Utama Blog Halaman 166

PERINCI DAN PANTAU MEREKA YANG LAYAK TERIMA ZAKAT – DATO’ RAHMAN

0

Port Dickson – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Palil menegaskan supaya memperinci dan memantau mereka yang layak menerima bantuan zakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemilihan Fakir Miskin Peringkat Negeri Selangor 2006 yang diadakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 8 dan 9 Ogos di sini.

Menurut Dato’ Rahman, perincian dan pemantauan tersebut penting bagi mewujudkan satu kaedah mendidik kepada mereka yang mendapat bantuan zakat daripada LZS (MAIS) supaya mementingkan dan memelihara keluarga serta mengutamakan pendidikan kepada anak-anak.

“Ada penerima bantuan yang hanya duduk di kedai kopi saja dan berbual kosong seperti kutuk sana dan kutuk sini setelah mereka mendapat bantuan,” jelas beliau.

Di samping itu, beliau juga turut menegaskan supaya panel pemilihan fakir miskin tahun ini akan membuat pemilihan yang tepat, amanah dan tidak ada yang tercicir.

“Tuan-tuan sekarang memikul tanggungjawab untuk membuat pemilihan, maka lakukanlah dengan amanah, jika tuan-tuan silap membuat pilihan maka tuan-tuanlah yang akan bertanggungjawab di akhirat kelak,” tegas Dato’ Rahman.

Bengkel itu telah dihadiri seramai 138 orang peserta terdiri daripada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Penghulu mukim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Pegawai Penyelaras Masjid seluruh Selangor, wakil UPEN dan wakil Audit MAIS.

Turut hadir semasa majlis perasmian, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, S.S Tuan Haji Khusrin Haji Munawi.

PNB SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM2.9 JUTA

0

Shah Alam – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM2.9 juta bagi tahun kewangan 2003 hingga 2005 kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) di Istana Bukit Kayangan pada 19 September yang lalu.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdu Hamid.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Abdul Rahman Palil, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah dan Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar.

ANAK FAKIR MISKIN DIWAJIBKAN BELAJAR – DATO’ MB

0

Sungai Besar – Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah menegaskan setiap anak fakir miskin yang terdapat di Selangor diwajibkan belajar sekurang-kurangnya di peringkat kursus kemahiran di bawah kelolaan Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menyampaikan Hakmilik Tanah Daerah Sabak Bernam, Pengagihan Zakat Asnaf Fakir Miskin dan Moreh Parlimen Sungai Besar pada 15 September yang lalu.

“Jika seorang sahaja daripada satu keluarga fakir miskin itu dihantar belajar kemahiran oleh LZS (MAIS), apabila tamat pengajian dan si anak itu memperoleh pendapatan RM1,000 sahaja sudah cukup untuk mengeluarkan keluarganya daripada belenggu kemiskinan,” tegas beliau.

Sebelum ini, LZS (MAIS) telah menaja seramai 291 pelajar yang terdiri daripada anak asnaf fakir/miskin di peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di Inpens International College yang melibatkan lima kursus iaitu Pelukis Plan Kejuruteraan Mekanikal, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pembantu Juruteknik Sistem Komputer.

Setiap pelajar ditaja LZS (MAIS) sebanyak RM5,000 setahun yang meliputi yuran kursus, tempat tinggal, belanja makan dan elaun poket bulanan.

Sementara itu, pada majlis tersebut LZS (MAIS) telah mengagihkan sebanyak RM249,750 kepada 354 orang asnaf miskin sekitar Sungai Besar bagi meringankan beban dan memceriakan mereka menyambut Ramadhan dan Aidilfitri.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar.

ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM4.70

0

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini 1427 H bersamaan 2006 M yang telah ditetapkan di Selangor kekal RM4.70.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa berkata bayaran itu berdasarkan dengan kadar penggunaan beras umat Islam di Selangor dengan nilai RM4.70 bagi setiap 2.7 kilogram, iaitu ukuran asas bagi penentuan zakat fitrah.

Katanya lagi, umat Islam di Selangor boleh mula membayar zakat fitrah bermula 1 Ramadhan ini melalui 2,100 amil yang telah dilantik oleh MAIS di seluruh Selangor. Orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di masjid, surau dan 22 kaunter LZS (MAIS).

Sementara itu, orang ramai juga boleh membayar di kaunter sementara zakat fitrah LZS (MAIS) di tujuh buah pasar raya iaitu Centre Point Klang, Kompleks PKNS Shah Alam, Giant Seksyen 13, Shah Alam, Jaya Jusco Bandar Utama, Giant Kelana Jaya, Jaya Jusco Klang dan Tesco Kajang bermula 2 hingga 22 Oktober dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

LZS (MAIS) TINGKAT KERJASAMA DENGAN SWASTA

0

Shah Alam – Majlis Mesra Majikan (Swasta) anjuran Lembaga Zakat Selangor (MAIS) yang diadakan baru-baru ini dilihat berjaya meningkatkan kerjasama antara LZS (MAIS) dengan pihak majikan swasta dalam memastikan keberkesanan dakwah zakat di Negeri Selangor.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa itu telah dihadiri lebih 120 kakitangan syarikat swasta. Ia diadakan bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pihak majikan swasta yang selama ini telah membantu usaha LZS (MAIS) di Selangor.

LZS (MAIS) turut memperkenalkan kaedah baru kepada majikan yang dikenali ‘MUDAH’ bagi membantu menaksir zakat kakitangan majikan swasta di Negeri Selangor. Melalui kaedah ini, pihak majikan boleh mendapatkan bantuan secara langsung daripada LZS (MAIS) bagi menentukan jumlah zakat kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, LZS (MAIS) turut memberi hadiah penghargaan kepada majikan swasta terbaik mengikut wilayah. Hadiah penghargaan tersebut diberikan kepada Tenaga Nasional Bhd (ibu pejabat), Sony EMCS (M) Sdn Bhd (Wilayah Selatan) dan Texas Instruments (M) Sdn Bhd (Wilayah Timur). Sementara Sistem Televisyen Malaysia Bhd telah mendapat dua kategori penghargaan iaitu hadiah penghargaan khas majikan terbaik keseluruhan dan hadiah penghargaan khas majikan terbaik (Wilayah Barat).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Encik Azhar Borhan.

KAUNTER LZS (MAIS) YANG KE-22 DIRASMIKAN

0

Puchong – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mensasarkan peningkatan pembayar zakat pada tahun ini seiring dengan pembukaan kaunter ke-22 LZS (MAIS) di Puchong. Dengan perasmian pembukaan kaunter tersebut oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, LZS (MAIS) kini mempunyai 22 buah kaunter di seluruh Negeri Selangor.

Dalam ucapannya, Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib menegaskan bahawa usaha LZS (MAIS) ini dilihat untuk memenuhi visi agama Islam dalam menjadikan institusi zakat benar-benar berperanan dalam masyarakat. Beliau juga turut berharap agar dengan pembukaan kaunter baru ini akan menjadi hub zakat kepada masyarakat khususnya di Puchong.

Terdahulu, kaunter ke-21 LZS (MAIS) yang terletak di Wisma Datuk Lope, Jalan Cheras, Cheras telah pun memulakan operasinya baru-baru ini. Waktu operasi bagi kesemua kaunter di LZS (MAIS) ialah dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan akan ditutup pada hari Sabtu dan Ahad.

AGIHAN RAYA DI TANJONG KARANG

0

Tanjong Karang – LZS (MAIS) Wilayah Utara telah mengadakan satu Program Agihan Ramadhan/Idulfitri 1427h di sini pada 15hb September 2006 yang lepas. Ia telah diadakan di Masjid Jameul Hasanat, Bt10 Tanjung Karang.

Majlis tersebut dihadiri oleh YB Dato Hj Noh Bin Hj Omar, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia yang merasmikan majlis tersebut. Beliau juga turut menyampaikan bantuan kepada 259 orang asnaf miskin yang tinggal di sekeliling kawasan tersebut.

Turut hadir di majlis tersebut adalah PTA Daerah Kuala Selangor, Ketua-ketua kampung, Nazir Masjid, Kakitangan PAID Kuala Selangor serta pegawai-pegawai daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Semoga dengan bantuan tersebut akan dapat meringankan beban asnaf miskin terbabit dalam menghadapi bulan Ramadhan dan juga Idulfitiri akan datang.

TEMASYA SUKANEKA KANAK-KANAK MERIAH

0

Shah Alam – Lebih 120 orang kanak-kanak daripada taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak (PJKK) di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah memeriahkan program Temasya Sukaneka kali ketiga yang diadakan di Kelab Telekom Malaysia Selangor cawangan Shah Alam baru-baru ini.

Temasya ini telah berjaya menghimpunkan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dari lima taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak membabitkan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Qudwahtun Hasanah, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Al Kauthar, Taska Tunas Intelek, Tadika Al Hijrah dan Pusat Jagaan Islam Sri Permata.

Pelbagai acara yang telah dipertandingkan seperti pakaian beragam, pertandingan bayi comel, meniup belon dan sebagainya, termasuklah beberapa acara untuk ibu bapa yang hadir. Temasya juga turut dimeriahkan dengan gelagat kanak-kanak yang mengadakan pertunjukan pom-pom dan perbarisan.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar, program seumpama ini merupakan program tahunan yang menjadi daya penarik kepada ibu bapa untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti anak-anak. Di samping itu ia dapat menjalinkan hubungan silaturrahim di antara ibu bapa, pengusaha tadika/taska dan kakitangan LZS (MAIS) sendiri.

LZS (MAIS) TIDAK LUPA MASYARAKAT ORANG ASLI

0

Gombak – LZS (MAIS) telah menjalankan Program Kemasyarakatan di Kampung Orang Asli Ulu Kuang, Gombak. Program tersebut merupakan sebahagian daripada Program Kembara Amal Mubarak 2006 yang telah diadakan pada minggu lepas.

Dalam majlis tersebut LZS (MAIS) telah memberikan bantuan berupa beras, alat bantuan mengajar dan keperluan lain kepada masyarakat Orang Asli yang beragama Islam di kawasan tersebut.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh YD Dato’ Paduka Raja Hj Wan Mahmood bin Pawan Teh, Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Gombak yang turut hadir pada majlis tersebut. Majlis turut dihadiri oleh Pengurus Besar LZS (MAIS) dan juga Pegawai Agama Daerah Gombak.

Semoga dengan bantuan tersebut dapat meringankan beban kepada masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut terutamanya yang beragama Islam.

KEMBARA AMAL MUBARAK 2006

0

Putrajaya – Skuad Dakwah Zakat (SDZ), Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah memulakan satu ekspedisi jelajah Selangor hari ini. Program itu dinamakan ‘Kembara Amal Mubarak 2006’ telah menggabungkan pelbagai entiti iaitu SDZ, Kelab WAJA, para wartawan dan wakil pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Kembara itu adalah kali kedua diadakan dengan diperbesarkan skalanya ke peringkat negeri Selangor. Upacara pelepasan telah disempurnkan oleh pihak Orang Besar Daerah Sepang. Menyusul selepas itu ialah Ops Tol Perdana dengan mengedarkan bahan-bahan zakat yang telah disempurnakan oleh YAD Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib bin Mohd. Isa di Tol Grand Saga, Cheras.

Pada tengah harinya, majlis perasmian kaunter baru LZS (MAIS) Ke-21 di Cheras telah turut disempurnakan oleh YAD Dato’ Pengerusi MAIS. Kaunter baru berkenaan dijangka akan menjadi hub baru bagi kemudahan berzakat di sekitar Cheras.

Demi menzahirkan komitmen kepada asnaf muallaf, konvoi Kembara Amal Mubarak telah mengadakan Ziarah Dakwah ke perkampungan Orang Asli Ulu Kuang Gombak. Orang Besar Daerah Gombak dan pihak Pejabat Agama Islam Gombak telah turut serta memeriahkan lagi majlis berkenaan. Kehadiran yang amat dinanti-nantikan itu menyaksikan LZS (MAIS) telah menyampaikan bantuan alatan mengajar kepada pihak perkampungan berkenaan dan juga penyampaian beras kepada mereka. Jelas terpancar kegembiraan di wajah para saudara baru itu.

Pada sebelah malamnya, Forum Perdana bertajuk ‘Palestin di Hatiku’ telah mengisi slot kembara berkenaan. Program dijalankan dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah, Tanjung Karang. Ahli panel pada malam itu telah meniupkan semangat dan roh jihad di kalangan audiens tentang peri pentingnya umat Islam menghadapi asakan Yahudi dan membantu umat Islam di Asia Barat.

Hari kedua, program kembara menyelusuri khidmat masyarakat di Desa Kasih. Orang-orang kampung begitu setia menanti sehinggalah mereka bersama-sama mengecat surau. Namun tidak lama, kerana masa begitu cepat berlalu dan masih ada program sedia menunggu.

Kehadiran konvoi di Giant Shah Alam turut mendapat perhatian. Bukan setakat mengedar risalah zakat bahkan Tabung Bantuan Asia Barat turut diedarkan kepada para pengunjung. Anak-anak muda dan remaja jelas memberikan sokongan walau sekadar mengikhlaskan seringgit dua ke dalam tabung berkenaan.

Stesen Nat Seven TV atau NTV7 menanti lokasi seterusnya. Di sana, konvoi diraikan dalam majlis ringkas dan diberikan kesempatan menziarahi beberapa studio. Majlis penyerahan Tabung TBAB kepada Media Prima Berhad yang diwakili oleh NTV7 turut diadakan. Pada sebelah malamnya, NTV7 menyiarkan rakaman penyerahan itu, terima kasih NTV7!

Konvoi kemudiannya menikmati jamuan makan tengah hari di D’ Palma Inn, Shah Alam. Sungguh pun sedikit lewat kehadiran kami, namun pihak hotel setia menanti. Tidak lama, kerana agenda perlu dihabiskan kembali di IOI Resort Putrajaya.

Salam perpisahan akhirnya dilafazkan. Tuan Haji Ahmad Shahir selaku Pengurus Besar LZS (MAIS) amat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan program. Nyata, konvoi ini mampu menyerlahkan kewujudan LZS (MAIS) di mata masyarakat.

Sebelum doa dibacakan, sekalung pernghargaan buat Trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor yang diketuai oleh Sarjan Zaki disampaikan. Syabas! Mereka begitu komited menjamin kelancaran konvoi sepanjang perjalanan. Begitu juga dengan komitmen berterusan dua orang paramedik dari Kajang Plaza Medical Centre, para wartawan dan tiga wakil pelajar UIAM.

Berita Terkini