Utama Blog Halaman 108

LZS LANCAR KEMPEN ‘LIKE FB LZS’ DEKATI GENERASI MUDA

0

SHAH ALAM, 4 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Like FB LZS’ di kampus utama Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Kempen dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Kempen ‘Like FB LZS’ ini antara lain, bertujuan untuk meningkatkan jumlah peminat ‘facebook LZS’ kepada 7,000 orang dalam tempoh tiga bulan. Facebook LZS telah diwujudkan sejak April 2011 dengan memfokuskan dakwah zakat kepada generasi muda dan setakat ini, terdapat 3,699 orang yang menyatakan ‘like’.

Sempena kempen ‘Like FB LZS’ ini juga, setiap pemilik akaun facebook yang mengklik butang ‘like’ dan menjadi ‘fan’ di ‘facebook LZS’ serta memuat naik gambar kreatif berkaitan zakat, secara automatik berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik termasuklah tablet iPad 2. Kempen ini bermula 1 April hingga 30 Jun 2012.

Kempen ‘Like FB LZS’ ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program ‘Semua Mesti Ada Rasa Tanggungjawab Pada Agama dan Zakat’ atau ringkasnya SMART A to Z, iaitu satu program dakwah kepada kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), yang antara lain memuatkan acara hiburan Islami, kuiz dan bual bicara bersama ustaz selebriti. Bagi program hari ini, turut ditampilkan ialah kumpulan Nasyid Ariff dan Ustaz Don Danial Don Biyajid.

Program SMART A to Z ini juga merupakan strategi Dakwah Zakat Didik, yang bertujuan mendekati golongan sasar dalam kalangan pelajar. Matlamatnya, antara lain untuk memberi kesedaran awal, kefahaman dan juga maklumat zakat kepada golongan remaja. Ia juga dapat membiasakan golongan muda dengan pelbagai isu zakat, di samping dapat merapatkan hubungan LZS dengan seluruh IPT di Selangor.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan dalam kalangan audiens mendapati, program ini amat menarik dan bermanfaat untuk diketengahkan kepada para pelajar IPT. Misalnya, Nur Ain Rani, pelajar Diploma Kejuteraan Elektronik berkata, program yang dianjurkan oleh LZS ini telah memberikan pendedahan awal tentang kewajipan berzakat kepada golongan muda agar mereka membayar zakat apabila sudah bekerja nanti.

“Ia juga dapat menyedarkan tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam dan saya berharap LZS dapat menyebarluaskan program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Sharoni Ismail dan Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.

52 ANAK ASNAF TERIMA BASIKAL: BABITKAN BANTUAN BERJUMLAH RM13 RIBU

0

SHAH ALAM,3 April 2012 – Seramai 52 orang anak asnaf di daerah Kuala Langat baru-baru ini menerima bantuan basikal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang kesemuanya berjumlah RM13,000.00.

Menurut  Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab, kos bagi setiap satu basikal adalah RM250.00 dan merupakan sebahagian bantuan di bawah program pembangunan pendidikan.

“Pemberian bantuan ini dilakuan atas permohonan daripada ibu bapa dan sebahagiannya lagi dicadangkan oleh pegawai zakat sendiri, berdasarkan keputusan bancian fakir dan miskin yang telah dilakukan. Ia bertujuan untuk memudahkan anak-anak asnaf pergi ke sekolah, berikutan adanya laporan bahawa terdapatnya masalah pengangkutan di sini.” Ujar beliau.

Salah seorang anak asnaf yang ditemui, Siti Khadijah Mohd Fauzi, 13 melahirkan rasa gembiranya dengan bantuan basikal yang diberi.

“Saya rasa sangat gembira mendapat basikal ini. Kalau dulu saya perlu mendapatkan bas untuk pergi ke sekolah; namun kini dengan adanya basikal ini, ia lebih memudahkan saya.” Ujar beliau yang kini berada dalam Tingkatan Satu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis.

Beliau ditemui ketika menyertai program Kayuhan Cinta Desa, anjuran Kelab Basikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) dengan kerjasama LZS. Program ini melibatkan lebih 200 orang peserta, terdiri daripada ahli ACT, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan anak-anak asnaf.

Sebelum itu, majlis penyerahan basikal kepada anak-anak asnaf disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi. Turut hadir di majlis berkenaan Penghulu Mukim Teluk Panglima Garang, Mat Isa Haron; Ketua Ekspedisi Jelajah, Ahmad Fauzi Abu Hassan; Pengetua Kolej Seroja, UiTM, Ahmad Azahari Mohd Nazar serta pemimpin setempat.

INOVASI DAN TEKNOLOGI MEMUDAHKAN PELAKSANAAN IBADAH ZAKAT

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid & Noormazla Mohamad Nizan

“Emm…mana sempat ‘nak bayar zakat. Sibuk dan tidak ada masa nak pergi kaunter zakat.”

Inilah antara alasan yang lazim digunakan oleh mereka yang tidak sempat membayar zakat. Kesesakan jalan raya, kesusahan mencari parkir dan harus pula beratur serta menunggu di kaunter zakat, dijadikan alasan untuk ‘menjustifikasikan’ tindakan. Hakikatnya, kita hanya perlu berpegang kepada pepatah Melayu, ‘jika hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan’.

Ironisnya, dunia sudah pun berubah dan kini, dengan adanya kemudahan internet di sana sini, maka sepatutnya tiada lagi kalimah menunaikan zakat itu susah. Sibuk atau sesaknya jalan raya, ia tidak sepatutnya lagi menjadi alasan. Apatah lagi, zakat adalah kewajipan paling asas bagi umat Islam. Meninggalkan zakat adalah satu kesalahan, menjadi punca datangnya dosa dan mengakibatkan hidup hilangnya keberkatan.

Allah SWT menyatakan: “Dirikanlah Solat dan tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama dengan orang yang rukuk,” (al-Baqarah: 43). Manakala di dalam surah at-Taubah, ayat 103 pula: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu dapat memberikan ketenangan bagi mereka.”

Zaman ini penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesatnya. Internet turut merubah pola kehidupan masyarakat. Semuanya kian mudah dan cepat. Membayar bil utili, membeli barangan, memesan perkhidmatan, membuat aduan, menjelaskan cukai bahkan menyalurkan komentar pun boleh dilakukan menerusi internet. Semua ini adalah gaya hidup baharu yang hampir tidak terjangkaukan dek pemikiran orang-orang zaman dahulu.

Dalam kondisi inilah, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga tidak terlepas daripada merebut peluang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat. Dengan hanya satu klik, kita bukan sahaja mampu mendapatkan pelbagai informasi berguna mengenai zakat, tetapi juga melakukan taksiran dan juga menunaikan zakat dengan cepat dan tepat.

Inilah dampak teknologi dalam dunia zakat yang amat mudah, hinggakan setitis peluh tidak mengalir di dahi untuk melangsaikannya. Hal ini amat sesuai dengan saranan Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185)

Bahkan ayat ini juga menjadi picu yang memotivasikan institusi zakat agar sentiasa pro-aktif memenuhi keperluan semasa. Natijahnya, ia bukan sekadar memudahkan urusan orang ramai dalam melunaskan pembayaran zakat dengan pantas dan selamat; bahkan ia mampu memangkas pandangan naïf sebahagian pihak bahawa institusi agama selalunya terkebelakang dan mundur dalam mengeksploitasi kehadiran teknologi canggih masa kini.

Justeru itu, antara inovasi dan teknologi yang disediakan oleh institusi zakat dalam urusan penunaian zakat, adalah e-Zakat Pay, kad kredit, perbankan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), perbankan telefon dan mesin ATM. Para pengguna internet hanya perlu melayari laman sesawang institusi zakat, misalnya www.zakatselangor.com.my untuk memperolehi kemudahan e-Zakat Pay ini.

Setakat hari ini juga, sebanyak 12 institusi bank telah mengambil bahagian menyediakan perbankan internet bagi transaksi zakat. Manakala, kad kredit Islamik dan kad debit menjadi medium baharu transaksi tanpa tunai yang diidamkan ramai eksekutif muda zaman sekarang. Nah, ini baharu sebahagian daripada kemudahan transaksi zakat menerusi internet yang boleh dicapai, dan tidak mustahil banyak lagi yang akan diterokai pada masa mendatang.

Apa yang penting, dengan adanya kemudahan ini, ia akan menjadi satu medium transaksi secara talian yang menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran zakat kepada institusi zakat di Malaysia. Dalam konteks yang lebih luas, ia bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat; bahkan memungkinkan umat Islam terhindar daripada dosa melalaikan zakat kerana alasan kesibukan dan sebagainya.

Akhirnya, inilah sumbangan teknologi dalam pemerkasaan zakat. Bahkan, tidak mustahil suatu masa nanti, para amil zakat hanya perlu membawa satu alat senipis buku tulis dan sekecil buku nota ke rumah asnaf, lalu melakukan bancian zakat dan sebagainya lagi terus di rumah mereka. Ia pastinya mempercepatkan kerja, menjimatkan masa dan paling utama, membolehkan manfaat zakat segera sampai kepada penerimanya.

Semoga umat Islam di Malaysia dapat memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan ini dengan sebaiknya. Ibarat peribahasa Melayu, ‘bagai belut digetir ekornya’, kerja akan menjadi laju, urusan pun mudah segalanya. Wallahua’lam.

Nota: Hamizul Abdul Hamid adalah Eksekutif Komunikasi Korporat dan Noormazla Mohamad Nizan adalah pelajar praktikal, Universiti Kebangsaan Malaysia.

LZS TAWAR DERMASISWA KE TIMUR TENGAH

0

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan dermasiswa kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke beberapa buah universiti yang terlibat di Timur Tengah, iaitu di Mesir, Jordan dan Morocco bagi sesi 2012/2013.

Antara bidang yang ditawarkan adalah bidang Bahasa Arab, Muamalat, Tahfiz Qiraat, Pengajian Islam dan Perubatan.

Pemohon boleh memuat turun borang bermula pada 12 Mac 2012 di laman web www.zakatselangor.com.my atau https://pendidikan.jais.gov.my dan borang yang lengkap diisi perlu dihantar sebelum 6 April 2012.

Pelajar yang ingin memohon dermasiswa ini mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia yang berumur 17 tahun ke atas dan lahir di negeri Selangor atau telah menetap di Negeri Selangor minimum tiga tahun. Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan pendidikan ini, pemohon boleh menghubungi talian LZS 1-800-88-5353.

Pada tahun 2011, seramai 536 pelajar menerima bantuan pendidikan dermasiswa ke timur tengah berjumlah RM 5,440,000.00 bagi membiayai kos pembelajaran mereka di sana.

Oleh itu, dengan adanya bantuan pendidikan ini, ia diharap dapat meringankan beban pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sekali gus memberi peluang untuk mereka menimba ilmu demi menjamin kecemerlangan.

BADAN AMIL ZAKAT (BADZA) KUNJUNGI LZS

0

SHAH ALAM, 30 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima lawatan dari Badan Amil Zakat Daerah (BADZA) Kota Padang, Indonesia bagi mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan zakat terutamanya daripada segi agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor baru-baru ini.

Delegasi seramai 15 orang ini diketuai oleh Prof. Dr. H. Salmadanis turut diberi taklimat yang disampaikan oleh Eksekutif Komunikasi Korporat, Hamizul Abdul Hamid tentang peranan LZS dalam usaha membebaskan golongan asnaf fakir dan miskin yang dibelenggu dengan masalah kemiskinan.

Pada majlis yang sama, mereka juga mengambil peluang untuk mengajukan pelbagai soalan berkaitan zakat misalnya bagaimana LZS menggerakkan usaha untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati di antara kedua-dua pihak.

15,220 PELAJAR BAKAL TERIMA MANFAAT PROSA 2012

0

SHAH ALAM, 28 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM2.5 juta kepada 164 buah sekolah di seluruh Selangor melalui Program Sekolah Angkat 2012 (PROSA). Program ini bakal memberi manfaat kepada 15,220 pelajar yang terdiri daripada anak asnaf fakir dan miskin.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa kepada Penolong Ketua Pengarah, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS),Tuan Hj. Jaafar Rajuli. Setiap sekolah yang terlibat juga bakal menerima peruntukan di antara RM10,000 hingga RM25,000.

PROSA 2012 adalah kesinambungan dari program yang telah dimulakan sejak tahun 2009. Ia adalah program bersama di antara LZS dan JPS dengan memfokuskan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Di antara aktiviti yang dijalankan ialah, kelas tambahan, kursus motivasi, kursus teknik menjawab dan kem sahsiah diri dan dijangka bermula bulan April ini.

Menurut Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, Faizah Asri, program PROSA 2012 yang dianjurkan oleh LZS adalah salah satu usaha yang sangat baik dalam membantu pelajar asnaf fakir miskin mencapai kecemerlangan akademik, sekali gus menjamin masa depan mereka dan mengubah nasib keluarga untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Pihak kami sendiri telah menerima bantuan ini semenjak 2009. Majoriti pelajar asnaf memberikan komitmen sepenuhnya dalam mengikuti program yang telah dijalankan oleh pihak sekolah,” katanya.

Pada tahun 2011, sebanyak 146 buah sekolah telah terlibat iaitu 80 buah sekolah rendah dan 66 buah sekolah menengah. Bilangan pelajar yang terlibat pula ialah seramai 14,429 orang dengan kos keseluruhan RM2,040,000.00.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS SALUR LEBIH RM275 RIBU UNTUK 917 KELUARGA MANGSA BANJIR

0

HULU LANGAT, 27 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM275,100 kepada 917 keluarga dari kawasan Taman Sri Nanding dan Kg. DusunNanding berikutan kejadian banjir buruk yang melanda kawasan Ampang dan Hulu Langat baru-baru ini.

Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM664,200 bantuan zakat yang diperuntukkan untuk 2,214 mangsa banjir yang berlaku awal bulan ini dan merupakan peruntukan di bawah fisabilillah. LZS telah menyalurkan sumbangan zakat kepada mangsa banjir ini di enam program yang diadakan sebelum ini.

Dalam majlis ini, setiap keluarga menerima bantuan zakat berjumlah RM300 bagi meringankan beban kepada mangsa yang kehilangan harta benda akibat bencana alam itu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS PERKASA EJEN KUTIPAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 26 Mac–Bagi  memantapkan lagi pemahaman ejen-ejen kutipan zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan bengkel Memperkasa Ejen Kutipan bersama hampir  50 orang wakil ejen kutipan pada 22 Mac di sini.

Selain itu, bengkel ini juga berjaya mengeratkan siraturahim di antara LZS dengan ejen kutipan zakat disamping menambah ilmu pengetahuan terutama berkaitan fiqh zakat.

Antara pengisisan bengkel ini, Fiqh Zakat bersama Ustaz M. Farid M. Zainal, Eksekutif penyelidikan LZS, Memahami Zakat Perniagaan bersama Iswaridin Derus, Eksekutif Zakat Perniagaan dan Perbandingan antara Zakat dan Cukai bersama Aziz Abu Bakar, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia.

Bengkel setengah hari ini dirasmikan oleh Sahadan Ishak,  Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS.

Berita Terkini