Utama Blog Halaman 2

ZAKAT AULAD CLUB:  USAHA LZS PERKASA PENDIDIKAN ZAKAT GENERASI MUDA

0

SHAH ALAM, 7 November 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Zakat Aulad Club (ZAC), satu inisiatif dakwah untuk memupuk kesedaran zakat dalam kalangan generasi muda dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini di hadapan lebih 100 orang pelajar dan guru Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di Selangor.

ZAC merupakan program kelab eksklusif yang diperkenalkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, dengan matlamat untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat dalam kalangan generasi muda.

Kelab ini berperanan sebagai platform pendidikan yang mendalami aspek asas zakat termasuk syarat, keperluan dan peranannya dalam menyokong asnaf, serta membentuk kefahaman generasi muda mengenai nilai kemasyarakatan Islam dan proses pengagihan zakat dalam membina masyarakat seimbang.

Pada peringkat permulaan ini, ZAC akan diperkenalkan di 11 buah SRAI sebelum diperluaskan pelaksanaannya secara rasmi di sekolah-sekolah bawah JAIS bermula tahun 2025.

ZAC adalah kesinambungan daripada usaha LZS menyebarluaskan pendidikan zakat dalam kalangan pelajar sekolah menerusi Modul Pendidikan Zakat Selangor yang diperkenalkan pada tahun 2022 dengan kerjasama JAIS. Inisiatif membudayakan zakat melalui pendidikan ini merupakan strategi jangka panjang LZS bagi melahirkan generasi celik zakat dengan memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar yang pada masa hadapan bakal menjadi pengeluar zakat.

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN KUMPULAN PNB RM3.9 JUTA

0

SHAH ALAM, 16 Oktober 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM3,931,250.00.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 2023 daripada Pengerusi PNB, Raja Tan Sri Dato’ Sri Arshad Raja Tun Uda dalam satu upacara yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Anhar Opir.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS SERTAI iSHAR 2024, BAHAS ISU ZAKAT KONTEMPORARI DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL

0

KUALA LUMPUR, 3 September 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyertai Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) kelima anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dengan kerjasama International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), bertempat di Hotel Grand Hyatt di sini.

Majlis perasmian persidangan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dengan tajuk “Zakat and Its Contemporary Issues,” persidangan yang berlangsung dua hari ini menjadi platform penting membahaskan peranan zakat dan isu kontemporarinya dalam kewangan Islam, selain untuk memajukan kesejahteraan sosial dan mengurangkan ketidaksamaan.

Antara topik utama yang dibahaskan termasuk Zakat Saham, Zakat Sukuk, tafsiran asnaf fisabillah, zakat kepada pelanggan bank yang berhutang, had pembahagian asnaf amil zakat, dan sebagainya.

LZS diwakili oleh Ketua Divisyen Syariah dan Dakwah, Ustaz Salehuddin Abu Samah, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Sekretariat Syariah, Ustaz Mohammad Farid Mohd Zainal dan Eksekutif Penyelidikan dan Sekretariat Syariah Ustaz Ahmad Fadhil Nor Rozaman.

Persidangan ini diharap dapat memberikan panduan yang bermanfaat dalam memperkasakan operasi institusi zakat di Malaysia, agar lebih selaras dengan kehendak dan peraturan syariah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengerusi iSHAR, Sheikh Dr. Waled al-Had. Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS, Prof. Dato’ Dr. Aznan Hassan.

KARNIVAL ZAKAT SELANGOR: PLATFORM DEKATI KOMUNITI

0

SHAH ALAM, 28 September 2024 – Karnival Zakat Selangor 2024 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka tirai hari ini bertempat Dataran Karnival Stadium Shah Alam, menjadi platform strategik untuk mendekati komuniti dan memperkukuh kesedaran zakat melalui pelbagai aktiviti menarik bersempena dengan sambutan Jubli Mutiara ke-30 LZS.

Dengan lebih daripada 120 pempamer terdiri daripada pelbagai syarikat dan agensi, karnival dua hari ini bukan sahaja mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada orang ramai, tetapi juga memperkenalkan peranan serta inisiatif LZS. Di samping itu, ia turut memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan LZS.

Sepanjang karnival, pengunjung akan menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti jualan oleh usahawan termasuk usahawan asnaf, jualan rahmah, trak makanan dengan pelbagai juadah, mini zoo interaktif, persembahan pentas Islami, CEO Run dan sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat. Selain itu terdapat kaunter bancian asnaf dan semakan bantuan, serta perkhidmatan taksir dan bayar zakat. Penampilan istimewa maskot Mechamato dan Boboiboy juga akan turut memeriahkan karnival ini.

Orang ramai juga boleh menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di karnival ini.

Semenara itu, Karnival iKerjaya yang merupakan salah satu pengisian dalam Karnival Zakat Selangor turut menawarkan 3,000 kekosongan jawatan daripada 30 majikan pelbagai sektor. Ia memberi peluang kerjaya kepada pencari kerja, khususnya asnaf fakir, miskin, dan mualaf yang berdaftar dengan LZS, serta membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui tawaran jawatan kosong dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif, serta makanan dan minuman.

Dalam perkembangan sama, LZS turut melancarkan Rakan Affiliate Dakwah Kutipan Zakat (RADIUZ) dan CrowdZakat. RADIUZ merupakan inisiatif program pemasaran affiliate yang diperkenalkan bagi mempromosikan produk dan perkhidmaran LZS.

Manakala CrowdZakat merupakan model zakat melalui pengkelasan bantuan asnaf. Satu platform yang disediakan bagi membolehkan pembayar yang menunaikan zakat secara dalam talian, dan memilih jenis bantuan berdasarkan kecenderungan keprihatinan masing-masing.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Uda Alhaj, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan dan Ketua Pegawai Kewangan dan Teknologi Maklumat LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

KARNIVAL ZAKAT SELANGOR: TAWARKAN PELBAGAI AKTIVITI, PELUANG MENANG PAKEJ UMRAH

0

SHAH ALAM, 27 September 2024 – Orang ramai yang ingin menyemak kelayakan bantuan zakat atau membuat taksir zakat boleh berkunjung ke Karnival Zakat Selangor pada 28 hingga 29 September 2024, hari Sabtu dan Ahad ini bertempat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Karnival yang diadakan bersempena sambutan Jubli Mutiara ke-30 LZS, menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan sepanjang dua hari karnival berlangsung.

Selain itu, lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 30 majikan pelbagai industri akan ditawarkan melalui Karnival iKerjaya di karnival tersebut. Masyarakat sekitar Selangor, terutamanya golongan asnaf yang sedang mencari peluang kerjaya, dijemput hadir secara langsung untuk memohon dan menghadiri sesi temu duga di karnival ini.

Pelbagai jualan daripada usahawan termasuk usahawan asnaf, jualan rahmah, food truck yang menyajikan pelbagai juadah, petting zoo untuk anak-anak, persembahan pentas Islami, CEO Run, sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat dan banyak lagi aktiviti menarik menanti pengunjung. Penampilan maskot Mechamato dan Boboiboy turut akan memeriahkan karnival ini.

Bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan tunggakan saman, kaunter bayaran saman atau kompaun dengan diskaun 30 peratus untuk bayaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berada di karnival,

Lebih istimewa lagi pengunjung karnival berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej menunaikan umrah.

Orang ramai di sekitar Selangor dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival ini dan masuk adalah percuma. Maklumat lanjut, layari www.zakatselangor.com.my  atau ikuti media sosial rasmi LZS.

17 PELAJAR TAJAAN LZS SAMBUNG PENGAJIAN TIMUR TENGAH

0

SEPANG, 25 September 2024 – Seramai 17 pelajar tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS) berlepas ke Timur Tengah untuk melanjutkan pengajian mereka di Mesir dan Jordan. Mereka terdiri daripada empat orang pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, kesemuanya daripada asnaf fisabilillah, manakala 13 pelajar lagi ke Jordan, dua orang daripada asnaf fakir dan miskin serta 11 orang di bawah asnaf fisabilillah.

Pelepasan pelajar dermasiswa LZS bersama-sama 12 orang pelajar tajaan Tabung Kumpulan Wang Bisasiswa Negeri Selangor dan 51 Pelajar persendirian kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disempurnakan oleh wakil Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Amirul Mukminin Amiruddin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Anas Ayob dan  serta Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan, Divisyen Pembangunan Asnaf LZS Saiful Anuar Abdullah Salleh.

Penghantaran pelajar ke Jordan telah dilakukan pada 24 September, manakala kumpulan pelajar ke Mesir berlepas sehari kemudian, pada 25 September 2024.

Para pelajar ini dijangka akan memanfaatkan ilmu yang dipelajari di Timur Tengah untuk kembali berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negeri Selangor.

LZS berharap agar para pelajar dapat menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan  menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong usaha LZS dalam membangunkan potensi asnaf melalui pendidikan.

DIZKOPI CEOs: PLATFORM PERKASA URUS TADBIR PENGURUSAN ZAKAT

0

SUNGAI BULOH, 28 Ogos 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mempertemukan
ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) dan peneraju utama syarikat korporat terutamanya syarikat pengeluar zakat di Selangor, dalam satu platform diskusi eksklusif Dizkopi CEOs bagi berkongsi pandangan, idea serta kritikan membina berkaitan urus tadbir pengurusan zakat yang diadakan di sini.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan zakat dalam kalangan pemimpin korporat, di samping membina rangkaian kerjasama strategik antara LZS dan sektor korporat serta memperkaya idea dan pendekatan inovatif dalam pengurusan zakat.
Antara syarikat korporat yang terlibat termasuklah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)
(MBI), Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Koridor Utiliti Selangor, Central Spektrum Sdn Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Columbia Asia dan lain-lain.

Untuk makluman, program Dizkopi merupakan inisiatif LZS dengan menyediakan platform dialog terbuka melibatkan audiens daripada pelbagai latar belakang bertujuan memberi pendedahan mengenai pengurusan zakat serta mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan kutipan zakat dan kecekapan pengurusan asnaf. Sebelum ini, program yang sama telah diadakan bersama pempengaruh dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Program hari ini dimulakan dengan diskusi santai yang menjadi tumpuan melibatkan tiga panelis utama, iaitu Mufti Selangor, Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Anhar Opir, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Ts. Saipolyazan M. Yusop membincangkan berkenaan kepimpinan, kepentingan zakat serta penting integriti dan inovasi dalam pengurusan zakat dan pembangunan sosial.

Ia kemudian diteruskan dengan perbincangan meja bulat melibatkan CEO-CEO syarikat dan
peneraju utama syarikat korporat, yang mana resolusi yang dibincangkan akan diangkat ke
peringkat tertinggi LZS untuk dijadikan agenda pemerkasaan kutipan dan agihan zakat di
Selangor.

Sehingga Jun 2024, LZS telah berjaya mengutip zakat sebanyak RM559.3 juta. Daripada jumlah tersebut, RM101.1 juta dikutip melalui zakat perniagaan.

Hadir sama dalam program ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS, MEDKAD METERAI KERJASAMA MUDAHKAN PROSES BANTUAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 6 Ogos 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan MEDKAD Sdn. Bhd menerusi inisiatif digital yang bakal mengubah landskap bantuan perubatan LZS, bagi memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan bantuan zakat.

Sistem Bantuan Perubatan Elektronik (Electronic Medical Aid) dikenali Al-Amal merupakan sistem inovatif yang dibangunkan oleh MEDKAD untuk menguruskan perkhidmatan kesihatan secara digital. Melalui Al-Amal, ia mampu menyediakan solusi yang efisien untuk para asnaf di Selangor, sekali gus memudahkan akses kepada bantuan perubatan dengan lebih cepat dan berkesan.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Eksekutif MEDKAD, Ezuan Yaacob, yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Dato’ Dr. Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar Laksamana.

Mohd Sabirin dalam ucapannya berkata, menerusi Pelan Strategik LZS 2023 hingga 2025 di bawah teras strategi Go Digital, LZS menekankan pembangunan dan penggunaan platform digitalisasi bagimempertingkatkan keupayaan dan kecekapan proses penyaluran bantuan agihan zakat khususnya bantuan perubatan.

Al-Amal yang dibangunkan untuk LZS, diintegrasikan dengan sistem sedia ada iaitu LZS Electronic Zakat Online (eZO). Dengan Al-Amal, permohonan bantuan perubatan di LZS kini boleh dilakukan secara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan pada borang fizikal dan pemprosesan manual.

Sistem ini dilihat dapat mempermudah asnaf membuat permohonan dengan cepat dan selamat, mengatasi risiko manipulasi dokumen, mempermudah proses pengurusan permohonan oleh LZS secara keseluruhan. Di samping itu, proses permohonan bantuan juga dapat diselesaikan dalam tempoh 8 hari berbanding 14 hari sebelum ini, menawarkan respons yang lebih pantas dan efisien kepada asnaf yang memerlukan bantuan perubatan.

Pada masa ini proses permohonan bantuan di LZS melibatkan 553 panel perubatan yang dilantik di seluruh Selangor, dengan hampir 3,500 tuntutan diproses secara manual setiap bulan.

Untuk makluman, bantuan perubatan merupakan salah satu bentuk bantuan utama yang disediakanoleh LZS kepada asnaf di Selangor. Pada tahun 2023, LZS telah mengagihkan lebih RM51 juta untuk bantuan perubatan kepada 11,000 asnaf, dengan jumlah transaksi melebihi 16,000 setahun.

Penggunaan penuh Sistem Bantuan Perubatan Al-Amal untuk pengurusan permohonan bantuan perubatan asnaf di LZS dijangka akan dilaksanakan pada awal 2025, selepas pelaksanaan tempoh perintis di daerah Petaling yang akan bermula pada November 2024.

Usahasama LZS dengan Medkad ini merupakan langkah penting menuju digitalisasi, yang
menyokong kelestarian melalui pengurangan penggunaan kertas dan bahan cetakan lain,
memperbaiki pengurusan data dengan pengumpulan secara real-time, dan melaksanakan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta risiko kesalahan. Inisiatif ini juga menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan selari dengan aspirasi kelestarian UN SDG 2030.

LZS LANCARKAN BUKU KARIKATUR: DAKWAH SANTAI MASYARAKAT

0

BANGI, 2 Julai 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan buku karikatur Sembang Zakat Siri 1 bersempena dengan program Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) yang diadakan di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof di hadapan 250 peserta MZN.

Buku ini merupakan kompilasi karikatur dakwah zakat yang tersiar di media sosial rasmi LZS. Menggunakan pendekatan dakwah santai menerusi karikatur, LZS melihat kaedah ini sebagai satu cara efektif untuk menyampaikan mesej zakat kepada masyarakat.

Pendekatan ini diharap dapat menarik minat pelbagai golongan, khususnya generasi muda, untuk lebih memahami dan mendalami konsep serta kepentingan zakat.

Selain pelancaran buku karikatur, program MZN juga menyaksikan pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan mengenai isu-isu semasa zakat di peringkat serantau. Program ini turut dihadiri oleh pakar-pakar zakat dari pelbagai negara yang berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam usaha memperkasakan institusi zakat.

LZS berharap dengan pelancaran buku ini dan penganjuran program seperti MZN, kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai zakat akan terus meningkat, seterusnya membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

MUZARAKAH ZAKAT NUSANTARA PLATFORM RUJUKAN INSTITUSI ZAKAT RANTAU ASIA TENGGARA

0

SHAH ALAM, 2 Julai 2024 – Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilihat mampu menjadi platform berwibawa bagi rujukan institusi zakat demi merungkai pelbagai persoalan dan mencetuskan inovasi zakat di rantau ini, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam ucapan perasmiannya di hadapan lebih 250 peserta MZN hari ini,

MZN kali kedua ini diadakan bersempena sambutan Jubli Mutiara Ke-30 LZS menggabungkan lima buah negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Penganjuran MZN ini telah menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor khususnya daripada industri pengurusan zakat, penggubal fatwa dan penasihat syariah, sarjana Islam, para penyelidik, ahli akademik, korporat termasuk orang perseorangan.

Mengangkat tema ‘Kelestarian Syariah dan Pemerkasaan Dakwah Zakat Mendepani Keperluan Zaman’, MZN menjadi medan perkongsian perkembangan ilmu, hukum hakam dan tadbir urus zakat dari pelbagai negeri serta negara untuk dimanfaatkan oleh pihak yang terlibat dalam industri zakat.

Seiring itu, pelbagai kertas kerja dibentangkan bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan syariah, pendekatan dakwah zakat yang lebih realistik seiring dengan peredaran zaman, di samping membincangkan isu-isu agenda perubahan dalam pemahaman zakat yang lebih baik bagi mendepani keperluan masa hadapan ummah yang semakin kompleks.

Sebanyak 41 kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari MZN berlangsung bermula semalam. Antara pembentang kertas kerja termasuklah Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato’ Seri Setia Dr. Haji Mazanan Haji Yusof yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Agihan Dana Zakat oleh Bank Islam Brunei Darussalam: Satu Sorotan’, Timbalan Ketua Dewan Pertimbangan, Majelis Ulama Indonesia, Profesor Dr. K.H Didin Hafidhuddin membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pandatangan Fuqaha Terhadap Aset Digital Sebagai Wajib Zakat dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dakwah Zakat: Persaingan Di Antara Institusi Rasmi dan NGO/i.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

 

Berita Terkini