Utama Blog Halaman 155

LZS (MAIS) ANJUR BENGKEL TAKSIRAN ZAKAT KEPADA EJEN CUKAI DAN FIRMA AUDIT

0

Tarikh : 1/17/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menganjurkan Bengkel Taksiran Zakat Bersama Ejen Cukai dan Firma Audit bertujuan memberi kefahaman tentang zakat pada 11 Mac di sini bagi memudahkan mereka membuat taksiran zakat kepada pelanggan masing-masing.

Bengkel disertai seramai 26 wakil daripada ejen cukai dan firma audit memberi fokus kepada asas-asas pengiraan zakat khususnya zakat perniagaan. Mereka turut didedahkan tentang sistem penyerahan maklumat pembayaran zakat kepada LZS menggunakan sistem IT.

Sehingga kini, LZS (MAIS) mempunyai 42 ejen kutipan daripada Ejen Cukai dan Firma Audit.

TIGA ASNAF TERIMA BANTUAN LORI

0

Tarikh : 1/12/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menyampaikan bantuan keusahawan kepada tiga orang asnaf miskin yang berpotensi dalam bidang perniagaan. Mereka menerima sebuah lori pengangkut (satu tan) dan modal pusingan untuk perniagaan mengedar gas memasak.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 1 Mac kepada Osman Jailani, 43, Shahadan Che Yin, 40 dan Muhamad Abdullah, 41.

Untuk tujuan ini, LZS telah membelanjakan RM90,000 bagi tujuan wang pendahuluan pembelian lori dan modal pusingan.

Bantuan usahawan membekal gas memasak ini merupakan program perniagaan yang diberi kepada peserta terpilih melalui bantuan zakat. Pemilihan peserta dilakukan dengan syarat tertentu untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja menerima bantuan ini.

Usahawan yang dikenalpasti didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus sebelum memulakan perniagaan dan ia dilihat sebagai mekanisme yang terbaik dalam membasmi kemiskinan. Sebelum ini, LZS telah menyerahkan sepuluh buah lori kepada asnaf miskin yang dikenali sebagai program usahawan bergerak atau ‘mobile entrepreneur’.

RM7.5 JUTA UNTUK PEMBINAAN SEKOLAH RENDAH AGAMA

0

Tarikh : 1/7/2009
Penulis : Editor

Bangi – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan bantuan sebanyak RM7.5 juta bagi membantu pembinaan tujuh buah sekolah rendah agama yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini baru-baru ini.

Bantuan ini disampaikan kepada Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa, Serendah sebanyak RM4.5 juta bagi dua blok bangunan sekolah, 30 buah bilik termasuk bilik pentadbiran, satu blok kantin dan satu blok surau. Manakala Sekolah Rendah Agama Giching, Sepang, Sekolah Rendah Agama Kuang, Gombak, Sekolah Rendah Agama Felda Sungai Buaya, Sekolah Rendah Agama Kanchong Darat, Hulu Langat, Sekolah Rendah Agama Bukit Hijau, Kuala Selangor dan Sekolah Rendah Agama Kg. Pasir Baru, Hulu Semenyih masing-masing menerima RM500,000 untuk pembinaan enam buah kelas tambahan.

Bantuan yang diberikan ini merupakan salah satu bentuk bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah.

PROGRAM FIESTA AMAL TARIK MINAT KAKITANGAN MAS

0

Tarikh : 1/6/2009
Penulis : editor

Sepang – Bersempena dengan Tahun Zakat Selangor 1430H dan Bulan Dakwah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), satu Program Fiesta Amal diadakan bertempat di Pusat Muktamar Islam MAS (PMIM) anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS), PMIM, IluvIslam.com dan IKIM fm yang dirasmikan oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Dr. Munir Abdul Majid baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut diserikan dengan Forum Ad-Deen membicarakan tajuk ‘Meraih Rezeki, Berkat Dicari’, berjaya menarik minat ribuan kakitangan MAS dan anak-anak syarikat. Forum yang dimoderasikan oleh Penerbit Kanan Rancangan Radio IKIM.fm, Ustaz Mahathir Shaharuddin dan dikupas oleh dua panel berkaliber, Eksekutif Dakwah LZS (MAIS), Ustaz Mohd Uda Kasim dan Penerbit Rancangan Radio IKIM.fm, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

Turut diadakan ialah pembukaan kaunter yang melibatkan jualan produk-produk niaga, kaunter LZS (MAIS), D’Asnaf Kraf, pameran Karangkraf, Islamic Relief Malaysia, Iluvislam.com dan IKIM.fm.

STATUS MASALAH IBU TUNGGAL FAKIR/MISKIN PPRT KOTA DAMANSARA

0

Tarikh : 1/1/2009
Penulis : Editor

Apakah perkembangan permohonan tunggakan sewa rumah bagi ibu tunggal di PPRT Kota Damansara?

Permohonan yang telah diterima daripada mereka sebanyak 34 permohonan. Hasil siasatan yang telah dilaksanakan pada Sabtu lalu (31 Julai), didapati tidak semua daripada mereka layak menerima bantuan kerana tidak menepati haddul Kifayah (Garis Penentuan Kemiskinan).

Didapati daripada 34 permohonan itu, hanya 17 permohonan sahaja yang layak. Mereka ini akan dibantu di bawah asnaf Gharimin.

Dan untuk makluman daripada permohonan itu, hanya 7 orang daripada mereka adalah ibu tunggal dan manakala yang lain masih mempunyai suami (keluarga).

Daripada 7 orang ibu tunggal tersebut, 4 daripada mereka adalah asnaf zakat yang telah menerima pelbagai bantuan seperti bantuan pendidikan, bulanan, hari raya dan sebagainya.

TV3NEWS

Bagi kes Siti Aishah Mohd Yusof (jurucakap)
Siti Aishah adalah asnaf zakat yang telah didaftarkan sejak tahun 2008 lagi. Pada tahun 2008, beliau telah menerima bantuan wang kecemasan sebanyak RM400.

Manakala bagi bantuan pada tahun 2009, beliau telah menerima bantuan kewangan bulanan bermula Mac sebanyak RM250, dan pada bulan April dinaikkan kepada RM400 sehingga sekarang. Beliau juga telah menerima bantuan kecemasan pada Jun sebanyak RM150, bantuan tunggakan sewa rumah sebanyak RM2,000 pada bulan Jun, bantuan perubatan anak (RM250), bantuan cermin mata anak (RM200) dan bantuan kecemasan baru-baru ini sebanyak RM300.

Bagi Kes Arbaiyah binti Sulaiman (Salah seorang ibu tunggal)
Beliau telah didaftarkan sebagai asnaf zakat sejak tahun 2008. Bantuan yang diterima oleh beliau ialah bantuan tunggakan bil elektrik sebanyak RM535.50, hutang bil air (RM80), bantuan makanan bulanan, bantuan menjelaskan hutang sewa rumah (RM372), bantuan Ramadan dan Hari Raya (RM750) dan bantuan pendidikan anak (RM630).

Bagi tahun 2009, bantuan makanan bulanan diteruskan selain menerima bantuan pendidikan anak sebanyak RM400 dan menjelaskan hutang sewa rumah sebanyak (RM496).

Beliau ada memohon bantuan kewangan bulanan, tetapi didapati tidak layak kerana pendapatan isi rumah melebihi haddul kifayah setelah dibuat siasatan.

Berapakah jumlah ibu tunggal yang telah LZS bantu?
Zakat bukan diperuntukkan kepada ibu tunggal, sebaliknya zakat adalah untuk mereka yang fakir, miskin dan yang termasuk di dalam asnaf yang lapan sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran surah at Taubah ayat 60.

Tetapi jika ibu tunggal itu menepati hadul kifayah, dan dikategorikan sebagai asnaf fakir atau miskin, dia layak menerima bantuan zakat.

Pada tahun 2008, LZS telah membantu seramai 11,495 orang asnaf fakir dan 7,140 orang asnaf miskin. Jumlah keseluruhan fakir dan miskin di Selangor tahun 2008 adalah seramai 18, 635 orang

Kini LZS dalam proses agihan bantuan persiapan Ramadan dan Hari Raya bagi fakir dan miskin di Selangor. Dianggarkan seramai 22,000 orang asnaf fakir dan miskin tahun ini akan menerima bantuan. Agihan ini akan bermula pada 4hb Ogos sehingga 25hb Ogos. Terdapat 46 program yang telah disusun di seluruh Selangor. Bantuan minimun yang akan diterima oleh asnaf miskin sebanyak RM550 dan maksimum sebanyak RM1,000 (bergantung kepada tanggungan). Manakala bagi asnaf fakir pula minimum adalah sebanyak RM600 dan maksimum sebanyak RM1,000 (bergantung kepada tanggungan).

Apakah usaha LZS dalam membantu ibu tunggal fakir dan miskin ini?
Bagi agihan di Selangor, LZS tidak menyediakan umpan sahaja. Malahan menyediakan pancing untuk mereka. Iaitu mendidik mereka berdikari. LZS menitikberatkan 4 program utama bagi membangunkan mereka iaitu Program Pembangunan Insan (kursus-kursus pembangunan diri, keluarga, ekonomi dan sebagainya); Program Pembangunan Ekonomi (bantuan modal dan kursus); Program Pembangunan Pendidikan (keseluruhan pendidikan anak-anak ditanggung, disediakan kursus persiapan peperiksaan, motivasi, asrama, kelengkapan pendidikan); dan Program Pembangunan Sosial (perlindungan seperti bantuan bina rumah baru, baik pulih rumah, sewa rumah, sakit kronilk) dan sebagainya. Sehingga kini, LZS menyediakan lebih 100 jenis bantuan untuk keseluruhan asnaf di Selangor.

Selain daripada bantuan sara hidup seperti bantuan bulanan, pendidikan anak, bantuan persiapan Ramadan dan Hari Raya, LZS akan mengenal pasti potensi asnaf dalam bidang-bidang tertentu yang membolehkan mereka berdikari, contohnya:

1. Perniagaan seperti kedai runcit, taska, pendidikan, dobi, dan sebagainya.
2. Kraf tangan.
3. Pertanian.
4.Jahitan.
5. Dobi.
6. Perikanan.
7.Ternakan; itik, kambing dan sebagainya.

LZS juga menyediakan bantuan berbentuk homebase, iaitu membuat kraf tangan di rumah yang dikendalikan oleh di D’ Asnaf Kraf. Apa yang penting mereka ingin belajar dan sentiasa berusaha. Walau bagaimanapun, hanya mereka yang telah menjadi asnaf fakir dan miskin sahaja layak untuk memohon bantuan seperti yang disebutkan.

Bagaimanakah cara memohon bantuan?
• Pemohon bolehlah memohon bantuan di 22 kaunter zakat di seluruh Selangor.

• Melalui penolong amil yang telah dilantik seperti nazir masjid, ketua kampung dan sebagainya.

• Setiap pemohon hendaklah mengisi borang bancian dengan lengkap dan akan disiasat terlebih dahulu sama ada menepati haddul kifayah atau sebaliknya, mengikut kriteria dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.

JEJAK BERKAT AGIH 1,000 UNIT PERALATAN IBADAH

0

Tarikh : 1/1/2009
Penulis : Muhammad Taufiq Mohamed Saaid

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) (MAIS) menganjurkan Ops Jejak Berkat dengan menyampaikan peralatan ibadah berupa 1,000 unit telekung dan sejadah kepada surau di syarikat-syarikat terpilih di Negeri Selangor bermula 21 April.

Peralatan ibadah yang diserahkan adalah merupakan sebahagian daripada peruntukan zakat untuk institusi agama yang diserahkan semula kepada masyarakat melalui peruntukan asnaf fisabilillah untuk kegunaan masyarakat khususnya di surau dan masjid di Negeri Selangor.

Menurut Pengarah Ops Jejak Berkat, Mohd Syahril Zainol matlamat utama Ops Jejak Berkat untuk memperhebatkan kempen promosi Skim Berkat melalui penghayatan terhadap dana wang zakat. Ia juga diharap boleh dimanfaatkan semula oleh pembayar zakat melalui peralatan ibadah yang diserahkan kepada surau syarikat yang telah membuat bayaran zakat melalui potongan gaji untuk kakitangan.

“Kejayaan LZS (MAIS) di dalam mengutip serta mengagihkan dana zakat selama ini adalah hasil dari kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap sistem pengurusan cekap yang diamalkan oleh LZS (MAIS). Pengagihan peralatan ibadah kepada surau di syarikat ini merupakan iltizam dan komited LZS (MAIS) dalam membangunkan ummah madani di negeri Selangor ” ujar beliau.

Sementara itu satu majlis ringkas pelancaran Ops Jejak Berkat telah berlangsung di Permanis Sdn Bhd dengan dihadiri oleh Ketua Bahagian Majikan, Azhar Yahya Arif dan Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia Permanis Sdn Bhd, Azaruddin Othman.

LZS TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI DARI MAIDAM

0

Tarikh : 1/1/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menerima kunjungan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di sini pada 25 dan 26 Februari bertujuan berkongsi pengalaman tentang pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor.

Delegasi seramai 16 orang ini di ketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tn. Hj. Wan Harujan bin Sulaiman.

Mereka telah diberi taklimat tentang pengurusan dan agihan zakat di Selangor dan melawat projek agihan zakat sekitar Shah Alam dan Sabak Bernam.

Projek agihan yang dilawati ialah Pusat Dialisis, Katering, Dobi Point, D’ Asnaf Kraf, Daruss Salamah (Penempatan Orang Tua), D’ Asnaf Aggun (bengkel Jahitan) dan Desa Ehsan Sg. Nibong (Perumahan Berkelompok).

LZS LANTIK AL-RAJHI BANK SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT

0

Tarikh : 12/18/2008
Penulis : M. Shahril Hj. Zainol

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melantik Al-Rajhi Bank sebagai agen kutipan zakat yang membolehkannya menerima pembayaran zakat. Majlis Perlantikan Bank Al-Rajhi sebagai ejen kutipan zakat telah ditandatangani pada 12 Disember di sini.

LZS diwakili oleh, Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor dan Al-Rajhi Bank diwakili oleh Sabry Hisham Ghous.

Kemudahan yang ditawarkan ialah menerima pembayaran zakat melalui cek mahupun tunai di semua cawangan bank Al-Rajhi di seluruh negeri Selangor.

Manakala bagi kad debit dan kad caj Al-Rajhi Bank turut boleh digunakan untuk pembayaran zakat di semua kaunter LZS.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM7.2 JUTA: PKNS TERTINGGI

0

Tarikh : 12/17/2008
Penulis : Editor; Gambar: zool

SHAH ALAM – 13 buah syarikat korporat dan seorang individu menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM7,208,252.16 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 16 Disember.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, menerima zakat perniagaan tersebut dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membayar jumlah tertinggi iaitu RM5,707,998.11

Selain PKNS yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor turut membayar zakat perniagaan ialah SME Bank dengan jumlah zakat RM485,824.00, Syarikat Rahman Brothers Motors Sdn Bhd (RM200,000.00), SIRIM QAS International Sdn Bhd (RM147,270.00) serta Telekom Malaysia Berhad (RM145,479.64).

Multimedia Universiti menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM143,883.75, Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd (RM50,000), Zaibar Motor Sports Sdn Bhd (RM50,000.00), Zamzuri & Co (15,000.00) dan MYSYAKU Engineering Sdn Bhd (RM10,296.66). Manakala Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Jab. Pertanian Bhd (RM10,000.00) dan Nijuyon Sdn Bhd. (RM5,000.00)

Seorang ahli perniagaan Dato’ Zainuddin Abd Rahman yang menyerahkan zakat berjumlah RM200,000.00. Sehingga November LZS telah menerima zakat perniagaan sebanyak RM33.9 juta dan dengan bayaran zakat pada hari ini menjadikan ia RM41.1 juta setakat ini.

Selain itu, LZS turut mengagihkan bantuan kepada lapan individu serta sebuah institusi berjumlah RM216,052.00. Mereka ialah Norwahidah Abdul Hamid menerima bantuan perubatan berjumlah RM25,000.00.

Sementara itu, Nurul Adilah Ibrahim (RM22,000.00), Husin b. Mohari (RM21,750.00), Rabiatul Adawiya Abdullah (RM19,000.00), Noraini Mohd Sobari (RMRM9,025.00), Safriyal Isarudin (RM7,932.00), Hafizah Sudirman (RM5,165.00) dan Mohd Azhar b. Jaafar (RM1,780.00) yang masing-masing menerima bantuan pendidikan.

Manakala Maahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar pula menerima bantuan berjumlah RM104,400.00.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dato Siti Maslamah Osman, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab, dan Ketua Pegawai Eksekutif, MobilityOne Sdn Bhd, Hussain Abd Rahman.

LZS LANCAR ZAKAT@ONEPAY

0

Tarikh : 12/16/2008
Penulis : editor; Gambar: zool

Shah Alam—Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melancarkan satu lagi kaedah pembayaran zakat yang dikenali sebagai zakat@one pay iaitu pembayaran zakat menggunakan kad ATM yang boleh dilakukan di seluruh stesen minyak Petronas di seluruh negeri Selangor.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 16 Disember.

Kemudahan yang disediakan dengan kerjasama syarikat MobilityOne Sdn Bhd ini menawarkan keselesan dan kemudahan yang fleksibel kepada pengguna untuk membuat pembayaran zakat secara eletronik. Mereka boleh membuat pembayaran zakat dengan pantas, lebih mudah dan selamat tanpa perlu menggunakan wang tunai dan tidak dikenakan sebarang cas tambahan.

Syarikat MobilityOne Sdn Bhd merupakan ejen kutipan yang dilantik oleh LZS bagi membuat kutipan zakat melalui terminal onepay. Selain MobilityOne, LZS telah melantik 14 bank utama, pos Malaysia dan beberapa IPTA sebagai ejen kutipan zakat di Selangor.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dato Siti Maslamah Osman, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab, dan Ketua Pegawai Eksekutif, MobilityOne Sdn Bhd, Hussain Abd Rahman.

Berita Terkini