Utama Blog Halaman 21

SULTAN SELANGOR BERKENAN MELAWAT RUANG BACAAN LZS

0

SHAH ALAM, 22 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melawat ruangan bacaan kanak-kanak sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersempena dengan Majlis Perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena di Seksyen 14 di sini.

Turut berangkat  ke majlis tersebut Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sumbangan ruang bacaan ini adalah di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LZS bagi memenuhi sudut bacaan hospital,  di samping membentuk generasi muda yang berilmu dan berpengetahuan.

Selain itu, ia dapat mewujudkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak yang bebas tanpa gajet serta sihat dari fizikal, pemikiran dan mental.

Hadir sama Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

TINDAKAN TEGAS PIHAK YANG MENDATANGKAN ANCAMAN & SEBARKAN FITNAH

0

SHAH ALAM, 22 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sangat komited untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada umat Islam bagi urusan kutipan dan agihan zakat berlandaskan hukum syarak.

Berhubung video fitnah yang tular di laman sosial, LZS menegaskan bahawa LZS tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau pertubuhan bagi mewakili LZS untuk menyelesaikan sebarang isu atau kes viral melibatkan organisasi.

LZS berhak mengambil tindakan undang-undang pada mana-mana pihak yang mendatangkan ancaman kepada kakitangan dan pelanggan yang berurusan di LZS serta menyebarkan fitnah sehingga memberi gambaran buruk kepada institusi Islam.

MAKLUMBALAS RASMI ZAKAT SELANGOR BERKAITAN VIDEO TULAR

0
SHAH ALAM,  19 Ogos 2019 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkaitan video yang tersebar tentang seorang lelaki yang bertindak agresif terhadap pegawai di cawangan LZS baru-baru ini.
Untuk makluman, lelaki tersebut dan keluarganya adalah asnaf yang sedang menerima pelbagai bantuan zakat dari LZS.
Pada 15 Ogos 2019, beliau telah datang ke cawangan LZS di Klang Sentral dengan tujuan membuat semakan status permohonan bagi rakan beliau yang turut bersamanya. Namun beliau telah bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba melakukan serangan fizikal kepada kakitangan LZS.
Sehubungan itu, LZS menafikan tuduhan berunsur fitnah yang telah ditularkan oleh lelaki tersebut.
Laporan polis telah dibuat bagi menjaga keselamatan kakitangan serta pelanggan yang berurusan di cawangan dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. LZS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang  bagi menjaga nama baik institusi zakat.
LZS menyeru kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan merujuk terus kepada LZS untuk sebarang penjelasan.
KENYATAAN OLEH
SAIPOLYAZAN MAT YUSOP
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

MAHRAJAN AMAL ISLAMI: PLATFORM LAHIR PENDAKWAH BERKALIBER

0

SHAH ALAM, 16 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghantar seramai sembilan orang peserta bagi menyertai Mahrajan Amal Islami yang bertempat di Pulau Pinang bermula 16 sehingga 18 Ogos 2019.

Mahrajan Amal Islami merupakan acara tahunan bagi menghimpunkan para peserta terdiri daripada pelbagai bangsa yang telah memeluk Islam di seluruh Malaysia bagi memperkasakan mereka melalui tarbiyah Islamiyyah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop, program yang telah memasuki tahun ketiga ini adalah cetusan idea daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi melatih saudara kita menjadi da’i yang profesional, dinamik dan berkaliber dalam menempuhi ranjau sebagai bakal pendakwah kelak.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan tahap penghayatan mengenai Islam dan menguji kefahaman pengetahuan Islam daripada aspek al-Quran dan hadis, akidah, akhlak dan fiqah.”

Para peserta ini dipilih berdasarkan melalui program Kemahiran Amal Islami Muallaf (KAMIL) yang diadakan melibatkan peserta dalam kalangan pelajar kelas Fardhu Ain muallaf,” katanya yang ditemui selepas majlis pelepasan Kontinjen Selangor ke Pulau Pinang.  

Dalam perkembangan sama, LZS turut menghantar 14 orang peserta dalam kalangan Orang Asli bagi menyertai Festival Sukan Orang Asli. Menariknya, para peserta terdiri daripada individu yang telah memeluk Islam dan juga bukan Islam.

Bagi Nur Juhayfah Abdullah, 10 tahun yang merupakan peserta termuda mewakili LZS, merasa sangat teruja terpilih menyertai kontinjen Selangor. Beliau yang mengambil bahagian dalam acara Amali Solat berharap dapat mengharumkan nama Selangor terutamanya LZS dalam penyertaan kali ini.

Dalam program Mahrajan sebelum ini, LZS berjaya melahirkan seorang da’i iaitu Muhammad Adam Muhibbullah Abdullah. Adam turut telah menempa nama selepas menjuarai Program Realiti Da’i anjuran TV3.

PENUTUPAN SEMENTARA OPERASI ZAKAT CAWANGAN MASJID NEGERI, SHAH ALAM

0

SHAH ALAM, 5 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menutup sementara operasi di Cawangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (Masjid Negeri) bermula pada 8 Ogos hingga 31 Oktober 2019 bagi menjalankan kerja pengubahsuaian cawangan.

Bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan, LZS menyediakan perkhidmatan Zakat On Wheels di kawasan parkir Masjid Negeri sepanjang tempoh penutupan cawangan. Waktu operasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi sehingga 4.45 petang.

Orang ramai juga boleh mendapatkan perkhidmatan LZS di tiga cawangan yang berhampiran iaitu di Bangunan Sultan Idris Shah, UTC Selangor@Anggerik Mall dan Ibu Pejabat LZS, Presint ALAMi, Seksyen 13 Shah Alam.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.

LZS PINDAH CAWANGAN KE UTC SHAH ALAM

0

SHAH ALAM, 1 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memulakan operasi cawangannya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, berikutan penutupan operasi cawangan Kompleks PKNS pada 8 Julai 2019.

LZS cawangan UTC akan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan oleh pengurusan UTC iaitu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pada jam 1.00 petang hingga 10.00 malam, sementara pada hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Bagaimanapun waktu operasi ini khusus di cawangan UTC sahaja, manakala waktu operasi di 26 cawangan LZS adalah seperti biasa.

Pembukaan cawangan ini merupakan inisiatif LZS bagi memudahkan masyarakat terutama di kawasan sekitar untuk berurusan dengan LZS di luar jangkauan waktu pejabat dan hari cuti.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah urusan taksiran zakat dan bayaran zakat,

khidmat rundingan berkaitan agihan zakat, fidyah, wakaf, sedekah serta wang tidak patuh syariah. Selain daripada itu LZS cawangan UTC turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik dan debit.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS BERSAMA PENGELUAR ZAKAT TURUN PADANG JEJAK ASNAF

0

AMPANG, 24 Julai 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini bersama dengan pengeluar zakat terdiri daripada wakil syarikat korporat di Selangor turun padang menjejaki individu atau keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat melalui program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.

Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Operasi SJK ini turut disertai oleh wakil dari syarikat pengeluar zakat bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman secara langsung berkaitan gerak kerja pengagihan zakat di Selangor terutama dalam mengenal pasti asnaf fakir serta miskin. Antara syarikat yang turut sama menyertai program ini termasuklah SIRIM Berhad, SIRIM QAS International Sdn Bhd, SIRIM QAS Sdn Bhd, Malaysia Airport Holding Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Spymphony Life Berhad dan Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd.

Untuk makluman, sehingga Jun 2019 seramai 59,628 keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di Selangor telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 6,193 adalah keluarga asnaf di daerah Gombak.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

PELAJAR ASNAF SEKOLAH PROSAZ TERIMA BANTUAN RANCANGAN AGIHAN WANG SAKU 

0

SHAH ALAM, 22 Julai 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Rancangan Agihan Wang Saku (RAWS) di bawah Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) bagi meringankan perbelanjaan harian keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Ia melibatkan seramai 14,829 orang pelajar asnaf fakir dan miskin di 231 buah sekolah rendah serta menengah terpilih di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Untuk makluman, pemilihan sekolah terbabit disebabkan jumlah pelajar asnaf fakir dan miskin yang ramai di situ.

Melalui RAWS, pelajar terlibat akan menerima agihan dalam wang saku atau penyediaan makanan. Ia merupakan salah satu bentuk bantuan zakat yang disalurkan bagi menyantuni anak-anak asnaf fakir dan miskin.

Maklumat lanjut berkaitan program, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

 

CAWANGAN LZS DI KOMPLEKS PKNS TUTUP OPERASI

0

Shah Alam, 12 Julai 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Kompleks PKNS Shah Alam menutup operasinya bermula 8 Julai 2019. Ini bertujuan untuk melancarkan proses perpindahan cawangan ini ke UTC Shah Alam yang dijangka akan beroperasi bermula 1 Ogos 2019.

Bagaimanapun urusan berkaitan zakat masih boleh dilakukan di Zakat On Wheels yang berada di Tapak Bazar Kompleks PNKS atau di mana-mana cawangan LZS di sekitar Shah Alam iaitu di Masjid Negeri, Bangunan Sultan Idris Shah atau ibu pejabat LZS, Seksyen 13.

Waktu urusan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi sehingga 4.45 petang. Sebarang pertanyaan, hubungi Talian Zakat Selangor di 1-300-88-4343.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM260 RIBU

0

SHAH ALAM, 27 Jun 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua syarikat korporat berjumlah RM260,000.00 dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Syarikat tersebut ialah Kapar Energy Ventures menunaikan zakat perniagaannya berjumlah RM200,000 bagi tahun kewangan 2019 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan, Mohamad Azaman Tulis. Manakala, syarikat Espek Plantation Sdn. Bhd yang diwakili oleh Ketua Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia/Korporat, Che Norizan Che Aziz menyerahkan bayaran zakat perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 2018 berjumlah RM60,000.

Bayaran Zakat perniagaan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusof sempena Majlis Mesra Aidilfitri LZS. 

Berita Terkini