Utama Blog Halaman 135

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR BANTU MANGSA BANJIR PERLIS RM100 RIBU

0

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan zakat kepada mangsa banjir di negeri Perlis, berjumlah RM100,000 melalui Majlis Agama Islam Negeri Perlis pada 27 Feb di sini.

Bantuan berbentuk cek disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al  Haj kepada DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al- Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Bantuan ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir yang melanda negeri Perlis pada November tahun lalu.

Ia merupakan tanggungjawab sosial LZS bagi membantu umat Islam yang dilanda musibah atau bencana.

74 ORANG ANAK ASNAF FAKIR MISKIN PEROLEH 5A

0

Shah Alam, 3 Mac– Seramai 74 orang anak asnaf fakir miskin yang menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)  berjaya mencapai keputusan 5 A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Mereka adalah dari daerah Hulu Langat seramai 12 orang, Kuala Langat 11 orang, Sabak Bernam, Gombak dan  Kuala Selangor  masing-masing sepuluh orang.

Manakala dari daerah Petaling seramai 8 orang, Klang (7 orang) dan dari Hulu Selangor seramai 6 orang.
Selain itu, seramai 104 orang berjaya mendapat 4 A, 111 orang mendapat 3A, 176 orang mendapat 2A dan 88 orang mendapat 1A.

Bagi keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Agama (PSRA) pula seramai 47 orang pelajar telah berjaya mendapat Muntaz, 142 mendapat Jayyid Jidan, 111 orang mendapat Jayyid, 53 orang mendapat Maqbul dan 53 orang mendapat Rasib.

LZS berbangga dengan keputusan peperiksaan anak-anak asnaf fakir miskin ini kerana ia membuktikan bahawa kemiskinan bukan halangan untuk berjaya.

BANK MUAMALAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM120 RIBU

0

Kuala Lumpur, 24 Februari — Bank Muamalat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM120,720.75 bagi tahun kewangan 2010 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini semalam.

Cek zakat perniagaan Bank Muamalat diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada Penolong Ketua Jabatan Kutipan LZS,  Mohd Amin Ibrahim.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Pusat Zakat Negeri Sembilan, Dato’ Hj. Mohd Fazli Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Musa Abdul Malek.

23,488 KELUARGA ASNAF FAKIR/MISKIN JALANI SEMAKAN SEMULA ASNAF

0

Shah Alam, 22 Februari 2011 – Lembaga Zakat Selangor akan melaksanakan proses semakan semula asnaf fakir dan miskin 2010 melibatkan 23,488 buah keluarga asnaf fakir dan miskin, bermula Januari dan dijangka berakhir pada bulan Jun 2011 di sembilan buah daerah di Selangor.
Menurut Eksekutif Kanan Bahagian Operasi Pejabat Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Zaidi Rasid, semakan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti asnaf fakir dan miskin yang tersenarai sebelum ini layak, di samping memastikan maklumat yang diberikan sewaktu bancian fakir dan miskin benar dan tepat.

“Semakan semula ini melibatkan ketua keluarga asnaf fakir dan miskin akan dijalankan sendiri oleh pegawai agihan zakat daerah dengan mendapat kerjasama daripada ketua-ketua kampung dan penolong amil kariah. Melalui semakan tersebut, asnaf yang tidak layak akan dikeluarkan daripada kategori asnaf. Sehubungan dengan itu, semua asnaf yang terlibat diminta bekerjasama memberi maklumat yang tepat semasa proses semakan dijalankan. “

SAMBUTAN MAULID RASUL

0

PROGRAM ZIKRA

0

LZS SEDIAKAN LEBIH 70 JENIS BANTUAN KEPADA ASNAF

0

Oleh: Noormala Mohd. Sa’ad
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Bagi memastikan agihan zakat menyeluruh dan berkesan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyediakan lebih 70 jenis bantuan kepada asnaf zakat.

Bantuan zakat ini diberikan hanya kepada asnaf Fakir, Miskin, Amil, Mualaf, Fisabilillah, Gharimin, Ibnisabil dan Riqab.

Antara bentuk bantuan yang disediakan bagi asnaf fakir ialah saguhati hari raya, rumah orang tua, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan perubatan, pengurusan jenazah fakir, pembinaan rumah, baikpulih rumah, sewa rumah, kecemasan/runcit, kewangan bulanan, Plumbing & wiring rumah, makanan bulanan, kursus/latihan dan sebagainya.

Manakala bantuan untuk asnaf miskin pula ialah sagu hati raya, penempatan di rumah berkelompok, elaun penyelia rumah kelompok, bengkel jahitan, pusat komuniti/rumah transit, bina dan baik pulih rumah, sewa rumah, caruman takaful berkelompok, sambutan hari kebesaran Islam, pengurusan jenazah miskin, pendidikan anak-anak, bantuan modal (perniagaan, perikanan, penternakan, pertanian), kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan, projek usahawan berkelompok, pengurusan dana amanah miskin,perbelanjaan pengurusan pejabat Baitul Hasanah, elaun kelas pengajian/tusyen Baitul Hasanah, keperluan asrama Baitul Hasanah, bantuan yuran sekolah ren/men, kursus/latihan dan sebagainya.

Bantuan untuk asnaf amil pula meliputi Pengurusan Intitusi Amil (belanja pentadbiran, kajiand dan pembangunan, pemasaran & promosi, sumber manusia, prasana, komisen ejen kutipan).

Bantuan untuk asnaf Mualaf pula ialah saguhati raya, pembinaan berkelompok, percetakan/penerbitan, program/ceramah, bantuan kecemasan/runcit, pengurusan rumah perlindungan, belanja pengurusan bahagian pembangunan Islam, asset mualaf, bantuan berkhatan & perkahwinan, saguhati galakan saudara baru, sambutan hari kebesaran Islam, pembinaan rumah individu, membaik pulih rumah, bantuan sewa rumah, pengurusan jenazah, bantuan kewangan bulanan, bantuan modal, kursus/latihan, aktiviti/lawatan sambil belajar, elaun kehadiran kelas agama dan guru kelas agama, bantuan umum pelajaran, dermasiswa pelajaran dan juga bantuan perubatan.

Bantuan untuk asnaf Fisabilillah pula ialah ialah emolumen kakitangan MAIS, Baitul Hasnah, Projek Asnaf Zakat, pengurusan & pentadbiran kakitangan projek asnaf, elaun guru/penceramah bulanan, program forum/ceramah agama, program outreach, bantuan persatuan/badan, kursus pegawai masjid, bantuan penyelidikan/penerbitan, program penerapan nilai-nilai Islam, elaun bulanan pegawai masjid, imbuhan pendaftar nikah,saguhati kaunselor sukarela, bantuan kecemasan (banjir, ribut, kebakaran), bantuan karpet masjid/surau, bantuan bil utiliti intitusi masjid, pembinaan/baik pulih (masjid, surau, surau sekolah,intitusi agama luar negara, sekolah agama) dan lain-lain.

Manakala bantuan untuk asnaf Gharimin pula ialah bantuan hutang kerana keperluan hidup seperti hutang membiayai sakit kronik, hutang persatuan kerana permasalahan, pengurusan jenazah tanpa waris dan sewa UKB- pusat rawatan dialisis.

Bantuan untuk asnaf Ibni Sabil pula berupa bantuan musafir, bantuan tiket pergi dan balik pelajar yang belajar di luar Negara dan bantuan pelajar belajar di luar negara.

Bantuan untuk asnaf riqab pula berupa bantuan pemulihan akidah dan pemulihan akhlak. Melalui bantuan ini LZS membantu rumah-rumah kebajikan, rumah orang tua, pemulihan dadah dan sebagainya.

Walaubagaimanapun bantuan-bantuan yang disediakan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut berkenaan bantuan bolehlah menghubungi kaunter zakat terdekat atau layari www.zakatselangor.com.my.

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR BANTU MANGSA BANJIR KEDAH RM100 RIBU

0

ALOR STAR, 17 Februari 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan bantuan zakat kepada mangsa banjir di negeri Kedah, berjumlah RM100,000 melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Bantuan berbentuk cek disampaikan oleh Pengerusi LZS, Y.A.M Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini.
Bantuan ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir yang melanda negeri Kedah pada November tahun lalu. Ia merupakan tanggungjawab sosial LZS bagi membantu umat Islam yang dilanda musibah atau bencana.
LZS merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bernaung di bawah DYMM Sultan Selangor. Ia bertanggungjawab di dalam hal ehwal pengurusan zakat di negeri Selangor.
Turut hadir ketika penyerahan cek bantuan, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS MENANG PERARAKAN MAULIDUR RASUL

0

Shah Alam , 15 Feb 2010– Lembaga Zakat Selangor (LZS) muncul tempat keempat dalam kategori perbarisan bagi kontinjen wanita manakala tempat kelima bagi kontinjen lelaki dalam kategori Swasta/ IPTA/IPTS dan badan berkanun sempena perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor yang diadakan di Stadium Melawati pada 15 Feb.

Seramai 45 orang kakitangan lelaki dan 45 orang kakitangan wanita LZS mengambil bahagian dalam perarakan ini yang dimulakan seawal jam 7.30 pagi.

Peserta berarak sambil membawa sepanduk dengan melafazkan puji-pujian kepada Nabi Muhammad s.a.w bermula di Stadium Mini Shah Alam dan berakhir di Stadium Melawati Shah Alam.

Sambutan bertemakan “Rasulullah s.a.w Ikutan Sepanjang Zaman” dirasmikan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pelbagai program lain diatur, termasuk bacaan al-Quran, persembahan nasyid, Anugerah Maulidur Rasul dan hadiah pasukan perarakan terbaik.

Berita Terkini