Utama Blog Halaman 113

BANTUAN ZAKAT HANYA SEMENTARA

0

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

ADA orang yang menyatakan, sekali mereka mendapat bantuan zakat, maka mereka berhak ke atas bantuan zakat itu sehinggalah ke akhir hayat mereka. Adakah benar kenyataan ini? Bagaimana pula dengan pandangan Islam dan peranan yang sewajarnya dimainkan oleh umat Islam dan institusi zakat?

Memang tidak dinafikan bahawa, pihak institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) memang sering berhadapan dengan isu-isu seperti ini. Ia memang memerlukan penjelasan dan jawapan, demi mengelakkan masyarakat umum, dan juga dalam kalangan pembayar zakat khususnya, daripada mempunyai persepsi yang buruk terhadap pihak institusi zakat.

Memang tidak dinafikan juga, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun begitu, zakat adalah satu mata rantai dalam keseluruhan perjalanan sistem Islam yang dinamakan syariat. Zakat hanya dapat bergerak secara berkesan, andai syariat Islam dijana secara komprehensif dan seluruh potensi ummah digembeleng secara bersama demi kemajuan umat Islam.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan: “Jika sistem zakat berdiri secara terpisah daripada ajaran Islam yang lain, sistem zakat ini tidak akan mampu mencukupi keperluan golongan miskin. Hal ini boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak terhadap sistem zakat dan kesangsian mereka terhadap keberkesanannya.” (Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawabnya, hal. 99).

Sementara itu, jika kita merujuk kepada sejarah pada zaman pemerintah Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a (memerintah 99-101 hijrah) misalnya, baginda bukan sahaja memperkasakan aspek kutipan dan agihan zakat; bahkan baginda mengarahkan agar seluruh sistem sosial di dalam negaranya diperbaiki. Termasuklah di dalamnya, memperkasakan aspek ilmu dan kesedaran diri rakyatnya. Masjid meriah dengan majlis ilmu, para ulama menjadi obor yang sentiasa menyuluh kehidupan umat dan para penjawat awam serta rakyat sentiasa bersifat bahu-membahu membangunkan negara selaras dengan syariat.

Hasilnya, sungguhpun hanya kira-kira tiga tahun baginda memerintah; namun disebutkan di dalam sejarah, tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat pada masa itu. Pun begitu begitu hakikatnya, adalah dipercayai bukan tiada langsung orang-orang miskin; namun mereka termasuk ke dalam golongan orang yang ‘kaya hati’. Mereka mungkin miskin dari aspek harta; tetapi jiwa mereka kaya. Maka, mereka tidak suka menzahirkan kemiskinannya dan mereka lebih rela berusaha sendiri memenuhi keperluan diri dan keluarganya.
Tepat seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta; sesungguhnya kaya itu adalah kekayaan jiwa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Sementara itu, hari ini pula, antara cabaran terbesar institusi zakat ialah, merubah persepsi dan kefahaman umum umat Islam, khususnya kalangan penerima zakat, bahawa bantuan zakat adalah sesuatu yang sementara. Zakat sebenarnya hanya ibarat ‘pemangkin’ yang menjadi baja dan air bagi menyuburkan diri mereka. Asnaf zakat tidaklah wajar mendambakan bantuan zakat untuk selama-lamanya sepanjang kehidupan mereka.

Ini kerana, berdasarkan pertunjuk sunnah Nabi Muhammad SAW, banyak sekali baginda mengarahkan agar umat Islam tidak selesa untuk menjadi orang yang senantiasa menerima bantuan orang lain. Misalnya di dalam sebuah hadis yang begitu mahsyur: “Tangan yang di atas adalah lebih mulia dari tangan yang di bawah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bahkan, dalam sebuah hadis daripada Abu Musa r.a; nabi dengan terang dan jelas telah mengarahkan agar para sahabatnya bekerja dan dengan itu, mereka mendapat harta dan dapat pula memberikan hartanya kepada orang lain. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika dia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja) yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Bahkan Allah SWT dengan amat terang dan nyata menjelaskan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (ar-Raa’du: 11)

Maka, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap penerima zakat untuk berusaha mengubah keadaan diri mereka. Institusi zakat hanya mampu menyediakan prasarana atau ‘alat-alat’ yang sifatnya ‘membantu’. Segala bantuan itu, misalnya bantuan pendidikan anak-anak, bantuan perumahan dan bantuan perniagaan, adalah ibarat joran dan mata kail serta umpan yang sepatutnya digunakan oleh para asnaf untuk mendapatkan lebih banyak ikan.

Dari satu aspek lain pula, beban dan peranan merubah pemikiran para penerima bantuan zakat ini, tidaklah wajar dibebankan hanya ke atas bahu institusi zakat semata-mata. Bahkan, seluruh umat Islam mempunyai saham masing-masing demi menjana perubahan ini. Misalnya, jika kebetulan asnaf zakat itu tinggal di sesebuah taman perumahan atau kampung, maka pihak yang berautoriti dan kejiranan di kawasan berkenaan sewajarnya berganding bahu memantau perkembangan asnaf berkenaan.

Misalnya, jika pihak institusi zakat memberikan bantuan modal, enjin sangkut, pukat dan bot bagi nelayan misalnya, adakah ia benar-benar dimanfaatkan demi mencari ikan. Begitu juga, adakah anak-anak yang diberikan bantuan pendidikan, mereka diberikan peluang pendidikan yang baik oleh ibu bapanya, misalnya tidak disuruh pula melakukan kerja-kerja rumah yang berlebihan, membantu kerja harian dan sebagainya sehingga mengganggu proses pembelajaran.

Hal ini jika dapat dilakukan, bukan sekadar membantu mempercepatkan proses perubahan diri asnaf zakat, bahkan berupaya mengekang daripada berlakunya gejala menyalah guna bantuan dan sebagainya yang mungkin boleh terjadi.

Pendek kata, usaha ini adalah selaras dengan kehendak Islam. Firman Allah SWT: “Dan bertolong-bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa; dan jangan kamu bertolong bantu dalam kejahatan dan dosa.” (al-Maaidah: 2)

Kesimpulannya, usaha merubah kehidupan asnaf memerlukan komitmen semua pihak. Bantuan zakat sememangnya bersifat sementara, melainkanlah jika asnaf yang menerima itu sudah tua dan uzur serta kurang keupayaan pula untuk berubah, maka sudah sewajarnya mereka dijaga dengan baik oleh institusi zakat yang juga merupakan elemen kebajikan pemerintahan di dalam sesebuah negara yang bertanggungjawab menjaga maslahah rakyatnya. Wallahua’lam.

TAZKIA TERUJA INOVASI LZS

0

SHAH ALAM, 31 Jan 2012 – Seramai 29 orang delegasi dari Sekolah Tinggi Ekonomi Islam (STEI) TAZKIA, Bogor, Indonesia  mengunjungi Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini. Kunjungan ini diketuai Ibu Rochania Ayu Yunada, Ketua Program Studi, Akuntasi Islam dan mereka amat berminat untuk melihat dan mempelajari apakah kaedah yang dilakukan LZS dalam mendepani keperluan zaman.

Di dalam sesi soal jawab, para peserta yang terdiri daripada mahasiswa ini mengambil peranan aktif mengemukakan pelbagai persoalan mengenai pengurusan zakat. Misalnya, bagaimanakah LZS menjalinkan kerjasama bersama pihak pemerintah, sehingga mampu menggerakkan usaha meningkatkan lebih ramai pembayar zakat.

Turut mendapat perhatian ialah, bagaimanakah LZS menyediakan pelan bertindak bagi mengangkat martabat penerima zakat, khsuusnya dalam menjana asnaf zakat sebagai usahawan.

Tertarik dengan pelbagai inovasi di LZS, pihak TAZKIA berhasrat untuk menghantar beberapa orang pelajarnya bagi menjalani latihan praktikum di LZS. Mereka juga berminat menjalinkan pelbagai kerjasama, khususnya menerokai pelbagai perkara baharu mengenai zakat demi manfaat ummah.

LZS PERJELAS ISU ‘PESAKIT RADANG SENDI RAYU BANTUAN’

0

SHAH ALAM, 26 Jan 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Pesakit Radang Sendi Rayu Bantuan’ yang tersiar di akhbar Harian Metro pada 20 Januari 2012 dan Berita Harian pada 23 Januari 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Nor Haida Ali, 37 menyatakan beliau amat memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan anaknya, Danial Ikhwan Ahmad, 14 yang mengidap ‘Juvenile Idiophatic Arthritis (JIA)’.

LZS amat prihatin dengan aduan yang telah disampaikan. Mengenai status permohonan beliau sebelum ini, ia bukan ditolak sebaliknya LZS menunggu dokumen sokongan daripada pihak hospital yang masih belum diserahkan bagi melengkapkan permohonan.

Sehubungan dengan itu, pegawai LZS telah berkunjung ke rumah pengadu dan mengenalpasti kes ini boleh dibantu di bawah asnaf gharimin bagi membiayai kos rawatan berkenaan sebanyak RM500 sebulan selama enam bulan. Selepas dari tempoh tersebut, pengadu boleh mengemukakan semula permohonan bagi meneruskan bantuan.

NORAJUN AINUN MOHD. HASHIM
Ketua Komunikasi Korporat

LOMBONG JADI SUMBER REZEKI

0

DALAM keriuhan pagi di Pasar Batang Kali, Hulu Selangor, kelihatan kelibat wajahnya ceria melayan pelanggan. Itulah Muhammad Irawan Basar, 38, seorang usahawan kecil asnaf zakat yang bakal mewarnai kanvas Jejak Asnaf kali ini.

Sekali imbas, tiada yang istimewa pada sosok lelaki ini. Namun tanpa disangka, dia adalah antara asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berjaya merubah nasib diri dan keluarganya.

Menghimbau kisah lalu, Irawan dan isterinya, Haslina Abdul Karim, 42, hanya mendiami sebuah rumah yang jauh dari penghuni lain di kawasan tasik dan kebun sayur-sayuran di belakang bandar Batang Kali atau lebih tepatnya di sekitar Ulu Yam.

Di situlah, dalam serba kesederhanaan dia menampung kehidupannya sekeluarga dengan hanya bergantung kepada rezeki kampung.

“Di Ulu Yam, saya mencari ikan di tasik-tasik tinggalan lombong bijih timah zaman Inggeris. Mencari pucuk-pucuk paku, rebung dan sebagainya untuk dijual di Pasar Batang Kali. Cukuplah buat makan pakai kami anak-beranak,” terangnya ringkas.

Semuanya berjalan sempurna, sehinggalah dia ditimpa kemalangan ngeri akhir tahun 2009. Sebuah lori pasir hampir meragut nyawanya.

“Ia berlaku pada 25 November 2009, iaitu pada pukul 7 pagi di Jalan Batang Kali – Genting Highlands sewaktu membawa 20 kilogram ikan hasil tangkapan untuk dijual di pasar. Masih saya ingat, kejadian itu berlaku lagi dua hari umat Islam mahu menyambut Hari Raya Haji.

“Sebuah lori pasir menggilis badan saya. Lebih tepat lagi di bahagian perut saya ini. Akibatnya, tulang pinggul saya terbelah dua dan tulang paha saya juga patah.

“Pihak hospital tidak menjangkakan saya mampu hidup lagi. Bahkan mereka sendiri merasa ajaib apabila saya mampu bertahan.

“Lapan hari saya koma di hospital. Kemudiannya, saya terlantar lagi selama tujuh bulan dengan tidak boleh melakukan sebarang kerja. Sedangkan anak-anak dan isteri perlukan pendapatan. Semua ini amat menjerakan sekali.

“Hinggalah cukup bulan ke tujuh, saya tidak lagi boleh bersabar. Akhirnya, dalam kepayahan saya gagahkan diri mencari ikan di lombong walau pihak hospital tidak menggalakkan. Semuanya saya lakukan demi rezeki keluarga,” katanya.

Tanpa segan, dia membuka baju di bahagian perutnya demi menunjukkan parut besar akibat kemalangan lampau.

Namun, rezeki manusia di tangan Allah SWT. Tidak lama setelah ditimpa kemalangan, LZS pun datang menghulurkan bantuan kepadanya.

“Saya mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2009. LZS memberi bantuan Ramadan dan raya, bantuan pendidikan, sewa rumah dan bantuan makanan dan wang bulanan kepada saya sekeluarga.

“Bahkan, apabila LZS melihat kesungguhan saya mencari ikan di lombong, LZS turut memberi bantuan modal perikanan bagi membeli jaring, motor roda tiga dan peralatan perikanan bernilai RM2,000 kepada saya.

“Sesungguhnya, semua ini amat bernilai bagi saya demi memulakan sebuah kehidupan baru,” ujarnya.

Kini, Irawan lebih selesa menjalankan kerja-kerja menangkap dengan kelengkapan yang dimilikinya. Bahkan LZS turut bersetuju memberikan modal pusingan lanjutan RM1,000 bagi membolehkan beliau berniaga gerai minuman.

“Saya bersyukur kepada Allah dengan segala bantuan ini. Kelak, saya mahu membuka gerai menjual air minuman dan buah-buahan di Batang Kali. Jadi bolehlah sebelah pagi saya menjual ikan di pasar dan petangnya menjual air minuman dan buah-buahan potong.

“Buat masa ini pun, saya sudah merasai pendapatan yang agak besar. Saya fikir, tidak berapa lama sahaja lagi saya dan keluarga akan mampu keluar daripada senarai asnaf di LZS,” katanya

Melalui kunjungan LZS ke rumahnya baru-baru ini, dia bangga menunjukkan peningkatan hidupnya. Kini mereka sudah berpindah ke sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Liga Mas, Batang Kali.

Irawan juga sudah mampu memiliki motosikal demi memudahkan pergerakan isterinya menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah.

Bahkan, tanpa menyangka, dia memilih sekolah jenis kebangsaan Cina untuk persekolahan anak-anaknya.

“Alhamdulillah, anak sulung saya, Nurul Ain Waina, 9, mendapat nombor satu dalam darjahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Chee, Ulu Yam Lama. Adiknya pun, Muhammad amirul hakimi, 8, nampaknya tidak mengecewakan.

“Saya menghantar mereka ke sekolah cina, kerana mahu mereka mahir berbahasa Cina. Bagi saya, ia adalah modal untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya penuh harapan.

Inilah secebis kisah benar seorang asnaf yang tidak tega membiarkan dirinya diulit kesusahan. Semoga Allah SWT memberkati usaha Irawan dan seluruh ahli keluarganya.

Semoga Allah SWT juga memberkati para pembayar zakat yang dengan ikhlas melestarikan harta mereka demi kebaikan seluruh umat.

KENYATAAN AKHBAR DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR MENGENAI PRESTASI KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR BAGI TAHUN 2011 PADA 17 JANUARI

0

• ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

• TERIMA KASIH KEPADA WAKIL-WAKIL MEDIA YANG HADIR PADA HARI INI.

• SUKACITA SAYA INGIN MEMAKLUMKAN MENGENAI PRESTASI KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT BAGI NEGERI SELANGOR BAGI TAHUN 2011

1. KUTIPAN ZAKAT (HARTA DAN FITRAH)

ALHAMDULILLAH BAGI TAHUN 2011, JUMLAH KUTIPAN ZAKAT DI SELANGOR TELAH MELEBIHI SASARAN DENGAN JUMLAH KUTIPAN SEBANYAK RM393,538,753.00 (JUTA) BERBANDING RM 336,934,522.00 (JUTA) DALAM JANGKA MASA YANG SAMA PADA TAHUN SEBELUMNYA (2010). JUMLAH INI MENINGKAT SEBANYAK 17 PERATUS DENGAN PERBEZAAN SEBANYAK RM56.6 JUTA. DARIPADA JUMLAH TERSEBUT, SEBANYAK RM375,563,187.00 (JUTA) DIKUTIP DARIPADA ZAKAT HARTA, MANAKALA RM17,975,566.00 (JUTA) DARIPADA ZAKAT FITRAH.

JUMLAH KUTIPAN ZAKAT PADA TAHUN INI MELEBIHI SASARAN IAITU RM350 JUTA YANG DIJANGKA DAPAT DIKUTIP, NAMUN ALHAMDULILLAH BERLAKU LONJAKAN JUMLAH KUTIPAN YANG DISUMBANG TERUTAMANYA DARIPADA ZAKAT PENDAPATAN.

2. ZAKAT HARTA

PADA TAHUN 2011 KUTIPAN ZAKAT HARTA DI SELANGOR MENINGKAT SEBANYAK 18 PERATUS BERBANDING TAHUN SEBELUMNYA (2010). DI MANA PADA TAHUN LEPAS (2011) LZS MENGUTIP ZAKAT HARTA SEBANYAK RM375,563,187.00 (JUTA) BERBANDING RM319,601,241.00 (JUTA) PADA TAHUN 2010.

PECAHAN KUTIPAN ZAKAT HARTA MENGIKUT JENIS ADALAH SEPERTI BERIKUT:

ZAKAT PENDAPATAN RM216.0 JUTA (RM215,954,869.00)
ZAKAT PERNIAGAAN RM79.7 JUTA (RM79,696,064.00)
ZAKAT HARTA RM33.7 JUTA (RM33,700,791.00)
ZAKAT W.SIMPANAN RM27.6 JUTA (RM27,624,859.00)
ZAKAT KWSP RM6.9 JUTA (RM6,945,378.00)
ZAKAT SAHAM RM6.8 JUTA (RM6,774,624.00)
ZAKAT TANAMAN RM2.5 JUTA (RM2,537,771.00)
ZAKAT EMAS RM1.3 JUTA (RM1,281,019.00)
TERNAKAN, PERAK DAN
QADHA ZAKAT RM1.04 JUTA (RM1,047,814.00)

3. JUMLAH PEMBAYAR

JUMLAH PEMBAYAR ZAKAT HARTA BAGI TAHUN 2011 IALAH SERAMAI 180,090 ORANG, MENINGKAT 7 PERATUS BERBANDING TAHUN 2010 (168,002 ORANG). DARIPADA JUMLAH TERSEBUT, SERAMAI 28,979 ORANG MERUPAKAN PEMBAYAR BARU.

4. ZAKAT FITRAH

BAGI TAHUN 2011, LZS TELAH MENGUTIP ZAKAT FITRAH SEBANYAK RM17,975,566.00 (JUTA) BAGI TAHUN HIJRAH 1432 BERBANDING RM17,333,281.00 (JUTA) PADA TAHUN 2010. BILANGAN UMAT ISLAM YANG MEMBAYAR ZAKAT FITRAH PADA TAHUN LEPAS (2011) PULA IALAH SERAMAI 2,567,938 (JUTA) ORANG.

5. SASARAN KUTIPAN ZAKAT TAHUN 2012

MENGAMBIL FAKTOR KEADAAN EKONOMI YANG SEMAKIN BAIK DAN KESEDARAN MEMBAYAR ZAKAT YANG SEMAKIN MENINGKAT, MAKA LZS MELETAKKAN SASARAN KUTIPAN ZAKAT BAGI TAHUN 2012 ADALAH SEBANYAK RM430 JUTA IAITU KENAIKAN SEBANYAK SEMBILAN PERATUS BERBANDING KUTIPAN TAHUN LALU.

6. AGIHAN ZAKAT

PADA TAHUN 2011 YANG LALU, LZS TELAH MENGAGIHKAN WANG ZAKAT KEPADA GOLONGAN YANG LAYAK DI SELANGOR SEBANYAK RM371,720,961.00 (JUTA) BERBANDING RM364,991,423.00 (JUTA) PADA TAHUN SEBELUMNYA (2010). JUMLAH PENGAGIHAN INI MENINGKAT SEBANYAK DUA PERATUS DENGAN PERBEZAAN SEBANYAK RM6.7 JUTA.

PECAHAN PENGAGIHAN ZAKAT MENGIKUT ASNAF ADALAH SEPERTI BERIKUT:

ASNAF FAKIR RM35.6 JUTA (RM35,550,504.00)
ASNAF MISKIN RM75.0 JUTA (RM74,996,599.00)
ASNAF FISABILILLAH RM156.1 JUTA (RM156,104,625.00)
ASNAF MUALLAF RM15.5 JUTA (RM15,484,722.00)
ASNAF GHARIM RM31.4 JUTA (RM31,408,237.00)
ASNAF AMIL RM49.2 JUTA (RM49,174,981.00)
ASNAF RIQAB RM7.8 JUTA (RM7,756,532.00)
ASNAF IBNU SABIL RM1.2 JUTA (RM1,244,761.00)

BILANGAN ASNAF FAKIR YANG MENERIMA BANTUAN PADA TAHUN LEPAS (2011) IALAH SERAMAI 7,647 KELUARGA BERBANDING 9,430 KELUARGA PADA TAHUN 2010, MANAKALA BAGI ASNAF MISKIN ADALAH SERAMAI 13,983 KELUARGA BERBANDING 14,058 KELUARGA PADA TAHUN SEBELUMNYA (2010). INI MENJADIKAN JUMLAH KESELURUHAN ASNAF FAKIR DAN MISKIN YANG MENERIMA BANTUAN PADA TAHUN 2011 IALAH SERAMAI 21,630 KELUARGA.

SEKIAN.

RM371.7 JUTA ZAKAT DIAGIH PADA 2011

0

Shah Alam, 17 Januari 2012 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini mendedahkan, di sebalik kejayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melakukan kutipan zakat sebanyak RM393.5 juta pada tahun 2011; sebanyak RM371.7 juta pula telah berjaya diagihkan kepada lapan asnaf di Selangor.

Agihan zakat di Selangor adalah berpandukan kepada lapan asnaf  sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh syarak, iaitu asnaf fakir mendapat agihan sebanyak RM35.6 juta; asnaf miskin (RM75.0 juta); asnaf fisabilillah (RM156.1 juta); asnaf muallaf (RM15.5 juta); asnaf gharim (RM31.4 juta); asnaf amil (RM49.2 juta); asnaf riqab (RM7.8 juta) dan asnaf ibnu sabil sebanyak RM1.2 juta.

Dari aspek bilangan fakir miskin pula, jumlah fakir miskin di Selangor pada tahun 2011 adalah seramai 21,630 keluarga berbanding 23,488 keluarga pada tahun 2010. Daripada jumlah 21,630 keluarga itu, 7,647 keluarga berstatus fakir dan sebanyak 14,058 pula berstatus miskin.

Mohamad Adzib turut mengumumkan, LZS kini telah meluaskan perkhidmatan Kaunter Agihan X-Press ke seluruh daerah di Selangor. Kaunter ini mengendalikan urusan kecemasan dengan memperuntukkan bantuan tunai segera sehingga maksimum RM500.00. Umat Islam yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan segera, bolehlah mengunjungi kaunter zakat di daerah bagi mendapatkan perkhidmatan ini.

Senarai kaunter daerah yang menyediakan Kaunter Agihan X-Press ialah seperti berikut, Daerah Petaling di Bangunan Zakat Selangor (1-800-88-5353); Daerah Klang di Taman Klang Sentral Bukit Raja (03-33416939); Daerah Kuala Selangor di Bandar Melawati (03-32897202); Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar (03-32245166); Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu (03-60645104); Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi (03-87064806); Daerah Kuala Langat di Banting (03-31804350); Daerah Hulu Langat di Kajang (03-87364187) dan Daerah Gombak  di Taman Melawati (03-41474825).

Sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin.

2011: LZS CATAT KUTIPAN ZAKAT RM393.5 JUTA

0

Shah Alam, 17 Januari 2012 – Kutipan keseluruhan bagi zakat harta dan zakat fitrah di Selangor pada tahun 2011 adalah sebanyak RM393.5 juta; berbanding hanya RM336.9 juta pada tahun 2010.Kenaikan ini adalah sebanyak 17 peratus atau berjumlah RM56.6 juta. Daripada jumlah itu, kutipan zakat harta adalah sebanyak RM375.5 juta dan zakat fitrah pula adalah RM17.9 juta. Jumlah kutipan ini melebihi daripada sasaran RM350 juta yang diletakkan oleh LZS. Perkara ini disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, di Sidang Media Khas yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat Pendapatan dengan kutipan sebanyak RM216.0 juta, diikuti Zakat Perniagaan (RM79.7 juta); Zakat Harta (RM33.7 juta); Zakat Wang Simpanan (RM27.6 juta); Zakat KWSP (RM6.9 juta); Zakat Saham (RM6.8 juta); Zakat Tanaman (RM2.5 juta); Zakat Emas (RM1.3 juta); Zakat TernakanRM29,399.00), Zakat Perak (RM6,210) dan Qada Zakat sebanyak RM1.01 juta.

Jumlah pembayar zakat bagi tahun 2011 pula adalah seramai 180,090 orang; yakni meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding hanya 168,002 orang pada tahun 2010. Jumlah ini menunjukkan pertambahan pembayar baharu seramai 28,979 orang. Manakala zakat fitrah mencatatkan jumlah pembayar seramai 2.5 juta orang pada tahun 2011.

Bagi tahun 2012, LZS mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM430 juta, iaitu kenaikan sebanyak sembilan peratus. Hadir sama di majlis sidang media ini ialah, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin

BERBUDI KEPADA TANAH DENGAN BANTUAN ZAKAT

0

Dari rona wajahnya, tampak kesan jemuran yang membakar. Dia tegar menghamburkan keringatnya demi sebidang tanah. Di situlah, dia dan anak-anak serta isterinya membuktikan kebenaran bicara orang tua-tua, berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya. Di sisi lain, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa membantu orang yang mahu maju. Maka pada kali ini, mari kita pugar bersama cerita Abdul Kamal bin Abdullah Sani, 41 dalam meneruskan cita-citanya menjadi pekebun berjaya.

“Asalnya dahulu, saya bekerja sebagai jurujual sebuah syarikat swasta. Namun sekitar tahun 2000, saya jatuh sakit. Penyakitnya pula ‘misteri’. Doktor di hospital ‘angkat tangan’, kerana perubatan moden gagal mengesan apakah jenis penyakit saya. Kala itu, muntah saya berdarah dan berak pun berdarah.” Kamal memulakan kisahnya.

“Saya tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik, apatah lagi jurujual memang memerlukan seseorang yang sihat fizikalnya. Akibatnya saya telah diberhentikan kerja. Maka, mulai saat itu demi menyara keluarga, saya telah melakukan pelbagai jenis kerja, seperti mengimpal besi, menjual goreng pisang dan sebagainya.

“Namun, pengalaman yang paling menjerakan saya ialah, apabila pernah ditipu orang. Keringat saya diperah, namun setelah penat bekerja tidak pula diberi upah.” Luah Kamal lagi sambil mengenang kesempitan silam. Memang, kehidupan memang mencabar. Ia menjadi bertambah sukar kala dipermainkan oleh orang yang tidak ada ‘hati perut’ dan menindas orang lain demi survival sendiri.

“Lalu, saya mencari jalan untuk berniaga secara kecil-kecilan. Wang simpanan jangan ditanya, semuanya habis sudah untuk dibuat belanja. Maka, demi melanjutkan sebuah kehidupan, saya memberanikan diri untuk membuat pinjaman dengan along. Niat saya hanya satu, iaitu untuk mendapatkan sedikit modal bagi membuka gerai menjual goreng pisang.” Kamal terus berterus-terang tentang cerita hidup silamnya yang panjang.
Menurut Kamal, kehidupan mereka sekeluarga memang serba kekurangan. Anak-anaknya yang seramai lima orang pernah tidak makan nasi, atau jika disajikan nasi lauknya sekadar telur. Bahkan mereka, gayanya amat betah dengan kesusahan. Masakan tidak betah, jika anak-anaknya pernah makan nasi hanya berlaukkan garam, bahkan gula dan juga kicap.

Bahkan, itu belum diambil kira tentang persiapan apakala sesi persekolahan mula membuka tirainya dan hari raya pula mula menjelma. Bagi Kamal dan isterinya, Norfauzan Abd. Rashid, 32, semuanya mereka sambut dengan amat sederhana. Tidak dapat untuk balik ke kampung kerana tiada belanja adalah perkara biasa. Bahkan, pernah juga tertunggak sewa rumah selama lapan bulan lamanya.
“Semuanya saya sekeluarga lalui dengan tabah.” Ujar Kamal lagi.

Mujurlah, LZS menyedari penderitaan beliau sekeluarga. Usai bancian, lalu mereka pun mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2007, iaitu berupa bantuan pendidikan, persiapan menyambut puasa dan raya, bantuan sewa rumah, bantuan makanan dan juga bantuan wang bulanan.
“Bantuan-bantuan ini, sebenarnya amat memberikan keringanan kepada saya. Bayangkan, dahulu untuk belanja persekoalahan sahaja sudah amat memeningkan; namun berkat bantuan zakat, saya mampu tersenyum ceria menyekolahkan anak-anak.

“Apa yang lebih mengembirakan saya, hasrat untuk berdikari dimakbulkan Allah SWT apabila LZS sudi meluluskan bantuan modal sebanyak dua kali kepada saya, iaitu pertamanya untuk menjalankan perniagaan bawang goreng dan keduanya membuka kebun sayur-sayuran.

“Bagi modal yang pertama, LZS memberikan saya sebanyak RM2 ribu. Kemudian, bagi bantuan modal pertanian pula, saya memperolehinya pada Oktoer 2010 dengan keseluruhannya berjumlah RM15 ribu. Bantuan itu berupa mesin pengepam air, baja, pam racun, paip air dan juga anak benih.” Jelas Kamal secara lanjut dan dengan penuh bersungguh-sungguh. Tampak riak kebahagiaan mewarnai wajahnya kala itu.

“Sesungguhnya, amat besar nilai bantuan yang telah diberikan kepada saya. Dengan bantuan itulah, saya kini mampu menjalankan projek pertanian ini, iaitu membuka sebuah kebun sayur seluas kira-kira satu ekar di Bukit Beruntung dengan lebih baik dan teratur. Isteri saya dan anak-anak pun turut sama ringan tulang menolong saya. Bahkan kami telah pun menuai hasil pertama dari kebun ini pada hujung tahun 2010 lalu.

“Sesungguhnya, bagi kami anak-beranak, melihat pokok-pokok sayur yang tumbuh subur, adalah suatu kepuasan yang tidak dapat diukur. Itulah cara kami menebus kembali kesusahan silam dan semuanya berkat zakat yang telah umat Islam tunaikan.” Tuntas Kamal dengan nada penuh kepercayaan, bahawa ada sinar cerah sentiasa menantinya pada masa hadapan, insya-Allah.

Nota: Abdul Kamal Abdullah Sani menjual hasil kebunnya seperti terung dan cili kepada peraih di sekitar Hulu Selangor dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 016-9196306.

KAUNTER LZS SUBANG JAYA BERPINDAH

0

Shah Alam, 9 Jan 2012 – Kaunter pembayaran zakat dan permohonan bantuan zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) Cawangan Subang Jaya telah berpindah dari Tingkat Satu ke Tingkat Bawah di Bangunan Wisma Dicor (bersebelahan Pasaraya 99).

Perpindahan ini adalah demi memudahkan umat Islam bagi mengunjungi kaunter LZS dan seterunsya menjalankan pelbagai urusan zakat. Kaunter zakat sebelum ini yang berada di Tingkat Satu agak menyulitkan, terutamanya bagi kalangan warga emas dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

LZS berharap, dengan perpindahan Kaunter LZS ke Tingkat Bawah ini, ia dapat memberikan lebih kemudahan urusan zakat kepada umat Islam, khususnya bagi mereka yang tinggal di sekitar Subang Jaya.

Alamat Kaunter LZS Cawangan Subang Jaya:

No. 1: 03, Tingkat Bawah,
Wisma Dicor, Jalan SS17/1A,
47500 Subang Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-5637 6695
Faks: 03-5638 2694

SUDAH TERBIT: MAJALAH ASNAF TERBAHARU!

0

‘Peduli Kemiskinan Bandar’ menjadi isu utama dan fokus bagi majalah Asnaf edisi terbaharu Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara tajuk yang dikupas ialah memahami kemiskinan bandar, perubahan dimensi kemiskinan dan juga cabaran menguruskan kemiskinan khususnya di kawasan bandar.

Majalah Asnaf sering dinanti-nanti oleh ramai pihak, justeru ia adalah paparan sebenar bagaimana LZS mengendalikan urusan zakat di Selangor. Antara ruangan yang diminati ramai ialah Rencah Kehidupan, yang pada kali ini memaparkan kejayaan dua orang asnaf zakat mengambil peluang menjana ekonomi keluarga melalui modal perniagaan yang disediakan LZS.

Sesuai dengan aspirasi LZS untuk mentransformasi kehidupan asnaf, pada kali ini LZS turut memaparkan kejayaan lima orang asnaf. Mereka menceburi bidang perniagaan iklan, usahawan perikanan, mengusahakan kebun sayur-sayuran, usahawan air soya dan ternakan itik dan ayam.

Majalah Asnaf turut mewawancara Wardina Safiyyah dalam ruangan Pengalaman, bagi berkongsi pengalaman beliau menjadi pembayar zakat di LZS.

Semua ini dan banyak lagi boleh dicicipi melalui majalah Asnaf terbaharu atau boleh juga dilayari dihttps://www.zakatselangor.com.my/majalah-asnaf/.

Berita Terkini