Utama Blog Halaman 150

LZS RAI PENGAMAL MEDIA: TURUT BERI PENGHARGAAN KEPADA PBT, KONSESI TOL

0

Tarikh : 11/6/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meraikan pengamal media sebagai menghargai usaha selama ini membantu menyampaikan dakwah zakat kepada masyarakat. Lebih 100 wakil media daripada pelbagai agensi hadir dalam majlis yang di adakan di sebuah hotel di sini pada 4 Jun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa hadir sebagai tetamu kehormat menyampaikan plak penghargaan kepada pihak media. Turut menerima penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tujuh konsesi tol.
Mohd Adzib dalam ucapannya berkata jalinan ‘kerjasama pintar’ di antara LZS dan pihak media, PBT serta konsesi tol telah melonjakkan imej dan prestasi LZS ke tahap yang ada seperti hari ini. Beliau turut mengakui peranan ketiga-tiga agensi ini antara faktor semakin ramai umat Islam menunaikan zakat di Selangor.
PBT serta konsesi tol memberi kemudahan dan bantuan kepada LZS bagi aktiviti promosi setiap tahun.
Dalam majlis yang sama, Mohd Adzib turut melancarkan kemudahan tambahan pembayaran zakat melalui potongan gaji atau “Skim Berkat”. Kini pengguna boleh mendapatkan segala maklumat berkaitan skim ini melalui laman sesawang LZS www.zakatselangor.com.my/SkimBerkat termasuk mendapatkan penyata dan muat turun borang.
Pada tahun lalu, LZS telah mengutip RM91.8 juta zakat melalui potongan gaji. Daripada jumlah tersebut, sektor swasta menyumbang RM66.1 juta, kerajaan RM13.2 juta dan badan berkanun RM12.5 juta. Bilangan peserta skim ini pula seramai 93,260 orang bagi bagi ketiga-tiga sektor.
Turut disampaikan bantuan agihan zakat kepada lima orang penerima berjumlah RM114,450.00. Mereka ialah Asmimah Sanusi, Azhar Abdul Aziz, Rohmat Kamari yang menerima bantuan bina rumah baru bernilai RM30,000. Nurazeera Md Suder menerima RM20,000 untuk pembelian alat implan manakala Mat Desa Hashim menerima bantuan kaki palsu bernilai RM4,450.00.
Turut hadir Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Mazalan Mat Noor dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Hj Sahadan Ishak.

LZS SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI SELANGOR 1430H/2009M

0

Tarikh : 11/3/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyertai perarakan Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor 1430H / 2009M pada 9 Mac lalu di sini.

LZS menghantar dua kontigen terdiri daripada kontigen lelaki seramai 40 orang dan kontigen perempuan seramai 48 orang.

Perarakan bermula dari Stadium Mini Shah Alam sehingga Stadium Melawati dengan jarak 1.6 km.

RM5.14 JUTA UNTUK BANTUAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK FAKIR MISKIN

0

Tarikh : 11/3/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS memperuntukkan RM5.14 juta untuk tambahan bantuan pendidikan kepada anak-anak fakir miskin di Selangor. Sebanyak 35 program agihan bantuan ini telah disusun di seluruh Selangor bermula 4 Mac di Masjid Negeri Shah Alam sehingga 31 Mac di Masjid Al-Amaniah, Batu Caves.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 25,714 orang pelajar termasuk peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan serta sekolah menengah agama.

Semua anak-anak fakir miskin ini menerima bantuan sebanyak RM200 seorang beserta dua pasang baju sekolah bagi sekolah rendah dan sepasang baju sekolah bagi sekolah menengah.

Sebelum ini LZS telah menyampaikan bantuan sebanyak RM7.9 juta bagi bantuan yuran dan pembelian kelengkapan persekolahan mereka.

Melalui bantuan ini adalah diharapkan akan dapat meringankan beban ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan lebih-lebih lagi kesan kejatuhan ekonomi yang semakin terasa sekarang ini.

RM1.10 JUTA BANTUAN ZAKAT UNTUK 38 NGO’S DAN 9 BADAN DAKWAH

0

Tarikh : 10/29/2009
Penulis : ZANARIAH

RM1.10 Juta Bantuan Zakat Untuk 38 NGO’s dan 9 Badan Dakwah

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan bantuan zakat kepada 38 Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan sembilan Badan Dakwah di Selangor berjumlah RM1.10 juta baru-baru ini.

38 buah NGO’s menerima bantuan zakat berjumlah RM830 ribu iaitu minumum menerima RM15 ribu dan maksimum RM30 ribu dan sembilan Badan Dakwah menerima bantuan zakat berjumlah RM270 ribu iaitu masing-masing menerima RM30 ribu.

Bantuan disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim di majlis perasmian penutup Seminar Zakat dan Pengurusan Integriti anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan LZS di sini hari ini.

Bantuan diberikan bertujuan menambah dana bagi membantu NGO’s Islam dan Badan Dakwah di Selangor dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islam di Selangor.

Antara objektif lain bantuan ini diberikan ialah membantu menjayakan operasi dakwah kepada umat Islam melalui NGO’s dan Badan Dakwah mengikut garis panduan yang tetapkan bersama oleh MAIS, galakan kepada NGO’s dan Badan Dakwah supaya memberi khidmat yang lebih cemerlang dalam menyampaikan dakwah kepada sasaran, mengukuhkan rangkaian kerjasama antara MAIS, NGO’s dan Badan Dakwah demi pembangunan insan dan sosial di Selangor.

Antara NGO’s yang menerima bantuan ialah Perkim Cawangan Negeri Selangor menerima bantuan RM20,000, Pemadam Negeri Selangor menerima bantuan RM20,000, Persatuan Pengguna Islam Malaysia menerima bantuan RM20,000, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (RM20,000) dan lain-lain.

Manakala Badan Dakwah yang menerima bantuan ialah Badan Dakwah Pejabat Agama Islam seluruh Daerah di Selangor yang menerima bantuan RM30 ribu setiap badan dakwah.

Sementara itu, Seminar Zakat dan Pengurusan Integriti NGO’s Islam turut diadakan hari ini bagi menerapkan nilai integriti di kalangan penggerak dakwah khususnya dari kalangan NGO’s Islam yang menerima peruntukan zakat bagi menjalankan aktiviti dakwah. Seramai 200 orang peserta menyertai seminar ini.

Selain itu, melalui seminar ini turut diterapkan tentang pengurusan zakat di Selangor untuk mereka turut sama menyebarluaskan dakwah zakat.

Antara tajuk ceramah yang dibentangkan ialah “Kepentingan Integriti Dalam Pengurusan Dakwah” oleh Pengerusi Akademi Aidit, Dato’ Aidit bin Ghazali dan Peranan Zakat Dalam Pembangunan Insan Selangor oleh Mohd Uda Kasim, Eksekutif LZS.

Turut diadakan Forum bertajuk “Peranan NGO Islam Dalam Membina Generasi Khairul Ummah”. Forum dipengerusikan oleh Eksekutif LZS, Mohd Faryzan Bin Subkhi. Ahli Panel, Setiausaha Jawatankuasa Dakwah MAIS, Ahmad Zaki Arshad dan Pengerusi International Muslim Women’s Union, Robiah K.Hamzah.

Turut hadir, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib b. Mohd Isa, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Hj. Mohammed Khusrin Hj. Munawi dan Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor, Tn Hj Ahmad Shahir Makhtar.

ENAM SYARIKAT SERAH ZAKAT LEBIH RM800 RIBU

0

Tarikh : 9/4/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Enam syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM859,138.65 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Zakat perniagaan ini disampaikan kepada Pengerusi LZS (MAIS), Y.A.M Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail.

Enam syarikat korporat terbabit ialah Bank Islam Malaysia Berhad sebanyak RM656,000, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (RM100,000), Maybank Islamic Berhad (RM73,134), ESQ Leadership Center Sdn Bhd (RM18,654.65), Koperasi LLM Berhad (RM10,000) dan HBM Consultancy Sdn Bhd sebanyak RM1,350.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS), Engku Setia Lela Bestari Raja Dato’ Seri Arshad Al Haj Raja Tun Uda Al Haj, Dato’ Siti Maslamah Osman, Prof. Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad dan Pengurus Besar LZS (MAIS), Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

KADAR FITRAH NEGERI SELANGOR RM7.00

0

Tarikh : 8/24/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohd Adzib Mohammad Isa telah mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah di Selangor bagi tahun ini telah ditetapkan pada kadar RM7.00 baru-baru ini.

Kenaikan kadar zakat fitrah adalah disebabkan oleh kenaikan harga beras di pasaran semasa. Lembaga Zakat Selangor (MAIS) juga telah melantik seramai 2,435 amil untuk mengutip zakat fitrah di seluruh Negeri Selangor.

Lembaga Zakat Selangor (MAIS) juga akan membuka 22 kaunter di seluruh negeri tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 4,30 petang untuk hari bekerja dan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Selain itu LZS turut membuka kaunter di beberapa pusat membeli belah terpilih termasuk Centrepoint Klang, Giant Shah Alam, Pasaraya Mydin dan Jaya Jusco Bukit Raja, Klang.

Bagi menyambut Aidilfitri, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mengagihkan RM16 juta kepada 10,778 keluarga fakir dan 10,843 keluarga miskin di Selangor.

RM242 RIBU UNTUK FAKIR DAN MISKIN DI KUALA SELANGOR

0

Tarikh : 8/20/2009
Penulis : Editor

Kuala Selangor – Seramai 236 orang fakir dan 94 orang miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan apabila menerima bantuan persiapan Ramadan dan Hari Raya daripada Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM242,950. Bantuan tersebut disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM175,050 diserahkan kepada asnaf fakir, manakala RM67,900 diagihkan kepada asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan bagi setiap keluarga.

Pada tahun ini, LZS memperuntukkan sebanyak RM15.9 juta untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.23 juta diagihkan kepada 10,778 asnaf fakir, manakala RM7.76 juta diagihkan kepada 10,843 asnaf fakir. Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan asnaf miskin tertinggi seramai 2,545 orang dan asnaf fakir seramai 982 orang. Sebanyak 46 program agihan Ramadan dan Hari Raya diatur di seluruh Selangor bermula dari 4 Ogos dan dijangka berakhir pada 25 Ogos 2009.

LZS TINGKAT KEMPEN TUNAI ZAKAT MELALUI ‘ZAKAT N FLY 2’

0

Tarikh : 8/20/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor melancarkan kempen pembayaran zakat dikenali sebagai kuiz ‘Zakat N Fly 2’ bertujuan meningkatkan lagi pembayaran zakat di Selangor. Peraduan yang terbuka kepada pembayar zakat di Selangor ini mendapat kerjasama daripada syarikat penerbangan Air Asia Berhad yang menaja hadiah pemenang.

Di samping itu, kuiz ini juga bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti dakwah dan pemasaran zakat, serta meningkatkan kesetiaan pelanggan. Para pemenang akan menerima tiket penerbangan ke destinasi menarik yang merangkumi penerbangan domestik dan antarabangsa. Pemenang utama akan menerima tiket penerbangan dua hala dari LCCT-London.

Manakala pemenang tempat pertama akan menerima hadiah tiket penerbangan dua hala dari LCCT-Perth Australia, pemenang kedua akan menerima tiket penerbangan dua hala dari LCCT ke Guangzhou, China dan tempat ketiga akan menerima tiket penerbangan dua hala dari LZCCT ke Bandung/Jakarta/Bangkok. Selain itu pemenang tempat keempat akan menerima tiket penerbangan domestik.

Borang penyertaan boleh didapati di 22 kaunter zakat LZS dan boleh dimuat turun dari portal www.zakatselangor.com.my. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Seketeriat Kuiz Zakat & Fly 2’ di talian 03-5522 7700.

Selain Air Asia selaku penaja utama peraduan ini turut mendapat tajaan daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Maybank Berhad dan ezakatpay-fpx.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Ketua Serantau Kejuruteraan AirAsia Berhad, Azhari Dahlan. Turut hadir Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

JEJAK ILMUAN EDAR 100 POSTER HANYA KLIK: SKIM BERKAT KEPADA PPAS

0

Tarikh : 8/20/2009
Penulis : Noorul Izan Ahmad Suki

Shah Alam – 100 keping poster Hanya Klik: Skim Berkat diedarkan di 100 buah perpustakaan di Negeri Selangor sewaktu Lembaga Zakat Selangor mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) sempena dengan program Jejak Ilmuan baru-baru ini.

Ia merupakan strategi dakwah bagi memastikan setiap perpustakaan di bawah seliaan PPAS mendapat maklumat yang sewajarnya berkaitan operasi kutipan dan agihan zakat di Negeri Selangor.

Menurut Ketua Jabatan Dakwah & Kutipan, LZS, Puan Hajah Adibah Abdul Wahab, “LZS berhasrat untuk terus memastikan informasi berkaitan dengan zakat dapat disalurkan dengan sebaik mungkin ke seluruh premis kerajaan dan swasta di seluruh negeri Selangor.”

Turut hadir, Pengarah PPAS, Puan Mastura Haji Mohamad.

LZS ANJUR PROGRAM SEHARI DI PROTON

0

Tarikh : 8/20/2009
Penulis : Mohamed Syahril Haji Zainol

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampilkan wadah dakwah berbeza dengan menganjurkan Program Sehari Bersama LZS di Proton Berhad.

Program yang merupakan kerjasama antara LZS dengan AJK Badan Pembangunan Modal Insan, Proton diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan warga kerja Proton khususnya pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Dalam program tersebut, delegasi LZS seramai 15 orang ini turut membuka kaunter khidmat pelanggan LZS. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah kaunter penerangan zakat, kaunter agihan, pameran dan tayangan multimedia aktiviti korporat LZS. Sambutan kakitangan sangat memberangsangkan dan memberi kesan positif kepada mereka yang turut bersama menjayakannya.

Turut diadakan Solat Hajat Perdana yang melibatkan kira-kira 2,000 kakitangan Proton dan seterusnya Forum Perdana Hal Ehwal Islam bersempena Israk Mikraj. Forum yang bertajuk Israk Mikraj Menjana Peningkatan Mutu Kerja menampilkan Ustaz Mohd. Faryzan Subkhi (LZS) selaku Moderator, Ustaz Hamizul Abdul Hamid (LZS) dan Ustaz Zulkifli Ahmad (Penceramah di Selangor.fm) selaku ahli panel.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Dato’ Haji Syed Zainal Abidin Bin Syed Mohamad Tahir.

Berita Terkini