Utama Blog Halaman 111

LZS AGIH RM156,520 ZAKAT KEPADA EMPAT ORANG ASNAF

0

SHAH ALAM, 2 Mac 2012- Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan sejumlah RM156,520.00 kepada empat orang penerima zakat bagi bantuan perubatan, bantuan dialisis dan bantuan membina rumah. Majlis agihan zakat berkenaan telah dilangsungkan bersekali Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, pada 29 Februari lalu.

Penyerahkan bantuan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa kepada Norshaufique Jamaluddin, bagi bantuan perubatan (barah tulang) berjumlah RM48,600.00, Omar Othman untuk bantuan dialisis berjumlah 31,920.00 dan Latifah Tijoo serta Aida binti Tupat @ Muhamed Rawi, masing-masing bagi bantuan membina rumah bernilai RM38,000.00.

Norshaufique Jamaluddin ketika ditemui berkata, dengan adanya bantuan perubatan ini dapat meringankan beban kos perubatan yang ditanggung olehnya selama ini.

“Saya bersyukur LZS memberi bantuan perubatan ini, selama ini saya telah menggunakan duit berniaga bagi menampung kos pembelanjaan yang menelan belanja sebanyak RM7800 sebulan.” Katanya.

Manakala, Latifah Tijoo berkata beliau dapat menarik nafas lega kerana LZS(MAIS) telah memberikan bantuan ini untuk membaiki rumahnya yang uzur.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini, saya dan keluarga dapat berteduh dengan selamat kerana rumah yang sebelum ini mengalami masalah atap bocor dan dimakan oleh anai-anai dan membahayakan keselamatan keluarga saya.” Katanya.

Terkini, pada tahun 2011 yang lalu, sebanyak 371.7 juta telah diagihkan, berbanding RM365 juta pada tahun 2010. Hal ini menunjukkan, bilangan bantuan zakat kian meningkat.

Sementara itu, LZS juga telah berjaya mengumpul zakat sebanyak RM393.5 juta, yakni meningkat kira-kira 17 peratus berbanding tahun 2010. Daripada jumlah ini sebanyak RM79.7 juta daripada sektor perniagaan dan sekali gus menjadi penyumbang kedua kutipan terbesar zakat pendapatan dengan kenaikan sebanyak 32 peratus berbanding tahun 2010.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamaed Yusof, Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat kumpulan DRB-HICOM Berhad.

BELAJAR MENJAHIT UNTUK BERDIKARI

0

Bercita-cita untuk membesarkan anak sehingga menjadi seorang al-hafiz (penghafal al-Quran) terus bersemi jauh di lubuk hatinya. Cita-cita itu juga tumbuh subur seiring dengan usaha untuk membebaskan diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan.

Baginya, kejayaan perlu dirintis, biar susah tetap juga perlu diraih. Dengan keyakinan itulah, Nuratikah Martha, 38 mengayuh keyakinannya membuka laluan yang lebih cerah dalam relung-relung kehidupannya. Ikutilah catatan Jejak Asnaf kali ini, kisah kecekalan seorang ibu tunggal untuk hidup berdikari.

“Saya berasal dari Kuching, Sarawak. Namun saya sudah menetap di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1996 lagi. Sebut fasal kesusahan, saya memang sudah lama merasai keperitan hidup. Sejak belum berpisah dengan suami lagi, saya memang sudah sedia payah. Namun, apa yang penting ialah, saya mahu merubah apa yang susah dan tidak tinggal dalam pasrah.”

Demikianlah Atikah memulakan bait-bait bicaranya. Jelas dia tidak pernah sesal dengan liku-liku tragis yang pernah melanda usia kehidupannya. Biarpun perkahwinannya gagal sejak enam tahun sudah, dia tidak kalut. Mungkin ada hikmah di sebalik semua itu yang perlu dia rebut.

“Selepas berpisah pada tahun 2007, saya cuba mencari pekerjaan. Saya pernah bekerja di syarikat swasta. Namun itu tidak lama. Anak-anak saya seramai tiga orang itu susah untuk ditinggalkan.

“Perancangan Allah selalunya luar biasa. Siapa duga, dalam kesusahan itulah, saya ditakdirkan bertemu dengan sebuah keluarga yang amat pemurah dan penyantun. Merekalah yang bertanggungjawab memberikan biaya dan galakan agar saya belajar menjahit, agar dengan itu saya mampu berdikari.” Jelas Atikah lagi. Ibu tunggal dengan tiga orang anak yang berusia di antara lima hingga 13 tahun ini terus ghairah bercerita.

Menyelak kembali helaian kesusahan zaman silam, Atikah tidak lokek menceritakan, kala itu kesusahan amat mencengkam perasaan.

“Bayangkan, rumah sewa saya sudah enam bulan tidak berbayar. Apa yang lebih menyedihkan, kala usia perkahwinan sudah di hujung dahan, bekas suami saya tidak memberikan apa-apa sebagai bekalan. Dek kerana masalah hutang juga, saya sering menerima kunjungan beberapa pihak yang menagih wang mereka. Rimas saya dibuatnya. Masakan saya mampu membayar, jika hidup pun berala kadar.

“Mujurlah, kala itu juga ada pihak akhbar yang simpati dan mereka memasukkan kisah saya ke dalam media. Lanjutan dari itulah, tidak lama kemudian pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) pun datang berkunjung dan membuat bancian. Saya didapati layak sebagai asnaf zakat dan pihak LZS pun segera menguruskan beberapa keperluan.

“Saya masih ingat, LZS memberikan bantuan segera menjelaskan tunggakan sewa rumah selama enam bulan. LZS juga menyediakan keperluan lain, antaranya bantuan sara hidup dan pendidikan anak-anak. Baharulah saya terasa nikmatnya hidup dengan adanya zakat.” Ujar Atikah selanjutnya.

Menyentuh mengenai pendidikan anak-anaknya, Atikah memang amat menekankan agar mereka tidak terabai. Kala susah, Atikah tetap berusaha memberikan apa yang termampu kepada mereka. Demi melihat masa hadapan anak-anaknya terjamin, Atikah sanggup berpisah dengan anak sulungnya, Muhammad Wafi, yang dititipkan untuk belajar di sebuah sekolah tahfiz sejak usianya tujuh tahun lagi.

“Alhamdulillah, kini anak sulung saya itu sudah pun berusia 13 tahun dan sedang menyambung pelajaran menengahnya di salah sebuah madrasah di Mesir. Beliau ke sana pun atas tajaan pihak-pihak tertentu.” Ujarnya bangga.

LZS melihat, kerajinan dan kesungguhan Atikah ini memang perlu dibantu. Untuk itu, LZS telah menyediakan modal perniagaan demi memastikan beliau tidak tersangkut di pertengahan jalan.

“Hakikatnya saya amat berterima kasih kepada LZS, kerana telah memberikan banyak bantuan kepada saya. Antaranya, dua buah mesin jahit telah dibekalkan di samping banyak lagi bantuan modal ketika saya mula-mula menceburi perniagaan jahitan ini.

“Pokoknya, sejak tahun 2008 hingga kini, sudah lima tahun perniagaan saya bertapak dan LZS sentiasa memantau perkembangan saya. Alhamdulillah, sambutan masyarakat juga nampaknya memberangsangkan. Rasanya, tidak lama lagi saya akan dapat mengecapi kebebasan dan keluar dari kumpulan asnaf.

“Bagi saya, zakat amat berperanan membangunkan kalangan asnaf. Zakat turut membantu merealisasikan impian saya selama ini. Terima kasih saya ucapkan kepada LZS dan semua pembayar zakat. Saya tekad akan terus berusaha, kerana saya tahu, satu masa nanti saya mahu menjadi pembayar zakat. Itulah cita-cita saya dan saya akan berusaha menjadikannya satu kenyataan.” Tegasnya menutup perbicaraan.

Nota: Untuk menempah pakaian, Nuratikah Martha boleh dihubungi di email anum.mekar@yahoo.com atau talian telefon 019-2505041.

KUMPULAN DRB-HICOM BERHAD SERAH ZAKAT RM6.6 JUTA

0

Shah Alam, 29 Februari – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima zakat perniagaan kumpulan DRB-HICOM Berhad berjumlah RM6,644,172melibatkan 16 anak syarikat di bawah kumpulan DRB bagi tahun kewangan berakhir 2011.

Antara syarikat tersebut ialah Alam Flora Sdn Bhd, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Automative Corporation (M) Berhad, DRB-HICOM Auto Solution Sdn Bhd, Puspakom Sdn Bhd, HICOM Power Sdn Bhd, Suzuki Malaysia Sdn Bhd dan Defence Services Sdn Bhd.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima pembayaran zakat tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Haji Mohd Zain Haji Hassan.
Dato’ Setia Mohamad Adzib dalam ucapannya berkata program ini mampu menjadi jambatan di antara pihak LZS dan pihak korporat di negeri Selangor serta dapat memartabatkan syiar Islam.

Pada tahun 2011, kutipan zakat di negeri Selangor meningkat sebanyak 20 peratus menjadi RM393.5 juta berbanding tahun 2010.

Majlis turut diserikan dengan Bicara Dhuha yang bertajuk ‘Zakat Kemanisan Yang Tiada Tandingan’ oleh Pegawai Dakwah Zakat LZS, Hashim Fikrie Al-Jawi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamaed Yusof, Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat kumpulan DRB-HICOM Berhad.

JEJAK ILMUAN: BERSAMA UST DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN

0

DAMANSARA, 28 Februari– Melalui aktiviti Jejak Ilmuan buat pertama kali ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengunjungi seorang ahli akedemik yang berpengaruh dan terkenal iaitu Dr Zaharuddin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai zaharuddin.net.

Delegasi LZS yang diketuai oleh Ketua Sektor Dakwah dan Pemasaran, M. Syahril Zainol bersama empat ahli lain ini disambut mesra oleh pihak Dr Zaharuddin.

Sesi berkongsi maklumat dimulakan dengan menjelaskan serba sedikit tentang peranan LZS sebagai pemegang amanah dalam mengurus kutipan dan agihan zakat. Seterusnya Dr. Zaharuddin juga berkongsi pengalaman beliau dalam berhadapan dengan masyarkat terutamanya berkaitan dengan zakat.

“Banyak cabaran sebenarnya dalam usaha menguruskan zakat. Saya percaya LZS telah melaksanakan banyak usaha dalam meningkat kutipan dan agihan zakat. Walaubagaimanapun sebaran maklumat terhadap usaha ini terutamanya berkaitan agihan zakat haruslah lebih meluas dan lebih mudah didapati,” antara nasihat Dr. Zaharuddin yang turut menyakini pengurusan zakat yang dilaksanakan oleh LZS.

Beliau turut menyarankan LZS berkongsi maklumat melalui media sosial, majalah dan media cetak. Walaupun, baginya usaha ini telah dilaksanakan, namun perlaksanaannya hendaklah lebih menyeluruh dan dipastikan keberkesannya.

Aktiviti Jejak ilmuan ini diakhiri dengan penyerahan cenderahati daripada pihak LZS kepada Dr. Zaharuddin sebagai tanda penghargaan.

PASAR RAKYAT ASNAF BUKTI KEMAMPUAN ZAKAT BANTU FAKIR DAN MISKIN

0

SHAH ALAM, 25 Februari 2012 – Kewujudan Pasar Rakyat Asnaf telah menjadi bukti kemampuan zakat dalam melahirkan usahawan di kalangan asnaf fakir dan miskin. Sehingga kini, terdapat 41 usahawan asnaf fakir dan miskin yang menjalankan perniagaan di Pasar Rakyat Asnaf yang terletak di Wisma MAIS, Seksyen 3 dan TTDI Jaya (Shah Alam) serta Putra Perdana (Puchong).

Terbaru, sebuah pasar yang beroperasi di Uptown Ara Damansara menempatkan seramai 50 peserta dengan bantuan modal sebanyak RM500 dibuka. Kesemua Pasar Rakyat Asnaf dipantau oleh MAIS Zakat Sdn Bhd.

Bermula dengan bantuan modal dari Lembaga Zakat Selangor (MAIS), kesemua usahawan ini berpeluang untuk mempromosikan barangan mereka di pasar tersebut.

Pada majlis yang sama, seramai 21 usahawan asnaf terdiri daripada peserta Pasar Rakyat Asnaf menerima bantuan modal berjumlah RM49,286 dari MZSB. Setiap peserta akan menerima bantuan antara RM850 hingga RM5,500 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Bantuan ini merupakan bantuan zakat yang diberikan bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan para peserta.

Bantuan disampaikan oleh Setiausaha MAIS, Mohd Haniff Hassan.

DAKWAH ZAKAT DI KILANG GULA

0

SHAH ALAM, 22 Feb – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan dakwah zakat melalui aktiviti Ziarah Majikan pada 21 Feb di Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR), sebuah kilang gula di sini.

Aktiviti yang diketuai oleh Sharifuddin Muda, Eksekutif Bahagian Majikan LZS, bertujuan menyampaikan dakwah zakat secara tidak langsung kepada mereka disamping mengeratkan hubungan di antara insitusi zakat dan pihak majikan.

Melalui aktiviti ini, kakitangan CSR didedahkan tentang kepentingan berzakat dan taklimat kiraan zakat yang disampaikan oleh Mohamad Shakor Sulaiman, Pegawai Majikan LZS.

Hasilnya, pihak CSR bersetuju menyertai pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat) bagi kakitangan mereka yang dijangkakan bermula pada bulan Mac ini. Di akhir program, pihak LZS turut menyampaikan beberapa naskah al-Quran dan Yasin untuk keperluan surau kilang ini.

JEJAK ILMUAN: BERSAMA UST DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN

0

DAMANSARA, 28 Februari–Melalui aktiviti Jejak Ilmuan buat pertama kali ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengunjungi seorang ahli akedemik yang berpengaruh dan terkenal iaitu Dr Zaharuddin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai zaharuddin.net.

Delegasi LZS yang diketuai oleh Ketua Sektor Dakwah dan Pemasaran, M. Syahril Zainol bersama empat ahli lain ini disambut mesra oleh pihak Dr Zaharuddin.

Sesi berkongsi maklumat dimulakan dengan menjelaskan serba sedikit tentang peranan LZS sebagai pemegang amanah dalam mengurus kutipan dan agihan zakat. Seterusnya Dr. Zaharuddin juga berkongsi pengalaman beliau dalam berhadapan dengan masyarkat terutamanya berkaitan dengan zakat.

“Banyak cabaran sebenarnya dalam usaha menguruskan zakat. Saya percaya LZS telah melaksanakan banyak usaha dalam meningkat kutipan dan agihan zakat. Walaubagaimanapun sebaran maklumat terhadap usaha ini terutamanya berkaitan agihan zakat haruslah lebih meluas dan lebih mudah didapati,” antara nasihat Dr. Zaharuddin yang turut menyakini pengurusan zakat yang dilaksanakan oleh LZS.

Beliau turut menyarankan LZS berkongsi maklumat melalui media sosial, majalah dan media cetak. Walaupun, baginya usaha ini telah dilaksanakan, namun perlaksanaannya hendaklah lebih menyeluruh dan dipastikan keberkesannya.

Aktiviti Jejak ilmuan ini diakhiri dengan penyerahan cenderahati daripada pihak LZS kepada Dr. Zaharuddin sebagai tanda penghargaan.

Berita Terkini