Utama Blog Halaman 138

PUBLIC ISLAMIC BANK BERHAD TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM35 RIBU

0

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2010 – Public Islamic Bank Berhad (PIBB) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM35,000.00 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan Public Islamic Bank Berhad diserahkan oleh Pengurus Besar PIBB, Abu Hassan Assari Bin Ibrahim kepada Ketua Bahagian Perniagaan LZS En. Iswaridin Derus.

Hadir sama Pengurus Kanan PIBB dan wakil-wakil dari PPZ.

LZS SALUR BANTUAN ZAKAT RM530 RIBU KEPADA 34 BADAN KEBAJIKAN

0

SHAH ALAM, 27 Disember 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat dalam bentuk geran kepada 34 buah rumah kebajikan di Selangor bernilai RM530,000 di sini hari ini.

Bantuan diberikan melalui dua fasa, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,365,500 di mana sebanyak RM835,500 yang telah diserahkan pada Julai lalu. Bantuan disampaikan oleh Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Melalui bantuan zakat ini diharap dapat membantu rumah-rumah kebajikan ini terutamanya dalam usaha mereka menangani masalah sosial dan mewujudkan jaminan sosial serta kebajikan ummah supaya tidak ada yang melarat dan terpinggir.
Rumah kebajikan yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada rumah yang menempatkan anak yatim, warga emas, bekas penagih dadah, wanita yang menghadapi masalah, ibu tunggal dan pesakit AIDS.

Bantuan yang diberikan berjumlah di antara RM10,000 ke RM20,000. Antara rumah-rumah kebajikan yang menerima bantuan ialah Rumah Penawar sebanyak RM20,000, Asrama Anak Yatim Damai (RM20,000) dan Rumah Jagaan Dan Rawatan (RM20,000).

Pada tahun lalu, LZS menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1,565,000 kepada 38 buah rumah kebajikan di Selangor. Turut hadir Abdul Halem Hafiz, Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor.

ZAINOL TIDAK SUKA MEMINTA-MINTA

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

BERASAL dari Kuala Kedah, Zainol Ramli, 49, merantau ke Selangor. Bertemu jodoh dengan gadis Perak yang turut sama mencari rezeki di kota, Norma Jahya, 46. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki yang kini berusia di antara 13 dan 21 tahun.

Zainol turut memelihara seorang anak saudara perempuan berusia 12 tahun. Kini, lebih 30 tahun mereka bermastautin di Selangor.

“Dahulu saya seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta. Isteri saya pula pernah berkerja di sektor kerajaan. Semuanya berjalan dengan baik, sehinggalah kegawatan ekonomi melanda pada tahun 1997.

“Pada tahun 1997, saya ditamatkan perkhidmatan. Saya telah dibayar pampasan oleh majikan, tidak banyak hanya dalam jumlah sekitar RM15,000. Saya terfikir, dengan jumlah sebesar itu, berapa lama ia dapat bertahan. Sedangkan anak-anak sedang membesar dan mereka memerlukan belanja yang besar.”

Demikianlah Zainol berkongsi kisah silam. Daripada riak wajahnya, dia kelihatannya seperti seorang yang yakin dan percaya dengan kemampuan diri. Lalu, ada sesuatu yang ingin penulis kongsikan dengan pembaca lewat Jejak Asnaf pada kali ini.

“Setelah diberhentikan, saya mencari beberapa pekerjaan. Kira-kira setahun lebih, saya pernah berkerja menjaga parkir kereta di Kuala Lumpur dan menjadi pemasang permaidani di hotel. Tetapi, saya sering terfikir bahawa akal yang sihat anugerah Allah ini perlu dimanfaatkan.

Takkan saya betah untuk terus menjadi pekerja dan dikerah orang selamanya.

“Langsung dari situ, terbit idea untuk membuka gerai secara kecil-kecilan. Iyalah, hidup kena kreatif. Jika ulat dalam batu boleh hidup, takkanlah kita manusia yang diberikan akal tak boleh berikhtiar”.

Zainol rancak berkongsi kisah. Sesekali penulis melihat ke arah anak ketiganya yang kebetulan ada menemani bapanya kala itu. Pada wajah anaknya, tidak kelihatan tanda-tanda orang yang putus harapan. Penulis yakin, aura kecekalan si ayah pasti sedikit-sebanyak turut mengalir di dalam urat nadi si anak.

“Semasa itu, saya tinggal di perumahan setinggan Bukit Botak. Di situ, ia rumah sendiri walaupun menumpang di tanah milik orang. Maka, tiada apa-apa bayaran. Namun, tidak lama kemudian kami para penduduk diarahkan berpindah. Saya kemudiannya membawa keluarga menyewa di Kampung Bendahara dengan kos RM350 sebulan.

“Setelah itulah, saya mulai merasa sedikit kesempitan. Maklumlah, dengan pendapatan yang tidak seberapa dan dengan tanggungan empat orang anak, seorang isteri dan ditambah pula kos menyewa, barulah terasa sempit.

“Namun, saya tabahkan hati kerana pihak kerajaan sudah berjanji akan membina rumah kami di Bukit Botak. Sayangnya, rumah itu tidak pula siap lagi sampai kini.”

Ditanya sejak bila beliau didaftarkan sebagai asnaf di Lembaga Zakat Selangor (LZS), Zainol menjawab ringkas.

“Saya bukan jenis orang yang suka meminta-minta. Walaupun hakikatnya kehidupan saya sekeluarga tidak senang dan mewah; namun kami baharu sahaja menjadi asnaf di LZS pada tahun 2008 yang lalu. Itu pun setelah pihak amil di masjid berdekatan, menyarankan agar saya memohon bantuan di LZS.

“Setelah itu, baharulah saya sedar rupa-rupanya LZS ini adalah institusi zakat yang menawarkan pelbagai jenis bantuan kepada umat Islam yang memerlukan.

“Bagi saya, saya tidak mahu merebut semua jenis bantuan, cukuplah jika LZS memberi bantuan tertentu yang boleh membangunkan hidup saya. Saya yakin, masih ramai yang lebih memerlukan”.

Penulis cuba mengusik kenangan lalu Zainol, apakah wujud perbezaan di antara sebelum dan selepas dibantu LZS.

“Memanglah dahulu agak susah. Saya tak mampu misalnya membelikan pakaian bagi menyambut hari raya lebih dari sehelai kepada anak-anak.

Alhamdulillah, hari raya baru-baru ini, LZS memberikan bantuan kewangan dan dapatlah saya dan keluarga berhari raya dengan lebih ceria. Untuk masuk persekolahan ini pun, LZS bantu lagi dengan pakaian dan belanja pesekolahan.

“Saya juga amat berterima kasih kerana LZS meluluskan permohonan bantuan modal perniagaan sebanyak RM1,500. Modal itu, memanglah tidak seberapa, tetapi cukuplah sedikit-sebanyak menampung apa yang tiada.

“Insya-Allah, saya dalam proses membesarkan sedikit gerai. Saya bercadang untuk menjual nasi lemak pula, di samping goreng pisang dan kuih-muih yang ada pada hari ini. Lagi pun, berdasarkan sambutan pelanggan, saya yakin akan laku. Saya amat berharap pihak LZS sudi menyalurkan sedikit lagi bantuan modal demi menjayakan cita-cita saya ini”

Kini, Zainol mampu memperolehi pendapatan bersih dalam lingkungan RM1,000 sebulan. Memanglah ia tidak besar namun amat bermakna bagi dirinya. Seperkara yang amat memberi kesan kepada penulis mengenai Zainol, dia amat tegas dengan prinsipnya.

“Saya tidak suka meminta-minta. Sekali sudah cukup. Bagi saya, LZS adalah pintu untuk saya keluar daripada kesusahan. Selepas ini, LZS bantulah orang lain yang pastinya lebih memerlukan,” tegasnya penuh keberanian.

LZS DAN MASJID AS-SALAM ANJUR KHATAN PERDANA

0

PUCHONG PERDANA, 20 Disember 2010 – Seramai 70 orang peserta khatan perdana anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid as-Salam diadakan pada hari ini di masjid ini di Puchong Perdana. Program dirasmikan oleh Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan LZS khususnya bagi meringankan bebanan asnaf zakat yang harus mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Bagi program hari ini, 60 orang peserta adalah terdiri daripada anak-anak asnaf dan selebihnya adalah anak-anak masyarakat setempat. Manakala kos berkhatan pula ialah RM120.00 seorang. LZS komited menjayakan program seperti ini, demi merapatkan perhubungan dengan pihak masjid dan juga masyarakat. Di samping membantu golongan asnaf, ia juga merapatkan golongan asnaf dengan pihak masjid dan komuniti setempat.

Sebanyak tiga program berkhatan melibatkan 260 orang peserta akan diadakan pada tahun ini. Ia melibatkan Daerah Petaling dengan 60 orang peserta anak-anak asnaf manakala Daerah Klang dan Daerah Kuala Selangor pula masing-masing melibatkan 100 orang peserta.

Berita Terkini