SHAH ALAM, 30 April 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus memperkukuh kedudukan sebagai pemangkin utama kesejahteraan ummah apabila mengiktiraf peranan rakan strategik yang menjadi tulang belakang dalam ekosistem pengurusan zakat negeri menerusi penganjuran Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2025, di sini hari ini.
Mereka ini terdiri daripada ejen syarikat, firma audit dan cukai, bank, pos, penolong amil Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) serta majikan bagi skim potongan gaji (SPG) di LZS yang kesemuanya memainkan peranan signifikan dalam memperkasa kutipan zakat di negeri ini.
Sebanyak lima anugerah kepada majikan SPG dan 11 anugerah kepada ejen kutipan disampaikan bagi mengiktiraf prestasi cemerlang sepanjang 2024.
Bagi Anugerah Majikan SPG diberikan berdasarkan peratus peningkatan kutipan tertinggi dalam empat kategori utama iaitu kerajaan, swasta, badan berkanun dan institusi pengajian tinggi. MBSB Bank Berhad muncul sebagai penerima Anugerah Khas Umar Abdul Aziz (Pengurusan SPG Terbaik) atas pencapaian konsisten dalam kutipan dan pengurusan zakat wakalah sejak 2009, termasuk peningkatan kutipan SPG sebanyak 42 peratus pada 2024.
Manakala bagi Anugerah Ejen Kutipan, pengiktirafan diberikan kepada ejen perunding, penolong amil dan platform pembayaran atas prestasi cemerlang dalam kutipan dan peluasan capaian pembayar zakat.
Maahad Tahfiz Al Fateh menerima Anugerah Abdullah Bin Abbas (Ejen Kreatif & Inovatif)
menerusi inisiatif promosi digital yang berjaya mempertingkatkan capaian kutipan secara signifikan.
Sementara itu, Erth Al Mustafa Foundation diumumkan sebagai penerima Anugerah Zaid Bin
Harithah (Ejen Baru Berprestasi Tinggi) selepas merekodkan kutipan melebihi RM1 juta dalam tahun pertama pelantikan. Penilaian keseluruhan anugerah ini merangkumi peningkatan kutipan, bilangan pembayar baru, kecekapan pengurusan serta kebolehan mencipta impak secara mampan dalam komuniti.
GRASIAZ 2025 turut menyaksikan sebanyak 10 syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.
IKTIRAF diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan SPG bagi kakitangannya.
Dalam majlis sama, LZS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada tiga syarikat berjumlah RM409,051.75. Tiga syarikat korporat tersebut ialah Kenanga Investment Bank Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM308,298.43, diikuti Kiddocare Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM90,753.32 dan TSM Venture Group Sdn Bhd sebanyak RM10,000.00.
Hadir sama, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.