Utama Blog Halaman 133

ZAKAT MENDEPANI ZAMAN – SUATU PENGALAMAN LZS

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Perubahan zaman menyaksikan pengurusan zakat turut berubah. Ia bukan sahaja mengubah corak kutipan zakat menerusi definisi kekayaan baharu dan pelbagai inovasi bayaran; bahkan turut meliputi perkembangan agihan zakat. Kini, agihan bukan lagi bersifat sekadar memberi untuk keperluan dua tiga hari; tetapi motifnya untuk membebaskan penerima daripada belenggu keadaan.

Di Lembaga Zakat Selangor (LZS), lapan asnaf zakat yang termaktub pada ayat 60 surah at-Taubah dikategorikan kembali kepada lima jenis bantuan. Pengkategorian ini bermaksud untuk memudahkan urusan agihan disalurkan. Asnaf tidak berubah, yang berubah ialah corak pendekatan dalam menyalurkan bantuan.

Lima jenis bantuan itu dinamakan sebagai Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Insan dan Program Pembangunan Institusi Agama.

Program Pembangunan Sosial adalah mekanisme bagi menjamin kehidupan berkualiti asnaf. Ia meliputi aspek perlindungan atau perumahan, keperluan hidup, kebajikan ummah secara umum dan juga program-program pemantapan ukhuwwah dan kemasyarakatan yang lain.

Misalnya dalam aspek perlindungan, ia memfokuskan kepada penyediaan rumah atau pusat perlindungan kepada asnaf yang memerlukan. Di LZS, asnaf yang memiliki rumah yang uzur akan diperbaiki atau diganti baharu dan ada yang diberikan penempatan di desa asnaf. Terdapat tiga jenis penempatan, iaitu penempatan asnaf fakir dan miskin di Desa Kasih dan Desa Ehsan, manakala penempatan asnaf mualaf pula ialah Desa Iman, Desa Mansuriah dan Baitul Hidayah. Rumah Barokah pula adalah jenis apartmen yang dibeli khas sebagai rumah transit sebelum asnaf ini boleh ditempatkan di rumah yang lain. Penempatan warga emas Baitul Salamah turut disediakan dengan dana fisabilillah.

Aspek perlindungan ini termasuklah juga Pusat Pemulihan Akhlak Baitul Ehsan dan Pemulihan Akidah Baitul Iman. Asnaf riqab didefinisikan semula di sini, iaitu mereka yang terpasung dalam belenggu ajaran sesat atau kerosakan akhlak, lalu mereka dibantu agar kembali ke pangkal jalan dengan dana zakat.

Keperluan hidup asnaf juga diambil kira. Ia meliputi bantuan kewangan dan makanan bulanan, kecemasan dan runcit, pakaian, perubatan dan pengangkutan khususnya kepada asnaf fakir dan miskin. Asnaf mualaf turut disediakan bantuan berkhatan dan perkahwinan.

Manakala bagi kebajikan ummah secara umum, ia meliputi rawatan hemodialisis, bantuan sakit kekal, pengurusan jenazah tanpa waris, kecemasan seperti banjir dan kebakaran, pemusafir, bantuan melunaskan hutang peribadi dan persatuan dan juga bantuan pemulihan akhlak dan akidah. Asnaf fisabilillah, ibn sabil dan gharimin terangkum di sini.

Demi memantapkan perhubungan dan ukhuwwah, LZS turut menyediakan dana bagi tujuan ini, misalnya mengadakan lawatan muhibbah, sambutan hari kebesaran Islam dan hari keluarga, khususnya bagi asnaf mualaf.

Program Pembangunan Ekonomi juga amat penting dalam usaha LZS menangani kemiskinan. LZS percaya, ada asnaf berpotensi yang boleh digilap. Maka, di bawah program ini disediakan bantuan modal perniagaan, sama ada untuk modal pusingan, projek pertanian dan mengembangkan perniagaan. Bagi projek ekonomi berkelompok, LZS menggerakkan asnaf secara berkelompok sehingga tertegaknya beberapa projek ekonomi, misalnya D’ Asnaf Kraf dan bengkel jahitan D’ Asnaf Anggun.

Kursus keusahawanan turut direncanakan demi memastikan asnaf yang terlibat dalam pembangunan ekonomi ini mampu menguruskan perniagaan mereka dengan baik. Kini, ramai usahawan asnaf bernaung di bawah Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat dan mereka terus dibimbing dan dipantau sehingga mampu berdikari, menerusi peruntukan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Program Pembangunan Pendidikan pula adalah senjata paling berkesan menjana asnaf, khususnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Untuk itu, LZS menyediakan dana bagi tujuan biasiswa dan dermasiswa khas. ia melibatkan tahap pendidikan daripada pra-sekolah sehinggalah ke universiti. Pembiayaan keperluan pendidikan asnaf juga dijamin, misalnya membeli pakaian dan peralatan sekolah serta tambang pengangkutan di bawah peruntukan asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

Demi menjamin kecemerlangan pelajar asnaf, maka LZS turut menampung kos yuran, kelas tambahan, kelas komputer dan seminar peperiksaan. Manakala, bantuan umum pendidikan juga disediakan yang berbentuk ‘One Off’ kepada semua orang, termasuklah mereka yang bukannya fakir miskin untuk menyambung pelajaran di atas asnaf fisabilillah. Program dakwah turut dibantu di bawah asnaf ini, seperti sumbangan kepada badan amal, pendakwah dan guru-guru agama.

Program Pembangunan Insan pula dirangka demi mengislahkan aspek spiritual asnaf. Ia meliputi aspek motivasi, sikap dan kekeluargaan dengan penekanan menerusi kursus-kursus kerohanian, tahsinul ibadah, tahsinul qiraat, kursus keibubapaan dan sebagainya lagi. Ia dijana menerusi asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Program Pembangunan Institusi Agama pula adalah mekanisme memastikan pembangunan institusi agama seperti masjid, surau dan sekolah dibangunkan dengan sempurna, khususnya daripada aspek kualiti. Ia juga meliputi aspak menaik taraf dan pembinaan baharu menerusi dana fisabilillah.

Kesimpulannya, dengan pembentukan lima jenis program ini, ia telah memberikan kesan positif kepada tujuh asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil kecuali asnaf amil, iaitu kakitangan LZS sendiri. Inilah transformasi agihan zakat, suatu upaya perubahan demi mendepani waktu agar asnaf terbela sesuai dengan keperluan zamannya. Wallahua’lam.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM2.87 JUTA

0

KELANA JAYA, 24 Mac 2011 – Sebanyak tujuh buah syarikat menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM2.87 juta di sini hari ini. Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri menerima pembayaran zakat tersebut bagi pihak LZS.

Antara syarikat yang menunaikan zakat ialah Tenaga Nasional Berhad berjumlah RM1,965,364.68, Kumpulan DRB-Hicom dan dua anak syarikatnya DRB Hicom Auto Solutions Sdn.Bhd. serta Hicom Power (RM847,796.00), manakala Kosas Berhad sebanyak RM37,320.80.

Dalam majlis yang sama, seramai empat individu dan sebuah institusi turut menerima bantuan zakat. Mereka adalah Junit Mohamed yang menerima bantuan sebanyak RM21,600.00 bagi tujuan menjelaskan kos perubatan dua orang anaknya yang cacat dan Abdul Hadi Abdullah yang menerima bantuan berjumlah RM8,100.00 bagi tujuan rawatan jantung.

Tiga penerima lain iaitu Ainn Farhana Samah dan Nabila Mohamad Zaizi menerima bantuan bagi membeli komputer riba serta Masjid al-Amin, Bt. 9, Kebun Baru yang menerima bantuan RM10,000.00 bagi pembelian sistem audio.

Turut disampaikan hadiah kepada lima pemenang Kuiz Zakat Radio24 yang dianjurkan bermula Disember tahun lalu dan berakhir pada Januari tahun ini.  Kesemua bantuan dan hadiah disampaikan Abdul Halim.  Turut hadir Adibah Abdul Wahab, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Kutipan LZS.

         

PANTAU HARTA, JANGAN BAZIRKANNYA

0

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam diskusi panjang kita mengenai harta, seringkali kita menyinggung tentang peri pentingnya mengurus harta mengikut piawaian yang telah ditetapkan Allah SWT.

Isu kedekut misalnya, telah acap kali disentuh lewat penulisan di ruangan ini. Kedekut selalunya diiringi sifat tamak-haloba dan sayangkan harta secara berlebihan. Qarun selalu diangkat sebagai ikon kedekut, di samping watak Hj. Bakhil yang amat mengesankan. Maka, pada kali ini kita akan cuba menyoroti satu lagi sifat tidak molek yang sering digandingkan dengan harta, iaitu membazir.

Umumnya, membazir adalah sifat berlebih-lebihan dalam berbelanja, sehingga melampaui tahap keperluan. Membazir juga boleh berlaku apabila harta dibelanjakan pada jalan-jalan yang tidak sesuai, berjudi misalnya adalah contoh pembaziran yang amat dilarang. Oleh itu, al-Quran dan al-hadis acap kali memperingatkan kita agar menjauhi pembaziran. Bahkan, terdapat 23 kali ungkapan ‘membazir’ yang telah diulang-ulang di dalam al-Quran.

Kejinya sifat membazir ini, sehinggakan Allah SWT secara tegas telah mengaitkannya sebagai saudaranya Syaitan. Cuba kita telusuri peringatan Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya, ” (al-Isra’: 27)

Lazimnya, membazir dalam memenuhi keperluan hidup sering terjadi tanpa kita sedari. Jika makan misalnya, secara umumnya kita hanya memerlukan sepinggan nasi dan segelas air dan sejenis lauk dan sayur bagi memenuhi keperluan. Namun, apabila sudah berlebih-lebihan, air sahaja sudah dua atau tiga jenis dan lauk-pauknya banyak sehingga memenuhi meja, maka ia sudah menjurus kepada membazir. Kemampuan perut kita adalah terbatas dan logiknya kita tidak akan mampu memenuhkannya dengan semua jenis kelazatan itu. Apa yang berlebih itulah pembaziran.

Jika kita merujuk kepada kajian saintifik sekali pun, Allah SWT menciptakan tubuh badan manusia dengan keupayaan yang tertentu. Misalnya, untuk menyerap mikronutrien, maka tubuh mengambilnya mengikut keperluan seseorang sesuai dengan keadaan dirinya. Vitamin C contohnya, hanya diperlukan sebanyak 250mg – 10g bagi individu normal. Jika seseorang itu mengambil vitamin C secara berlebihan sedangkan dia bukan sakit atau tidak tertekan, maka pembaziran akan berlaku. Vitamin C itu akan dibuang begitu sahaja daripada tubuhnya.

Realitinya, hari ini pembaziran amat kerap terjadi. Jika kita makan di hotel atau majlis keraian yang besar, lagi besarlah jumlah pembazirannya. Cuba kita perhatikan dalam sebuah majlis yang makanannya dihidangkan secara buffet, maka selalunya makanan akan diambil dalam kuantiti yang banyak. Sudahlah jumlah menunya pun banyak, maka makin berleluasalah nafsu dan semakin celarulah membuat pilihan.

Akhirnya sering terjadi, makanan yang diambil tidak habis dan dibuang begitu sahaja. Ia kadang-kala sehingga memaksa pihak hotel untuk mengenakan caj tambahan demi mengelakkan seseorang itu dengan sengaja mengambil makanan dengan amaun yang banyak dan dengan sengaja pula tidak melicinkan pinggannya.

Maaf bicara, sekali imbas kelihatannya pembaziran bagaikan sudah sinonim pada hari ini. Dalam majlis sambutan kebesaran, dalam kenduri-kendara dan pelbagai keraian dan program, acara yang gilang-gemilang itu sering diiringi warna pembaziran. Sekali difikirkan, alangkah ruginya berbelanja hanya untuk sebuah gimik dalam majlis perasmian; kerana ia hanya seketika dan kesannya pun tidak seberapa; sedangkan belanjanya mencecah ribuan ringgit.

Namun, sebagai individu muslim maka kita sewajarnya cuba mengawal pembaziran yang banyak juga terjadi dalam lingkungan diri dan keluarga kita. Cuba perhatikan corak penggunaan elektrik di rumah, kadangkala penghawa dingin terpasang, sedang yang dingin hanyalah sofa dan perabot bukannya orang. Kadangkala lampu terpasang di koridor tanpa tujuan, television terpasang tanpa penonton dan kipas berputar laju sedang diluar hujan lebat menderu. Itu semua adalah warna pembaziran yang perlu kita padamkan.

Kenapakah Allah SWT amat menegah pembaziran? Jawapannya mudah, kerana pembaziran bukan sekadar merugikan; tetapi menzalimi orang lain. Cuba bayangkan, pada saat makanan di sebuah hotel dibazirkan; ketika itu juga berapa juta mulut dan perut yang sedang menggigil dan menangis kelaparan tanpa sesuap makanan. Akibatnya, mereka sanggup menyelongkar tong sampah demi mencari bahan buangan dan itulah santapan buat mereka.

Teringat penulis akan kalimah Umar al-Khattab yang kira-kiranya begini: “Jika ditakdirkan rakyat Umar kelaparan, maka biarlah Umar menjadi orang yang terakhir mendapat sesuap makanan.” Demikianlah komitednya Umar al-Khattab dan bayangkanlah pula, sejauh manakah pembaziran yang berlaku dihadapannya. Wallahua’lam.

AZHAR BERJAYA DIBANTU ZAKAT

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam keredupan pepohon sawit yang rimbun, di situ dia membina kehidupannya. Menternak ayam hasil pemberian modal oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), Azhar, 41 (bukan nama sebenar) mengusahakan projek ternakannya dengan penuh semangat. Jejak Asnaf pada kali ini berusaha mencungkil ketegaran semangat beliau, untuk dikongsi bersama para pembaca.

“Saya mengizinkan cerita saya ini ditulis, adalah demi faedah semua orang. Khususnya bagi asnaf zakat seperti saya. Biar mereka sedar, bahawa asnaf zakat sebenarnya mampu berubah. Kita diberikan Tuhan anugerah yang sama seperti orang lain. Apa yang perlu ada, ialah sikap rajin. Yakinlah, insya-Allah kita akan Berjaya.” Demikianlah Azhar memulakan ceritanya.

Mengenang kembali sejarah hidupnya, Azhar memberitahu bahawa dia bukanlah orang yang sedari awalnya susah dan miskin. Bahkan, suatu masa dahulu dia pernah berkerja di tempat mewah dan mempunyai pendapatan yang lumayan.

“Ustaz, saya malu nak beri tahu. Tetapi, sebenarnya saya ini dahulu orang berduit. Semasa masih bujang, saya pernah berkhidmat di sektor kerajaan sebelum berhenti dan berkerja sebagai pengawal peribadi di sebuah kedutaan. Majikan saya orang Eropah. Gaya hidup mereka mempengaruhi saya.

“Ketika itu, saya merasakan saya sudah lebih Barat daripada orang Barat sendiri. ‘Air Kencing Syaitan’ saya reguk semahunya. Berjudi perkara biasa. Solat jangan sebutlah. Saya bersosial seperti mana orang Barat bersosial. Wang mewah. Di situ, hidup saya memang hanyut dalam arus duniawi, tanpa tujuan dan tanpa arah.” Wajah Azhar mendung kala menghimbau kenangan lampau.

“Ibu bapa saya risau keadaan tersebut. Saya diminta pulang ke kampung. Mungkin berkat doa ibu ayah, saya pulang dan akhirnya bertemu jodoh. Sejak itu, saya mencari rezeki sebagai pekerja kilang. Gaji kecil, tapi hati saya tenang.”
Hasil perkongsian Azhar bersama isterinya, Zaitun, 40 (juga bukan nama sebenar), mereka dikurniakan tujuh orang anak, lima lelaki dan dua perempuan.

“Saya memang diuji Allah. Setelah melahirkan anak pertama, isteri saya diserang sakit mental. Jiwanya kacau. Namun, dia masih mampu melahirkan zuriat saya seorang demi seorang. Bukan itu sahaja, saya juga membela ibu mertua. Malangnya, ibu mertua saya juga sakit jiwa.” Azhar terus berkongsi cerita.

Penulis terfikir, mungkin inilah yang dikatakan orang ‘sakit gila meroyan’ yang menimpa kalangan wanita jika mereka terlalu tertekan selepas melahirkan anak.

Dek kerana perlu menjaga isterinya, Azhar sering mengambil cuti. Tanpa sedar, ia mengundang rasa tidak senang di pihak majikan. Azhar akhirnya terpaksa diberhentikan kerja, atas alasan masalah disiplin yang teruk.

Tanpa kerja tetap, ertinya menambah beban di bahu Azhar. Lalu demi memenuhi keperluan keluarga yang kian membesar, Azhar sanggup melakukan apa sahaja kerja kampung demi sesuap rezeki yang halal. Nama untuk kembali ke bandar, dia sudah serik. Khuatir imannya tidak kuat menahan ajakan duniawi.

“Terus-terang saya akui, saya memang tidak tahu kerja kampung. Sama ada menebas, menangkap ikan atau menternak, saya memang jahil. Namun, dek kerana hidayah Allah sudah menyapa, dengan nekad saya meninggalkan dunia lama. Saya sanggup memulakan hidup dari bawah, biar payah saya tetap redah.

“Saya merantau ke sebuah kampung di Perak. Abang saya di sana mengajar saya untuk hidup sebagai pelaut. Bagaimana caranya menangkap ikan, membaca riak laut dan sebagainya. Saya juga belajar mengopek kelapa. Memang perit kala itu; namun saya tega demi keluarga.

“Sehinggalah pada penghujung 1997, saya kembali ke Selangor. Di Selangor, saya memanfaatkan segala kemahiran kampung yang ada. Saya mengambil upah mengopek kelapa. Malang nasib saya, penat berkerja upah pula tidak dibayar. Saya ditipu, suatu perkara yang tidak pernah berlaku.

“Tanpa malu, saya mencari besi-besi buruk untuk dijual. Saya juga ada sedikit kemahiran mekanik, maka saya mengambil upah membaiki motor dan peralatan elektrik. Tapi cara orang kampunglah, ada sesetengah itu bayarannya kecil dan ada juga yang sengaja mencari alasan enggan menjelaskan hutang.”

Azhar dan keluarganya terus bergelumang dengan kemiskinan, sehinggalah tahun 2003. Kala itu, wakil dari LZS datang menziarahi dia sekeluarga. Kemiskinannya memang menyayat hati. Mereka menumpang di sebuah teratak usang yang serba daif di Sg. Besar. Dengan keadaan isterinya yang tidak normal, keluarga Azhar memang tidak terurus.

“Sebenarnya, dari awal saya nyatakan. Jika LZS mahu membantu saya, berikan saya umpan. Saya tidak mahu menjadi peminta. Saya ada kudrat, saya boleh berusaha. Takkanlah selama-lamanya saya mahu menerima sedekah orang.”

Kini, Azhar sudah mampu tersenyum lebar. LZS memberikan pelbagai input dalam hidupnya. Sebuah rumah tiga bilik yang kukuh bernilai RM30,000.00 sudah dibina, dilengkapi bantuan pendidikan anak-anak, bantuan saraan keluarga dan juga modal menternak ayam sebanyak RM20,000.00 sudah dihulurkan.

“Saya hanya mahu kisah ini menjadi pembakar semangat semua penerima zakat. Ingat, jangan selesa menjadi penerima. Sebaliknya berusahalah untuk menjadi pemberi pula. Jika tidak, sia-sialah segala pemberian Allah kepada kita.” Tuntasnya sambil menabur makanan kepada ayam-ayamnya yang kini sudah pun memberikan pulangan yang besar kepadanya.

LZS REALISASIKAN HASRAT RUZITA

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang isteri kala suaminya menderita kesakitan? Pihak hospital mengesahkan, usus besar suami harus dipotong.

Pada masa yang sama, perbelanjaan keluarga, rumah sewa, yuran sekolah dan segala keperluan lain terus mendesak. Itulah secebis kisah Ruzita Ismail, 32 dan suaminya, Azman Ali, 40 yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf pada kali ini.

“Peritiswa itu berlaku kira-kira tahun 2006. Suami saya disahkan mengidap ketumbuhan di usus besar dan doktor meminta agar bahagian yang dijangkiti itu dipotong. Sebelum itu, suami saya adalah pemandu bas berjawatan kontrak di sebuah agensi kerajaan dengan gaji kira-kira RM1,500 sebulan. Ditambah dengan pelbagai masalah lain, beliau terpaksa berhenti kerja akhirnya.

“Bayangkanlah, sebagai suri rumah sepenuh masa, kami tidak mempunyai pendapatan lain bagi menyara keluarga. Mujurlah keluarga sebelah suami saya ada juga sedikit-sebanyak membantu. Namun, kehidupan memang rumit sekali. Sukar rasanya mengenangkan saat itu.” Ibu muda itu terdiam seketika. Rona wajahnya kembali mengenang kisah silam saat hidup mereka sekeluarga dirundung kelam.

“Bayangkan, sewa rumah sudah tertunggak hampir setahun lamanya. Yuran tadika anak pun, saya tidak mampu jelaskan. Kami terpaksa meminjam daripada kawan-kawan bagi membayar bil elektrik dan air, jika tidak semuanya akan dipotong. Saat itu, saya selalu menangis mengenang kesusahan diri dan keluarga. Tidak pernah saya bayangkan, kami akan melalui kegetiran sehebat itu.”

Azman yang berada di sisi kala wawancara itu diadakan, hanya mendengar isterinya berkisah tentang kenangan itu. Memang setelah menjalani pembedahan, Azman tidak mampu melakukan kerja-kerja berat, kerana bimbang boleh menjejaskan kesan luka di ususnya. Semuanya menambah parah, kerana beliau adalah nadi kepada keluarganya.

“Mujurlah pada tahun 2006 itu juga, kami didatangi oleh pihak jawatankuasa masjid berdekatan. Mereka dapat menghidu kesusahan kami lantas membuat bancian dan siasatan. Akhirnya, kami didaftarkan sebagai asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bermula dari saat itulah, sinar kebahagiaan mulai memancar kembali dalam hidup kami sekeluarga.

“LZS banyak memberikan bantuan yang tidak kami jangkakan. Misalnya, rumah yang sedang kami diami sekarang ini adalah hasil bantuan LZS. Cukup memuaskan, dengan tiga bilik dan siap dengan kemudahan elektrik dan air. Dapatlah kami enam beranak tidur dengan selesa tanpa memikirkan sewa lagi.”

Penulis terpandangkan kelengkapan membuat kuih Baulu Kemboja yang tersedia di sudut rumahnya. Ada dua buah mesin pengadun dan sebuah ketuhar pembakar yang agak besar.

“Ketuhar dan mesin ini pun saya dapat daripada pihak LZS di bawah Skim Bantuan Modal. Saya memang berhasrat mahu menjalankan perniagaan dan alhamdulillah, pihak LZS telah membantu saya memenuhi impian itu. Di samping LZS, pihak kerajaan juga ada memberikan bantuan tambahan.

“Sebuah lagi mesin pengadun dan sebuah ketuhar yang lebih besar sudah pun diberikan pihak kerajaan. Kini, saya dan suami bercadang mahu menambah sedikit lagi binaan di tepi rumah ini untuk menempatkan segala kelengkapan membuat kuih. Lagi pun, tidak selesa rasanya berkongsi ruangan dengan mesin. Nanti jika sudah ada bengkel, mudahlah jika LZS nak membawa orang datang melawat.” Tambah Ruzita.

Benar, penulis dapati kehidupan Ruzita dan suaminya Azman, bersama empat orang anak mereka, Adzwin, 11; Fauzan, 9; Fauzul, 7 dan Faizul, 5 kian teratur. Ada senyuman yang menghiasi wajah mereka. Dan senyuman itu pastinya terbit daripada sebuah kegembiraan yang bukan rekaan.

Kini, keluarga ini disantuni dengan wang zakat dalam pelbagai bentuk. Mereka diberikan bantuan hari raya, bantuan bulanan dan anak-anak mereka diberikan bantuan persekolahan setiap tahun. Rumah mereka pula telah dibina pada tahun 2009 dengan kos RM38,000.00 oleh LZS. Manakala, modal bagi memulakan perniagaan pula berjumlah RM5,000.00.

“Kini, kuih baulu kami sudah menembusi pasaran di merata tempat. Bagi daerah Sungai Besar ini sahaja, ada 44 buah kedai yang menjadi pelanggan tetap kami. Hitung panjang, setiap bulan kami mengeluarkan sejumlah 2,400 keping Baulu Kemboja dengan harga pasaran RM3.00 setiap satu. Tetapi bagi pengedar, adalah keisitimewaannya.

“Insya-Allah, kami dalam proses menambahkan lagi rangkaian pengedar. Nampaknya sambutan memang positif. Tak menang tangan kami berdua. Apatah lagi menjelang hari raya, tempahan akan meningkat sekali ganda. Bahkan ada orang menjadikan produk kami sebagai oleh-oleh kenduri perkahwinan. Mereka kata, produk kami berbeza. Mungkin kerana resipi saya memang istimewa berbanding Baulu Kemboja yang lain.” Sempat juga Ruzita mempromosikan kuihnya.

Hari ini, Ruzita dan Azman boleh tersenyum bangga dengan titik peluh mereka. Pendapatan mereka juga kian meningkat. Tidak mustahil dalam tahun ini, mereka sudah terkeluar daripada senarai asnaf di LZS.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembayar zakat. Teruskanlah membayar zakat kerana terbukti sudah, LZS benar-benar mengotakan amanahnya membela ummah.” Akhiri Ruzita.

Nota: Jika ada pembaca yang mahu membuat tempahan atau menjadi pengedar Kuih Baulu Kemboja keluaran Puan Ruzita Ismail, sila hubungi beliau di talian berikut 013-3109337.

LZS AGIH ZAKAT RM1.57 BILLION SEJAK 10 TAHUN

0

SHAH ALAM, 21 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa dalam jangka masa 10 tahun ini, sebanyak RM1.57 billion bantuan zakat telah diagihkan kepada rakyat di negeri Selangor ini. Inilah hasil pembayaran zakat yang dilaksanakan oleh rakyat baginda yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini.

Antara mereka yang menerima manfaat ini termasuklah golongan fakir, miskin, muallaf, guru-guru KAFA, pegawai masjid, anak-anak golongan fakir dan miskin yang belajar sekolah dan universiti serta institusi agama. LZS mengagihkan telah mengagihkan bantuan ini melalui lima program utama iaitu Pembangunan Sosial, Pembangunan Insan, Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan serta Pembangunan Institusi Agama.

Selain itu baginda juga berasa amat sukacita dengan pencapaian kutipan zakat di negeri ini. Dalam jangka masa yang sama menurut baginda, LZS telah mengutip zakat secara keseluruhannya sebanyak RM1.74 billion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setiap tahun. Baginda yakin dengan komitmen semua pihak secara positif, maka kutipan zakat di Selangor akan dapat meningkat berkali ganda lagi, titahnya ketika merasmikan ibu pejabat baharu LZS baru-baru ini.

SULTAN SELANGOR GESA UMAT ISLAM TUNAI ZAKAT

0

SHAH ALAM, 21 Mac – Sultan Selangor, Sultan Shafuddin Idris Shah bertitah ketika merasmikan ibu pejabat baharu LZS baru-baru ini, menggesa seluruh umat Islam termasuk syarikat beroperasi di Selangor supaya menunaikan tanggungjawab membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor.

“Beta mahu, agar semua umat Islam yang menetap ataupun yang bekerja di Selangor ini, menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor,” titah Baginda.

Hal ini menurut baginda adalah sejajar dengan ajaran Islam, bahawa zakat itu hendaklah ditunaikan di tempat di mana seseorang itu memperolehi harta atau pendapatannya. Menurut baginda lagi, sebagai

sebuah negeri maju yang menawarkan pelbagai kemudahan dan prasarana perniagaan terbaik kepada semua usahawan, maka wajarlah bagi para peniaga ini menunaikan zakat perniagaan mereka agar rezeki yang mereka nikmati dapat dikongsi bersama seluruh rakyat Selangor.

Sewajarnya semua umat Islam di negeri Selangor menyahut gesaan DYMM Sultan Selangor ini.

ZIARAH KORPORAT: LZS KUNJUNGI SURUHANJAYA SEKURITI DAN OPHIR HOLDINGS BERHAD

0

SHAH ALAM–Bagi menyebarluaskan lagi dakwah zakat kepada masyarakat terutamanya kepada syarikat-syarikat korporat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut mengadakan aktiviti Ziarah Korporat.

Terkini LZS berkunjung ke Suruhanjaya Sekuriti dan Ophir Holdings Berhad bagi bertukar pandangan berkaitan potensi zakat di samping mempromosikan zakat perniagaan.

Kunjungan ini juga dilihat dapat mengeratkan siraturahim di antara institusi zakat dengan syarikat ini disamping dapat  membincangkan usahasama yang dapat dijalankan antara kedua-dua belah pihak.

Berita Terkini