Utama Blog Halaman 168

LZS (MAIS) SALUR HAMPIR RM10 RIBU BANTU MANGSA TANAH RUNTUH

0

Hulu Kelang – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah menyumbangkan hampir RM10 ribu bagi membantu mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Kelang baru-baru ini bertempat di surau Kampung Pasir.

Kejadian yang berlaku pada akhir Mei itu telah mengorbankan emapat nyawa manakala sebanyak 66 buah keluarga hilang tempat tinggal.

Majlis penyampaian bantuan telah diadakan setelah selesai proses semakan dan siasatan oleh Pegawai Zakat Agihan daerah Gombak Timur, Noramin bin Mashudi. Bantuan berbentuk makanan dan wang tunai telah disampaikan oleh Al-Fadhil Tuan Jaafar bin Ismail, Kadhi daerah Gombak mewakili ADUN Hulu Kelang, Dato’ Ahmad bin Bujang.

Terdahulu, YB Dato’ Ahmad bin Bujang telah melakukan lawatan ke tempat kejadian dengan diiringi Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal bin Shah Harudin. Beliau merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas keprihatinan LZS (MAIS) di dalam membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terlibat.

LZS (MAIS) ANJUR PROGRAM QURANIK PERTAMA DI MALAYSIA

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menganjurkan program Quranik yang merupakan program pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia bertujuan membantu anak-anak fakir miskin dalam membentuk mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dan mencintai al-Quran.

Seramai 730 pelajar asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor menyertai Program ini yang bermula pada 4hb Jun hingga 8hb Jun bersempena dengan cuti sekolah yang diadakan secara berperingkat-peringkat di beberapa buah daerah.

Antara daerah yang terlibat ialah Petaling dan Klang seramai 250 orang peserta yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah, Daerah Gombak dan Hulu Selangor seramai 70 orang peserta yang diadakan di Masjid ar-Rahimiah, Kuala Kubu Bharu, Hulu langat dan Kuala Langat seramai 160 orang peserta yang diadakan di Masjid KLIA, Sepang dan Masjid Al-Hasanah dan bagi Daearah Sabak Bernam dan Kuala Selangor seramai 250 orang peserta yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Ibrahim dan Masjid Sekendi.

Majlis pembukaan program ini telah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, YB Dato’ Haji Abdul Rahman Palil.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seumpama ini dapat membuka minda dan menanamkan semangat kepada setiap pelajar tentang keberkesanan cara berfikir yang efektif serta pentingnya mendekatkan diri kepada al-Quran melalui pembacaan, hafazan dan penghayatan.

Program Quranik menggunakan kaedah al-Huffaz sebagai teknik efektif serta berkesan berdasarkan fakta logik, saintifik, kerohanian dan pengalaman peserta yang telah mengikuti program tersebut.

Ia mampu membuka minda dan menanamkan penggunaan otak yang efektif dengan pendekatan diri kepada al-Quran melalui pembacaan, penghayatan dan penghafazan demi menyelesaikan semua permasalahan kehidupan mereka sama ada di rumah, sekolah, masyarakat dan sebagainya.

KAUNTER LZS (MAIS) DIBUKA SETIAP SABTU KE-2 DAN KE-4

0

Shah Alam – Bagi memudahkan orang ramai membayar zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah membuka beberapa kaunter cawangannya pada setiap Sabtu minggu kedua dan keempat bermula 10 Jun.

Menurut Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat LZS (MAIS), Sahadan Ishak, kaunter terpilih itu dibuka adalah untuk memudahkan orang ramai membayar zakat yang kebanyakan mereka mempunyai masa yang terhad pada hari biasa akibat kekangan kerja.

“Jadi kita mengambil inisiatif ini, untuk memudahkan mereka menunaikan kewajipan ini dengan membuka kaunter pada setiap Sabtu minggu kedua dan kempat,” jelas beliau lagi.

Kaunter zakat tersebut ialah, Kompleks PKNS (Shah Alam), Seksyen 14 (Petaling Jaya), Subang Jaya, Masjid Mujahidden (Damansara), Kajang, Bandar Baru Bangi, Bandar Baru Ampang, Taman Melawati, Bandar Baru Selayang dan Bukit Rahman Putra (Sungai Buloh).

Orang ramai bolehlah berurusan di kaunter tersebut bermula dari pukul 9.00 pagi sehingga 1.00 tengahari.

139 PELAJAR IKUTI KURSUS BINA INSAN

0

Bangi – Seramai 139 pelajar yang mendapat tajaan dermasiswa dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terpilih untuk mengikuti Kursus Bina Insan Pelajar-Pelajar Dermasiswa LZS (MAIS)/KUIS dengan kerjasama Institut Perkembangan Minda Selangor (INMIND) yang telah diadakan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) baru-baru ini.

Menurut Ketua Unit Pembangunan Pendidikan LZS (MAIS), Nasri Che On, kursus tiga hari dua malam ini merupakan prasyarat yang perlu dipenuhi oleh penerima dermasiswa zakat Selangor.

“Ia bertujuan untuk membina semangat baru kepada para pelajar di samping meniup rasa jati diri terutamanya dalam menempuh era Selangor Maju yang penuh mencabar.”

Sepanjang kursus ini berlangsung, para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa tetapi juga keyakinan terhadap potensi yang ada dalam diri dan bagaimana untuk menggilap potensi tersebut agar dapat menjadi seorang yang cemerlang.

LZS (MAIS) SUMBANG BANTUAN MODAL PERNIAGAAN UNTUK 30 ASNAF

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyumbangkan sebanyak RM172,140 kepada 30 orang asnaf miskin dalam bentuk bantuan modal perniagaan yang telah disampaikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman Hj. Palil sewaktu majlis perasmian Karnival Kumpulan Asnaf Zakat baru-baru ini.

Daripada 30 asnaf yang menerima bantuan tersebut, lima daripada mereka adalah asnaf mualaf. Setiap asnaf menerima antara RM2,500 hingga RM12,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Antara perniagaan yang dijalankan oleh asnaf yang menerima bantuan ini termasuklah perniagaan makanan, runcit, membaiki kenderaan, jahitan, ternakan dan lain-lain lagi.

Salah seorang penerima bantuan yang ditemui, Naizah Mohamad, 43 menyatakan rasa bersyukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima ini. “Saya akan menjadikan modal ini sebagai semangat untuk saya memajukan diri dan keluarga. Insya-Allah saya akan menggunakan ia sebaik-baiknya,” ujarnya yang mendapat bantuan sebanyak RM5,000 sebagai modal membuka kedai basikal.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Hj. Abd. Rahman juga turut menerima pembayaran zakat daripada salah seorang bekas asnaf Mohd Tohid Sidek, 41. Tohid merupakan pengusaha bahulu dan kerepak yang telah bebas daripada golongan asnaf dan membayar zakat sejak dua tahun yang lalu. Beliau juga pernah memenangi anugerah Usahawan Terbaik Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) 2005 (keseluruhan) dalam Konvensyen Asnaf Zakat LZS (MAIS) lalu.

KONVENSYEN ASNAF ZAKAT KUMPUL LEBIH 1500 ORANG FAKIR MISKIN BEROTENSI

0

Shah Alam– Konvensyen Asnaf Zakat yang diadakan di sini pada 25 Februari lalu telah mencatatkan sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,500 orang asnaf fakir miskin yang berpotesi dalam bidang keusahawanan daripada seluruh daerah negeri Selangor.

Konvensyen yang bertujuan memberikan penghargaan kepada asnaf zakat yang berjaya dibentuk hasil program pembangunan ekonomi LZS (MAIS) itu turut bertujuan menyediakan platform ‘pertama’ untuk kelompok asnaf fakir miskin yang produktif yang dikenalpasti bagi didedahkan dengan program pembangunan ekonomi LZS (MAIS).

Selain itu ia juga bertujuan memberi maklumat ‘signifikan’ berhubung menjana pendapatan tambahan dan pembentukan karekter keusahawanan, memberi motivasi dan pembentukan nilai positif kepada peserta untuk membuat anjakan paradigma khususnya dalam hal menjana pendapatan tambahan.

Antara pengisian konvensyen itu ialah sesi motivasi bertajuk Hijrah Menjana Perubahan yang dikendalikan oleh En. Zul Ramli, Pearl Mentor Sdn Bhd diikuti dengan sesi perasmian dan penyampaian anugerah, seterusnya pembentangan yang bertajuk Memulakan Langkah-Modul Pembangunan Ekonomi LZS (MAIS) oleh En. Aidi Munawer Ahmed Shukri, Pengurus Jabatan Pembanguan Asnaf LZS (MAIS).

Sesi diteruskan dengan motivasi bertajuk Langkah Ke Hadapan oleh En. M. Shariff Abu Bakar, Faisley Management Servise dan diakhiri dengan sesi dialong di antara peserta dan panel pembentang.

Majlis telah dirasmikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil yang mewakili Y.A.B Dato’ Seri Dr. Hj. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada LZS (MAIS) kerana berjaya menghimpunkan seramai lebih 1500 orang asnaf zakat yang berpotensi dalam bidang keusahawanan.

Baginya LZS (MAIS) adalah institusi pertama yang berjaya mengumpulkan fakir miskin sebegini ramai dalam satu majlis. Beliau berharap dengan adanya majlis begini akan menyuntik semangat asnaf untuk terus berjaya. Selain itu beliau juga berharap asnaf ini akan menekankan aspek pendidikan kepada anak-anak agar mereka akan berjaya dan mampu membantu keluarga dalam kehidupan.

Turut hadir di majlis itu Pemangku Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

KEMUDAHAN E-DEBIT DI KAUNTER LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Perkhidmatan pembayaran zakat di kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS ditingkatkan lagi dengan menawarkan kemudahan pembayaran melalui e-debit kepada para pembayar yang ingin membuat pembayaran zakat.

Melalui kaedah ini, pembayar tidak perlu membawa wang tunai sebaliknya hanya menggunakan kad ATM (MEPS) bagi bank yang berdaftar di Malaysia untuk membuat pembayaran zakat.

Menurut Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan, Mazlina Mahathir, e-debit dilihat sebagai satu alternatif medium pembayaran yang lebih mudah, sistematik dan efisien di mana para pembayar tidak dikenakan apa-apa caj sekiranya menggunakan perkhidmatan e-debit ini.

Sementara itu, para pemegang kad kredit Bank Islam juga kini boleh membuat pemotongan zakat secara bulanan daripada kad masing-masing untuk pembayaran zakat. Apa yang perlu dilakukan ialah pemegang kad perlu mengisi borang yang boleh didapati di LZS (MAIS) dan kemudian menghantarnya semula kepada Unit Ejen Kutipan untuk tindakan selanjutnya.

LZS (MAIS) HIMPUN USAHAWAN ASNAF

0

Shah Alam – Buat julung-julung kalinya Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS berjaya menghimpunkan usahawan-usahawan daripada kalangan asnaf dalam Karnival Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat yang telah berlangsung bermula dari 30hb Jun hingga 2hb Julai di Perkarangan Wisma MAIS, Seksyen 3.

Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman Hj. Palil yang mewakili Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Hj. Mohamad Khir Toyo.

Dalam ucapannya, beliau menyeru asnaf fakir dan miskin agar merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan juga bantuan daripada LZS (MAIS) bagi memajukan diri sendiri. Bantuan yang diberikan ini seharusnya digunakan dengan bijak serta diiringi dengan kesungguhan dan kemahuan agar apa yang diimpikan itu dapat direalisasi.

Pelbagai jenis produk yang dipasarkan oleh para usahawan daripada golongan miskin produktif semasa karnival termasuklah makanan tradisional, kraftangan, pembuatan, pertanian dan tekstil. Para pengunjung juga turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung seperti Forum Perdana bertajuk ‘Harta Berkat, Keluarga Bahagia’, Pertandingan Gubahan, Pertandingan Nasyid, demonstrasi Gubahan Kraf Kertas Surat Khabar dan sebagainya.

Dalam masa sama, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman juga turut merasmikan tiga buah kedai milik ahli Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) iaitu D’Asnaf Edar, Dobi Point dan Deli3. Ketiga-tiga kedai ini merupakan antara produk agihan yang berjaya dilahirkan oleh asnaf zakat melalui bantuan yang diberikan oleh LZS (MAIS).

KUAZ merupakan kumpulan usahawan asnaf fakir dan miskin yang dikenal pasti mempunyai kemampuan dan keinginan untuk maju serta berdaya saing. Antara bentuk perniagaan yang diceburi termasuklah perniagaan berasaskan makanan, kuih tradisional, restoran, bengkel kenderaan, perusahaan dobi, katering serta kraftangan.

Selain menerima bantuan modal, usahawan ini turut diberi latihan berkaitan sebelum dan semasa menjalankan perniagaan yang dikendalikan di bawah Pusat Latihan Asnaf Zakat (PULAZ), termasuklah kursus asas keusahawanan, kewangan, pemasaran dan ceramah motivasi.

ASRAMA ANAK YATIM FAKIR /MISKIN PERTAMA LZS (MAIS) DILANCAR

0

Hulu Selangor – Asrama untuk anak-anak yatim fakir miskin yang pertama dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS ) MAIS bagi daearah Hulu Selangor telah dilancarkan sempena ‘Majlis Penyerahan Anak-anak Asnaf oleh Pengerusi MAIS, Dato’ Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa, (MAIS) pada 11 Jun.

Asrama yang mampu memuatkan lebih 40 pelajar itu dinamakan Baitul Hasanah yang membawa makna ‘Rumah Yang Baik’. Sehingga kini, seramai 25 pelajar terdiri daripada lelaki dan perempuan telah ditempatkan di situ. Mereka terdiri daripada anak-anak fakir miskin yang berdaftar dengan LZS (MAIS) di daerah Hulu Selangor.

Dato’ Adzib di dalam ucapannya menyatakan, usaha memajukan anak-anak asnaf adalah prioriti utama LZS (MAIS). Demi melahirkan anak-anak asnaf yang cemerlang dalam bidang pendidikan, maka mereka perlu diberikan prasarana pembelajaran yang lengkap termasuklah juga penjagaan daripada aspek pemakanan.

Oleh itu, adalah menjadi harapan LZS (MAIS), dengan pembinaan asrama ini dapat memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak asnaf fakir miskin demi kecemerlangan diri mereka.

Ibu bapa yang dijemput khas pada majlis itu turut melahirkan rasa kesyukuran kerana anak mereka dipilih oleh LZS (MAIS) untuk mendiami asrama tersebut. Bahkan mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka agar dapat merebut peluang dan belajar dengan lebih baik di situ demi kecemerlangan diri dan seterusnya keluarga.

Asrama anak Yatim ini merupakan salah satu bentuk agihan yang dijangka akan dilaksanakan pembinaanya di setiap daerah di Negeri Selangor. Selepas pembinaan Baitul Hasanah, Hulu Selangor ini , LZS (MAIS) akan turut membina asrama anak yatim seumpanya bagi daearah Kuala Selangor diikuti dengan derah Kuala Langat dan Sepang.

ZIARAH RUMAH FAKIR/MISKIN ERAT SILATURAHIM

0

Sungai Besar – Aktiviti ziarah telah diadakan ke tujuh buah rumah fakir/miskin sekitar kawasan Masjid Parit 6, di sini pada 26 Jun bagi mengeratkan siraturahim di antara institusi zakat dan asnaf sambil mengenalpasti masalah yang mereka hadapi.

Rumah yang diziarahi adalah mereka yang di kenalpasti kedhaifannya dan perlu dibantu. Mereka yang rata-rata tidak sangka dengan kehadiran LZS (MAIS) merasa terharu dan gembira kerana masih ada yang sudi melawat teratak buruk mereka.

Program setengah hari itu yang disertai 35 orang ahli itu turut disertai penghulu mukim, kadhi, wakil Pejabat Kesihatan dan Ahli JawatanKuasa Masjid berdekatan.

Berita Terkini