SKUAD PAYUNG RASA BERSIHKAN RUMAH ASNAF SAKIT

0
237

BANTING, 26 Julai 2025 – “Saya bersyukur, tak sangka ramai yang sanggup datang bantu. Rumah saya kini lebih selesa dan selamat.”

Demikian luah Mohd Luthfie Jumain, 46, seorang penerima zakat yang menghidap komplikasi jantung dan kencing manis kronik selepas kediamannya di Sijangkang, Banting dibersihkan menerusi inisiatif gotong-royong Skuad Payung Rasa anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Skuad Payung Rasa merupakan program yang digerakkan bersama komuniti Zakat Selangor terdiri daripada mahasiswa Fakulti Kejururawatan dari City University Cyberjaya sebagai sebahagian daripada kempen “Payung Rasa” yang memberi fokus kepada kebajikan asnaf di Selangor.

Lebih 50 sukarelawan terlibat dalam gotong-royong membersihkan rumah Mohd Luthfie, termasuk kakitangan LZS, pelajar universiti dan ahli Jawatankuasa Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang. Turut menyertai program ialah artis jemputan, Azhan Rani dan Eida Moin yang tampil memberi sokongan serta membantu kerja-kerja pembersihan.

Aktiviti dilaksanakan merangkumi kerja mengecat rumah, membuang barang-barang lama, dan menggantikan kelengkapan asas yang sudah lusuh. Rumah tersebut turut menerima sumbangan kelengkapan baharu daripada Hospital SALAM Shah Alam melalui Pengurus Besarnya, Akim Affandi Ahmad, termasuk perabot, katil, karpet dan barangan keperluan harian.

Menurut Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Siti Aishah Abu Bakar, Skuad Payung Rasa merupakan simbol solidariti antara institusi zakat dan masyarakat awam dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

“Program ini bukan sekadar memberi bantuan berbentuk fizikal, tetapi menyemai semangat prihatin dan nilai kasih sayang sesama manusia. Kehadiran ahli komuniti sendiri membawa makna besar kepada penerima bantuan,” katanya.

Tambah beliau, LZS juga akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih sepenuhnya terhadap struktur rumah Mohd Luthfie termasuk membaiki bumbung bocor dan dinding yang uzur.

“Bantuan susulan dari segi keperluan hidup dan kesihatan turut diteliti bagi memastikan kehidupan Encik Luthfie lebih terjamin dan sejahtera,” katanya lagi.

Program Komuniti Zakat “Payung Rasa” merupakan sebahagian daripada inisiatif lapangan LZS dalam memperkukuh jaringan sosial melalui pendekatan menyantuni asnaf secara langsung, sambil menggalakkan penyertaan aktif masyarakat, terutamanya golongan muda.