Utama Blog Halaman 149

LZS TERIMA ZAKAT BERJUMLAH RM166,500.00

0

Tarikh : 1/1/2010
Penulis : Khairul Izwan Bin Bakeri

SHAH ALAM, 31 Mac – Bank Simpanan Nasional Negeri Selangor (BSN) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM166,500 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan Bank Simpanan Nasional diserahkan oleh Pengarah Negeri BSN Selangor, En. Ahmad Noh Jeni kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir sama, Pengurus Besar LZS , Ahmad Shahir Makhtar dan Ketua Seksyen Pegurusan Zon, En Khairul Anuar.

KARNIVAL HIMPUNAN ASNAF USAHAWAN SELANGOR BUKTI KEMAMPUAN GOLONGAN FAKIR MISKIN BERNIAGA

0

Tarikh : 1/1/2010
Penulis : Editor

Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) menganjurkan Karnival Himpunan Asnaf Usahawan Selangor (HAUS) yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Januari di Mydin Mall di sini.

Lebih 50 usahawan terdiri daripada golongan fakir miskin yang telah berjaya dalam perniagaan dihimpunkan di sini bagi membuktikan kepada masyarakat terhadap kemampuan mereka menjadi peniaga. Bermula dengan bantuan LZS, kesemua usahawan ini berpeluang untuk mempromosikan barangan mereka di samping membuat jaringan perniagaan dengan agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival ini. Antaranya FAMA, MARA, MIDA serta Jabatan Pertanian.

Karnival ini juga menghimpunkan lebih 400 orang asnaf fakir dan miskin yang berpotensi
untuk menjadi usahawan bagi mendedahkan mereka tentang bidang keusahawanan melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun.

Pada majlis yang sama, seramai 10 orang bakal usahawan menerima bantuan modal berjumlah RM130,463.65 daripada LZS. Antara yang menerima bantuan itu ialah Kasim Wahab bagi bantuan modal perikanan sebanyak RM16,830.00, Husni Mohd Mokhtar menerima bantuan modal perniagaan sewa kanopi sebanyak RM24,5050.00 dan Maspupah Husain menerima bantuan berjumlah RM15,267.00 untuk memulakan perniagaan warung.

Turut dilancarkan Projek Usahawan Asnaf LPG Gas, iaitu program keusahawanan gas domestik. Sebagai permulaan seramai tujuh orang peserta terdiri daripada asnaf zakat yang berpotensi dipilih dan menerima bantuan berbentuk lori, peralatan dan modal bernilai RM50,000.

Karnival ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Y.Bhg Datuk Siti Maslamah Osman. Turut hadir, Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

LZS AGIH BANTUAN RM12.54 JUTA UNTUK ANAK-ANAK FAKIR DAN MISKIN MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2010

0

Tarikh : 12/16/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM12.54 juta bantuan pendidikan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin bagi sesi persekolahan 2010.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 34,787 anak asnaf fakir dan miskin yang terdiri daripada pelajar peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama.

Kesemua anak asnaf ini akan menerima bantuan dalam bentuk wang tunai bagi bantuan yuran persekolahan dan keperluan peralatan persekolahan. Ini bermakna setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan; maksimum sehingga RM2,000

Pada tahun ini, LZS memperuntukkan sebanyak RM200 seorang bagi keperluan kelengkapan persekolahan manakala bagi bantuan yuran persekolahan, setiap anak asnaf yang bersekolah tadika bakal menerima RM100, sekolah rendah kebangsaan RM150, sekolah rendah agama (RM150), sekolah menengah kebangsaan (RM250) dan sekolah menengah agama (RM250).

Bantuan pendidikan untuk anak asnaf fakir miskin ini merupakan bantuan tahunan yang disediakan oleh LZS bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa dalam menghadapi musim persekolahan. Bantuan ini juga dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak fakir miskin ini supaya menjadikan pendidikan sebagai aset utama untuk berjaya.

LZS BUKA KAUNTER 7 HARI SEMINGGU

0

Tarikh : 12/16/2009
Penulis : Editor

Sepanjang Disember ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membuka 23 kaunter perkhidmatannya setiap hari bagi memberi peluang kepada umat Islam terutamanya di negeri ini untuk menunaikan zakat sebelum 31 Disember 2009.

Semua kaunter perkhidmatan LZS akan beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat) dan jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad. Manakala pada 25 Disember, LZS akan membuka kaunter bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, 30 Disember dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang dan pada 31 Disember ini, kaunter LZS akan dibuka bermula 8.30 pagi hingga 8 malam.

LZS ANJUR MAJLIS BERKHATAN PERDANA

0

Tarikh : 12/13/2009
Penulis : Khairul Izwan Bakeri

Sungai Buloh – Lembaga Zakat Selangor daerah Petaling dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh dan Klinik Wakaf An-Nur telah mengadakan Program Majlis Khatan Perdana Daerah Petaling bagi tahun 2009 bertempat di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh yang dirasmikan oleh Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Seri Indah Diraja Dato’ Haji Abu Bakar Haji Abdul Hamid.

Seramai 75 peserta berdaftar untuk program pada tahun ini yang mana meliputi anak-anak asnaf fakir dan miskin seluruh daerah Petaling merangkumi usia sekitar 7 hingga 12 tahun. Anak-anak asnaf ini diraikan dalam upacara perarakan dan mandi hujan beramai-ramai dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh.

LZS ANJUR BENGKEL ZAKAT NIAGA

0

Tarikh : 12/13/2009
Penulis : editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) buat julung kalinya menganjurkan Bengkel Zakat Niaga bersama Pengusaha Stesen Minyak yang dihadiri seramai 32 pengusaha stesen minyak baru-baru ini.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi penerangan dan pendedahan berkenaan pengurusan zakat di Selangor, di samping memberi taklimat berkaitan pengiraan zakat.

Bengkel telah dimulakan dengan tazkirah bertajuk ‘Mencari Keberkatan’ oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pegawai Dakwah Pena LZS. Ia diikuti dengan sesi bertajuk ‘Pengurusan Zakat di Selangor’ oleh Penolong Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS, Mohd Amin Ibrahim dan taklimat zakat perniagaan oleh Ketua Bahagian Perniagaan, Iswaridin Derus. Bengkel kemudian diteruskan sesi Pengalaman Agihan Zakat oleh Ketua Bahagian Pembangunan Asnaf, Suhaimi Ali.

Sehingga kini, sebanyak 27 buah stesen minyak yang pernah menunaikan zakat perniagaan mereka di LZS.

556 MAJIKAN BARU DIKENAL PASTI

0

Tarikh : 12/13/2009
Penulis : Norhasyimah Hassan

Shah Alam – Seramai 556 majikan baru yang berpotensi besar untuk Skim Potongan Gaji atau Skim Berkat dikenal pasti dalam program ‘Ops Fokus Satu Selangor’ melibatkan tiga wilayah di sebelah Barat, Timur dan Selatan Negeri Selangor yang diadakan baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini diadakan bagi mengenal pasti zon majikan swasta yang masih belum dijejaki. Ia merupakan aktiviti turun padang bagi mendekati mendekati majikan baru melibatkan pusat-pusat komersial mahupun industri. Lokasi yang dikunjungi ini termasuklah kawasan perindustrian Pelabuhan Klang, Kota Damansara, Batu Caves, Gombak, Kajang dan Bangi.

KAUNTER ZAKAT BARU LZS KE 23 DIBUKA

0

Tarikh : 12/16/2009
Penulis : Editor

KLANG, 11 Disember 2009 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter zakat yang ke 23 yang berada di Masjid Bandar Diraja Klang (berhampiran Pasar Jawa, Klang) mulai 11 Disember ini sempena Perasmian Masjid Bandar Diraja Klang yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda juga berkenan melawat ke kaunter zakat LZS ini.

Pembukaan kaunter zakat ini bertujuan memberikan pilihan kepada masyarakat di sekitar daerah Klang untuk menunaikan zakat selain melalui kaunter zakat yang terletak di Kompleks MAIS, Klang. Kaunter yang disediakan ini juga dipastikan mempunyai ruangan menunggu selesa dan kondusif

Sementara itu, sepanjang Disember ini, kaunter-kaunter LZS di seluruh Selangor akan dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum. Waktu urusan adalah pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah pada jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Manakala pada 31 Disember 2009, kaunter akan dibuka sehingga jam 8.00 malam. Semoga dengan bertambahnya kemudahan zakat ini akan memudahkan lagi urusan pembayaran zakat bagi masyarakat di Selangor khasnya.

SALAM AIDILADHA DARI LZS

0

Tarikh : 11/26/2009
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt,

Berjumpa lagi kita di ruangan ini. Diharap semua pengunjung portal berada dalam keadaan sihat sejahtera. Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha kepada semua umat Islam di mana jua anda berada.

Semoga kita dapat menghayati dan menghargai pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail dalam mengikuti perintah Allah dengan sepenuh hati mereka.

Sempena menyambut ketibaan AidilAdha ini juga kami telah menyediakan perkhidmatan EKAD untuk memberi ruang kepada pengunjung menghantar ucapan Hari Raya Korban kepada semua teman-teman pada tahun ini.

Para pengunjung portal kami boleh menggunakan perkhidmatan tersebut melalui link ini EKAD LZS (MAIS).Semua EKAD tersebut telah direkabentuk sendiri oleh Unit ICT LZS (MAIS).

Pihak editor ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua umat Islam untuk menunaikan zakat sebelum akhir tahun 2009 ini. Pembayaran zakat di LZS (MAIS) boleh mendapat rebet LHDN untuk taksiran pada tahun hadapan.

Sekian, terima kasih.

HANYA KLIK SKIM BERKAT MAKIN MUDAH

0

Tarikh : 11/6/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Perkhidmatan pembayaran zakat melalui potongan gaji atau Skim Berkat kini lebih mudah apabila pengguna boleh mendapatkan maklumat berkaitan Skim Berkat dengan hanya klik ke portel LZS www.zakatselangor.com.my/SkimBerkat.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Hj. Mohd Adzib b. Mohamad Isa di majlis Hi Tea Besama Media, Pihak Berkuasa Tempatan dan Konsesi Tol pada 4 Jun di sini.

Melalui kemudahan ini penguna boleh membuat semakan penyata, jadual kiraan zakat, muat turun borang Skim Berkat, panduan bayaran bagi pencarum, majikan dan sebagainya.

LZS melaksanakan kemudahan mendapatkan maklumat melalui portal ini bagi memudahkan lagi masyarakat dan menarik lebih ramai masyarakat membayar zakat melaui Skim ini sama ada untuk memulakan penyertaan mahupun membuat tambahan bayaran zakat sedia ada.

Dengan motto ‘Hanya Klik, Skim Berkat Makin Mudah’, kemudahan ini dijangka akan menarik lebih ramai golongan pekerja terutama peringkat eksekutif menyertai skim ini. Di samping itu LZS turut menawarkan hadiah-hadiah bagi penyertaan awal.

Pada tahun lalu, LZS telah mengutip RM91 juta zakat melalui Skim Berkat ini. Daripada jumlah tersebut, sektor swasta menyumbang RM66.1 juta, kerajaan RM13.2 juta dan badan berkanun menyumbang RM12.5 juta. Bilangan peserta skim ini ialah 44.233 orang bagi sektor swasta dan 46.4 orang bagi sektor kerajaan dan berkanun.

Berita Terkini