Utama Blog Halaman 130

KEMPEN TAMBAH CARUMAN

0

KOPERASI IBN AFFAN PATTANI, SELATAN THAI LAWAT LZS

0

3 Mei 2011 – Seramai 10 orang delegasi dari Koperasi Islam Ibn Affan Pattani (Koifap), Selatan Thailand telah melakukan kunjungan muhibbah ke Lembaga Zakat Selangor (LZS). Mereka diketuai oleh Dr. Wae-Asae Waehamad, Pengerusi Koifap.

Dr. Wae-Ase dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, tujuan utama kedatangan mereka ke LZS adalah untuk melihat dan mempelajari perkembangan dalam aspek kutipan dan agihan zakat daripada LZS. Mereka berharap, informasi yang diperolehi daripada LZS kelak, mampu membantu pihak Koifap memperkasakan pengurusan zakat. Beliau turut memaklumkan bahawa, Koifap juga telah mewujudkan Lujnah Zakat Koifap yang bertujuan menguruskan zakat koperasi yang berjumlah 500 juta Bath pada tahun lalu.

Majlis berlangsung dengan harmoni. Banyak maklumat telah dikongsi bersama. Sebelum berangkat menuju ke destinasi seterusnya, delegasi ini sempat diraikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof dalam majlis makan tengahari di LZS.

PROGRAM BUAL BICARA MERIAH: ERAT HUBUNGAN LZS DAN MASYARAKAT

0

KUALA LANGAT 29 April– Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya merealisasikan program zakat berkonsepkan kerohanian yang santai di sini baru-baru ini bagi mengeratkan hubungan di antara LZS dan masyarakat.

Program berbentuk forum yang dinamakan Bual Bicara ini menampilkan ahli panel iaitu Ustaz Suhaini Abdul Wakid dari JAIS dengan gandingan Ustazah Zawiyah dari JAKIM dengan tajuk ‘Dunia Diuji, Syurga Dinikmati’. Moderator pula ialah Ustaz Hashim Fikri Al-Jawi dari LZS yang mengendalikan bual bicara dengan baik di hadapan kira-kira 500 orang.

Kehadiran sangat memberangsangkan dari pelbagai lapangan baik seisi keluarga PDRM bersama-sama penduduk sekitar kawasan. Antara tetamu jemputan yang hadir pada malam tersebut antaranya ialah Orang Besar Jajahan Kuala Langat, ADUN SIjangkang, Ketua Polis IPD Kuala Langat dan Pengurus Besar, LZS.

Program pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran kaunter bergerak LZS yang ditempatkan di luar Dewan Serbaguna IPD sebagai salah satu kemudahan pembayaran zakat kepada para pengunjung yang hadir.

Sebelum Program Bual Bicara bermula, majlis Solat Hajat berjemaah turut diadakan selepas Solat Maghrib di surau berhampiran. Turut sama jemaah yang hadir ialah para pelajar Maahad Tahfiz, Masjid Bandar, Banting.

Ketua Polis IPD Kuala Langat melahirkan rasa gembira atas komitmen LZS dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat seiring usaha PDRM juga ke arah merapatkan hubungan dengan komuniti.

TELEKOM MALAYSIA BERHAD TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN

0

Shah Alam, 27 April –Telekom Malaysia Berhad menunaikan zakat perniagaan  kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM96,240 di Bilik Mesyuarat Umar Abdul Aziz, Bangunan Zakat Selangordi sini hari ini.

Pembayaran zakat perniagaan ini diserahkan oleh Datuk Zaini Maatan, Naib Presiden Pemasaran Selangor ,Telekom Malaysia Selangor kepada Hj Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

Zakat perniagaan yang ditunaikan adalah bagi tahun berakhir 2010.  Semoga zakat yang ditunaikan ini akan menyuburkan lagi perniagaan mereka.

Turut hadir, Mohd Aisha Jaafar, Ketua Modal Sumber Manusia Telekom Malaysia Selangor dan Adibah Abdul Wahab Timbalan Pengurus Besar, Pejabat kutipan LZS.

MMU METERAI PERJANJIAN SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT LZS

0

CYBERJAYA, 27 April 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS hari ini memeterai perjanjian persetujuan pelantikan Universiti Multimedia (MMU) sebagai ejen kutipan zakat bagi Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Pemeteraian perjanjian ini telah disempurnakan oleh Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS dengan Prof. Madya Dr. Muhamad Rasat Muhamad, Presiden MMU.  Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Canselor MMU turut hadir menyaksikan majlis yang bersejarah ini.

Pelantikan MMU sebagai ejen kutipan IPTS merupakan institusi kedua. Sebelum ini, LZS telah melantik Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebagai ejen kutipan IPTS yang pertama di Selangor.

Dengan perlantikan MMU, jumlah ejen kutipan IPT di Selangor telah bertambah kepada enam buah. Selain MMU dan Uniten, ejen kutipan IPT adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

LZS berharap dengan pelantikan ini, MMU menerusi Tabung Amanah Zakat MMU (TAZMMU) dapat memanfaatkan potensi dalaman MMU bagi meningkatkan kutipan zakat. Warga MMU juga berpeluang memperolehi bantuan zakat secara terus daripada TAZMMU, memandangkan LZS memberikan 1/3 daripada jumlah kutipan zakat MMU untuk diagihkan kembali kepada mereka yang layak.

Turut hadir, Dato’ Dr. Salim Shafie, Pengerusi Telekom Malaysia dan MMU dan Hajjah Adibah Abdul Wahab, Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS.

SEKETERIAT SUKARELAWAN ZIARAH JAIS- GEMBIRA DENGAN AGIHAN ASNAF

0

Shah Alam, 25 April — Seketeriat Sukarelawan Ziarah, JAIS berasa gembira melihat agihan zakat yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) semasa kunjungan ke sini semalam.

Ketua Delegasi, Hj Mahat Hj Tumin berkata melalui aktiviti ini mereka dapat melihat sendiri agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS dan berasa cukup gembira.  Beliau juga berhasrat untuk menyebarluaskan maklumat kewajipan berzakat melalui Seketeriat ini.

Kunjungan yang bertujuan berkongsi dan mendalami pengurusan kutipan dan  agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS disertai seramai 15 orang yang terdiri daripada wakil Sahabat Hospital, Sahabat PPUM, Puteri Islam dan LKPI.

Mereka telah diberi taklimat tentang pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor. Seterusnya delegasi dibawa melawat ke perumahan berkelompok di Desa Ehsan Sg Nipah dan Sg Nibong di Sabak Bernam bagi melihat sendiri usaha LZS dalam menyediakan perlindungan yang selesa kepada penerima bantuan.

Di sini mereka diberi taklimat tentang pengurusan rumah berkelompok LZS.  Mereka turut melawat bengkel jahitan dan lima buah rumah asnaf di sini.

Delegasi ini turut memberi kepada asnaf yang diziarahi. Mereka seterusnya melawat asrama Baitul Hasanah di Perepat, Klang.  Di sini mereka diberi taklimat tentang pengurusan asrama ini.  Mereka turut melihat kemudahan yang disediakan di sini.

LZS TERIMA KUNJUNGAN UNISZA

0

Shah Alam, 22 April – Lembaga Zakat Selangor (LZS)  menerima kunjungan delegasi dari Universiti Sultan Zainal Abidin ( UniSZA)  bertempat di Bangunan Zakat Selangor di sini.

Delegasi terdiri daripada tiga orang pensyarah diketuai oleh Syed Mohd Azmi bin Syed Ab. Rahman. Antara matlamat kunjungan ini adalah untuk mendapat gambaran terkini tentang pelaksanaan pengurusan zakat di Selangor yang melibatkan pentadbiran, kutipan dan juga agihan zakat.

Selain itu, kunjungan ini diharap akan membuka ruang ke arah kerjasama yang lebih erat antara UniSZA dan LZS.

Turut hadir , Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf, Abdul Malek Awang Besar dan Ketua Jabatan Pembangunan Ummah Abdul Samad Ibrahim.

Berita Terkini