28 CAWANGAN ZAKAT SELANGOR DIBUKA 7 HARI SEMINGGU SEPANJANG BULAN RAMADAN
Shah Alam, 16 Jun 2016 – Lembaga Zakat Selangor membuka 28 cawangannya di seluruh Selangor, tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan ini termasuklah pada cuti umum bagi memudahkan umat Islam untuk menunaikan ibadah zakat.
Waktu operasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang  dari hari Isnin sehingga hari Jumaat, manakala waktu operasi pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula 9.00 pagi sehingga 3.00 petang.
Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan Zakat Selangor turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.
Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 28 buah cawangan Zakat Selangor di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil IPT di 13 buah IPT di seluruh Selangor.
SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM12.5JUTA DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT
SHAH ALAM, 8 Jun 2016 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM12,467,435.23 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri dekat sini hari ini.
Empat syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Azlan Md. Alifiah menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM5,477,589.18 dan diikuti UMW Holdings Berhad yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM4,280,072.
Manakala, PLUS Malaysia Berhad yang diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Noorizah Abdul Hamid menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,007,629 dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Omar yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM702,145.05. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan ini bagi tahun kewangan berakhir 2015.
Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 265 orang asnaf fakir dan miskin serta 144 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.
Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.