HARI KERJAYA ASNAF – PELUANG PEKERJAAN KEPADA PENERIMA ZAKAT
SHAH ALAM, 22 OKTOBER 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan Asnaf Zakat (PPUAZ) melancarkan Hari Kerjaya Asnaf Zakat Selangor 2011 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Program yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS Tuan Hj Mohamed Izam Mohamed Yusof.
Seramai 360 orang asnaf zakat mengambil bahagian dan mereka berpeluang menghadiri temuduga terbuka bersama lima buah syarikat yang mengambil bahagian, iaitu Juara Saji Sdn. Bhd., Sani Express Sdn. Bhd., Oyl Manufacturing Sdn. Bhd., Selangor Food Industries Sdn. Bhd. dan Perfisio Solutions Sdn. Bhd. Dianggarkan hampir 300 kekosongan jawatan disediakan.
Program ini dijangka bakal diadakan saban tahun. Ia dapat memasarkan tenaga kerja dalam kalangan asnaf zakat, khususnya bagi anak-anak asnaf yang sudah menamatkan alam pendidikan, sama ada di peringkat persekolahan menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi.
Turut hadir ke program ini ialah Datuk Ibrahim Md. Yusof, Ahli Jawatankuasa Agihan LZS merangkap Pengerusi PPUAZ.
LZS PENGERUSIKAN BENGKEL PERKASA ZAKAT ZAKAT NIAGA
SHAH ALAM, 20 OKTOBER 2011 – Bengkel Memperkasa Dakwah Zakat Perniagaan telah berjaya diadakan sehari suntuk di sebuah hotel di sini. Bengkel ini juga telah berjaya mengumpulkan 30 orang peserta yang mewakili pusat-pusat zakat negeri seluruh Malaysia, kecuali Sarawak bagi membincangkan isu-isu berkaitan zakat perniagaan di Malaysia.
Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, adalah penting bagi seluruh institusi zakat di Malaysia untuk duduk semeja dan berbincang mengenai hala tuju dan tindakan yang mahu diambil, demi melahirkan kebersamaan dan keselarasan.
Sementara itu, Hjh. Adibah Abdul Wahab, Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS dalam pembentangan bertajuk ‘Latar Belakang Zakat Perniagaan di Malaysia’ menyatakan, sehingga kini zakat perniagaan merupakan sektor kedua tertinggi yang menyumbang kepada kutipan zakat selepas zakat pendapatan. Pada masa yang sama, hakikatnya potensi zakat perniagaan juga masih besar untuk diterokai.
Bengkel berkenaan telah Berjaya mengeluarkan pelbagai pandangan dan input berguna demi pemerkasaan zakat perniagaan di Malaysia di samping ia turut berjaya merumus beberapa tindakan susulan untuk dilaksanakan oleh pusat-pusat zakat negeri selepas ini.
LZS SERTAI HALFEST 2011
KUALA LUMPUR–Bagi meningkatkan lagi imej Lembaga Zakat Selangor (LZS) di kalangan masyarakat terutamanya di peringkat antarabangsa LZS telah menyertai pameran HALFEST 2011 yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra di sini selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober.
Penyertaan LZS ini juga bertujuan menyebarluaskan info zakat kepada pengunjung terutamanya berkaitan kewajipan berzakat dan pengagihannya.
Melalui usaha ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan imej disamping mengeratkan hubungan di antara LZS dengan masyarakat terutamanya pembayar zakat disamping menawarkan perkhidmatan seperti bayaran zakat, pertanyaan, temujanji, taksiran zakat dan sebagainya.
Hampir 700 ruang pameran dan jualan dibuka dengan pelbagai jenis produk halal dipamerkan dan hampir 50,000 orang telah berkunjung di pameran ini. Semoga usaha LZS bersama komuniti ini akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap pengurusan zakat.
LZS LAKSANA SKUAD JEJAK KEMISKINAN ATASI KEMISKINAN BANDAR
KENYATAAN MEDIA: AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR PENTINGKAN KESEGERAAN DAN KETELUSAN
SHAH ALAM, 15 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memastikan bantuan zakat yang disalurkan adalah segera dan telus bagi memastikan ia (bantuan) sampai kepada golongan sasaran tanpa proses birokrasi yang rumit sehinggakan terdapat bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.
Bagi bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam ini ia melibatkan kelulusan permohonan maksimum sehingga RM3,000 iaitu melalui kaunter ekspres yang terletak di ibu pejabat LZS. Antaranya bantuan perubatan, pelbagai bantuan kecemasan, keperluan pendidikan, musafir dan lain-lain lagi.
Selain itu, terdapat juga bantuan yang diluluskan dalam tempoh 24 jam antaranya berbentuk kecemasan asasi seperti bil perubatan, bil-bil utiliti, makanan dan minuman, pengangkutan dan lain-lain yang boleh dimohon di semua cawangan LZS.
Bagi mempercepatkan proses kelulusan bantuan, permohonan juga boleh diluluskan di peringkat cawangan LZS iaitu bagi bantuan bernilai RM3,000 ke bawah yang melibatkan kelulusan bantuan dalam tempoh 14 hari bekerja. Antaranya bantuan makanan bulanan, kewangan bulanan, bantuan umum pelajaran, bantuan penerapan nilai Islam, sewa rumah, sumbangan aktiviti dakwah, bantuan perubatan, yuran persekolahan, keperluan pendidikan dan biasiswa pelajaran.
Bagi LZS, tidak wujud birokrasi dalam pengagihan wang zakat jika dilihat dari aspek kesegeraan kelulusan permohonan bantuan ini. Walaubagaimanapun, setiap permohonan mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan, perlu disertakan dengan dokumen sokongan, prosedur dan tempoh tertentu bagi memastikan ketelusan permohonan dan hak zakat itu dapat dipelihara serta mengelakkan sebarang penipuan.
Selain kelulusan bantuan dalam tempoh dua jam, 24 jam dan 14 hari, piagam pelanggan LZS juga menetapkan kelulusan bantuan dalam tempoh maksimum 30 hari iaitu bantuan yang melibatkan kadar yang lebih tinggi iaitu RM3,000 ke atas. Bagi bantuan ini ia ia memerlukan pemantauan dan siasatan yang lebih terperinci. Antaranya bantuan rawatan dialisis, pembinaan baik pulih institusi agama seperti sekolah, surau dan masjid, bantuan hutang perubatan, bantuan bina dan baik pulih rumah.
LZS juga memerlukan kerjasama dari pihak permohon bagi memastikan borang permohonan yang dihantar adalah lengkap agar proses segera boleh dilaksanakan.
Selain itu, bagi memudahkan dan membantu pemohon membuat permohonan, LZS juga menyediakan 24 cawangan zakat di seluruh Selangor dan sebuah kaunter bergerak yang kondusif dan selesa selain menyediakan borang permohonan di portal LZS yang boleh dimuat turun oleh pemohon pada bila-bila masa.
LZS juga menggunakan pelbagai medium dan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan. Antaranya mengadakan bancian setiap tiga tahun sekali, menggunakan garis penentuan fakir miskin iaitu had al-kifayah, mendapatkan kerjasama pihak yang hampir dan mengenali penduduk iaitu dari penghulu mukim, ketua kampung, pengerusi jawatankuasa penduduk, jawatan kuasa kampung dan masjid, mendapatkan maklumat dari pihak sekolah, mendapatkan maklumat daripada NGO, orang persendirian, media dan sebagainya dan membuat siasatan sendiri ke rumah pemohon.
Selain itu, LZS juga mendapat kerjasama daripada lebih 1,500 orang penolong amil Kariah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid dan surau untuk menyampaikan maklumat mereka yang berada di dalam kesusahan dan menyediakan perkhidmatan talian khidmat pelanggan 03-5522 7777 untuk masyarakat menyampaikan maklumat berkaitan kemiskinan dan pertanyaan berkaitan permohonan yang dipohon. Dengan perlaksanaan pelbagai mekanisma ini hasilnya sepanjang Januari-Jun tahun ini LZS berjaya menyelesaikan 36,512 permohonan zakat mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.
MOHAMED IZAM MOHAMED YUSOF
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (MAIS)
TITAH UCAPAN DYMM SULTAN SEMPENA PERASMIAN BANGUNAN
TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT
LEMBAGA ZAKAT SELANGOR PADA
HARI KHAMIS, 10 MAC 2011 BERSAMAAN
5 RABIUL AKHIR 1432 HIJRAH
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah, Beta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya Beta dapat bersama-sama dengan para hadirin sekalian di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat baru Lembaga Zakat Selangor di pagi yang mulia ini.
Terlebih dahulu Beta ingin mengajak seluruh rakyat di Negeri Selangor ini untuk bersama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana menjadikan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang aman dan makmur, rakyatnya hidup rukun dan damai. Maka, sebagai hamba dan juga khalifah Allah Subhanahu Wata’ala, kita hendaklah berusaha mempertahankan kesejahteraan negeri Selangor ini daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan keadaan yang baik ini.
Beta selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, amat mengambil berat segala keperluan rakyat Beta dalam urusan keagamaan. Atas dasar itulah, semua institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Lembaga Wakaf Selangor dan beberapa lagi entiti Islam di negeri ini perlu memainkan peranan secara kolektif dan pro-aktif agar dapat menzahirkan keindahan syiar Islam di Negeri Selangor yang kita kasihi ini.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah entiti khusus di bawah Majlis Agama Islam Selangor yang dilantik bagi menjalankan semua urusan berkaitan zakat di negeri ini. Sehubungan itu, umat Islam di negeri ini hendaklah memanfaatkan kewujudan Lembaga Zakat Selangor sepenuhnya, khususnya dalam menunaikan kewajipan berzakat.
Beta mahu, agar semua umat Islam yang menetap atau bekerja di negeri Selangor ini, hendaklah menunaikan zakat di Lembaga zakat Selangor. Hal ini adalah sejajar dengan ajaran Islam, bahawa zakat itu hendaklah ditunaikan di tempat di mana seseorang itu memperolehi hartanya atau pendapatannya.
Di samping itu, Beta juga sedar bahawa Selangor adalah sebuah negeri maju yang menawarkan pelbagai kemudahan dan prasarana perniagaan terbaik kepada semua usahawan. Oleh itu, terdapat ribuan syarikat dan perniagaan yang beroperasi di negeri Selangor ini. Maka, wajarlah bagi para peniaga ini menunaikan zakat perniagaan mereka di negeri Selangor, agar rezeki yang mereka nikmati dapat dikongsi bersama seluruh rakyat Selangor.
Beta yakin, satu masa nanti Selangor mampu mengatasi jumlah miskin tegar terutama kepada meraka yang beragama Islam dan mengurangkan jumlah orang-orang miskin secara signifikan. Hal ini dapat kita lakukan, seandainya semua orang Islam sedar akan kewajipan zakat yang terpikul di bahu mereka. Bahkan mereka juga sepatutnya sedar, bahawa melalaikan kewajipan berzakat adalah suatu dosa di sisi Islam.
Beta berasa amat sukacita dengan pencapaian kutipan zakat di negeri ini. Dalam jangka masa sepuluh (10) tahun bermula tahun 2000, Lembaga Zakat Selangor telah mengutip zakat secara keseluruhannya sebanyak Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Tujuh Empat (RM1.74) billion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setiap tahun. Beta yakin dengan komitmen semua pihak secara positif, maka kutipan zakat di Selangor akan dapat meningkat berkali ganda lagi, insya-Allah.
Begitu juga dengan agihan zakat. Dalam jangka masa sepuluh (10) tahun ini juga, sebanyak Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Lima Tujuh (RM1.57) billion bantuan zakat telah diagihkan kepada rakyat di negeri Selangor ini. Inilah hasil pembayaran zakat yang dilaksanakan oleh rakyat Beta yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini.
Selaras dengan kutipan zakat yang semakin bertambah, pihak Lembaga Zakat Selangor perlu merancang dan mencari kaedah yang terbaik supaya agihan zakat dapat diagihkan dengan cepat dan efisien. Beta juga mahu, agar zakat diagih dengan adil dan telus tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik seseorang. Sebaliknya, yang menjadi pertimbangan adalah keadaan diri mereka. Seandainya seseorang itu layak, maka mereka hendaklah dibantu sebagaimana sepatutnya.
Apa yang Beta harapkan, bantuan zakat tersebut hendaklah diagih dengan saksama dan penuh perancangan agar dapat membangunkan taraf hidup dan juga ekonomi golongan fakir dan miskin di negeri Selangor. Beta mahu agar zakat yang diberi itu menjadi sesuatu yang mampu menjamin kehidupan masa hadapan; dan tidak hanya bersifat bantuan sekelip mata sahaja yang akan habis tanpa meninggalkan sebarang kesan.
Jika boleh, Beta mahu Lembaga Zakat Selangor mengkaji sejarah zakat semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Semasa itu zakat telah berperanan dengan berkesan sehingga dapat menghapus kemiskinan. Bahkan sudah terbukti di dalam sejarah Islam, bahawa zakat mampu meningkatkan ekonomi ummah dan memberikan kemuliaan kepada Negara Islam.
Bidang pendidikan misalnya, hendaklah diberikan keutamaan. Ini kerana, pendidikan adalah nadi perubahan. Pendidikan mampu mejana kehidupan yang lebih baik kepada setiap orang, khususnya dalam kalangan orang-orang miskin.
Sebagai sebuah negeri yang maju dan peneraju dalam urusan zakat, maka Beta menggesa agar para amil, pegawai-pegawai di Lembaga Zakat Selangor dan semua wakil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor, agar dapat menjalankan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab, mesra pelanggan dan mengutamakan sikap profesional pada setiap masa dan keadaan. Elakkan bekerja secara sambil lewa, kerana ia boleh menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat Beta.
Manakala kepada semua asnaf zakat di negeri ini, Beta mahu agar bantuan zakat yang diperolehi itu hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ia disalah guna seningga mengabaikan keperluan sebenar keluarga. Sikap sedemikian adalah amat bercanggah dengan nilai amanah, kerana zakat yang diberikan itu juga, sebenarnya adalah wang amanah yang mesti digunakan sebagaimana yang sepatutnya.
Dalam pada itu, kita juga mesti sedar bahawa kekayaan yang melimpah ruah di Negeri Selangor ini tidak sepatutnya hanya berlegar-legar di Negeri Selangor sahaja. Atas dasar itulah, Beta amat mengambil berat dan prihatin dengan musibah yang menimpa negeri-negeri lain di Malaysia, misalnya dengan menyalurkan bantuan zakat kepada negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini, seperti negeri Kedah, Perlis dan Johor. Beta melihat, ianya adalah salah satu tanggungjawab Majlis Agama Islam Selangor dalam meringankan kesusahan umat Islam. Beta berkenan supaya agihan zakat Selangor diutamakan untuk menolong rakyat miskin di Negeri Selangor dan seterusnya rakyat di negeri-negeri lain di Malaysia yang layak menerimanya.
Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan pada pagi yang cukup indah ini, Beta menyeru agar kita semua terus menyokong Lembaga Zakat Selangor di dalam usaha membangunkan zakat di negeri ini. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Lembaga Zakat Selangor, kerana telah mampu memiliki sebuah premis sendiri, demi kepentingan umat Islam.