokasi pertama lawatan ialah Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Wisma MAIS, Seksyen 3 Shah Alam. Para peserta teruja dengan inovasi LZS (MAIS) mewujudkan pusat kemudahan khusus bagi kalangan fakir miskin dan mereka yang memerlukan rawatan dialisis secara tetap sepanjang hayat. Ia menjadi suatu syiar kepada keunggulan Islam di dalam menyantuni keperluan manusia.

Turut dilawati ialah dua buah perniagaan asnaf di Wisma MAIS tersebut, iaitu Dobi Point dan D’ Norm Delight Bakery And Catering. Kecekalan kedua-dua penerima bantuan zakat tersebut menyahut cabaran sehingga mampu membuka perniagaan telah didedahkan kepada para peserta. Nampak kepuasan pada wajah mereka dengan kejayaan dua orang asnaf terbabit.

Lokasi seterusnya ialah D’ Asnaf Kraf, iaitu lokasi pengumpulan dan penjualan kraftangan yang dihasilkan oleh kalangan ibu tunggal yang bernaung di bawah LZS (MAIS) sebagai asnaf fakir dan miskin. Kehadiran para peserta disambut meriah oleh para ibu tunggal yang sememangnya bersedia mempamerkan kecekalan menyiapkan kraftangan yang berasal daripada kertas surat khabar terpakai. Kemeriahan dan keputusan jelas terpancar apabila para peserta turut diberikan cenderamata khas sebagai kenang-kenangan.

Para peserta program kemudiannya dibawa menuju ke asrama anak-anak asnaf Baitul Hasanah di Kuala Selangor. Di sana, seramai 33 orang anak-anak asnaf sedia menanti. Dengan pakaian batik berseri mereka menyambut peserta yang tiba. Majlis ringkas diadakan di dewan solat asrama berkenaan.

Peserta kemudiannya diberikan taklimat ringkas operasi Baitul Hasanah oleh Ustaz Faizol yang bertugas sebagai Penyelia Baitul Hasanah Kuala Selangor. Secara umumnya, anak-anak Baitul Hasanah diletakkan di bawah pengawasan LZS (MAIS) agar penumpuan terhadap pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, bagi pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru diumumkan baru-baru ini, para pelajar Baitul Hasanah mencatatkan keputusan lulus 100% dan salah seorang dari mereka mendapat 3A 2B.

Para peserta program turut dihiburkan dengan beberapa lagu nasyid dendangan anak-anak Baitul Hasanah. Kemudian daripada itu, beberapa syarikat yang mengambil bahagian telah sudi menghulurkan sumbangan berupa buku-buku bacaan kepada Baitul Hasanah.

Setelah solat dan makan tengah hari, konvoi seterusnya dibawa ke sebuah rumah En. Razali Patah, 34, iaitu penerima bantuan zakat di Tanjung Keramat. Dari luar rumah sudah jelas kedaifan rumah berkenaan yang nampak lebih ketara apabila dihimpit kiri dan kanan oleh rumah-rumah batu yang jauh lebih cantik, moden dan kukuh. Turut menagih simpati ialah ibu kepada tuan rumah berkenaan turut mengidap sakit jantung. Beberapa peserta tampil menghulurkan sumbangan peribadi mereka.

Destinasi terakhir ialah Kolam Memancing Wak Nan, milik Hasnan Alan, 60 di Tanjung Karang. Beliau merupakan asnaf miskin yang menerima bantuan projek kolam pancing bernilai RM7500. Kecekalan Wak Nan dikagumi dalam usahanya membangunkan kolam pancing tersebut.

Lawatan telah berakhir di Wisma MAIS, Shah Alam dalam lingkungan pukul 5.00 petang.

Ucapan penghargaan turut diberikan kepada Polis Trafik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, para peserta program, ahli-ahli korporat dan rakan-rakan media, Bahagian Pengangkutan JAIS, Syarikat Penerbangan FireFly Sdn Bhd, Bank Islam Bhd, Advance Power Solution Sdn Bhd, RD Management Services, Hotel Delta Inn, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Syarikat-syarikat dan individu yang membuat sumbangan.

LZS TINGKAT KEMPEN TUNAI ZAKAT MELALUI ‘ZAKAT N FLY’

0

Tarikh : 11/19/2008
Penulis : zool; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan kempen ‘Zakat N Fly’ sebagai salah satu mekanisme promosi zakat online bertujuan meningkatkan lagi pembayaran zakat pada 14 November lalu dalam satu majlis di sini.

Kempen yang mendapat kerjasama daripada FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) selaku penaja utama ini, menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk 12 tiket pergi balik ke destinasi terpilih dari Firefly, telefon bimbit dan sebagainya.

Ia merupakan satu galakan kepada pembayar zakat, khususnya kepada mereka yang menggunakan perbankan internet sebagai medium pembayaran zakat.

Kempen ini terbuka kepada seluruh pembayar zakat yang sedia ada atau pembayar baru di LZS yang menggunakan medium perbankan internet bermula 1 November sehingga 31 Disember 2008.

Melalui kempen ini LZS akan memilih pemenang berdasarkan jumlah transaksi pembayaran zakat terbanyak dan jumlah nilai zakat tertinggi yang dibayar melalui perbankkan internet dalam tempoh kempen meliputi semua jenis zakat. Tiada borang penyertaan diperlukan.

Kempen ini adalah salah satu mekanisme mempromosikan kaedah pembayaran zakat online selain kaedah sedia ada seperti pembayaran zakat di kaunter, phone banking, kad kredit, SMS dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my.

ZAKAT FIRAH SECARA ONLINE?

0

Tarikh : 11/9/2008
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Selamat datang kepada semua pengunjung-pengunjung portal ezakat. Semoga tuan/puan berada dalam keberkatan dan kerahmatan daripada Allah sepanjang bulan Ramdhan Al-Mubarak ini.

Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah melangkah setapak lagi kehadapan dalam menyediakan kemudahan pembayaran zakat di Malaysia dengan memperkenalkan kaedah membayar Zakat Fitrah secara Online. Melalui kaedah ini orang ramai boleh membuat bayaran zakat fitrah mereka walau di mana mereka berada tanpa melalui amil yang dilantik.

Kaedah ini sesuai untuk mereka yang sibuk dan tidak berkesempatan untuk mengunjungi kaunter-kaunter zakat maupun amil yang dilantik LZS di kawasan tempat tinggal mereka. Kadar minimum bayaran fitrah melalui pembayaran online ini adalah sebanyak 2 orang iaitu RM10.40. Akad bagi pembayaran online akan dipaparkan pada akhir transaksi tersebut. Untuk pengetahuan semua akad bagi pembayaran zakat adalah SUNAT sahaja. Pembayaran zakat sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta boleh dilakukan dengan niat yang betul tanpa melalui akad.

Untuk membuat bayaran Zakat Fitrah secara Online anda boleh klik di Link ini : BAYAR ZAKAT SECARA ONLINE

Sekian, wassalam.

LZS (MAIS) SAMPAI SUMBANGAN KEPADA BAKAL HAJI

0

Tarikh : 10/28/2008
Penulis : zool; Gambar: Bahrin (UPRO JAIS)

Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyampaikan sumbangan kepada 62 orang bakal haji dalam majlis menghadap DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini pada 19 Oktober.

DYMM Sultan Selangor telah berkenan menyampaikan sumbangan tersebut yang berupa kain ihram, buku Panduan Haji dan Umrah, beg beserta mafla kepada bakal haji lelaki dan telekung kepada bakal haji wanita.

Daripada jumlah tersebut seramai lima orang bakal haji telah menerima anugerah menunaikan haji daripada DYMM Tuanku dan dua orang oleh Kerabat DiRaja Selangor dan Dato’-Dato’ DiRaja Selangor.

LZS (MAIS) juga tidak ketinggalan menganugerahkan anugerah tajaan haji kepada tiga orang kakitangannya. Ini merupakan tahun pertama LZS (MAIS) menganugerahkan anugerah tersebut sebagai menghargai kakitangan dan mengikut jejak kerajaan negeri Selangor dan ejensi kerajaan yang lain.

Selain itu, seramai 22 orang penjawat awam Negeri Selangor turut menerima anugerah yang sama daripada Kerajaan Negeri Selangor. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga turut mengikut jejak Kerajaan Negeri Selangor apabila turut memberi anugerah yang sama kepada kakitangan masing-masing dengan MBPJ menganugerahkan kepada 15 orang dan MPAJ seramai tiga orang.

Selain daripada itu, 10 orang jawatankuasa masjid karyah di negeri selangor terdiri daripada Nazir, Imam, Bilal dan Siak juga turut bertuah apabila menerima anugerah yang sama daripada Majlis Agama Islam Selangor.

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim; EXCO Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Dato’ Haji Hassan Mohamed Ali; Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohd Adzib bin Mohd Isa, dan Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyumbangkan sebanyak 5000 buku Panduan Haji dan Umrah, beg dan mafla kepada bakal haji di Selangor semasa krusus Haji Perdana yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam baru-baru ini.

LZS BANTU IBU TUNGGAL, HALINAH BIBI

0

Tarikh : 10/23/2008
Penulis : editor

SHAH ALAM, 14 Oktober 2008 – Berikut maklumbalas Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengenai kes keluarga Halinah Bibi Din Muhamis, 50, yang berita mengenai beliau sekeluarga bertajuk ‘Sewa rumah bebankan ibu tunggal’ yang tersiar di akhbar Sinar harian pada hari Isnin, 6 Oktober 2008.

Menurut laporan akhbar berkenaan, beliau kini menanggung kesusahan akibat pendapatan yang kecil dan terpaksa mengangung tunggakan sewa rumah.

Untuk makluman, melalui rekod LZS keluarga Halinah Bibi merupakan asnaf miskin yang berdaftar dan menerima bantuan sejak tahun 2004. Ini melayakkan keluarga beliau untuk menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM150.00 tahun 2004 hingga RM250.00 tahun 2008. Beliau juga penerima bantuan hari raya daripada tahun 2004 hingga tahun 2008 sebanyak RM650.00 setiap tahun.

Selain itu beliau juga menerima bantuan pendidikan anak asnaf fakir miskin dari tahun 2004 hingga 2008. LZS prihatin dengan masalah sewaan yang dihadapi oleh Halinah Bibi dan sedang dalam pertimbangan bagi membantu menangani masalah tuggakan tersebut.

Bantuan yang diberikan ini diharap dapat meringankan bebanan beliau dalam menjalani kehidupan harian. LZS juga amat berterima kasih kepada pihak media yang prihatin dalam menyalurkan maklumat mereka yang berada di dalam kesusahan.

MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN ZAKAT LZS

0

Tarikh : 10/17/2008
Penulis : CT Norkhayati Rabani; Gambar: Ihsan Sinar Harian

Batu 8, Gombak – Seramai 35 mangsa banjir dari Batu 9 Kampung Gombak Utara dan Kampung Sungai Chinchin telah menerima bantuan awal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali akibat banjir yang berlaku di kawasan mereka baru-baru ini.

Bantuan disampaikan kepada sebahagian daripada mangsa sahaja kerana jumlah keseluruhan mangsa masih belum dapat diperolehi sepenuhnya.

Bagi penerima sumbangan Anuar Othman dari Kampung Sungai Chinchin berkata, ini pertama kali rumahnya dinaiki air dan berterima kasih kepada LZS yang memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat. Sumbangan yang diterima dapat meringankan beban beliau sekeluarga.

Manakala Zainab Ismail pula berkata, “ sumbangan yang diterima dapat meringankan beban dia sekeluarga yang terpaksa mengalami kerugian akibat banjir yang berlaku.

Sementara itu, LZS juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 kepada keluarga mangsa Zadain Zainal, 41 yang dipercayai hilang ketika sedang mandi apabila bilik airnya runtuh akibat dilanggar kayu balak sehingga dia terjatuh ke dalam sungai lalu dibawa arus deras.

BAYAR ZAKAT KEPADA AMIL WANITA?

0

Tarikh : 10/15/2008
Penulis : Hamizul

Assalamualaikum wbt.

Salam syawal kepada semua pengunjung portal. Semoga kita semua tidak terlalu ghairah berhari raya sehingga terlupa untuk berpuasa enam. Isu kali ini ingin menyentuh mengenai isu Amil Zakat Wanita. Kenapa? Ya, baru-baru ini semasa Ramadan, ada pihak yang menegur LZS kerana menghantar amil wanita untuk mengutip zakat.

Tidak dapat dipastikan, adakah teguran itu dibuat kerana merasakan zakat mereka tidak sah atau sempurna apabila diterima oleh amil muslimah? Atau kerana semasa berakad, mereka tidak boleh menggenggam tangan amil maka mereka rasa tidak puas. Atau juga kerana doa selepas akad dibacakan oleh seorang perempuan sedang yang mengaminkannya lelaki, maka lagilah mereka merasa tidak puas.

Apa-apa pun alasannya, hanya mereka yang tahu. Namun, suka dinyatakan bahawa di dalam penetapan amil, sejak zaman rasulullah saw sehingga ke saat ini, tidak pernah kita tersua dengan sepotong ayat pun yang mensyaratkan amil mestilah lelaki.

Benar, Muadz bin Jabal r.a diutus ke Yaman sebagai amil; tetapi juga sebagai gabenor. Namun itu bukan tandanya muslimah tidak boleh dilantik sebagai amil.

Di dalam kitab Fiqh Az-Zakat (terjemahannya Hukum Zakat) oleh Yusuf Al-Qardhawi, beliau menyatakan: “yang dimaksudkan amil zakat ialah, mereka yang melaksanakan segala kegiatan urusan zakat, mulai dari mengumpul…dan membahagikannya kepada mustahiknya (penerima).”

Jadi, tak salahlah LZS melantik amil dari kalangan muslimah. Barang harus diingatkan, zakat itu sah di sisi Allah SWT apabila berlaku dua perkara: Niat dan perpindahan harta kepada mustahiknya.

Wallahua’lam.

* Petikan diambil dari Blog LZS di https://blog.e-zakat.com.my

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI DARIPADA LZS

0

Tarikh : 9/29/2008
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Selamat datang kepada semua pengunjung-pengunjung portal ezakat. Semoga tuan/puan berada dalam keberkatan dan kerahmatan daripada Allah sepanjang masa terutamanya di hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini.

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan umat Islam berpuasa , seluruh umat Islam akan menyambut ketibaan bulan Syawal tidak lama lagi. Dikesempatan ini, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di seluruh dunia dan di Negeri Selangor secara khususnya.

Semoga segala amalan kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah. Setelah kembali kepada fitrah selepas berakhirnya Ramadhan, jadikanlah segala amalan baik di bulan tersebut sebagai amalan seharian kita selepas ini. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang beruntung di hari akhirat kelak,amin.

Marilah kita bersama bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai di hari lebaran ini. Lupakan sengketa lama, rapatkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah sesama muslim. Ambillah kesempatan ini untuk berjumpa dengan orang tua di kampung.

LZS juga ingin menyeru kepada seluruh umat Islam yang ingin pulang beraya ke kampung halaman agar berhati-hati ketika berada di jalan raya. Rancanglah perjalanan anda dengan baik, servis kenderaan anda sebelum pulang berhari raya dan tidak lupa membaca doa menaiki kenderaan sebelum bertolak. Pandulah dengan cermat dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya.

Akhir sekali, Selamat Menyambul Hari Lebaran dari Editor. Semoga perjalanan anda semua selamat,amin.

Sekian, terima kasih.

EKAD RAYA KEMBALI!!

0

Tarikh : 9/24/2008
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Selamat datang kepada semua pengunjung-pengunjung portal ezakat. Semoga tuan/puan berada dalam keberkatan dan kerahmatan daripada Allah sepanjang masa di dalam Bulan Ramadhan ini.

Pada minggu hadapan, seluruh umat Islam akan menyambut ketibaan Aidilfitri. Oleh itu, LZS (MAIS) telah menyediakan satu perkhidmatan Ekad kepada semua pengunjung portal ini bagi menghantar ucapan kepada keluarga dan sahabat handai. Perkhidmatan ini telah disediakan oleh Unit ICT LZS secara percuma kepada semua.

EKAD tersebut boleh dihantar melalui link ini : EKAD RAYA LZS (MAIS)

Dalam kita sibuk menyediakan persiapan hari raya, janganlah kita lupa untuk mengejar malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Bulan Ramadhan ini. Kita semua telah maklum tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahwasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan, Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”.

Semoga kita semua mengambil manfaat yang besar tersebut dengan meningkatkan lagi amalan pada penghujung Ramadhan ini. Diingatkan juga supaya semua umat Islam tidak lupa menunaikan Zakat Fitrah yang telah diwajibkan kepada semua umat Islam.

Selain itu, semua umat Islam digalakkan menunaikan zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat emas dan sebagainya pada bulan Ramadhan ini kerana pahala amalan berzakat akan berganda sepanjang bulan ini. Setiap bahayaran zakat harta akan mencapat cederahati percuma berupa sampul raya khas dari LZS. Kunjungi 22 buah kaunter LZS (MAIS) yang berada diseluruh Negeri Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut atau hubungi Talian Khidmat Pelanggan LZS 03-55227777 atau email ke editor@e-zakat.com.my.

Sekian, terima kasih.

Berita Terkini