Utama Blog Halaman 74

SEMBILAN ADIK BERADIK YATIM PIATU DIBANTU LZS

0

SHAH ALAM, 22 Mei 2014 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kes sembilan adik beradik yatim piatu yang tersiar di Harian Metro bertajuk ‘Kami Ibu, Kami Bapa’ pada 22 Mei 2014 dan di media-media sosial baru-baru ini.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, sembilan adik beradik ini telah kematian ayah sejak tujuh tahun yang lalu. Manakala ibu mereka telah kembali ke rahmatullah pada bulan Mac baru-baru ini. Ini menyebabkan kakak sulung, Nur Syafina Othman, 24 tahun menjadi ketua keluarga sekali gus menanggung tujuh adik-adiknya. Sementara seorang lagi adiknya, telah berkahwin baru-baru ini.

Nasib sembilan beradik ini telah pun mendapat perhatian LZS. Untuk makluman, keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf fakir di LZS sejak bulan April 2014.

Susulan itu bermula dari bulan April, LZS menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM500, di samping bantuan pendidikan sebanyak RM1,200 kepada adik-adik Nur Syafina. Manakala bantuan kewangan bulanan akan disalurkan kepada Nur Syafina dan adik-adiknya sebanyak RM500 bermula akhir Mei ini. Selain itu, keluarga tersebut akan menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya bagi membolehkan adik beradik ini membuat persiapan dengan sempurna.

Sementara itu berkenaan dengan bantuan sewa rumah, LZS akan membantu membayar sewa rumah yang sedang diduduki oleh keluarga ini. Namun, sekiranya keluarga ini berpindah ke tempat lain, bantuan sewa rumah akan tetap disalurkan selagi mana mereka menetap di Selangor.

LZS berharap dengan bantuan zakat yang akan disampaikan ini dapat membantu meringankan bebanan yang Nur Syafina dan adik-adiknya.

LZS LANCAR KAEDAH TERKINI E-SPG ONLINE

0

SHAH ALAM, 19 Mei 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memudahkan masyarakat terutamanya kakitangan awam dan swasta yang membuat bayaran zakat melalui potongan gajidengan melancarkan kaedah terkini E-SPG Online di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa di hadapan 250 orang wakil majikan sewaktu Majlis Mesra Majikan.

Melalui kaedah tersebut, masyarakat yang membayar zakat secara potongan gaji boleh membuat pembayaran tersebut secara atas talian selain menambah dan mengurangkan caruman tahunan serta membuat pendaftaran baru dengan melayari portal LZS di https://www.zakatselangor.com.my/potongangajionline.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat melalui kedah potongan gaji sebanyak RM250 juta. Sehingga April 2014, sebanyak RM66.5 juta berjaya dikutip melalui kaedah potongan gaji.

Dalam pada itu, LZS turut menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Pertandingan Mencipta Cogan Kata E-SPG Online 2014. Pemenang tempat pertama dimenangi oleh Nor Azah Abdul Aziz. Sementara tempat kedua dimenangi oleh Anwar Fakhri Omar dan tempat ketiga dimenangi oleh Shahril Azhari Jumari. Pertandingan ini berlangsung bermula 15 April hingga 5 Mei lalu dan terbuka kepada pengeluar zakat yang menunaikan zakat melalui potongan gaji.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.

TAKLIMAT DERMASISWA UNTUK PELAJAR ASNAF

0

Shah Alam, 14 Mei – Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah Sektor Pendidikan hari ini mengadakan Taklimat Dermasiswa khusus untuk pelajar asnaf yang menerima tawaran kemasukan ke matrikulasi bagi tahun 2014 bertempat di Dewan Masjid Negeri, Shah Alam.

Taklimat berkaitan tawaran pengajian disampaikan oleh Penolong Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (Bahagian Matrikulasi), Hasyidan Mohd Hussain dan Eksekutif Pendidikan LZS, Muhamad Rizal Jalil.

Seramai 130 orang daripada 2,050 pelajar asnaf telah ditawarkan kemasukan ke matrikulasi pada tahun ini. Para pelajar asnaf ini akan dibiayai sepenuhnya oleh LZS meliputi yuran pengajian, wang saku sebanyak RM300, selain wang persediaan pengajian sebanyak RM500.

Turut hadir sama Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.

KAUNTER MINI ZAKAT: MUDAHKAN URUSAN AGIHAN ASNAF

0

SHAH ALAM, 12 Mei 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka Kaunter Mini Zakat di daerah Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor bertujuan memudahkan urusan agihan zakat bagi para asnaf yang tinggal jauh dari cawangan LZS di daerah berkenaan.

Buat permulaan, Kaunter Mini Zakat ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih yang mudah dikunjungi oleh asnaf di sekitar daerah berkenaan bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Menurut Pengurus Wilayah LZS, Zaidi Rasid “Masjid dan balai penghulu merupakan antara lokasi terpilih untuk Kaunter Mini Zakat kerana ia merupakan tempat tumpuan masyarakat. Di samping itu, lokasi yang dipilih itu mudah untuk dikunjungi dan tidak menyusahkan para asnaf untuk datang ke sana.”

Perkhidmatan yang disediakan di Kaunter Mini Zakat meliputi pertanyaan, pengambilan dan penghantaran borang bantuan zakat. Pada peringkat permulaan ini, Kaunter Mini Zakat hanya akan menawarkan perkhidmatan berkaitan agihan zakat sahaja, manakala perkhidmatan kutipan zakat masih melalui cawangan zakat di daerah.

Lokasi Kaunter Mini Zakat di Klang adalah di Masjid Al Islah, Kg. Telok Gong (pada setiap hari Rabu, minggu pertama), Masjid Jamiul Redzuan, Kg. Sg. Serdang Kapar (pada setiap hari Rabu, minggu kedua), Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya (pada setiap hari Rabu, minggu ketiga) dan Masjid Nurul Amin, Kg. Delek (pada setiap hari Rabu, minggu keempat).

Sementara Kaunter Mini Zakat di Kuala Langat melibatkan Balai Penghulu Mukim Tanjung 12 (2) (pada hari Selasa, minggu keempat), Balai Penghulu Mukim Batu (pada hari Rabu, minggu keempat) dan Masjid Al Hidayah, Telok Panglima Gong (pada hari Rabu, minggu keempat).

Manakala bagi daerah Kuala Selangor, Kaunter Mini Zakat dibuka pada setiap hari Rabu minggu kedua di Petronas Saujana Utama dan setiap Rabu minggu keempat di Petronas Puncak Alam Fasa 2.

LZS merancang untuk memperluaskan kemudahan Kaunter Mini Zakat ini ke semua daerah di Selangor.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353.

165 PELAJAR ASNAF LEPASAN SPM SERTAI SEMINAR PELAJAR HARAPAN

0

SHAH ALAM, 6 Mei 2014 – Seramai 165 orang pelajar asnaf fakir dan miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Seminar Pelajar Harapan Lepasan SPM anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertempat di Auditorium Management & Science University (MSU). Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid di sini hari ini.

Seminar ini mensasarkan lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah dan tidak dapat menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Melalui seminar tersebut, para pelajar diberi pendedahan tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Seminar ini turut mendapat kerjasama dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

Salah seorang peserta yang ditemui, Asrul Naim Abidin, 18 tahun, menyambut baik usaha dilakukan LZS dengan mengadakan seminar seperti ini. “Ia banyak membantu saya untuk memilih pengajian yang sesuai dengan minat. Saya meminati bidang automotif dan merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang tersebut. Oleh itu, melalui seminar dan pameran yang diadakan ini dapat memberi maklumat jelas tentang bidang yang ingin saya ambil nanti.”

Hadir sama, Presiden MSU, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Abdul Yajid, Timbalan Pengarah Jabatan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Kamaludin Tomiran dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.

BANK RAKYAT SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM4.5 JUTA

0

SHAH ALAM, 23 April 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) berjumlah RM4,471,772.00. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang ditunaikan adalah bagi tahun kewangan berakhir 2013. Upacara penyerahan zakat Bank Rakyat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Hadir sama, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar, serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM6.2 JUTA

0

SHAH ALAM, 24 April 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari NCB Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Kumpulan (NAFAS) berjumlah RM6,223,445.90 yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini.

NCB Holdings Berhad diwakili Pengarahnya merangkap Pengerusi Northport (Malaysia) Berhad, Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Wan Abdul Rahman Wan Yaacob menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2012 berjumlah RM2,263,690.00.

Manakala TNB diwakili Ketua Pegawai Korporat, Dato’ Roslan Abdul Rahman menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2013 berjumlah RM2,096,552.01 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Kumpulan (NAFAS) mewakilkan ahli jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Ramli Norani menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2011 berjumlah RM1,863,203.89.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

SEMBANG SANTAI TARIK MINAT 500 ORANG PESERTA

0

SHAH ALAM, 18 April 2014 – Penampilan istimewa pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias berjaya menarik minat lebih 500 orang peserta dalam program Sembang Santai anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Kumpulan Nissa’ Ar Rahman Wal Mawaddah yang diadakan bertempat di Hotel De Palma baru-baru ini.

Program ini mengetengahkan Kapten (B) Dato’ Haji Mohd Najmuddin Elias sebagai moderator bagi mengupas tajuk ‘Syukuri Nikmat, Datangnya Berkat’. Sementara itu, Eksekutif Dakwah LZS, Ustazah Syaharina Abdullah turut menyampaikan ceramah dakwah zakat pada sesi kedua program berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengimarah Masjid, Dato’ Seri Indah Diraja Dato’ Abu Bakar Abdul Hamid Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non.

Berita Terkini