Utama Blog Halaman 110

PENGARAH ZOO NEGARA SOKONG USAHA DAKWAH ZAKAT

0

Gombak, 21 Mac–“Pihak kami amat meraikan kehadiran kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan usaha dakwah ini amat saya sokong.  Pihak kami turut akan berusaha agar kakitangan Zoo Negara dapat menyertai pembayaran zakat melalui Skim Berkat.”antara ucapan Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah dalam pertemuan bersama beliau semasa aktiviti Ziarah Zakat di sini hari ini.

Beliau amat mengalu-alukan usaha ini dan amat berharap usaha ini akan berterusan. Selain perbincangan berkaitan kewajipan berzakat, pihak LZS turut  berkongsi maklumat berkaitan pengagihan zakat antaranya bagi membantu membaikpulih surau  Zoo Negara.

Setelah pertemuan dengan Dr. Mohamad , aturcara diteruskan dengan sesi perkongsian Ilmu bertajuk “Memberi Tanpa Diminta” yang disampaikan oleh Ustaz Hashim Al-Jawi, Pegawai Dakwah LZS.

Hampir 50 orang kakitangan Zoo Negara didedahkan tentang kewajipan berzakat, bentuk pengagihan dan kaedah taksiran zakat melalui sesi ini. Sesi soal jawab turut diadakan untuk memantapkan lagi pemahaman mereka.

Ziarah Zakat ini berakhir dengan sesi penyerahan bantuan peralatan ibadah untuk surau Zoo Negara dan pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan.

JEJAK ILMUAN BERSAMA USTAZ DON RAI GENERASI MUDA

0

Bangi–Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan usaha memanjangkan dakwah zakat dengan menziarahi pendakwah yang disegani ramai Ustaz Don Daniyal Don Biyajjid pada 19 Mac di sini.

Alhamdulillah melalui pertemuan singkat yang berobjektifkan dakwah bersama ini, dapat memberi menafaat melaksanakan program bersama antara pihak LZS bersama Ustaz Don terutamanya dalam melaksanakan program-program berbentuk pendidikan zakat di kalangan generasi muda.

Ustaz Don turut menyarankan agar kita meraikan idea-idea bernas daripada generasi muda dan melipatgandakan dakwah dan kerjasama bersama mereka kerana hasil yang diperoleh kelak lebih maksimum. Kelak merekalah yang akan menjadi pembayar zakat.

“Kita hendaklah mempercayai golongan muda ini dengan memberikan tanggungjawab kepada mereka . Contohnya dalam menghasilkan rakaman video pendek berkaitan zakat yang bertujuan menyebarkan dakwah. Hasil kerja mereka juga berkualiti walaupun dengan kos yang minimum. Cerita-cerita pendek ini boleh dijadikan iklan di media eletronik agar dakwah zakat ini sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat”, ujar beliau.

Aktiviti yang dikenali sebagai Jejak Ilmuan ini turut dapat merapat ukuwah di antara institusi zakat dan pihak pendakwah. Pihak LZS turut berkongsi kaedah dalam pengurusan zakat yang dilaksanakan di Selangor melalui aktiviti ini.
Jejak ilmuan ini di akhiri dengan sesi penyerahan cenderahati daripada LZS sebagai tanda penghargaan.

LZS LANCAR SIRI KEDUA JEJAK

0

SHAH ALAM, 20 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun ini,
melancarkan bagi kali kedua Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bagi mencari mereka
yang layak menerima bantuan zakat. Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini
bertujuan bagi mengenalpasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan
akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.

Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan
yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di
mana hendak memohon. Dengan tema “Kami Sedia Membantu” SJK dijalankan
dengan kerjasama pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, masjid dan surau serta
pembabitan lebih 30 orang pegawai LZS.

Dalam operasi yang dilaksanakan baru-baru ini di daerah Klang, seramai 163 keluarga
telah didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Operasi membabitkan tiga lokasi iaitu
Pangsapuri Sri Nervillia, Kota Kemuning (25-26 Februari), Pangsapuri Rimba, Padang
Jawa (3-4 Mac) dan Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang (10-11 Mac). Sebanyak 734
buah rumah telah dikunjungi di tiga lokasi terbabit dan daripada jumlah tersebut, 24
keluarga telah didaftarkan sebagai asnaf fakir manakala 139 lagi sebagai asnaf miskin.

Siasatan secara terus dari rumah ke rumah telah dijalankan di setiap lokasi di mana
penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah
(garis penentuan kemiskinan) mereka. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan
sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Ramadan dan Hari Raya
serta bantuan persekolahan. Manakala bantuan kewangan bulanan akan diberi pada
bulan berikutnya.

Sebelum ini, SJK telah diadakan pada tahun 2011 di daerah Petaling dan berjaya
mengesan 533 keluarga miskin. Operasi ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain, bagi
memastikan kemiskinan di Selangor ini dapat dikurangkan melalui penyaluran bantuan
zakat.

LZS PERJELAS ISU ‘LUMPUH AKIBAT SALAH SUNTIK’

0

SHAH ALAM 17 Mac 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita berkenaan yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 9 Mac 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Asrolnizam Bin Abdul Rahman, 35 menyatakan beliau amat memerlukan bantuan bagi menyara kehidupannya akibat penyakit lumpuh yang dihidapinya.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pegawai pada hari yang sama ke rumah beliau. Hasilnya, LZS mendapati bahawa, beliau sememangnya layak menerima bantuan zakat dan akan didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Justeru itu, antara bantuan segera yang sedang diuruskan oleh LZS ialah, menjelaskan tunggakan sewa rumah beliau yang berjumlah RM3,600.00. Memandangkan beliau juga tinggal sendirian dan tiada pendapatan, maka LZS juga mempertimbangkan untuk menyalurkan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh beliau dari semasa ke semasa.

LZS SALUR HAMPIR RM800 RIBU BANTU MANGSA BANJIR

0

Ampang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat hampir RM800 ribu kepada lebih 4,000 keluarga mangsa banjir yang melanda daerah Hulu Langat baru-baru ini. Bantuan ini bertujuan meringankan beban kepada mangsa yang kehilangan harta benda akibat bencana alam itu.

Bantuan pertama disalurkan kepada penduduk Kampung Melayu Ampang yang melibatkan 92 keluarga dengan bantuan berjumlah RM27,600. Dalam majlis tersebut, setiap keluarga menerima sumbangan zakat berjumlah RM300, manakala mangsa-mangsa kawasan lain yang terlibat akan menerima bantuan yang sama dalam masa terdekat.

Selain pegawai-pegawai LZS, majlis penyampaian tersebut turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

LEMBAGA TABUNG HAJI SELANGOR SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM10 JUTA

0

SHAH ALAM, 13 Mac 2012 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM 10,129,429.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Paduka Ismee Ismail di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat ini adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 970,795 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara pula berjumlah RM38,641,406.12

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Norazharuddin Abu Talib.

Turut hadir, Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar, Pengarah LTH Selangor, Md Ridza Mat Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

OPS JEJAK KEMISKINAN DITERUSKAN DI KLANG

0

Klang, 5 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menjejaki golongan fakir dan miskin melalui program Ops Jejak Kemiskinan di tiga lokasi berlainan dengan tiga tarikh berbeza di daerah Klang. Operasi ini adalah kesinambungan program Ops Jejak Kemiskinan pada tahun lalu, sebagai bukti komitmen LZS demi menangani masalah kemiskinan bandar di Selangor.

Tiga lokasi tersebut ialah di Pangsapuri Nervilla, Kota Kemuning, iaitu pada 25 dan 26 Februari lalu diikuti Pangsapuri Rimba, Padang Jawa pada 3 dan 4 Mac. Manakala PPR Sri Perantau, Pelabuhan Klang pula, operasi akan dijalankan pada 10 dan 11 Mac ini.

Skuad yang melibatkan 12 orang pegawai LZS ini diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Daerah, Basir Hasan Basri. Operasi dijalankan secara ‘turun padang’, iaitu para pegawai LZS akan menjalankan siasatan dari rumah ke rumah dan melakukan bancian berasaskan formula had al-kifayah secara langsung dengan penghuni rumah berkenaan.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada ahli jawatankuasa masjid, pengerusi surau, persatuan penduduk dan ketua blok di kawasan perumahan berkenaan.

Hasil bancian, setakat ini seramai 47 keluarga telah layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Manakala bagi lokasi terakhir di daerah Klang pula, seramai 500 keluarga akan dibanci. Mereka yang tersenarai sebagai asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan Hari Raya dan pelbagai jenis bantuan lain mengikut keperluan.

Berita Terkini