Utama Blog Halaman 107

LZS BANTU RINGANKAN BEBAN BOB KUMAN

0

KOTA DAMANSARA, 24 April 2012 – Kesengsaraan pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husin Mohd Rawi, 40, yang menghidap penyakit paru-paru berair dan obesiti tahap kronik, seperti yang tersiar di akhbar baru-baru ini terbela apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil untuk memberi bantuan baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar, beliau memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan susulannya. Beban beliau bertambah kronik, memandangkan beliau juga tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membayar kos perubatan yang tertunggak setelah dimasukkan ke hospital.

Susulan daripada itu, LZS telah mengatur satu lawatan ke rumah beliau dan hasil siasatan yang dilakukan, beliau layak untuk menerima bantuan kerana tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isterinya yang tidak tetap.

Antara bantuan segera yang diberikan LZS ialah, menjelaskan baki tunggakkan hutang perubatan beliau sebanyak RM3,600.00. LZS juga mempertimbangkan untuk membiayai bantuan perubatan alternatif berjumlah RM1,000.00 sebulan.

LZS berharap dengan bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung beliau sekeluarga.

Majlis Bayaran Zakat Perniagaan & Agihan Zakat, Kelana Jaya

0

Majlis Bayaran Zakat Perniagaan & Agihan Zakat, Kelana Jaya

15 BUAH SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM500 RIBU

0

SHAH ALAM, 23 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menerima zakat perniagaan daripada 15 buah syarikat berjumlah RM448,348.47 baru-baru ini.

Di antara syarikat yang menunaikan zakat berkenaan ialah, Seriemas Development Sdn Bhd berjumlah RM219,884.00; Koperasi AIM Berhad (RM96,425.00) dan Purnama Marine Services Sdn Bhd berjumlah RM26,569.75.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyumbangkan bantuan zakat kepada lima penerima. Mereka ialah, Mohd. Kamaruzaman Elias dan Ramlan Mohamad yang masing-masing menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM18 ribu dan RM30 ribu, bagi menjalankan perniagaan roti, pizza dan pastri.

Manakala dua orang pesakit buah pinggang pula, Roslina Jaafar dan Ibrahim Kuntom telah menerima bantuan untuk kos rawatan dialisis berjumlah RM28,320 setiap seorang. LZS turut membantu Ibrahim Ismail bagi menjelaskan baki pembayaran rumahnya berjumlah RM27,863.80.

Tahun lalu, LZS telah berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM79.9 juta dan dijangka akan berlaku kenaikan sebanyak 20 peratus kepada RM87.6 juta pada tahun ini. Zakat perniagaan merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan di Selangor.

Tetamu yang hadir dalam majlis berkenaan ialah, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof; Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak, Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab dan para wakil pembayar.

TM TUNAI ZAKAT LEBIH PERNIAGAAN RM160 RIBU

0

SHAH ALAM, 23 April 2012 – Telekom Malaysia Berhad menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM160,977.00 di Bilik Mesyuarat Umar Abdul Aziz, Bangunan Zakat Selangor baru-baru ini.

Pembayaran zakat perniagaan ini diserahkan oleh Naib Presiden Pemasaran Telekom Malaysia Selangor, Datuk Zaini Maatan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Zakat perniagaan yang ditunaikan adalah bagi tahun berakhir 2011.

Turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat LZS, Hajah Ariffa Ariffin dan wakil-wakil Telekom Malaysia Selangor

OPS JEJAK KEMISKINAN KINI DI HULU SELANGOR

0

HULU SELANGOR, 23 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Operasi Jejak Kemiskinan di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di Hulu Selangor baru-baru ini. Operasi berkenaan adalah lanjutan daripada program jejak kemiskinan yang telah dimulakan oleh LZS sejak tahun 2011. Ia bermatlamat mengenal pasti golongan rakyat miskin yang sebelum ini masih belum berdaftar dengan LZS. Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam operasi kali ini, LZS telah menembusi hampir 200 buah rumah dan seramai 67 orang telah dikenal pasti layak dikategorikan sebagai asnaf miskin. Mereka ini layak menerima bantuan berdasarkan keperluan, sama ada bantuan makanan bulanan, bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan dan sebagainya. LZS juga akan meneruskan operasi menjejak kemiskinan ini ke kawasan-kawasan lain di sekitar Hulu Selangor selepas ini.

Dalam ucapannya, Nor Hisham berharap semoga program ini mendapat kerjasama daripada semua pihak demi menangani isu-isu rakyat termiskin di Hulu Selangor.

“Semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau serta masjid berperanan dalam membantu golongan miskin. Inisiatif LZS menjejaki golongan tersebut wajar mendapat sokongan semua pihak.” Ujar beliau seterusnya.

Turut hadir dalam program ini ialah Eksekutif Kanan Sektor Pengurusan Daerah LZS, Mustafa Selamat; Ketua Operasi Daerah LZS (Hulu Selangor), Azhar Yahya Arif dan Pengerusi KRT Apartmen Kenanga, Mohd Razaly Abdullah.

NOORLIDA MAHU BERJAYA

0

Norlida-Mahu-Berjaya

PROGRAM ZAKAT BERSAMA PETANI-KONGSI KEWAJIPAN ZAKAT PADI

0

SABAK BERNAM – Bagi mengeratkan silaturahim di antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan penduduk setempat di samping berkongsi tentang kewajipan berzakat terutamanya zakat padi, LZS telah mengadakan Program Zakat Bersama Petani di Homestay Parit 2, Sg Hj Dorani di sini pada 10 April.

Program dakwah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Selangor (JPS) ini dihadiri seramai 300 petani dari kawasan berhampiran.

Petani-petani ini adalah terdiri daripada mereka yang telah pun menunaikan zakat padi dan  berpotensi menjadi pembayar zakat padi. Antara pengisisan program ialah, Ceramah Zakat bersama Tn Hj Yusri Hj Karim, Mudir Ma’ahad Tahfiz Hasanah, Bukit Belimbing dengan Tajuk Zakat Padi: Kesan dan Kebaikan.

Salah seorang peserta, Fatimah Ibrahim, 54 berkata, beliau gembira menghadiri program ini memandangkan penceramah dapat menyampaikan dakwah zakat dengan bersahaja dan penuh pengisian. Baginya selain mengetahui ilmu tentang pertanian, tanggungjawab berzakat ini juga wajib ditunaikan.

Selain itu, JPS turut memberikan penerangan mengenai Teknik Perataan Tanah Sawah dan Kawalan Perosak Bersepadu kepada para peserta.

Program selanjutnya dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah dan juga pameran produk-produk pertanian. Kaunter zakat dan produk kraf turut dibuka.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Sabak Bernam, Tn Hj Anuar Bujang yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Yaakob Sapari. Turut hadir ialah Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.

BENGKEL ZAKAT PERNIAGAAN-KONGSI KAEDAH KIRAAN ZAKAT

0

SHAH ALAM–Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Bengkel Zakat Perniagaan bagi berkongsi  kaedah kiraan zakat perniagaan bersama syarikat-syarikat yang berpotensi untuk menunaikan zakat di sini baru-baru ini. 

Bengkel ini turut bertujuan mendedahkan peserta tentang zakat perniagaan dari segi teori dan teknikal taksiran.  Bengkel setengah hari yang dikendalikan oleh Ketua Sektor Perniagaan Pejabat Kutipan, Sabirin Sarbini, berjaya menarik minat hampir 25 syarikat dengan jumlah peserta hampir 50 orang.

Selain itu tazkirah bertajuk “Memberi Tanpa Diminta” yang disampaikan oleh  Ustaz Farid Zainal, Eksekutif LZS turut disampaikan.  Majlis berakhir dengan sesi penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Sahadan Ishak, Pengurus Besar pejabat Kutipan LZS.

70 KOPERASI IKUTI SEMINAR ZAKAT PERNIAGAAN

0

SHAH ALAM, 12 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) dan koperasi-koperasi di Selangor bagi menganjurkan Seminar Zakat Perniagaan Koperasi Selangor yang melibat 140 orang pemimpin koperasi dari seluruh Selangor. Seminar berkenaan dirasmikan oleh Prof. Madya Dato’ Syed Ghazali Wafa Adwam Wafa, Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS.

Seminar yang turut melibatkan Koperasi Dewasa dan Koperasi Sekolah ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan ibadah zakat kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Koperasi, khususnya mengenai zakat dalam perniagaan. Para peserta turut didedahkan tentang corak agihan zakat oleh LZS di Selangor.

Pada tahun 2011, statistik menunjukkan terdapat 470 buah koperasi yang berdaftar dengan pihak ANGKASA di Selangor. Daripada jumlah itu, hanya 54 buah yang tampil menunaikan zakat dengan jumlah kutipan zakat perniagaan sebanyak RM700 ribu. Sehubungan itu, adalah diharapkan lebih banyak koperasi akan menjelaskan zakat perniagaan selepas ini, seiring dengan perlantikan ANGKASA sebagai wakil kutipan zakat perniagaan oleh LZS.

Turut hadir ialah, Presiden ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum, Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab.

Berita Terkini