Utama Blog Halaman 145

ANALISIS TINJAUAN LEPAS : KAEDAH MUDAH MEMBAYAR ZAKAT

0

Tarikh : 7/5/2010
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt

Bertemu kembali di ruangan ini. Pada kali ini, editor akan memaparkan keputusan analisis tinjauan undian yang lepas iaitu berkenaan dengan ‘kaedah paling popular yang mudah digunakan oleh pembayar untuk membayar di Lembaga Zakat Selangor (MAIS)’.

Pada tinjauan yang lepas sebanyak 1246 orang pengunjung telah mengundi dalam tinjauan yang dijalankan. Berdasarkan analisis terhadap tinjauan tersebut mendapati majoriti pengunjung atau seramai 773 orang meliputi 62% pengunjung mengatakan mereka mudah menggunakan Skim Berkat atau kaedah potongan gaji bulanan untuk membuat potongan zakat.

Seramai 29% ataupun 361 pengunjung menyatakan mereka lebih gemar menggunakan kaedah online bagi membuat bayaran zakat mereka. Antara kaedah online yang digunakan termasuklah menggunakan perkhidmatan internet banking ataupun melalui sistem FPX di portal LZS.

Hanya 7% daripada keseluruhan yang membuat pengundian menyatakan mereka mudah untuk membuat pembayaran zakat di kaunter LZS. Jumlah mereka adalah seramai 87 orang. Baki 2% pula menyatakan mereka lebih mudah membuat pembayaran di pejabat-pejabat pos yang juga menjadi agen kutipan zakat untuk LZS.

Lembaga Zakat Selangor akan terus berusaha sedaya upaya memberikan khidmat terbaik dalam menyediakan medium pembayaran zakat yang dapat memudahkan semua umat Islam untuk melaksanakan kewajipan berzakat.

Pihak editor mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung portal yang menyertai tinjauan tersebut. Pihak LZS akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua pengunjung portal. Segala cadangan dan penambahbaikan amatlah dialu-alukan. Sila isi borang pertanyaan/aduan online ataupun email kami di editor@e-zakat.com.my.

Sekian, terima kasih.

PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (MAIS)

0

Tarikh : 7/2/2010
Penulis : editor

Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamed Izam bin Mohamed Yusof telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) berkuatkuasa dari 21 Jun 2010.

Sebelum ini beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif di TH Global Sdn Bhd.

Manakala, Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar bercuti selama tiga tahun bermula dari 21 Jun 2010 bagi menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan zakat.

Pelantikan Yang Berbahagia Tuan Hj Mohamed Izam bin Mohamed Yusof dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

LZS RAI EJEN KUTIPAN ZAKAT: BANTU MUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN ZAKAT

0

Tarikh : 6/30/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 29 Jun 2010-Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Majlis Anugerah Ejen Kutipan Zakat 2010 di sini hari ini bagi menghargai peranan dan kerjasama ejen kutipan zakat dalam memudahkan urusan pembayaran zakat di Selangor.

Majlis yang disertai lebih 70 orang wakil ejen kutipan zakat ini juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di antara LZS dengan ejen-ejen kutipan zakat. Di majlis ini juga 12 anugerah diberikan kepada ejen-ejen kutipan zakat yang berjaya mencapai kutipan zakat tertinggi, jumlah pembayar zakat tertinggi dan prestasi peningkatan kutipan zakat tertinggi di sepanjang tahun 2009.

Penyampaian Anugerah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Menurut beliau di dalam ucapannya, sepanjang tahun 2009, sebanyak RM22.56 juta zakat berjaya dikutip melalui ejen yang dilantik.

Sehingga kini LZS melantik 62 ejen kutipan zakat semenjak tahun 1997 yang terdiri daripada 15 bank utama, Pos Malaysia, 28 ejen cukai serta sembilan firma audit. Manakala empat IPTA pula ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Turut dilantik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Celcom, As-Salihin Trustee serta Mobility One, syarikat yang menyediakan kemudahan bayaran zakat di stesen Petronas.

Melalui ejen kutipan zakat ini pelbagai kemudahan disediakan antaranya pembayaran zakat melalui perbankan internet, perbankan telefon, sms, kaunter-kaunter bank dan pos, mesin ATM, kad kredit serta kad debit. Manakala di stesen minyak Petronas orang ramai boleh membayar zakat menerusi mesin Terminal One-Pay.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Noormala Mohd Saad,
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 019 3880 524 / 03 55227718
Hamizul Abdul Hamid,
Ketua Unit Perhubungan Awam
Tel: 019 388 0528 / 03 5522 7716

LZS BANTU ROHANA BERDIKARI

0

Tarikh : 6/24/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

KERIUHAN pagi di Pasar Selayang Baru amat menghidupkan suasana. Para penjual masing-masing sibuk dengan jualan. Ada yang memekik, ada pula yang membuat pelbagai gaya suara demi memikat pelanggan.

Dalam keriuhan itulah, penulis ditemani seorang Pegawai Agihan Zakat Selayang melangkahkan kaki menemui penerima bantuan zakat, Rohana Razali, 47, bagi slot Jejak Asnaf pada kali ini.

Rohana, seorang ibu tunggal yang tidak tega menyerahkan nasibnya pada takdir Allah SWT semata-mata tanpa usaha.

Dia bangkit daripada kesusahan setelah melalui pahit-getir sebuah perceraian. Bersama tiga anak penguat semangat, Rohana tekad meneruskan tatih hayat.

“Saya memang asal orang Lembah Klang. Namun, setelah mendirikan rumah tangga, saya mengikut bekas suami ke Kedah.

“Hasil perkahwinan itulah, saya dikurniakan tiga orang zuriat, lelaki semuanya.

“Anak pertama saya, Mohammad Ikhwan, 19, kini sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam bidang grafik dan multi media. Alhamdulillah, beliau mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Anak kedua saya, Muhammad Iqmal, 16, dan anak ketiga pula, Muhamad Saiful Mizan, 15. Kedua-duanya kini sedang belajar di Sekolah Menengah Sengai Kertas.,” cerita Rohana serba sedikit perihal keluarganya.

Rohana kembali ke Selangor kira-kira lapan tahun dahulu dan mencuba pelbagai cara demi mencari rezeki. Maklumlah, anak-anak berada di sisi dan tanpa nafkah daripada suami, maka semuanya digalas seorang diri.

“Setelah berpindah semula ke Selangor, saya menumpang di rumah saudara. Masa itu, saya pernah bekerja kilang; tapi tidak lama. Mungkin sudah rezeki saya di Selayang Baru, tidak lama kemudian saya dilamar oleh seorang kawan untuk membantu peniaga berjualan makanan di pasar ini.”

Lalu, sejak lima tahun lalu, Rohana setia menjadi pekerja di gerai menjual soto, mi rebus dan bubur lambuk.

“Di gerai makan ini, saya diberikan gaji harian RM25 sehari. Alhamdulillah, dengan gaji itulah saya menampung perbelanjaan saya sekeluarga,” ujarnya.

Mengimbau kembali saat awal perceraian, Rohana berkata dia hilang arah. Jiwanya kacau dan fikirannya galau.

“Saya hilang arah semasa itu. Tak tahu apa nak buat. Mujurlah berkat sokongan keluarga, khususnya kakak saya, maka saya dapat menerima keadaan ini sedikit demi sedikit.

“Kebetulan kakak ipar saya mendapat rumah baharu. Maka beliau menawarkan rumah di tanah rezab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibinanya kepada saya. Rumah itu memang betul-betul berdekatan pencawang TNB dan amat uzur.

“Jika hari hujan kami anak-beranak terpaksa berlindung di bahagian hadapan rumah kerana atapnya banyak yang bocor. Dinding pun sudah reput dan terkopak di sana-sini. Bahkan pernah seekor ular tersesat masuk ke dalam bilik air. Akhirnya ada pihak yang sudi membantu dan merekalah yang menolong menggantikan apa-apa yang patut.

“Alhamdulillah, berkat adanya pekerjaan ini, maka saya dapat mengatur kembali perjalanan hidup saya. Tidak keterlaluan saya katakana, bahawa bantuan zakat juga adalah antara perkara yang amat besar kesannya dalam hidup saya. Ia memberikan saya semangat untuk memulakan langkah pertama saya,” terangnya.

Katanya, jika tiadalah bantuan daripada LZS sudah pasti impian anak sulungnya untuk belajar ke hingga universiti akan terhalang.

Sebab itu dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada LZS kerana berkongsi menanggung beban yang dipikulnya selama ini.

“Kepada para pembayar zakat, sesungguhnya zakat yang dihulurkan itulah yang banyak menolong saya dan ramai lagi orang lain yang memerlukan. Saya doakan ke hadrat Allah SWT semoga semua pembayar zakat diberkati pendapatan mereka. Jika mereka berniaga, dimajukan lagi dari semasa ke semasa, agar mereka dapat terus berzakat demi kepentingan semua,” doa Rohana.

PROGRAM SEHARI DI PENJARA KAJANG

0

Tarikh : 7/5/2010
Penulis : Mohamed Syahril Bin Haji Zainol

Kajang, 24 Jun – Bahagian Majikan Lembaga Zakat Selangor dengan kerjasama Bahagian Dakwah, JDK, D’ Asnaf Kraf, KOD, PKOD serta kakitangan Daerah Hulu Langat telah menganjurkan Program Sehari di Penjara Kajang tempohari.

Program berjaya mencapai objektifnya dengan mengadakan misi ziarah ke penjara di sebelah pagi. Petangnya diadakan Taklimat Pekeliling Kerajaan Skim Berkat kepada 300 kakitangan penjara. Manakala di sebelah malam turut diadakan kaunter, pameran zakat, majlis tahlil, solat hajat dan Forum Perdana.

Hadir majlis tersebut Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan CEO LZS serta dibarisi 3 penceramah terkenal; Ustaz Rodzi (KUIS), Ustaz Halim (LZS) merangkap moderator dan Ustaz Kamaruddin (Mantan Imam Masjid Negara)

“Dalam sesi lawatan tersebut, didapati sumbangan zakat amat diperlukan. Banyak aspek boleh dibantu terutamanya kepada aspek pembangunan agama, naik taraf institusi kerohanian dan sekolah dalam penjara itu sendiri. Pelbagai kesalahan telah dikenalpasti, golongan Melayu Islam adalah menjuarainya. Kedua, kaum India tetapi pesalah kekal yang sangat sedikit adalah dari kaum Cina. Sesuatu yang boleh diambil ikhtibar bagaimana kaum Cina berjaya mengurangkan kadar jenayah di kalangan mereka”.

Program 5 dalam 1 ini dilihat positif sebagai misi dakwah yang SMART dan pada masa yang sama menampilkan kaedah pemasaran langsung kepada sasaran. Kerjasama dari pihak Penjara Malaysia sangat baik sekali. Semoga LZS dapat mendepani pelbagai isu masyarakat demi membawa ummah gemilang.

Berita Terkini