Tarikh : 3/4/2010
Penulis : Wahida Idris

Cyberjaya – Universiti Multimedia (MMU) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2009 sebanyak RM150 ribu dalam program ‘A Moment With Lembaga Zakat Selangor’ yang diadakan baru-baru ini di MMU.

Program anjuran Bahagian Majikan Jabatan Dakwah dan Kutipan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) diadakan bertujuan memupuk kesedaran dan kefahaman tentang kefarduan berzakat di kalangan kakitangan MMU.

Dalam program tersebut, kakitangan diberi taklimat berkenaan praktis pengagihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS di samping galakan menyertai Skim Potongan Gaji atau lebih dikenali sebagai Skim Berkat.

Menurut Ketua Unit Majikan Swasta, Mohamed Syahril Zainol, peratusan pembayaran zakat melalui potongan gaji di kalangan warga kerja MMU sungguh memberangsangkan berkat sokongan semua pihak. Pembayaran telah meningkat sebanyak 47 peratus dengan jumlah RM147 ribu pada tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya RM100 ribu.

Turut hadir, Direktor Kampus MMU, Prof. Omar Shawkataly yang mewakili Presiden MMU, Prof. Dr. Zaharin Yusoff.