SHAH ALAM, 24 Mac 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan berjumlah RM655,744.98 yang diserahkan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu majlis di sini.

Syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM351,324.98, Telekom Malaysia Berhad (RM189,420), Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad (RM40,000) dan Telcoyakin Sdn Bhd (RM15,000). Sementara itu, sebuah syarikat perkapalan turut menyerahkan zakat berjumlah RM60,000.

Dalam majlis yang sama, LZS turut mengagihkan bantuan zakat kepada empat individu berjumlah RM90,290. Mereka ialah Zaiton Agos yang menerima bantuan berjumlah RM38,000 bagi pembinaan rumah tiga bilik dan Abdul Hamid Muhamad yang menerima bantuan pembinaan rumah dua bilik bernilai RM33,000. Manakala Aziz Yoab menerima sebanyak RM13,900 bagi bantuan perubatan kos alat implan stent koronari dan Sheikh Muhammad Faizal Shah sebanyak RM5,390 bagi bantuan perubatan kos alat implan pembedahan lutut.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen Taksir Zakat Anda. Kempen berterusan sepanjang tahun ini merupakan persediaan jangka panjang sebelum penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Zakat & Fitrah 2009, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 (PZF EPAIS 2003) yang dijangka akan digazetkan dan dikuatkuasakan selepas ini.

Turut hadir Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.