KADAR NISAB ZAKAT SELANGOR TERKINI LEBIH RM35,000

0
103

Shah Alam, 30 Julai 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan kadar nisab zakat harta bagi negeri Selangor untuk tempoh Julai hingga Disember 2025 sebanyak RM35,449.

Untuk makluman, nisab merupakan jumlah minimum harta yang perlu dimiliki oleh seseorang Muslim dalam tempoh satu tahun (haul) bagi mewajibkan zakat. Nilai nisab ini menjadi penanda aras kepada pelbagai jenis zakat harta seperti wang simpanan, pelaburan, emas dan perniagaan.

Sehubungan itu, umat Islam yang memiliki harta menyamai atau melebihi kadar nisab dan cukup tempoh haul, diwajibkan untuk menunaikan zakat sebagai tanda membersihkan harta serta menunaikan tanggungjawab kepada golongan asnaf yang memerlukan.

LZS menggalakkan umat Islam di Selangor untuk menyemak status kewajipan zakat masing-masing berdasarkan kadar nisab terkini, seterusnya menunaikannya melalui saluran pembayaran yang disediakan.

Pembayaran zakat boleh dilakukan dengan mudah, cepat dan selamat melalui portal rasmi LZS di https://fpx.zakatselangor.com.my.