Utama Blog Halaman 125

KUMPULAN JOHOR CORPORATION SERAH ZAKAT LEBIH RM1.6 JUTA

0

SERDANG, 12 Julai – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima bayaran zakat perniagaan  daripada Kumpulan Johor Corporation berjumlah RM1,614, 754 juta bagi tahun kewangan berakhir 2010 di sini hari ini.

Daripada jumlah itu QSR Brands Bhd dan anak syarikatnya KFC Holdings (Malaysia) Bhd masing-masing menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM556, 633 dan RM381,121.  Manakala enam anak syarikat di bawah KPJ Healthcare pula menyerahkan zakat mereka berjumlah RM677,000.

Antara enam syarikat di bawah KPJ Healthcare yang menyerahkan zakat Ampang Puteri Specialist Hospital Sdn Bhd (RM320,000), Damansara Specialist Hospital Sdn Bhd (RM214,000), Selangor Specialisy Hospital Sdn Bhd (RM90,000), Kajang Specialist Hospital Sdn Bhd (RM10,000), Hospital Pusrawi SMC Sdn Bhd (RM20,000) dan Teraju Farma Sdn Bhd (RM23,000).

Zakat perniagaan ini diterima oleh  Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor,  Hj. Marzuki b. Hussin yang mewakili LZS.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, LZS Hj Mohamed Izam b. Mohamed Yusof.

TABUNGAN KE SYURGA

0

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Kala saya menjejaki Masjid Baitullah, Ma’ahad ar-Rahman Lil Quran, Bogor, baru-baru ini, hati ini tersentuh dengan sebuah kalimah di tangga masjid berkenaan. Ada sebuah peti derma dengan tertera tulisan yang ringkas, ‘Tabungan Syurga’, tersedia di situ. Indah bahasa itu, biar ringkas namun punya makna sangat mendalam dan tuntas. Berilah sesuatu, kerana ia menjadi andalan kita syurga yang yang nikmatnya tidak terbatas.

Lantas, apa yang terlintas di benak paling dalam, bahawa kita sering kali memikirkan tentang kelestarian hidup di dunia. Kita tega menyisihkan sedikit daripada pendapatan dan menabung demi masa hadapan. Kita sedar, apa yang akan terjadi pada masa hadapan adalah tiada ketentuan. Maka, persiapan adalah perlu, dan kita berusaha menabung sekadar mampu.

Itu benar. Maka, dewasa ini kita boleh sahaja memilih apa-apa instrumen yang tersedia. Sama ada simpanan wadi’ah secara konvensional di bank, amanah saham, simpanan tetap atau takaful berserta caruman pelaburan. Kita mengharapkan, itulah jaminan kita. Tabungan yang dapat memberikan sedikit keselesaan kala kita memerlukannya.

Pun begitu, dalam keterujaan menjamin masa hadapan yang sementara, sering kali kita terlupa tentang jaminan kehidupan kekal kita di akhirat pula. Andai di dunia kita memerlukan tabungan dunia, maka akhirat sebenarnya lebih utama. Ini kerana, tabungan duniawi boleh sahaja dibantu isiannya oleh orang lain, sedangkan tabungan akhirat banyak tergantung kepada amalan kita sahaja.

Sebab itulah, Rasulullah SAW pernah menggambarkan kepada para sahabatnya tentang orang-orang yang muflis di akhirat nanti, yang sebenarnya juga menjadi ingatan kepada kita agar berhati-hati agar tidak terjebak ke kancah yang sama.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu para sahabat menjawab: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”

Lalu Baginda SAW kemudiannya bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. (Namun, dalam masa yang sama) dia juga datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang.

“Lalu diberi segala (pahala) kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya (kepada orang-orang yang dizaliminya). Maka jika telah habis (segala) pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya (orang-orang yang dizalimi) itu (pula yang) akan dilemparkan (dibebankan) kepadanya, lalu (menyebabkan) dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Nyata, bekalan di akhirat lebih amat perlu. Ini kerana, kita tidak mahu menjadi muflis. Muflis di dunia bisa sahaja kita cari jalan menyelesaikannya; sedang muflis di akhirat tiada lagi modal menyelesaikannya.

Kesimpulannya, sediakanlah tabungan ke syurga dengan sebanyak mungkin. Laksanakan segala kewajipan dan tambahi dengan amalan kebajikan. Pada masa yang sama, tinggalkan segala kezaliman, tidak menyakiti sesama manusia, mengambil hak orang lain tanpa rela, menindas dan memaksakan tindakan di luar batas keadilan.

Sungguh! Tabungan ke syurga perlu kita penuhi, secara konsisten, hari-hari tanpa culas, agar di akhirat nanti, tidak lagi menjadi muflis sedang pahala terkikis dan kala itu kita menangis sedang orang lain memintanya tanpa belas. Wallahua’lam.

LZS ANJUR PROGRAM MESRA MASYARAKAT

0

SG. BULOH – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Nur Saujana Utama, Sg. Buloh menganjurkan Program Mesra Masyarakat bertempat di sekitar Masjid An-Nur di sini baru-baru ini.

Program yang julung kali diadakan ini bertujuan mendekatkan warga LZS dengan masyarakat setempat melalui aktiviti kemasyarakatan.

Menurut Pengurus Besar Pejabat Urus Tadbir Korporat LZS, Ariffa Ariffin, aktiviti berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu antara lain bertujuan memupuk semangat sukarelawan di kalangan warga LZS.

Katanya, “ Pada kebiasaannya pegawai LZS bertemu masyarakat bagi urusan zakat, kali ini menurut beliau adalah lebih kepada CSR kerana tugas itu bukan wajib sebagaimana berurusan dengan masyarakat berkaitan zakat.”

Program yang dijalankan meliputi aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar kawasan masjid, kuliah zohor, pembukaan kaunter bergerak bagi memudahkan urusan zakat, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan di akhiri dengan aktiviti cabutan bertuah.

KARNIVAL MASJID ERAT HUBUNGAN LZS DENGAN MASYARAKAT

0

Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembinaan Masjid dan Persatuan-persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja (BBR) menganjurkan Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja di sini pada 2 Julai bertujuan mendekatkan lagi institusi zakat dengan masyarakat.

Selain itu, program ini juga secara tidak langsung bertujuan menyebarluaskan lagi dakwah zakat kepada masyarakat setempat disamping menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara LZS dengan komuniti setempat.

Antara aktiviti semasa karnival ini ialah Majlis Perasmian, aktiviti mewarna dengan tema Zakat Didik, tarik tali dan diakhiri dengan Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk Dunia Diuji, Syurga Dinikmati.

Turut diadakan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan. LZS turut membuka kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai dalam urusan pembayaran zakat serta khidmat nasihat.

LZS RAIKAN KEJAYAAN ATHIRAH

0

SHAH ALAM, 29 JUN 2011 – Nor Athirah Mohd. Johari, 18 telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010. Beliau diraikan bersama 45 orang pelajar lain di dalam Program Anak Asnaf Cemerlang SPM yang telah diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, baru-baru ini.

Athirah merupakan anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik. Dalam wawancaranya bersama media massa, beliau memberitahu sebelum dibantu LZS, beliau dan adik-beradiknya pernah diberhentikan sekolah selama setahun kerana kekangan kewangan keluarganya.

Walau bagaimanapun, bantuan LZS yang bermula pada tahun 2007 telah membawa harapan kepada beliau sekeluarga. Apa yang lebih menarik, sungguh pun pernah keciciran sekolah selama setahun; namun Athirah berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Athirah juga memperolehi 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan seterusnya mendapat 11A dalam SPM.

Kejayaan Athirah yang juga bekas pelajar di Ma’ahad Hamidiah, Kajang di dalam SPM ini membolehkan beliau dianugerahkan tokoh pelajar cemerlang yang melayakkan beliau membawa pulang sebuah trofi, sijil, sebuah komputer riba dan juga wang tunai RM1,000.00 sebagai insentif galakan pendidikan daripada LZS.

Ditemui selepas program tersebut, Athirah yang kini sedang mengikuti kursus persediaan di peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban, menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang jurutera dalam bidang kimia. Beliau dijangka akan melanjutkan pelajarannya di Australia selepas ini.

PENDIDIKAN UNTUK PERUBAHAN

0

Oleh Hamizul Abdul Hamid

Bagi memastikan asnaf zakat mempunyai ruang untuk bebas daripada belenggu kemiskinan, LZS menekankan bantuan pembangunan pendidikan dalam pengagihannya.LZS mensasarkan perubahan wajar bemula daripada generasi ke dua iaitu anak anak asnaf agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang cemerlang dan mampu pula membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

LZS mengagihkan puluhan juta ringgit demi memperkasakan asnaf menerusi Program Pembangunan Pendidikan ini. Pada tahun 2009, sebanyak RM65 juta disalurkan dan ia meningkat 37.9 peratus menjadi RM89.6 juta pada 2010. Manakala, bagi bantuan pendidikan khusus kepada anak-anak asnaf fakir miskin pula ialah sebanyak RM23 juta disalurkan pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM25.6 juta pada tahun 2010.

Antara bantuan yang disediakan ialah bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan bermula dari pra sekolah hingga ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi. Selain itu diperingkat pengajian tinggi anak-anak ini turut menerima bantuan wang saku, kelengapan belajar dan biasiswa.

LZS juga merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang menyediakan asrama khas bagi anak-anak asnaf, demi membolehkan mereka mengecapi kualiti pendidikan yang jauh lebih baik. Sehingga kini, tiga buah asrama yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah didirikan iaitu di Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan di Klang.

LZS juga merangka beberapa inovasi agar bantuan pendidikan yang disediakan ini benar-benar memberikan kesan. Antaranya, LZS membuka ruang penajaan pendidikan kepada asnaf zakat meliputi pelbagai bidang pendidikan iaitu tidak hanya terbatas kepada pendidikan agama , Syariah dan Usuluddin sahaja. LZS menawarkan dermasiswa pelajar ke luar Negara. Antaranya ke Jordan, Mesir dan Morocco dalam multi bidang seperti Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Perubatan.

Manakala bagi penajaan dalam negara pula, anak-anak asnaf boleh memilih untuk menyambung ke mana-mana universiti atau kolej awam serta beberapa institusi pendidikan swasta terpilih demi menyambung pengajian dalam pelbagai bidang, seperti sains kesihatan, farmasi, teknologi maklumat, kejuruteraan dan kemahiran vokasional.

Selain itu, LZS turut memberikan penekanan kepada bidang pendidikan agama dengan menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah agama JAIS di seluruh Selangor. Pada tahun 2010 sahaja, lebih RM31.7 juta diperuntukkan bagi menyediakan prasarana pendidikan agama terbaik dan juga sebanyak lebih RM14.2 juta pula diperuntukan bagi tujuan penajaan pelajar agama di dalam dan luar negara.

Berikut adalah jadual tentang agihan zakat bagi pendidikan agama di Selangor tahun 2010

Bil Nama bantuan Jumlah (RM)
1 Skim pinjaman buku teks sekolah rendah agama 4,054,421.00
2 Bayaran kepada guru-guru KAFA Selangor 26,000,000.00
3 Pembinaan baru Pra-Sekolah JAIS Kuala Selangor 464,268.48
4 Pembinaan tiga buah kelas di SRA Bt. Arang, Gombak 336,633.00
5 Pembinaan surau SRA Kg. Jawa Klang 296,418.50
6 Pembinaan kantin SRA Kg. Medan, Kuala Langat 331,480.00
7 Pembinaan kantin dan tandas Pra-Sekolah JAIS Kg. Tok Muda, Klang 236,119.36
JUMLAH 31,719,339.00

Jadual berikut pula adalah agihan zakat bagi dermasiswa pelajar Selangor tahun 2010

Bil Nama bantuan Jumlah (RM)
1 Biasiswa galakan pelajar tahfiz 815,400.00
2 Dermasiswa galakan Penilaian Sekolah Rendah Agama, Sijil Menengah Agama dan Sijil Tinggi Agama Malaysia 901,020.00
3 Dermasiswa pelajar luar Negara (Mesir, Jordan dan Morocco) 12,500,000.00
4 Dermasiswa pelajar cemerlang 19,000.00
JUMLAH 14,235,420.00

Kesimpulannya, pembangunan pendidikan adalah aset untuk melakar kecemerlangan asnaf zakat. Mudah-mudahan dengan usaha pengagihan zakat melalui penekanan aspek pendidikan ini, lebih ramai keluarga asnaf dapat berunah dan bebas daripada kemiskinan

Berita Terkini