SHAH ALAM, 12 Mac 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM208 juta pada Ramadan tahun ini bagi memastikan keperluan golongan asnaf di Selangor terus disantuni.
Daripada jumlah tersebut, RM163 juta disasarkan melalui kutipan zakat harta, manakala RM45 juta disasarkan melalui zakat fitrah.
Terdahulu, sebanyak 40 buah syarikat termasuk dua pengeluar zakat individu menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM7,994,275.80 yang diserahkan dalam Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2025.
PHB Asset Management Berhad mendahului senarai syarikat mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,861,000.00, diikuti KPJ Healthcare Berhad (Wilayah Selangor) sebanyak RM1,848,000.00, Alliance Islamic Bank Berhad sebanyak RM600,000.00 dan Solar Gas Sdn. Bhd. sebanyak RM483,000.00.
Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Aura One Resources (M) Sdn. Bhd. yang menunaikan zakat sebanyak RM311,328.65, Skyhill Clinic Sdn. Bhd. sebanyak RM200,000.00, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. sebanyak RM150,000.00, ZAR Lynx Sdn. Bhd. sebanyak RM120,000.00 dan Aerosynergy Solutions Sdn. Bhd. sebanyak RM100,000.00.
Dalam majlis sama, LZS turut menyerahkan bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM258,330.00.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni golongan yang memerlukan, LZS dengan kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (Giant) memperkenalkan inisiatif ‘Indahnya Berkongsi Giant & Lembaga Zakat Selangor’. Melalui program ini, orang ramai berpeluang untuk turut serta menyebarkan kebaikan dengan membeli pakej bakul makanan serendah RM30 di semua cawangan pasar raya Giant seluruh Selangor. Setiap pembelian bukan sekadar sumbangan, tetapi satu tanda kasih sayang dan keprihatinan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Bakul makanan yang dikumpulkan akan disalurkan kepada golongan asnaf fakir miskin dan mualaf di seluruh negeri, memastikan mereka dapat menyambut Ramadan dan Syawal dengan lebih ceria serta mencukupi. Kerjasama strategik ini bukan hanya mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga mencerminkan komitmen LZS dan Giant dalam membantu mereka yang memerlukan, menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna buat semua.
Hadir sama, Ketua Pegawai Korporat & Projek Khas, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan & Teknologi Maklumat, Rapizah Muhammad Sharif.