Utama Blog Halaman 147

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN MAYBANK ISLAMIC BERHAD RM300 RIBU

0

SHAH ALAM, 19 Mac – Maybank Islamic Berhad hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM300,000 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan Maybank Islamic diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Ibrahim Hassan kepada Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor , Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Berhad, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar.

ZAKAT DIDIK II: BERJAYA MEMBENTUK GENERASI MUDA

0

Tarikh : 3/18/2010
Penulis : Abd. Aziz Kasim

Shah Alam – Seramai 400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam berkumpul dalam program Zakat Didik II anjuran Lembaga Zakat Selangor dan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Program yang diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kewajipan berzakat turut diserikan dengan acara pop kuiz, taklimat zakat dan juga motivasi. Kakitangan dan guru juga diberi pemahaman berkaitan isu-isu zakat terkini. Dalam program tersebut, LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah untuk keperluan sekolah

LZS PROMOSIKAN SKIM BERKAT DI MTUC

0

Tarikh : 3/12/2010
Penulis : Muhamad Zahir Ahmad

Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan kunjungan bertemu dengan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tuan Syed Shahir Syed Mohamud di MTUC baru-baru ini.

Selain dapat bertukar-tukar pandangan berkenaan isu terkini zakat, LZS turut berpeluang mempromosikan skim potongan zakat atau Skim Berkat di kalangan ahli-ahli dan kesatuan majikan. Kunjungan ini juga dilihat dapat memberi pendedahan kepada MTUC dalam memainkan peranan membantu dan menjayakan hasrat dakwat zakat kepada ahli persatuan.

LZS turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan peralatan ibadah untuk surat kepada MTUC.

PROGRAM ZIARAH MAJIKAN ERATKAN HUBUNGAN

0

Tarikh : 3/10/2010
Penulis : Mohd. Yandi Fazli Ibrahim

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program Ziarah Majikan ke Sumiputeh Steel Centre Sdn Bhd, Shah Alam bagi mengeratkan lagi hubungan antara majikan swasta dan LZS baru-baru ini.

Program ini yang pertama kali diadakan antara LZS dengan pihak majikan yang membuat potongan gaji, turut memberi pengetahuan berkenaan zakat kepada majikan dan kakitangan. Dalam program yang sama, LZS turut menyerahkan keperluan ibadah kepada majikan sebagai tanda penghargaan.

Hadir dalam program tersebut, Penolong Pengurus Pentadbiran Sumiputeh Steel Centre Sdn Bhd, Khalid Lamat dan Penolong Pengurus Sumber Manusia Sumiputeh Steel Centre Sdn Bhd Junaidy Abu Bakar.

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT KPJ RM100 RIBU

0

Tarikh : 3/9/2010
Penulis : editor

Ijok, 6 September 2010 – KPJ Selangor hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). KPJ yang diwakili Tan Sri Dato’ Mohd Ali Hashim Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, menyerahkan zakat kepada DYMM Sultan Selangor bersempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Nurul Iman Batu 8, ijok di sini.

Pada majlis ini, DYMM Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang anak-anak yatim serta 100 orang saudara baru. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamed Adzib Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

32 KOMPUTER RIBA UNTUK MAHASISWA ASNAF FAKIR DAN MISKIN LZS

0

Tarikh : 3/8/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 8 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 32 buah komputer riba bernilai RM2,399 setiap satu kepada 32 orang mahasiswa dari keluarga fakir dan miskin. Mereka merupakan pelajar tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara dan mendapat keputusan GPA/CGPA 3.00 ke atas.

Sehingga Mac 2010, LZS membiayai sejumlah 1,421 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA/S seluruh negara. Ia melibatkan pengajian dari peringkat sijil hingga ke doktof falsafah. Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka selain menerima bantuan sara diri sebanyak RM300 sebulan termasuk pembiayaan yuran pengajian.

Sementara itu, di bawah Program Pembangunan Pendidikan, LZS turut menyediakan dana yang besar berjumlah RM62.5 juta bagi memastikan anak-anak asnaf fakir dan miskin dapat meneruskan pengajian dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tertinggi.

Penyerahan bantuan komputer riba ini merupakan fasa pertama bagi tahun 2010 dan disampaikan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Turut hadir, Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf, Abdul Samad Ibrahim.

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI SELANGOR 1431H/2010M

0

Tarikh : 3/4/2010
Penulis : Khairul Izwan Bakeri

Shah Alam – Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 14231H bertemakan ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diadakan bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 26 Februari 2010/12 Rabiulawal baru-baru ini.

Bersempena dengan majlis tersebut, satu perarakan yang disertai 120 kontinjen terdiri daripada badan kerajaan, badan berkanun, badan bukan kerajaan, IPTA/IPTS, masjid dan sekolah Negeri Selangor turut diadakan seawal jam 8.15 pagi bermula dari Stadium Mini menuju ke Stadium Malawati. Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menghantar dua kontinjen terdiri daripada kakitangan lelaki dan wanita bagi menyertai perarakan.

MMU SERAH ZAKAT RM150 RIBU

0

Tarikh : 3/4/2010
Penulis : Wahida Idris

Cyberjaya – Universiti Multimedia (MMU) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2009 sebanyak RM150 ribu dalam program ‘A Moment With Lembaga Zakat Selangor’ yang diadakan baru-baru ini di MMU.

Program anjuran Bahagian Majikan Jabatan Dakwah dan Kutipan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) diadakan bertujuan memupuk kesedaran dan kefahaman tentang kefarduan berzakat di kalangan kakitangan MMU.

Dalam program tersebut, kakitangan diberi taklimat berkenaan praktis pengagihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS di samping galakan menyertai Skim Potongan Gaji atau lebih dikenali sebagai Skim Berkat.

Menurut Ketua Unit Majikan Swasta, Mohamed Syahril Zainol, peratusan pembayaran zakat melalui potongan gaji di kalangan warga kerja MMU sungguh memberangsangkan berkat sokongan semua pihak. Pembayaran telah meningkat sebanyak 47 peratus dengan jumlah RM147 ribu pada tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya RM100 ribu.

Turut hadir, Direktor Kampus MMU, Prof. Omar Shawkataly yang mewakili Presiden MMU, Prof. Dr. Zaharin Yusoff.

LZS PERUNTUKAN RM784 RIBU UNTUK TAKAFUL GURU KAFA

0

Tarikh : 3/1/2010
Penulis : editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM784,000 setahun kepada 6,236 guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh Selangor untuk manfaat perlindungan dan simpanan takaful yang disediakan oleh Takaful Berhad. Majlis perasmian dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohammed Khusrin Munawi baru-baru ini.

Insentif tersebut dilihat sebagai penghargaan kepada para guru KAFA di Selangor yang selama ini gigih melaksanakan tugas murni demi pembangunan Islam. Ia juga sebagai nilai tambah kepada guru KAFA yang turut menerima bantuan agihan sebanyak RM10 juta pada tahun lepas.

Premium sebanyak RM10 sebulan merupakan kesinambungan usaha LZS sebelum ini yang turut menyediakan caruman takaful berkelompok kepada asnaf fakir dan miskin. Peruntukan kepada guru KAFA ini diperoleh daripada agihan asnaf fisabilillah.

Melalui kemudahan ini, guru-guru terbabit layak menikmati ganjaran antaranya kos untuk penyakit kritikal sehingga RM10,000, rawatan di hospital sebanyak RM30 sehari dan pampasan kematian antara RM20,000 hingga RM40,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Etiqa Berhad, Dato’ Aminuddin Md Desa dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) LZS, Sahadan Ishak.

23 PESERTA KUIZ ZAKAT N FLY 2 TERIMA HADIAH

0

Tarikh : 2/5/2010
Penulis : Editor

Shah Alam – Seramai 23 peserta daripada 5,000 yang menyertai Kuiz Zakat N Fly 2 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama AirAsia Berhad menerima hadiah masing-masing melalui cabutan bertuah dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Grand Bluewave baru-baru ini.

Kesemua peserta yang disenarai pendek ini ditentukan berdasarkan kepada slogan terbaik. Hadiah utama dimenangi oleh Dr. Ahmid Abdul Kareem yang mendapat dua tiket penerbangan dua hala dari LCCT ke London. Sementara tempat pertama dimenangi oleh Ahmad Fadhli Md. Baharuddin yang mendapat dua tiket penerbangan dua hala ke Perth, Australia, tempat kedua dimenangi oleh Malek Amir Azmin Abdul Aziz (tiket penerbangan pergi dan balik dari LCCT ke Guangzhou, China).

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Ketua Serantau Pembangunan Perniagaan Kerajaan & Timur Tengah AirAsia Berhad, Dato’ Abdul Nasser Abu Kassim.

Kuiz Zakat N Fly 2 merupakan salah satu kempen pembayaran zakat yang diadakan bermula 12 Ogos sehingga 31 Disember tahun lalu. Ia bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti dakwah dan pemasaran zakat serta meningkatkan kesetiaan pelanggan serta dibuka kepada semua pembayar yang menunaikan zakat di LZS.

Berita Terkini