Utama Blog Halaman 154

PELAJAR CEMERLANG TERIMA TERIMA BIASISWA GALAKAN MAIS

0

Tarikh : 2/2/2009
Penulis : zool; Gambar: Bahrin (JAIS)

Shah Alam – Seramai 2,163 orang pelajar cemerlang tahun 2008 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) negeri Selangor dan Maahad Integrasi Tahfiz Istana Banda (MITIB), Jugra menerima biasiswa galakan MAIS pada 23 Januari di sini.

Bisiswa yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM 778,680.00 itu dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan diagihkan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Menengah Agama (SMA).

Turut menerima biasiswa galakan itu ialah mereka yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Biasiswa galakan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SS Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi.

Dalam ucapannya beliau menegaskan, biasiswa tersebut merupakan insentif yang diberikan kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik di sekolah agama negeri Selangor.

Menurut beliau lagi, biasiswa galakan ini telah diwujudkan sejak 2003 dan setiap pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki akan menerima biasiswa sebanyak RM 360.00 setahun.

Bagi tahun 2008, Sekolah Agama Menengah BESTARI, USJ 5, Subang Jaya menerima jumlah terbanyak iaitu sebanyak RM 150,480.00 yang melibatkan 418 orang pelajar, diikuti Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kg. Jawa, Klang sebanyak RM 111,240.00 (309 orang) dan Sekolah Agama Menengah Batu 10, Hulu Langat – RM 59,040.00 (164 orang).

RM1 JUTA UNTUK BANTU RAKYAT GAZA

0

Tarikh : 1/29/2009
Penulis : ima; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyumbang RM1 juta kepada Yayasan Amal Selangor melalui Tabung Kemanusiaan Gaza-Palestin bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman regim zionis Israel dalam satu majlis yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini pada 23 Januari.

Cek sumbangan disampaikan oleh Pengerusi LZS (MAIS), Y.A.M Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum diserahkan kepada Naib Pengerusi 3 Yayasan Amal Selangor, Y.B Dr. Halimah Ali.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu mangsa-mangsa keganasan terutama bagi membeli ubat-ubatan dan juga makanan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Y.B Dato’ Dr. Hj. Hasan Hj. Mohamed Ali dan Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa.

DRB-HICOM BAYAR ZAKAT RM456 RIBU

0

Tarikh : 1/28/2009
Penulis : zool; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menerima zakat perniagaan daripada DRB-HICOM sebanyak RM456,919.30 pada 21 Januari dalam satu majlis ringkas di sini.

Zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2008 ini, telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Haji Mohd Khamil Jamil kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) S.S Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS.

Turut hadir, Pengurus Besar LZS, Haji Ahmad Shahir Makhtar.

LZS SERAH LEBIH RM252 RIBU BANTUAN PENDIDIKAN UNTUK ANAK FAKIR MISKIN KUALA SELANGOR

0

Tarikh : 1/24/2009
Penulis : Editor

KUALA SELANGOR – Seramai 415 asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Selangor menerima bantuan tambahan pendidikan bernilai RM252,600 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim di sini pada 19hb Mac lalu.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai sebanyak RM200 seorang dan sepasang pakaian sekolah. Ada juga dikalangan mereka yang menerima bantuan basikal.

Bagi penyampaian bantuan tambahan pendidikan ini LZS (MAIS) telah menyususn sebanyak 35 program di seluruh Selangor bermula 4hb Mac lalu di Masjid Negeri Shah Alam sehingga 31 Mac di Masjid Al-Amaniah, Batu Caves melibatkan 25,714 orang pelajar di peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan serta sekolah menengah agama.

Melalui bantuan yang diberikan oleh LZS ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan lebih-lebih lagi kerana kejatuhan ekonomi yang semakin terasa di kala ini.

Turut hadir Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

LZS SUMBANG RM25 RIBU KEPADA TABUNG BERSAMAMU TV3

0

Tarikh : 1/24/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor ( LZS) MAIS menyumbangkan sebanyak RM25 ribu kepada Tabung Bersamamu TV3 pada Malam Sinar Maulidurrasul 1430H di Stadium Malawati baru-baru ini.

Bantuan yang disalurkan kepada Tabung TV3 Bersamamu ini bertujuan membantu menambah dana dan membela nasib mereka yang kurang berkemampuan untuk menjamin kehidupan mereka kearah yang lebih baik.

Sumbangan ini disampaikan oleh Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar kepada Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Korporat Media Prima Berhad, Puan Hajah Badariah Abdul Jalil.

LZS AGIH RM54 RIBU SEMPENA PROGRAM DEKATI RAKYAT

0

Tarikh : 1/21/2009
Penulis : zool; Gambar: zool

Gombak – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan zakat sebanyak RM54 ribu kepada 16 orang asnaf fakir miskin sempena Program Mendekati Rakyat (PMR) pada 16 Januari lalu di sini.

Antara bentuk bantuan yang diserahkan ialah bantuan bina rumah baru bernilai RM30,000, bantuan modal (RM5,000) setiap seorang, bantuan hutang perubatan (2,600) dan selebihnya bantuan pendidikan.

Agihan bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, adat-adat Melayu, infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor, Y.B Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga merupakan ADUN Gombak Setia.

Dalam ucapan beliau, Dr. Hasan menyeru agar semua penerima bantuan mensyukuri bantuan yang diterima dengan melaksanakan perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan-Nya.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pegawai Daerah Gombak, Tuan Huzaini Samsi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Haji Daim Jajuli.

KENYATAAN AKHBAR

0

Tarikh : 1/20/2009
Penulis : editor; Gambar: zool

KENYATAAN AKHBAR
YANG AMAT DIHORMATI, DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB MOHD ISA. PENGERUSI
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR, MENGENAI HAL EHWAL ZAKAT SELANGOR PADA 19 JANUARI 2009

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Y.Berbahagia Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor,

Terima kasih kepada wakil-wakil media yang hadir pada hari ini, sukacita saya ingin memaklumkan beberapa perkara mengenai prestasi kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2008 serta isu-isu semasa mengenai zakat.

1. Kutipan zakat (harta dan fitrah)

Alhamdulillah bagi tahun 2008, jumlah kutipan zakat di selangor telah melebihi sasaran (RM222 juta) dengan jumlah kutipan sebanyak RM244.4 juta berbanding RM202.1 juta dalam jangkamasa yang sama tahun sebelumnya (2007). Jumlah ini meningkat sebanyak 21 peratus dengan perbezaan sebanyak RM42.3 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM232.1 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM12.3 juta daripada zakat fitrah.

2. Zakat harta

Pada tahun lepas (2008) kutipan zakat harta di selangor meningkat sebanyak 22 peratus daripada kutipan pada tahun sebelumnya (2007).

Pecahan kutipan zakat harta mengikut jenis adalah seperti berikut:

Zakat pendapatan RM130.7 juta (RM 130,699,399.93)
Zakat perniagaan RM46.1 juta (RM 46,109,152.95)
Zakat harta RM24.3 juta (RM 24,330,739.05)
Zakat w.simpanan RM22.1 juta (RM 22,111,956.49
Zakat kwsp RM4.6 juta (RM 4,609,383.34)
Zakat saham RM1.3 juta (RM 1,271,759.33)
Zakat tanaman RM1.7 juta (RM 1,698,833.75)
Zakat emas, ternakan, perak dan qadha zakat RM1.3 juta (RM1,301,643.92)

3. Jumlah pembayar

Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lepas ialah seramai 146,413 orang (meningkat 17 peratus daripada tahun sebelumnya (125,294 orang). Daripada jumlah tersebut, seramai 34,343 orang merupakan pembayar baru.

4. Zakat fitrah

Bagi tahun 2008, mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM12.3 juta bagi tahun hijrah 1429 berbanding RM11.6 juta pada tahun 2007. Bilangan umat islam yang membayar zakat fitrah pada tahun lepas (2008) ialah seramai 2.4 juta orang.

5. Sasaran kutipan tahun 2009

Mengambil faktor keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kesan krisis yang dijangka berterusan sepanjang tahun ini, maka LZS meletakkan sasaran yang munasabah dan boleh dicapai. Dengan mengambil kira implikasinya kepada sektor swasta terutamanya sektor perniagaan dan perkilangan, maka LZS meletakkan sasaran RM235 juta kutipan zakat pada tahun ini.

6. Agihan zakat

Pada tahun 2008 yang lalu, mais melalui LZS telah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak di selangor sebanyak RM198.5 juta berbanding RM177 juta pada tahun sebelumnya (2007). Jumlah pengagihan ini dilihat meningkat sebanyak 12 peratus dengan perbezaan sebanyak RM21.5 juta.

Pecahan pengagihan zakat mengikut asnaf adalah seperti berikut:

Asnaf miskin RM54.2 juta (RM 54,215,439.19)
Asnaf fakir RM12.9 juta (RM 12,877,843.35)
Asnaf fisabilillah RM66.6 juta (RM 66,597,975.61)
Asanaf muallaf RM12.2 juta (RM 12,183,320.06)
Asnaf gharim RM19.4 juta (RM 19,380,018.66)
Asnaf amil RM30.3 juta (RM 30,250,000.00)
Asnaf riqab RM2.3 juta (RM 2,307,983.21)
Asnaf ibnu sabil RM0.7 juta (RM 701,128.45)

Bilangan fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas ialah seramai 9,583 orang berbanding 672 orang pada tahun 2007, manakala 5,879 orang bagi asnaf miskin berbanding 8,780 orang pada tahun sebelumnya.

7. Hala tuju dan fokus LZS bag tahun 2009

Berdasarkan kepada sasaran pada tahun ini, maka LZS meletakkan fokus utama iaitu ‘transformasi sistem peyampaian agihan zakat’ bagi mencapai sasaran tersebut.

Transformasi ini bukan beRMaksud apa yang dilaksana oleh LZS sebelum ini tidak berjaya ataupun gagal, tetapi ia lebih kepada penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada. Malah melalui strategi ini juga dilihat mampu menarik dan meyakinkan masyarakat untuk terus menunaikan zakat di LZS. Antara kaedah-kaedah yang akan dilaksana melalui strategi ini ialah:

1.Menjadikan sistem pengoperasian kerja ke arah ‘totally ict driven’ menerusi ‘total reengineer’ sistem agihan zakat.
2.Mempercepatkan proses penyampaian agihan zakat
3.Mengurangkan kadar kemiskinan di negeri selangor sebanyak 10 peratus pada tahun 2009

Antara langkah awal, kelulusan dan bayaran segera permohonan bantuan zakat di bawah RM3,000 akan di laksana selewat-lewatnya bulan mac ini.

8. Bantuan zakat untuk gaza, palestin

Seperti kita semua maklum, rakyat palestin ketika ini sedang bergelut dengan tragedi kemanusiaan yang amat dahsyat angkara kekejaman tentera Israel. Sebagai tanda keprihatinan dan dengan perkenan DYMM sultan selangor, maka MAIS melalui LZS akan meyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat palestin yang menderita di gaza. Bantuan melalui asnaf fisabilillah ini akan disampaikan sendiri oleh dymm tuanku melalui yayasan amal selangor dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, LZS akan menempatkan tabung untuk rakyat palestin di semua 22 cawangan di selangor mulai hari ini, bagi memudahan orang ramai khususnya pembayar zakat untuk menyumbang. Sumbangan juga boleh dibuat melalui portal LZS di www.zakatselangor.com.my.

9. Bantuan zakat kepada rakyat negeri Selangor yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi

Saya ingin memaklumkan, mais melalui LZS akan memperuntukkan sebahagian wang zakat bagi membantu meringankan beban rakyat negeri selangor yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi yang berlaku ketika ini. Kita sedia maklum, bahawa mereka yang terlibat ini terutamanya yang sudah berkeluarga menghadapi masalah kewangan yang mendesak kerana pemberhentian mereka adalah di luar jangkaan.

Walau bagaimanapun, satu mekanisma akan dikenal pasti bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar terutamanya dari segi teknikal. Sehubungan itu, satu pekeliling mengenai perkara ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

10. Tahun zakat selangor 1430h (TZS 1430h)

Pada tahun ini, iaitu genap usia penubuhan LZS yang ke-15 tahun, satu kempen secara menyeluruh bagi meningkatkan kutipan zakat akan dilaksanakan melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang menyokong usaha melaksana strategi serta fokus LZS bagi tahun 2009.

Antara objektif TZS 1430 H ialah:

(1)Merayakan ulangtahun ke-15 penubuhan LZS.
(2)Melaksana perubahan penyampaian sistem agihan melalui lima program utama agihan zakat yang dijenama semula.
(3)Memaksimakan kutipan zakat sekurang-kurangnya mencapai sasaran yang ditetapkan melalui strategi terancang dan mesra pelanggan.
(4)Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewajipan berzakat dan potensi kutipan zakat.

Dengan tema ‘meneraju perubahan’, kempen TZS 1430 H ini merupakan komitmen LZS terhadap pengurusan zakat yang lebih cekap dan melaksanakan penambahbaikan dalam sistem penyampaiannya.

Sekian.

PPZ LAWAT LZS KONGSI PENGALAMAN KUTIPAN ZAKAT

0

Tarikh : 1/20/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menerima kunjungan dari delegasi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Wilayah Persekutuan seramai 15 orang bagi berkongsi pengalaman dalam meningkatkan kutipan dan agihan zakat.

Delegasi yang diketuai oleh Pengurus Operasi, PPZ, Abdul Hakim Amir Osman telah diberi taklimat ringkas tentang LZS, Perlaksanaan Zakat Melalui Potongan Gaji dan Mekanisme Agihan Zakat Di Selangor.

Delegasi turut melawat kaunter Khidmat Pelanggan dan kaunter zakat LZS.

Turut sama meraikan delegasi ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) LZS, Hj. Aidi Munawir Ahmed Shukri, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab dan Ketua Jabatan Pembangunan Ummah, Abdul Malek Awang Besar .

BERI SUMBANGAN KEPADA GAZA SEKARANG

0

Tarikh : 1/19/2009
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt,

Berjumpa lagi kita di ruangan ini. Diharap semua pengunjung portal berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Seperti yang kita semua tahu umat Islam di Gaza telah diuji oleh Allah dengan ujian yang berat. Sukar sekali membayangkan, hidup dalam serba ketakutan. Anak-anak terjaga daripada tidurnya, bukan kerana dikejutkan oleh ibu untuk bangun ke sekolah. Tetapi mereka dikejutkan oleh dentuman meriam dan gegaran bom. Mereka lari daripada ketakutan; tetapi mereka dikepung. Mereka ditembak sesuka hati. Mereka merintih dan melirih. Luka mereka merah berdarah, tulang-temulang mereka berkecai dan tubuh mereka terkulai. Mereka gugur ke bumi. Ada yang syahid dan ada yang menanti hiba di rumah sakit.

Oleh itu, Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan satu platform Online bagi seluruh Umat Islam menghulurkan bantuan kepada umat Islam di Gaza. Sumbangan daripada semua akan disalurkan kepada pihak yang berkaitan melalui Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Umat Islam boleh membuat sumbangan dengan melayari link ini : SUMBANGAN KEPADA GAZA. Semoga sumbangan kecil ini akan meringankan beban mereka bagi membina semula kehidupan selepas dihancurkan oleh Israel laknatullah.

Wassalam.

LEMBAGA TABUNG HAJI SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM6 JUTA KEPADA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

0

Tarikh : 1/18/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM6,707,963.37 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Ismee Ismail, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan 2008 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain. Ia juga merupakan jumlah zakat yang tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 649,350 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara berjumlah RM 33,380,673.55.

Berita Terkini