MAIS DAN LZS BANTU MANGSA TANAH RUNTUH HULU LANGAT: RM217 RIBU DISALURKAN
HULU LANGAT, 23 Mei 2011–Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan berjumlah RM217 ribukepada 53 mangsa tanah runtuh dan Rumah Kebajikan Hidayah Madrasah al-Taqwa di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM100 ribu disalurkan kepada Rumah Kebajikan Hidayah Madrasah Al-Taqwa, RM5,000 setiap seorang kepada 16 waris mangsa yang terkorban dan RM1,000 setiap seorang kepada 37 mangsa yang terselamat.
Penyampaian bantuan ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. DYMM Tuanku turut berkenan menyampaikan bantuan kepada mangsa yang berada di Hospital Ampang.
Pihak MAIS dan LZS mengucapkan takziah kepada mangsa tanah runtuh ini dan berharap dengan bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan bebanan yang sedang mereka dihadapi.
Foto album majlis bantuan tanah runtuh ini boleh dilihat di pautan ini : Album Bantuan Tanah Runtuh.
Video majlis bantuan tanah runtuh ini boleh dilihat di pautan ini : Video Bantuan Tanah Runtuh.
Cerita: Noormala
SIKAP ASNAF PERLU BERUBAH
Oleh: Ima Syuhada Ismail
Pegawai Zakat, LZS (MAIS)
Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, hakikatnya ia bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda. Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap, yang penting adalah usaha asnaf sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Asnaf yang positif akan merebut peluang dengan penuh keazaman – Foto hiasan
Sungguhpun pelbagai bantuan disediakan, namun jika sikap asnaf yang masih terus mengharapkan bantuan tanpa berusaha, apa yang dirancang tidak menjadi. Kedangkalan sesetengah asnaf yang menganggap zakat itu adalah hak mutklak mereka, sebenarnya sedikit sebanyak membantutkan usaha LZS ke arah mentransformasi asnaf.
Senario ini tidak hanya berlaku di LZS, tetapi turut sama berpusar di pusat-pusat zakat negeri lain. Malah, apa yang lebih mendukacitakan apabila ada fakir dan miskin yang gemar menzahirkan kemiskinan mereka dengan harapan mudah untuk dapat bantuan zakat. Perlu difahami, Islam sebenarnya tidak menyukai sifat suka meminta-minta, sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan, bahawa golongan yang menyembunyikan kefakiran dan kemiskinan mereka itulah yang lebih berhak untuk dibantu dengan zakat.
Namun apa yang terjadi sekarang ini ialah ada kalangan manusia yang fakir dan miskin dan menjadikan status kefakiran dan kemiskinan itu sebagai tiket untuk meraih simpati sesama manusia. Seterusnya menjadi alasan bagi mendapatkan zakat dengan mudah tanpa perlu bekerja.
Sudah sampai masanya untuk LZS bertegas dengan golongan seperti ini kerana zakat bukanlah pendapatan sebaliknya adalah bantuan bersifat sementara. LZS tidak mahu melahirkan asnaf yang reda dengan kemiskinan mereka. Hanya menunggu bantuan zakat tiba tanpa perlu berusaha.
Biarpun ia memakan masa, usaha mendidik asnaf ini akan menjadi objektif utama LZS. Impian LZS ialah melahirkan golongan asnaf yang mempunyai jati diri untuk mentransformasikan diri mereka. Dalam erti kata lain, mentransformasikan asnaf dari seorang mustahik (orang yang menerima zakat) kepada muzakki (orang yang mengeluarkan zakat). Ia bukanlah mudah, namun insya-Allah bukan suatu yang mustahil!
LZS KUNJUNGI KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF
SHAH ALAM, 19 Mei–Bagi menyebarluaskan lagi dakwah zakat disamping mengadakan kunjungan siraturahim, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkaraf.
Delegasi seramai 16 orang dari Pejabat Kutipan Dakwah yang diketuai oleh Mohd Syahril b. Zainol selaku Ketua Bahagian Majikan diraikan dalam majlis ringkas.
Delegasi turut dibawa melihat operasi percetakan akhbar dan majalah sekitar bangunan. Turut hadir sama Pengarah Urusan Kumpula Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob semasa majlis makan tengahari.
Kunjungan ini juga dilihat dapat mengeratkan siraturahim di antara institusi zakat dengan syarikat ini disamping dapat membincangkan usahasama yang dapat dijalankan antara kedua-dua belah pihak.
AHLI PERSATUAN PENGUSAHA LOGISTIK BUMIPUTERA HAYATI PERANAN INSTITUSI ZAKAT
Shah Alam, 19 Mei 2011 – Ceramah Lembaga Zakat Selangor (MAIS) berkaitan Peranan Institusi Zakat Dalam Menuju Keberkatan berjaya menarik perhatian 60 syarikat penguasaha logistik sewaktu Mesyuarat Agong Persatuan Pengusaha Logistik Bumiputera Selangor yang diadakan di Shah Alam Convention Centre.
Ceramah yang disampaikan ini memberi peluang kepada ahli persatuan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan zakat perniagaan. Melalui kaunter pameran yang dibuka, LZS turut menerima kunjungan yang menggalakkan daripada para peserta yang hadir.
Menurut Eksekutif Perniagaan Daerah, Azhar Yahya Arif, “Peningkatan kutipan zakat perniagaan menyumbang kira-kira 60 juta daripada 336 juta kutipan zakat pada tahun 2010. Ini adalah atas keyakinan masyarakat terhadap LZS dalam mengagihkan wang zakat secara telus dan berkesan.”
KAUNTER BERGERAK MUDAHKAN ORANG RAMAI
Shah Alam, 16 Mei — Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyediakan kaunter bergerak bertujuan membantu proses kutipan dan agihan zakat, khususnya melibatkan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Dengan adanya kaunter bergerak ini dapat memudahkan lagi orang ramai untuk urusan kutipan mahupun permohonan bantuan.
Antara perkhidmatan yang disediakan di kaunter ini termasuklah pembayaran zakat, permohonan bantuan zakat, pertanyaan, taksiran zakat dan khidmat nasihat.
Sepanjang bulan Januari sehingga April kaunter bergerak ini telah beroperasi di lokasi-lokasi terpilih seluruh selangor melalui program-program, forum perdana, karnival dan banyak lagi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang lokasi kaunter bergerak ini bolehlah melayari portal LZS di www.zakatselangor.com.my atau hubungi talian khidmat pelanggan di 03-5522 7777.
RM335 RIBU WANG ZAKAT BANTU 13 RUMAH PEMULIHAN
Shah Alam, 13 Mei 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM335 ribu kepada 13 buah Rumah Pemulihan yang dikendalikan di bawah MAIS di sini hari ini bagi membantu menambah dana rumah pemulihan berkenaan.
Antara rumah pemulihan yang menerima bantuan ialah PROKIM, Baitul Islah Perkid Hulu Langat dan Baitul Islah Perkid Shah Alam. Bantuan yang diberikan kepada 13 buah rumah ini berjumlah antara RM20 ribu sehingga RM30 ribu setiap rumah. Bantuan yang disalurkan ini adalah di bawah peruntukkan asnaf Riqab.
Melalui bantuan zakat ini diharap dapat membantu masyarakat terutamanya mereka yang terbelenggu dengan masalah sosial dan ingin kembali ke pangkal jalan terutamanya pemulihan dadah, Aids dan pemulihan ahlak.
Bantuan zakat ini diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekuti LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof kepada Pengerusi MAIS, Dato’ Mohamad Adzib bin Mohd Isa.