Utama Blog Halaman 146

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT BANK RAKYAT: SERAH RM3.6 JUTA UNTUK NEGERI SELANGOR

0

SHAH ALAM, 21 Jun 2010 – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah RM3,682,611.00 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Dato’ Aini Taib. Bayaran adalah berdasarkan bilangan pendeposit institusi berkenaan di Selangor dan merupakan jumlah zakat yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat berjumlah RM35.3 juta bagi tahun kewangan 2009 berbanding RM33.4 juta pada tahun sebelumnya.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pemangku Penolong Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Rakyat, Baharom Embi.

HARAPAN UMI PADA ALLAH

0

Tarikh : 6/11/2010
Penulis : HAMIZUL ABDUL HAMID

KEHIDUPAN adalah satu cabaran. Adakalanya kita diuji dengan kekayaan dan kesenangan. Ada masanya diuji dengan kemiskinan dan kesakitan.

Benarlah firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu,” (Ali Imran: 186).

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikit pun,” (riwayat Tirmizi)

Jejak Asnaf terus mendekati golongan kurang bernasib baik bagi mengorek kisah mereka untuk dijadikan iktibar bersama.

Ia juga untuk memberitahu masyarakat kekayaan hari ini wajar dikongsi, kerana nasib kita esok dan lusanya belum pasti.

Seripah S.A. Kadir, 51, atau lebih mesra disapa sebagai Umi merupakan ibu tunggal yang kematian suami. Dia kini meneruskan tatih hidup bersama empat orang anak.

Tiada siapa menduga, di sebalik ceria wajah, beliau sedang bergelut di antara ‘hidup dan mati’ melawan mythenia gravis – sejenis penyakit saraf yang menghilangkan hampir keseluruhan keupayaan untuk berkerja.

“Dahulu Umi bekerja dengan sebuah firma arkitek di Hulu Selangor. Umi adalah pembantu peribadi (PA) semasa itu. Sayangnya, sejak diserang mythenia gravis, sebahagian daripada badan Umi seakan ‘lumpuh’ dan tidak kuat lagi.

“Apabila Umi memegang sesuatu barang, tanpa sedar barang-barang itu boleh jatuh begitu sahaja.” Demikianlah Seripah berkongsi cerita perihal penyakitnya.

Mythenia gravis bukan sekadar menyerang saraf; bahkan turut mengganggu sistem penghadaman dan juga otot pernafasannya. “Umi sering kepenatan dan sesak nafas apabila otot diaphragm hampir gagal berfungsi kerana penyakit ini.

Akibat Mythenia itulah, sejak 2004 beliau menjalani rawatan tetap di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau lebih tepatnya di Jabatan Neurologi, HKL.

Dek kerana kritikalnya penyakit tersebut, doktor telah menggunakan stereoid. Akibatnya, beliau hilang keupayaan melawan penyakit lain akibat sistem ketahanan badan andiri.telah ‘dilumpuhkan’ oleh ubat-ubatan yang diambil.

Kini, di samping penyakit saraf tersebut, Umi turut mengalami masalah tulang reput, diabetes dan juga peningkatan kolestrol. Tambah menyesakkan dia turut disahkan mengidap Hepatitis C.

Mengenang sejarah silam, Umi bercerita: “Arwah suami dahulu seorang mualaf, Abu Bakar Abdullah namanya. Hasil pernikahan itulah, kami dianugerahi Allah tiga orang anak.

“Anak pertama saya, Muhammad Abu Bakar kini berusia 19 tahun.

“Dia kini dalam Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Kuala Kubu Bharu. Muhammad bercita-cita menjadi doktor perubatan. Masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu, dia dapat 7A1 dan 3A2.

“Anak kedua Umi, Imran, 17, dan kini belajar di Sekolah Menengah Pandan Indah. Imran bercita-cita mahu menjadi seorang tukang masak terkenal. Anak ketiga, Munirah, 15, insya-Allah akan mengambil Penilaian Menengah Rendah tahun ini.

“Umi juga menjaga seorang anak angkat, iaitu Nur Atikah Sidek, 14. Munirah dan Atikah sama-sama belajar di SM Pandan Indah. Umi sudah mengambil Atikah dia sejak masih tingkatan satu. Ada sebab kenapa Umi jaga dia.”

Menyambung bicara Umi memberitahu, dahulu dia bersekolah di di Sekolah Aminudin Baki, Kampung Pandan.

Dia belajar di sekolah itu hingga pertengahan tahun 1970-an.

Sepatutnya Umi sambung belajar tetapi keluarga angkatnya tidak galakkan.

“Akhirnya, Umi hanya belajar menjahit sahaja di rumah,” katanya.

Walau

PENULIS memerhatikan persekitaran ruang tamu rumah Seripah. Ternyata, kekurangan diri kerana diserang sakit saraf dan kemiskinan yang membelenggui dirinya, tidaklah menghalang beliau daripada berusaha demi sesuap rezeki. Terdapat papan tanda yang menawarkan tempahan baju juga barang-barang makanan yang disusun kemas di dalam rak dan raga untuk dijual kepada anak-anak di kejiranan di situ.

“Dahulu Umi memang boleh menjahit. Tetapi, sejak diserang sakit saraf ini, Umi hanya mengambil pesanan sahaja dan Umi akan panjangkan tempahan kepada orang lain. Makanan ringan yang ustaz lihat itu, Umi jual untuk menambahkan pendapatan. Maklumlah, anak-anak Umi semuanya masih belajar lagi.”

Menyentuh mengenai anak-anaknya, penulis dapat merasakan bahawa Seripah adalah seorang ibu yang mempunyai wawasan demi kejayaan anak-anaknya. Walaupun hidupnya kini serba kekurangan dan dalam keterbatasan usaha; namun beliau tetap memotivasikan anak-anaknya agar terus berjaya. Kebergantungan kepada LZS bukanlah alasan untuk bermalas-malasan dan menyerahkan masa hadapan anaknya kepada takdir semata-mata.

Penulis tambah kagum saat mengetahui bahawa, anak-anak Seripah sanggup berjalan kaki sejauh 500 meter setiap hari untuk ke sekolah berdekatan. Benar mereka susah pada hari ini; namun bak kata pepatah biarlah bersusah-susah dahulu asal dapat bersenang-senang kemudian. Ada sinar harapan daripada padangan redup ibu tunggal ini, harapan terhadap anak-anaknya yang tegar menjalani kehidupan demi sebuah kejayaan.

“Kini, Umi sentiasa bersedia jika dipanggil Ilahi. Namun, berpantang maut sebelum ajal. Umi akan terus berusaha untuk terus hidup. Umi yakin janji Allah, bahawa setiap penyakit pasti ada ubatnya. Itulah harapan Umi.” Dalam diam penulis mengaminkan kata-kata beliau. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kehidupan beliau sekeluarga, di dunia dan juga di akhirat sana, insya-Allah.

Sumber- Utusan Malaysia,10 Jun 2010

DUETSCHE BANK LAUNCHES ONLINE ZAKAT SETTLEMENT IN MALAYSIA

0

Kuala Lumpur, 9 June 2010 – Deutsche Bank (Malaysia) Berhad (DBMB), a subsidiary of Deutsche Bank AG, today announced that it has officially launched an online zakat settlement solution in Malaysia, which leverages on Deutsche Bank’s highly acclaimed web-based platform, db direct internet. DBMB is the latest bank which is appointed by Lembaga Zakat Selangor (LZS) to provide an end-to-end Islamic tithe collection solution which is Shar’iah compliant

In other perspective, the online zakat settlement solution is the latest offering by DBMB to complement its suite of Islamic Banking solutions. The Islamic banking business in Malaysia is conducted by Deutsche Bank Malaysia Berhad through its Islamic banking window and Deutsche Bank AG, an International Islamic Banking branch.

Leveraging on Deutsche Bank’s online zakat settlement solution, corporate clients can now send and approve their staff zakat deductions where details of the zakat payments will be shared online with LZS. These zakat deductions and settlements can now be processed as part of the corporates’ overall staff payroll and claim process effected through Deutsche Bank’s suite of cash management solutions. With Deutsche Bank’s online zakat settlement solution, corporates can benefit from enhanced process efficiencies leading to time and resource savings.

“The launch of online zakat settlement solution in Malaysia marks a significant milestone for Deutsche Bank in Malaysia as it continues to introduce Islamic banking products to meet clients’ needs. This reflects our commitment in tailoring innovative and bespoke cash management solutions to enable the success of our clients,” said Yusoff Hassan, Head of Cash Management Corporates for Deutsche Bank in Malaysia.

“In a fast-growing economy like Malaysia, the collection and distribution of zakat is important to Muslims. We are pleased to partner Deutsche Bank in offering a seamless, secure and automated online zakat settlement solution to the business community in Malaysia,” said Mohamad Adzib Mohd. Isa, Chairman of Majlis Agama Islam Selangor

LAPAN BUAH SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM1 JUTA

0

Tarikh : 6/24/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 24 Mei 2010 – Lapan buah syarikat hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM796,358.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antaranya Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd yang membayar sebanyak RM280,000.00, Padiberas Nasional Berhad (RM158,935.00) dan Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (RM140,000.00).

Mufti Selangor yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohamad Tamyes Abdul Wahid, menerima zakat tersebut dalam satu upacara di sebuah hotel di sini.

Berucap pada majlis berkenaan, Mohamad Tamyes menegaskan bahawa LZS sentiasa memastikan pengagihan zakat disalurkan untuk pembangunan ummah, khususnya membantu asnaf zakat agar maju dalam kehidupan. LZS juga katanya, akan sentiasa memastikan pengagihan wang zakat dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, dalam ucapannya mensasarkan jumlah kutipan zakat perniagaan sebanyak RM55 juta pada tahun ini berbanding RM51.7 juta pada tahun 2009. Untuk rekod, setakat bulan Mei 2010, kutipan zakat perniagaan di Selangor ialah sebanyak RM13.1 juta.

Dalam majlis yang sama, seramai lima orang menerima pelbagai bantuan zakat seperti pembinaan rumah, bantuan perubatan dan komputer riba yang kesemuanya berjumlah hampir RM100 ribu.

LZS AGIH PELBAGAI BANTUAN LEBIH RM30 JUTA

0

Tarikh : 4/28/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 28 April 2010 –Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM30,970,276.42 juta melalui program Agihan Zakat Perdana. Pelbagai institusi serta individu menerima bantuan yang disalurkan melalui empat program utama agihan zakat iaitu, pendidikan, sosial, ekonomi serta institusi agama.

Melalui Program Pembangunan Pendidikan sebanyak RM22,129,014.00 bantuan diagihkan, Pembangunan Institusi Agama (RM8,500,000.00), Pembangunan Sosial (RM245,885.25) dan Pembangunan Ekonomi sebanyak RM95,376.80.

Di bawah program pendidikan, bantuan yang diagihkan termasuk dermasiswa kepada pelajar-pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjumlah RM1.1 juta serta wang saku berjumlah RM2.6 juta.

LZS juga turut mengagih RM10 juta bagi elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); penyediaan buku teks sekolah agama negeri Selangor (RM4,056,353.00); bantuan perabot sekolah (RM2,497,635.00) dan elaun bagi guru tahfiz sebanyak RM570,507.00. Turut diagihkan bantuan berupa basikal sebanyak 4,022 buah kepada anak fakir miskin berjumlah RM784,290.00 serta 17 komputer riba. Selain itu, LZS turut menyediakan dua buah bas atau coaster bagi kegunaan anak asnaf di Asrama Baitul Hasanah di Kuala Selangor serta Hulu Selangor bernilai RM454,000.00. Bantuan pembinaan tambahan kelas sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjumlah RM5 juta turut diberikan termasuk bantuan elaun kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Selangor berjumlah RM3.5 juta di bawah Program Pembangunan Institusi Agama.

Manakala melalui Program Pembangunan Sosial, lima buah rumah berjumlah RM190,000 telah diagihkan termasuk bantuan perubatan berjumlah RM55,885.25. Sebanyak 11 unit kerusi roda turut diagihkan untuk kegunaan penghuni Desa Kasih dan Desa Ehsan.

Di bawah Program Pembangunan Ekonomi pula, LZS menyerahkan bantuan modal perniagaan berjumlah RM953,768.00 kepada empat orang usahawan asnaf.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa,Rektor KUIS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Dato’ Dr Aziuddin Ahmad dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

LZS TERUS BANTU PELAJAR FAKIR MISKIN MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT: SALUR RM2.08 JUTA KEPADA 156 SEKOLAH

0

Tarikh : 4/16/2010
Penulis : Khairul Izwan Bin Bakeri

SHAH ALAM, 12 April 2010 – Sebanyak 156 buah sekolah seluruh Selangor menerima bantuan zakat sebanyak RM2.08 juta dalam Program Sekolah Angkat tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini. Ia bertujuan membantu anak-anak asnaf fakir dan miskin yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan melalui aktiviti berbentuk akademik dan sosial yang akan diuruskan oleh pihak sekolah.

Antaranya kelas tambahan, kursus motivasi, teknik menjawab peperiksaan, kursus celik teknologi maklumat (IT), kem ibadah dan kursus penerapan nilai-nilai Islam di samping penyediaan bahan rujukan dan pelbagai inisiatif lain lagi.

Program ini melibatkan sekolah menengah, rendah dan sekolah agama yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran dengan memberikan fokus kepada anak-anak asnaf yang bakal menduduki peperiksaan utama. Antara sekolah yang menerima bantuan adalah SK Seksyen 7, Shah Alam, SMK Abdul Jalil Hulu Langat dan SK Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor. Setiap sekolah menerima minima RM10 ribu hingga RM20 ribu bergantung kepada jumlah anak-anak asnaf yang belajar di sekolah berkenaan.

Ia mula dilaksanakan pada tahun 2009 dengan hanya melibatkan 43 buah sekolah dari daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sahaja. Namun pada tahun ini, program tersebut dikembangkan lagi ke seluruh negeri Selangor dengan matlamat yang sama bagi memastikan anak-anak fakir miskin ini terus mendapat pendidikan yang sempurna.

Bantuan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dato’ Dr Hailani Muji Tahir.

Turut hadir Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Ariffin Mohd Amin dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

FARID RAVI HARGAI JASA LZS

0

Tarikh : 4/8/2010
Penulis : HAMIZUL ABDUL HAMID dan MOHAMED SYAHRIL ZAINOL

TIADA siapa menduga, anak kecil yang sering mengunjungi gereja 20 tahun lalu akan menjadi seorang pendakwah Islam yang terkenal hari ini. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga beragama Kristian, namun hidayah Allah tiada siapa mampu menghalang.

Itulah anugerah termahal daripada Allah SWT kepada kita semua, sehingga memungkinkan kita untuk dapat memesrai sosok lelaki yang ramah bernama Mohd. Farid Ravi Abdullah, 39, yang lebih popular dengan nama Ustaz Farid Ravi.

“Dahulu, saya dikenali sebagai Jasiah a/l Ravi. Saya dan keluarga adalah penganut Kristian. Saban minggu kami akan mengunjungi gereja. Namun, hakikatnya hati saya sedari awal sudah terpikat kepada Islam.

“Bahkan sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, saya telah betah mengikuti kelas Pendidikan Islam bersama kawan-kawan yang beragama Islam.

“Antara punca saya minat kepada kelas Agama Islam ialah kerana ustazah yang mengajarnya bijak menyampaikan.

“Selain itu, sejak kecil saya begitu minat mendengar bacaan al-Quran, khususnya apabila adanya Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan di negara kita saban tahun.

“Ibu memarahi saya kerana saya minat mendengar bacaan al-Quran,” jelas beliau. Namun alhamdulillah, ibunya juga sudah memeluk Islam sebelum dipanggil mengadap ilahi.

Sejauh manakah zakat berperanan membantu seorang saudara Muslim (mualaf) seperti Farid Ravi meneruskan tatih kehidupannya?

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) bukanlah asing kepada saya. Sebenarnya secara peribadi, saya amat terhutang budi kepada LZS kerana banyak membantu.

“Khususnya sewaktu menamatkan pengajian di Jordan dalam bidang Usuluddin dahulu. LZS telah menyumbangkan dermasiswa penuh termasuk tambang tiket perjalanan dari mula sehingga tamat belajar,” kata beliau.

Menurut Farid Ravi, masih segar dalam memorinya, ketika membawa surat tawaran ke ibu pejabat JAIS untuk meminta bantuan kewangan bagi menyambung pelajaran, pegawai yang bertugas menjaga bahagian saudara baru ketika itu, Ustaz Yusof Ong segera menguruskan bantuan pelajaran.

Syukur alhamdulillah, katanya, apabila diberitahu akan menerima bantuan zakat RM5,000 selama dua tahun dan pada tiga tahun berikutnya pula, menerima RM8,000 setahun.

“Alhamdulillah, dengan wang zakat itulah, biar pun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diperoleh oleh pelajar tajaan pembiaya lain tetapi cukup untuk keperluan yang ada. Itulah berkat namanya,” katanya sambil tersenyum.

Prinsip Farid Ravi, biar sedikit tapi cukup daripada banyak tetapi habis. Wang zakat ini adalah titik peluh orang Islam. Ia dibayar dengan penuh kesedaran atas kewajipan perintah Allah SWT.

“Zakat ditunaikan untuk menyucikan harta. Maka, janganlah wang zakat yang bersih itu disalahgunakan. Bertanggungjawablah atas amanah ini. Pasanglah niat bahawa setelah selesai belajar, apabila berkerja kelak, kita juga akan melaksanakan kewajipan zakat,” tegas beliau penuh kesedaran.

Di samping itu, beliau turut berpesan agar para pelajar yang mendapat bantuan zakat, jangan mudah terleka dan belajarlah dengan penuh iltizam.

Bantuan zakat yang diterima itu sewajarnya perlu dibalas dengan menjadi insan yang berjaya lagi bertanggungjawab.

Atas dasar itu, maka tidak hairanlah beliau juga mudah memberi kerjasama dengan LZS khususnya memenuhi undangan menyampaikan ceramah dan memberi penerangan zakat.

“Bagi saya, sudah terbukti penglibatan LZS dalam membantu golongan asnaf terutama mualaf memang tidak boleh disangkal. Ramai saudara baru yang telah dibantu bukan sahaja daripada aspek kewangan, bahkan kerohanian.

“Oleh itu saya menyeru kepada mana-mana orang Islam yang masih belum berzakat, agar segera mendapatkan maklumat dan tunaikanlah zakat, khususnya di Selangor,” katanya.

Menurut Farid Ravi, seruan itu dibuat kerana masih ramai umat Islam yang belum memenuhi kewajipan ini.

“Ingat dan yakinlah, jika ia dilunasi, maka hati kita menjadi tenang malah harta-harta kita pun dapat dibersihkan.

“Keberkatan juga pasti akan lahir apabila asnaf-asnaf yang dibantu dengan wang zakat itu, kemudiannya mendoakan kesejahteraan kepada pembayar zakat, termasuklah kita,” ulas bapa kepada lima cahaya mata ini.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berteduh. Bagi Farid Ravi, beliau amat terhutang budi dengan keluarga angkatnya iaitu keluarga Hashim Talib (ketika itu seorang anggota polis yang berpangkat sarjan) dan Saunah Arifin dari Kg. Tanjung Sg. Choh, Selangor.

“Mereka telah mendorong saya untuk menuju ke arah yang benar. Dorongan dan motivasi yang diberikan oleh keluarga angkat saya ini tidak akan dapat saya lupakan sehingga ke akhir hayat. “Mereka juga telah memberikan layanan yang terbaik kepada saya. Saya dianggap seolah-olah anak mereka sendiri,” ceritanya menghimbau kembali detik-detik awal saat mula mengenali Islam.

Faktor kawan juga banyak membantu. Bahkan Farid Ravi mengakui, berkat bimbingan rakan, pada usia 11 tahun beliau sudah mampu membaca surah al-Fatihah dan menjawab azan.

Sehinggalah ketika usianya 18 tahun, hatinya sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi dan akhirnya di hadapan ustaz Kadir Chong beliau melafazkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur.

Kesimpulannya, inilah antara bukti betapa berkesannya wang zakat itu kepada pembangunan sesuatu asnaf penerima zakat.

Berkatlah kehidupan mereka yang membayar zakat, kerana dengan setiap sen wang itulah yang digunakan untuk membantu insan seperti Farid Ravi ini.

Inilah suatu sorotan kisah seorang Mualaf muda dalam mencapai cita-cita di samping suntikan bantuan wang zakat. Moga-moga, keberkatan wang zakat akan terus menyuburi beliau dan semua pembayar zakat, di dunia dan akhirat. Amin ya Rabb!

nota: artikel ini disiarkan oleh akhbar utusan pada 08/04/10

LEMBAGA TABUNG HAJI SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM6 JUTA

0

SHAH ALAM, 6 April 2010 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM6,632,027.50 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 672,012 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara berjumlah RM33,918,120.04.

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullai, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Operasi LTH, Dato’ Haji Kamarudin Mat Ali. Turut hadir, Pengarah LTH Selangor, Md Ridza Mat Zain serta Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

MAJLIS HI-TEA ERATKAN LZS-KORPORAT

0

SHAH ALAM, 25 Mac 2010 – Lebih 100 orang peserta daripada pelbagai syarikat korporat hadir dalam Majlis Hi-Tea Korporat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali hadir sebagai tetamu kehormat seterusnya menyampaikan Bicara Niaga bertajuk ‘Bina Roh Zakat Di Kalangan Warga Korporat’.

Majlis diadakan dengan hasrat untuk meraikan dan seterusnya mengeratkan ukhuwah dengan warga korporat yang telah pun menunaikan zakat perniagaan di samping menjadi wadah penerangan kepada yang masih belum menunaikannya.

Satu sesi dialog bagi membincangkan pelbagai isu mengenai zakat perniagaan turut diadakan. Tiga panel telah dijemput iaitu Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, Ahmad Shahir Makhtar (Pengurus Besar LZS) dan Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa (Pengarah Yayasan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Sebagai makluman, pada tahun 2009, zakat perniagaan dengan 3,685 orang pembayar telah menyumbang sebanyak RM51.8 juta kutipan zakat dan merupakan penyumbang kedua kutipan terbesar selepas zakat pendapatan. Keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu ialah RM283.6 juta.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyerahkan bantuan kepada lima individu berjumlah RM29,456.85. Mereka ialah Jemilah Ma’afop, yang menerima bantuan peralatan perubatan bernilai RM4,950 bagi pembelian kaki palsu dan kerusi roda dan juga Moideen Abdul bagi pembelian rawatan susulan bernilai RM2,640. Manakala Mohamad Fahmi Govel Abdullah turut menerima bantuan perubatan berjumlah RM16,908.85 bagi tujuan pembedahan akibat diabetes. Sementara itu, dua orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin, iaitu Siti Fairuz Tajul Fazwi dan Khaire Khairudin masing-masing menerima bantuan keperluan pendidikan berbentuk komputer riba yang bernilai RM2,479.00 setiap unit.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM655 RIBU

0

SHAH ALAM, 24 Mac 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan berjumlah RM655,744.98 yang diserahkan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu majlis di sini.

Syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM351,324.98, Telekom Malaysia Berhad (RM189,420), Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad (RM40,000) dan Telcoyakin Sdn Bhd (RM15,000). Sementara itu, sebuah syarikat perkapalan turut menyerahkan zakat berjumlah RM60,000.

Dalam majlis yang sama, LZS turut mengagihkan bantuan zakat kepada empat individu berjumlah RM90,290. Mereka ialah Zaiton Agos yang menerima bantuan berjumlah RM38,000 bagi pembinaan rumah tiga bilik dan Abdul Hamid Muhamad yang menerima bantuan pembinaan rumah dua bilik bernilai RM33,000. Manakala Aziz Yoab menerima sebanyak RM13,900 bagi bantuan perubatan kos alat implan stent koronari dan Sheikh Muhammad Faizal Shah sebanyak RM5,390 bagi bantuan perubatan kos alat implan pembedahan lutut.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen Taksir Zakat Anda. Kempen berterusan sepanjang tahun ini merupakan persediaan jangka panjang sebelum penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Zakat & Fitrah 2009, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 (PZF EPAIS 2003) yang dijangka akan digazetkan dan dikuatkuasakan selepas ini.

Turut hadir Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

Berita Terkini